Esok hari terakhir persekolahan sebelum cuti pertengahan semester 1 bermula. Terlalu cepat masa berlalu..sehingga Maya merasakan banyak kerja seharian sama ada di sekolah atau rumah yang masih lagi tertangguh. Ada kalanya cuti seakan tidak bercuti bila memikirkan banyak perkara yang perlu diselesaikan. Rutin ke sekolah seperti biasa walaupun hari cuti. Nasib baiklah keluarga memahami dan sentiasa menyokong.
Keinginan untuk berkarya adakalanya begitu meluap-luap namun semuanya tergantung begitu sahaja bila memikirkan banyak perkara lain yang lebih penting untuk Maya selesaikan. Maya sering berharap akan tiba masanya Maya dapat berkarya dalam suasana yang cukup santai..
Lusa Maya akan balik ke kampung halaman Maya di Johor kerana ingin menziarahi adik Maya yang sedang sakit. Semalam Maya mendapat berita dari kakak di sana tentang kesihatan adik Maya yang sering terganggu akibat serangan jantung yang sering dia alami kebelakangan ini. Walaupun keadaannya beransur pulih namun Maya rasa bersalah jika tidak meluangkan masa bertanya khabar atas alasan kesibukan bekerja.
Maya dan keluarga hanya mampu mendoakan adik Maya semoga cepat sihat dan sembuh serta dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. InsyaAllah..
Rutin Kehidupan
Posted by Maya at Thursday, March 21, 2013 0 comments
Labels: UMUM
Membazir Bila Diberi Percuma?
Kelmarin Maya dikejutkan dengan suara bising-bising di kantin. Apa yang berlaku di sana? Maya segera bergegas ke sana untuk meninjau dengan lebih dekat. "Cikgu Maya..tolonglah saya", seketika ittu juga makcik kantin menyebut nama saya dalam situasi yang saya sendiri masih kebingungan. "Apa kenanya ni..?", saya memandang wajah beberapa orang pelajar di situ berserta dengan makcik kantin sekolah. "Cikgu tengoklah ni..habis makanan RMT ( Rancangan Makanan Tambahan yang diberikan percuma setiap hari pada yang layak ) dibuang tanpa dimakan. Sedih saya tengok cikgu..", Kak Siah pengusaha kantin meluahkan rasa kesalnya. Airmatanya turut mengalir..mungkin memikirkan penat lelahnya seakan tidak dihargai oleh pelajar-pelajar yang terlibat. "Tak apalah Kak Siah, nanti saya uruskan hal ini..saya akan siasat perkara ini", saya cuba meredakan keadaan dan tidak mahu perkara tersebut berlanjutan di situ. "Awak semua tunggu di pusat sumber sekarang..banyak yang ingin cikgu tanyakan", saya segera mengarahkan mereka beredar dari situ dengan segera.
"Betul kamu buang makanan RMT tadi? Cikgu mahu setiap orang jawap dengan jujur", saya memandang tepat ke wajah setiap pelajar yang terlibat dengan rasa geram dan tidak puas hati. Sudahlah diberi makan percuma, memilih pulak..tak tahu bersyukur langsung.., gerutu hati kecil saya agak kesal dengan situasi yang berlaku itu. Ini merupakan kali kedua saya menerima laporan sedemikian dan masih melibatkan murid-murid yang sama seramai 4-5 orang. Sebagai guru yang terlibat secara langsung dalam pemilihan mereka yang layak menerima RMT ini,pastinya saya rasa bersalah jika pemilihan yang dilakukan tersilap sehingga mereka yang benar-benar layak gagal, sedangkan mereka yang tidak layak pula mendapatnya kerana pemilihan berdasarkan maklumat atas kertas sahaja.
Semua mengaku melakukannya atas alasan tidak sedap, kenyang dan kurang berminat dengan menu yang disediakan pada hari itu. Alasan yang masih sama dengan kes terdahulu berulang kembali walaupun menu yang disediakan telah diubah atas persetujuan bersama pelajar-pelajar yang terlibat itu. 'Demand' sungguh budak-budak ni.. Alasan yang saya tidak boleh terima pada kali ini. Saya perlu memanggil ibubapa dan penjaga yang terlibat untuk berbincang sama ada anak mereka perlu atau tidak RMT ini. Saya tidak mahu pembaziran sebegini terus berlaku dan menjadi ikutan pelajar-pelajar lain. Saya memberi amaran kali terakhir, jika ada laporan yang sama, RMT mereka akan ditarik balik dengan serta merta setelah mendapat persetujuan penjaga mereka.
Betapa mewahnya hidup kita jika dibandingkan dengan kanak-kanak di negara lain, perkara tersebut sering saya ulang-ulang bila berpeluang membicarakan topik pembaziran makanan. Di sini saya sisipkan tentang kehidupan segelintir masyarakat Kemboja yang makan sampah untuk meneruskan kelangsungan hidup. Semoga menjadi iktibar buat kita dan sentiasa menghargai serta bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan kepada kita.
Posted by Maya at Thursday, March 21, 2013 0 comments
Labels: UMUM












