Jam menunjukkan hampir 2.30 petang. Hari ini saya balik sedikit lewat . Banyak kerja yang perlu diselesaikan dan banyak fail yang perlu dikemaskini. Ketika saya baru saja hendak melangkah masuk ke dalam kereta, tiba-tiba saya dikejutkan dengan satu suara. "Cikgu, boleh tumpang tak?", tanya suara halus itu. Saya menoleh ke arah suara itu dan melihat seorang murid bernama Naim memandang tepat ke arah saya memohon simpati.
'Mak awak tak datang ambil ke?", tanya saya sedikit kehairanan. Kebiasaanya saya sering melihat murid itu diambil oleh ibunya dengan menunggang motosikal. "Mak tak ada....dia ke KL", jelasnya dengan mata terkebil-kebil memandang saya. "Rumah awak kat mana ni? Cikgu lalu ke kawasan tu?", saya seakan memberi alasan untuk mengelak dari menumpangkannya. Maklumlah dah lewat...belum solat zuhor lagi.
"Rumah saya di Taman Jaya...saya tinggal di flat situ", jelasnya. Saya menjadi serba salah antara simpati dengan kesuntukan masa. Saya tahu kawasan flat tersebut. Agak jauh juga dari laluan saya. Perumahan untuk mereka yang dikategorikan miskin atau berpendapatan rendah. "Pagi tadi awak datang naik apa?", saya bertanya lagi seakan kurang berpuashati dengan jawapan murid tersebut. "Saya jalan kaki cikgu...", lemah suara dia menjawab sambil memandang tepat ke wajah saya, seakan dia faham bahawa saya agak keberatan untuk membantunya. Dia kembali ke arah tempat duduknya di bawah pohon besar tadi.
Saya terus masuk ke dalam kereta. Termenung memikirkan apakah tindakan yang saya buat ini betul jika saya tidak membantunya. Rakan-rakan lain semua sudah balik dan suasana di sekolah semakin sunyi. Hanya terdapat segelintir pelajar yang sememangnya ibu bapa mereka ambil agak lewat setiap hari. Otak saya ligat memikirkan hal ini. Saya membayangkan mungkin sesuatu yang buruk berlaku ke atas pelajar tersebut jika saya tidak membantunya. Kemalangankah dia...atau mungkin diculik ketika berjalan kaki pulang ke rumah...Oh, tidak...Mungkin ketika itu penyesalan sudah tidak berguna lagi bagi diri saya.
"Naim...jom cikgu hantar awak balik", jerit saya. Sepantas kilat dia bangun mencapai beg dan berlari ke arah saya. Lebar senyumannya. "Terima kasih cikgu...", tergambar perasaan lega dan gembira di wajah mulusnya. Sepanjang perjalanan banyak perkara yang saya tanyakan...dan pastinya semakin bertambah simpati saya padanya. Kasihan...dalam usia yang baru menjangkau 10 tahun dia terpaksa berdikari untuk meneruskan kehidupan. Sekolahkah dia? atau makankah dia? tiada siapa yang ambil peduli jika ibunya sibuk bekerja sehingga lewat malam. Bapanya pula entah ke mana...Ibubapa yang bermasalah pastinya akan mendorong kewujudan murid-murid yang bermasalah di sekolah...Salah anak-anakkah?
"Itu rumah saya cikgu...saya duduk tingkat 4", Naim mengejutkan saya dari lamunan. "Oh, ya ke? Siapa ada di rumah sekarang?", saya cuba mengorek rahsia kehidupannya. "Tak ada siapa-siapa pun...abang saya jarang ada di rumah. malam baru dia balik...", jelasnya lagi. "Baiklah, cikgu nak balik ni..Naim jaga diri dan jangan merayau-rayau. Belajar rajin-rajin ya...", saya meminta diri dan meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan tersebut.
Keesokkannya saya menceritakan perkara tersebut kepada guru-guru yang mengajarnya. Pernah juga dia meminta pertolongan daripada guru-guru lain sebelum ini. Ada yang memberi respon positif atas tindakan saya, dan ada juga yang berpendapat saya tidak wajar melakukannya. Bimbang keluarga pelajar tesebut mengambil kesempatan atas kebaikan yang dilakukan. Sebelum ini ada kes dimana setelah seorang guru membantu menghantar seorang pelajar ( bukan Naim ), setiap hari pula ibubapa pelajar tersebut menelefon meminta tolong menumpangkan anaknya kerana dia sibuk.
Mungkin ada benarnya kedua-dua pendapat itu dan saya pasti akan meneliti perkara tersebut. Walau bagaimanapun, jika hal ini terjadi dalam situasi yang saya lalui tidak ada salahnya kita membantu pelajar tersebut. Fikirkanlah jika ianya terjadi kepada anak-anak kita dalam usia tersebut dan tiada seorang guru pun yang ingin membantu ketika itu. Adakah kita kesal ketika itu...jika sesuatu berlaku pada anak kita? Fikir-fikirkanlah...
Di dalam kes seperti ini, kesalahannya seharusnya dipikul oleh ibu bapa kerana gagal menjaga kebajikan dan keselamatan anak mereka. Sesibuk mana pun kita...sesusah mana pun kehidupan kita...anak adalah tanggungjawab kita, amanah kita. Janganlah sudah terantuk baru terngadah....sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tiada gunanya...
Sudah Terantuk Baru Terngadah
Posted by Maya at Friday, July 29, 2011
Labels: DI CELAH-CELAH KEHIDUPAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment