About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pertandingan Zapin Peringkat Negeri Johor

Pada 15-17 Okt 2010 yang lalu bertempat di Stadium Tertutup MBJB Johor Bahru telah berlangsung Pertandingan Zapin Johor 2010 yang melibatkan penyertaan dari pelbagai kategori. Pertandingan yang berlangsung selama 3 hari itu menyaksikan persaingan sengit bagi kategori-kategori yang dipertandingkan termasuklah kategori sekolah rendah, sekolah menengah, jabatan dan agensi kerajaan serta mukim. 

Bagi mereka yang kurang faham maksud mukim, di negeri Johor ia bermaksud beberapa buah kampung disatukan dalam pimpinan seorang penghulu. Sebenarnya sepanjang saya berkhidmat sebagai pendidik di beberapa buah negeri dan juga sekolah, saya dapat melihat negeri Johor satu-satunya negeri yang begitu giat memastikan warisan kesenian nenek moyang tidak lenyap begitu sahaja.


Ketika saya balik kekampung,saya dapat melihat sendiri anak-anak saudara saya giat berlatih tarian zapin ini untuk pertandingan di sekolah. Seawal usia 5/6 tahun kanak-kanak telah dilatih untuk menguasai rentak zapin ini. Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila persembahan zapin ini mendapat sambutan yang cukup luarbiasa apabila dipertanding atau dipersembahkan di mana-mana majlis di Johor.


Sebagai generasi yang mewarisi sedikit sebanyak bakat berzapin ini, saya pernah juga melatih sekumpulan pelajar di sini untuk dipersembahkan pada Hari Anugerah Cemerlang dan juga RIMUP. Memang hebat sambutan dan sokongan yang diberikan. Untuk saya berzapin mungkin tidak sesuai lagi...biarlah anak-anak didik meneruskan legasi ini. 

Perjalanan Ini...

Ada waktunya saya seperti tidak percaya  dan yakin bahawa isyarat untuk saya menunaikan haji telah tiba...Sudah cukup bersediakan saya untuk menjadi tetamu Allah? Perasaan takut adakalanya menyelinap di sanubari, maklumlah pelbagai cerita kita dengar mengenai dugaan-dugaan yang diterima ketika berada di sana. Terlepaskah saya dari dugaan-dugaan itu? atau saya mungkin diuji dengan sesuatu yang mungkin tidak mampu saya tanggung...

Jika selama ini saya  boleh redha dengan pelbagai konspirasi, boikot,dengki dan irihati dalam perniagaan kenapa saya perlu risau. Sedangkan perjalanan kali ini adalah untuk menjadi tetamuMu ya Rabbi...Usah bolak balikkan hati ini ya Allah...berikan saya kemudahan dan ketenangan dalam menunaikan perintahMu.Ameen...

Kita Bertanggungjawab Memperbetul

Kekangan masa sering menjadi alasan untuk kita menyatakan sebab musabab mengapa sesuatu itu gagal direalisasikan. Adakah alasan sedemikian sekadar menutup kelemahan diri kita untuk mencapai sesuatu? Saya juga sering terperangkap dalam situasi sebegini...lihat sajalah mengapa sehingga kini saya masih tidak dapat memaparkan hasil-hasil karya saya khususnya dibidang penulisan cerpen seperti yang diwar-warkan sebelum ini...

Apabila saya ingin menulis, saya memerlukan waktu yang benar-benar jauh dari kesibukan. Sama ada tugas seharian atau keluarga. Ilham yang dikatakan baik dan berkualiti biasanya muncul di kala begini. Mungkin ianya berbeza bagi orang lain tetapi bagi diri saya itulah yang terbaik...

Saya amat mengemari hasil-hasil karya penulis lama berbanding dengan penulis-penulis baru. Mengapa? Pertamanya gaya bahasa dan perkataan-perkataan yang digunakan benar-benar melambangkan sifat-sifat kemelayuan dan kemasyarakatan kita. Patah-patah perkataan yang digunakan begitu simbolik dan berseni tanpa merosakkan jalan cerita itu sendiri. Berbanding dengan gaya penulis-penulis kini yang agak sembrono dan merojakkan bahasa. Mungkin itulah punca mengapa anak bangsa kita semakin lemah menguasai bahasa ibunda yang sempurna ketika dalam peperiksaan . Bahasa rojak..bahasa sms...bercampur aduk sehingga memeningkan pemeriksa.

Untuk menghasilkan penulisan yang baik, wajarlah kita menggunakan lenggok bahasa yang betul. Walaupun budaya bahasa sms atau rojak menjadi santapan anak-anak kita, kitalah yang seharusnya memainkan peranan untuk memperbetul hal sedemikian. Jangan gunakan bahasa-bahasa tersebut dalam penulisan, sebaliknya gunakan pertuturan-pertuturan biasa tanpa menghilangkan tujuan penceritaan. Saya percaya jika setiap penulis memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam setiap penulisan mereka,kelemahan ini akan dapat diatasi.

Saya bukan berbicara atas paksi penulis ternama atau sasterawan negara tetapi atas dasar peranan seorang pendidik dalam memperbetul dan mengatasi kelemahan-kelemahan anak didiknya...InsyaAllah..

Tarian Canggung

Tarian Canggung merupakan tarian identity negeri Perlis,yang berasal dari salah sebuah tarian Makyang Laut.Tarian ini mula diperkenalkan dalam masa pendudukan Jepun sekitar tahun 1941. Ia mula dipersembahkan oleh dua orang penari adik beradik dalam satu pesta hiburan bagi tentera Jepun dan orang ramai yang diadakan di Bandar Kangar.

Mulai daripada persembahan ini berkembanglah Canggung ke seluruh negeri Perlis dan seterusnya menjadi tarian yang masyhur.
Variasi tarian Canggung samalah dengan Ronggeng,akan tetapi mempunyai nilainya tersendiri.Keasliannya terletak kepada nyanyiannya secara berbalas pantun. Pantun pembukaan juga merupakan pantun wajibnya seperti berikut:

Nasi kuning gulai ia ayam,
Singgah makan batu melintang,
Senget topi berjalan malam,
Abang nak cari si tanggul lentang,

Menerusi pantun-pantun inilah para penonton mendapat hiburan. Pantun-pantunnya ada yang menyindir, memikat, mengusik, Para-penarinya menari secara berpasang-pasangan.

Apakah Peribahasa?

Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sabahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu.