About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pantun Adat

Ada sirih ada pinang,
Nantikan gambir dengan kapur;
Sudah dipilih sudah dipinang,
Hanya menanti ijab kabul.

Air surut ikan geramai,
Sudah dapat ikan tenggiri;
Masa hidup kita berdamai,
Mati nanti seorang diri.

Ambil galah jolok kedondong,
Galah patah menimpa dahan;
Bukannya salah ibu mengandung,
Sudah nasib permintaan badan.

Anak udang, udang juga,
Tidak sama anak tenggiri;
Anak orang orang juga,
Tidak sama anak sendiri.

Anjunglah Siam patah kemudi,
Ambil paku lantak di papan;
Diamlah diam tidak berbunyi,
Lupalah malu bertepuk sopan.

Apa dijual apa dibeli,
Mari sukat gantang Ali;
Bahasa tak boleh dijual beli,
Dari hidup sampai mati.

Baru kembang bunga seroja,
Sudah ada orang mencuri;
Besar-besar istana raja,
Kecil-kecil pondok sendiri.

Bawa anjing pergi berburu,
Berburu sampai ke Tanjung Pinang;
Sudah bersetuju ayah dan ibu,
Bolehlah abang masuk meminang.

Berkokok ayam di lanting,
Menyahuti ayam di paya;
Makan pinang sirih digunting,
Dikepit juga sama suara.

Bubuh racun di dalam gelas,
Kalau minum tentulah mabuk;
Tuan terima dengan ikhlas,
Boleh tidak saya nak masuk.

Buah keranji buah delima,
Mari letak atas meja;
Sirih pinang sudah kuterima,
Tanda jadi kita berdua.

Pantun Pahlawan

Ambil kapak belah ke kundur,
Baik terbelah si ibu kaki;
Walau setapak saya tak undur,
Itu adat anak laki-laki.

Adakah perisai bertali rambut,
Rambut dipintal akan cemara;
Adakah bisai tahu takut,
Kamipun muda lagi perkasa.

Apa guna kepuk di ladang,
Kalau tidak berisi padi;
Apa guna berambut panjang,
Kalau tidak berani mati.

Apa guna padi bukit,
Padi di bendang menabur bunga;
Apa guna hati sakit,
Mati bertikam termasyhur lama.

Bukit Sanding Tanjung Pahlawan,
Batu Kunta Kuala Jempul;
Ayam ditanding tiada melawan,
Itulah dia tandanya bacul.

Laksamana tukang tutuhnya,
Sandar-menyandar di batang pisang;
Bagaimana akan membunuhnya,
Tembak dengan peluru petunang.

Baik-baik mengail tenggiri,
Takut terkena ikan parang;
Baik-baik merendah diri,
Jangan menjadi hamba orang.

Jika terjumpa ular tedung,
Carilah buluh kayu pemukul;
Berani buat beranilah tanggung,
Tangan menjinjing bahu memikul.

Cemperai di pohon delima,
Anak tupai berpuak-puak;
Bermisai kusangka panglima,
Rupanya misai penapis tuak.

Ulam tipus bersambal cuka,
Kuah dihirup begitu rakus;
Biar mampus merebut pusaka,
Jangan hidup digelar dayus.

Tebu bukanya bangkut,
Rama-rama terbang ke kuala;
Bukan kami kaki penakut,
Berani kami berkorban nyawa.

Pisau raut dua tiga,
Letak di peti dalam perahu;
Dalam laut boleh diduga,
Dalam hati siapa tahu.

Cahaya malam gilang gemilang,
Kerana disinar bulan purnama;
Gajah mati meninggalkan tulang,
Manusia mati meninggalkan nama.

Buah mangga jangan dihiris,
Takut pisau terkena jari;
Anak muda jangan berkeris,
Salah gaya menikam diri.

Pantun Istiadat Perkahwinan

Tetak nyirih galangkan dapur,
Tetak dengan dahan-dahannya;
Minta sirih barang sekapur,
Minta dengan tuan-tuannya.

Ayam sabung jangan ditambat,
Jika ditambat alah laganya;
Ikan di laut asam di darat,
Dalam belanga bertemu jua.

Boria

 
Boria adalah sejenis teater yang amat popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang. Secara umumnya asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala di Parsi.
Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu sketsa dan nyanyian. Nyanyian boria diketuai oleh seorang tukang karang (biasanya akan memegang tongkat penunjuk ketika menyanyi). Rangkap karangan boria yang hujung sukukatanya sama setiap rangkap kisahnya berkaitan dengan sketsa yang dipersembahkan.

Sailor yang terdiri lebih dari enam orang di belakang tukang karang akan menyanyi dengan mengulangi rangkap pertama nyanyian tukang karang tadi. Alat-alat muzik boria telah berubah mengikut peredaran masa. Namun begitu penggunaan alat-alat muzik seperti violin, marwas, gendang panjang, akordian, harmonika adalah digalakkan.