About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tarian Canggung

Tarian Canggung merupakan tarian identity negeri Perlis,yang berasal dari salah sebuah tarian Makyang Laut.Tarian ini mula diperkenalkan dalam masa pendudukan Jepun sekitar tahun 1941. Ia mula dipersembahkan oleh dua orang penari adik beradik dalam satu pesta hiburan bagi tentera Jepun dan orang ramai yang diadakan di Bandar Kangar.

Mulai daripada persembahan ini berkembanglah Canggung ke seluruh negeri Perlis dan seterusnya menjadi tarian yang masyhur.
Variasi tarian Canggung samalah dengan Ronggeng,akan tetapi mempunyai nilainya tersendiri.Keasliannya terletak kepada nyanyiannya secara berbalas pantun. Pantun pembukaan juga merupakan pantun wajibnya seperti berikut:

Nasi kuning gulai ia ayam,
Singgah makan batu melintang,
Senget topi berjalan malam,
Abang nak cari si tanggul lentang,

Menerusi pantun-pantun inilah para penonton mendapat hiburan. Pantun-pantunnya ada yang menyindir, memikat, mengusik, Para-penarinya menari secara berpasang-pasangan.

Apakah Peribahasa?

Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sabahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu.

Pantun Adat

Ada sirih ada pinang,
Nantikan gambir dengan kapur;
Sudah dipilih sudah dipinang,
Hanya menanti ijab kabul.

Air surut ikan geramai,
Sudah dapat ikan tenggiri;
Masa hidup kita berdamai,
Mati nanti seorang diri.

Ambil galah jolok kedondong,
Galah patah menimpa dahan;
Bukannya salah ibu mengandung,
Sudah nasib permintaan badan.

Anak udang, udang juga,
Tidak sama anak tenggiri;
Anak orang orang juga,
Tidak sama anak sendiri.

Anjunglah Siam patah kemudi,
Ambil paku lantak di papan;
Diamlah diam tidak berbunyi,
Lupalah malu bertepuk sopan.

Apa dijual apa dibeli,
Mari sukat gantang Ali;
Bahasa tak boleh dijual beli,
Dari hidup sampai mati.

Baru kembang bunga seroja,
Sudah ada orang mencuri;
Besar-besar istana raja,
Kecil-kecil pondok sendiri.

Bawa anjing pergi berburu,
Berburu sampai ke Tanjung Pinang;
Sudah bersetuju ayah dan ibu,
Bolehlah abang masuk meminang.

Berkokok ayam di lanting,
Menyahuti ayam di paya;
Makan pinang sirih digunting,
Dikepit juga sama suara.

Bubuh racun di dalam gelas,
Kalau minum tentulah mabuk;
Tuan terima dengan ikhlas,
Boleh tidak saya nak masuk.

Buah keranji buah delima,
Mari letak atas meja;
Sirih pinang sudah kuterima,
Tanda jadi kita berdua.

Pantun Pahlawan

Ambil kapak belah ke kundur,
Baik terbelah si ibu kaki;
Walau setapak saya tak undur,
Itu adat anak laki-laki.

Adakah perisai bertali rambut,
Rambut dipintal akan cemara;
Adakah bisai tahu takut,
Kamipun muda lagi perkasa.

Apa guna kepuk di ladang,
Kalau tidak berisi padi;
Apa guna berambut panjang,
Kalau tidak berani mati.

Apa guna padi bukit,
Padi di bendang menabur bunga;
Apa guna hati sakit,
Mati bertikam termasyhur lama.

Bukit Sanding Tanjung Pahlawan,
Batu Kunta Kuala Jempul;
Ayam ditanding tiada melawan,
Itulah dia tandanya bacul.

Laksamana tukang tutuhnya,
Sandar-menyandar di batang pisang;
Bagaimana akan membunuhnya,
Tembak dengan peluru petunang.

Baik-baik mengail tenggiri,
Takut terkena ikan parang;
Baik-baik merendah diri,
Jangan menjadi hamba orang.

Jika terjumpa ular tedung,
Carilah buluh kayu pemukul;
Berani buat beranilah tanggung,
Tangan menjinjing bahu memikul.

Cemperai di pohon delima,
Anak tupai berpuak-puak;
Bermisai kusangka panglima,
Rupanya misai penapis tuak.

Ulam tipus bersambal cuka,
Kuah dihirup begitu rakus;
Biar mampus merebut pusaka,
Jangan hidup digelar dayus.

Tebu bukanya bangkut,
Rama-rama terbang ke kuala;
Bukan kami kaki penakut,
Berani kami berkorban nyawa.

Pisau raut dua tiga,
Letak di peti dalam perahu;
Dalam laut boleh diduga,
Dalam hati siapa tahu.

Cahaya malam gilang gemilang,
Kerana disinar bulan purnama;
Gajah mati meninggalkan tulang,
Manusia mati meninggalkan nama.

Buah mangga jangan dihiris,
Takut pisau terkena jari;
Anak muda jangan berkeris,
Salah gaya menikam diri.

Pantun Istiadat Perkahwinan

Tetak nyirih galangkan dapur,
Tetak dengan dahan-dahannya;
Minta sirih barang sekapur,
Minta dengan tuan-tuannya.

Ayam sabung jangan ditambat,
Jika ditambat alah laganya;
Ikan di laut asam di darat,
Dalam belanga bertemu jua.