About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Momokan..

Ketika usia semakin menginjak ke separuh abad, ketika melihat anak-anak kecil bekejaran.. kita seringkali terkenang masa-masa  kecil dulu. Terkenang macam macam perkara yang kelakar, pelik, seronok, menakutkan, sedih dan macam macam lagi yang pernah terjadi dalam hidup kita semua. Baiklah untuk kali ini saya  ingin berkongsi memori indah yang masih terpahat dalam kenangan..

Mungkin ada antara teman-teman yang melalui situasi sebegini.  Masa kecil dulu, ibu bapa Maya  mesti marah tiap kali Maya  ber'aku', 'kau' dengan kawan- kawan. Kawan -kawan Maya pun kata" mak saya katakan, kalau kita cakap 'aku' nanti kita jadik hantu paku tau" . Dengan muka yang serius..Disebabkan ayat sebegitu sering diulang-ulang maka Maya pun percaya sajalah kerana mak dia yang beritahu perkara itu. Masakan orang dewasa mahu menipu. Mereka juga yang menasihati kita supaya jangan menipu kerana menipu itu berdosa..

Jenuh juga Maya cuba membayangkan macamanalah rupa hantu paku itu masa tu..Masa berlalu..dan disebabkan momokan sedemikian maka kami sentiasa berwaspada apabila bercakap antara satu sama lain. Mungkin sebab itu agaknya anak-anak yang dilahirkan di zaman retro lebih sopan bila berbicara :) . Walaupun satu penipuan..kerana sehingga kini tidak terbukti hantu paku itu wujud..namun kesan positif dari momokan sedemikian yang harus kita lihat.

Mungkin momokan sedemikian tidak sesuai dilakukan pada masa kini..sebabnya mudah..terlalu banyak hantu yang boleh dilihat oleh anak-anak kita di televisyen..setakat hantu paku apalah sangat..
Hantu Kak Limah Balik Kampung pun mereka tergelak je...

Kembali Lagi..

Setelah berbulan-bulan lamanya saya tidak berblog.. banyak alasan yang tidak penting, akhirnya saya cuba mulakan lagi. Terasa janggal ketika memulakannya, seperti pertama kali berblog..
Sudah terlalu banyak peristiwa yang sudah saya lalui dan tidak sempat saya ceritakan di sini. Entah sudah berapa banyak idea yang terpaksa diperap dan berkarat lantaran alasan-alasan tak penting itu. Saya berusaha memulakan lagi.

Dalam momen cuti sekolah yang panjang  ini, dengan segala kejernihan  hati , saya meminta maaf buat teman-teman yang selalu mendukung dan memberi dorongan dan buat rakan-rakan blogger yang saban hari berkunjung untuk mendapatkan hal yang itu-itu saja.

Bubur Chacha

Bila ternampak gambar bubur chacha (caca? cacar?) teringin pula Maya nak makan. Jangan terfikir Maya mengidam pula ya.. Rasanya cukup lama Maya tidak membuat manisan bubur caca . Teringat pula semasa Maya di bangku sekolah dulu, ketika berada di 'form 1 atau 2' dulu. Inilah bubur yang pertama Maya belajar membuatnya. Masih Maya ingat lagi nama guru tersebut..Miss Quek yang berbangsa cina. Tepung yang berwarna-warni tu kami kena buat sendiri. Kami menguli dan memotong kemudian menjemurnya. Minggu berikutnya barulah kami memasak bubur caca tersebut.

Miss Quek ini boleh tahan garangnya ketika mengajar kami memasak..namun berkat kesabarannya mengajar kami yang keras tangan inilah, kami boleh menjadi tukang masak yang baik untuk keluarga hari ini. Terima kasih cikgu..

Ini contoh resipi bubur caca yang Maya ambil di internet. Lebih enak jika kita campurkan ubi keledek yang dipotong kecil ke dalam bubur caca tersebut.


Bahan-bahan ( 4 orang makan )

  • 2 cawan bubur chacha
  • 500 ml santan
  • 1 cawan gula pasir
  • 2 helai daun pandan

Cara-cara

  1. basuh bubur cacar/chacha sehingga bersih dan direbus sehingga empuk
  2. panaskan santan dengan api yang sederhana agar santan tidak pecah minyak
  3. masukkan bubur cacar/chacha yang sudah empuk, gula dan daun pandan (simpulkan daun pandan terlebih dahulu) ~ sukatan santan dan gula boleh ditambah atau dikurang mengikut selera anda ~
  4. masak bubur cacar/chacha sehingga pekat 
Selamat mencuba~

Berkorban Masa

Cuti sekolah datang lagi...dan seperti kebiasaannya Maya menerima banyak undangan majlis perkahwinan sama ada di sini atau di kampung Maya di Johor sana. Apakan daya..hanya ucapan tahniah yang dapat Maya titipkan melalui telefon pada mereka yang sudi menjemput. Kekangan masa yang begitu terhad, tidak mengizinkan Maya untuk memenuhi semua undangan.

Hujung minggu lepas Maya berkesempatan balik ke kampung Maya di Muar sana untuk menghadiri majlis pertunangan anak saudara perempuan Maya. Alhamdulillah dapatlah Maya berjumpa dengan sanak saudara Maya untuk melepas rindu..Maya juga amat bersyukur bila melihat adik Maya yang sakit (seperti yang Maya pernah tulis di sini) semakin sihat sekarang. Hanya nasihat dan pesanan yang dapat Maya berikan agar dia sentiasa menjaga kesihatannya..

Anak saudara Maya dipinang oleh anak teruna dari Selangor..kawan sama belajar di universiti katanya. barang hantaran antara dua negeri ini tidaklah banyak berbeza..ada persalinan lengkap dan ada juga kuih muih sebagai pemanis. Pada asalnya hanya 7 dulang berbalas 9, tetapi akhirnya bilangan itu bertambah menjadi 17 belas dulang bila saudara mara masing-masing menghadiahkan "sesuatu"..Untuk tidak mengecilkan hati pemberi..maka "sesuatu" itu terpaksalah diberikan juga kepada pihak lelaki..untung besarlah pihak sana ya :). Rezeki..

Apa yang menarik pada majlis tersebut, turut diberikan satu hantaran khas untuk si kakak yang belum lagi berpunya..sepersalinan baju dan juga sebentuk cincin. "Wah, untunglah angah ya..", saya saja mengusik anak buah saya..kakak kepada si adik yang bertunang. Angah cuma tersenyum... "Mak Lang tak ada calon ke untuk Angah?", dengan selamba dia menyoal saya pula. "Kalau Angah tak memilih..Mak Lang ada banyak calon ni..nanti Mak Lang bagi album gambar calon-calon tu", berderai gelak ketawa petang itu setelah majlis selesai. Rasa pantas sungguh masa berlalu...anak-anak buah semuanya semakin menginjak dewasa sekarang.

Walau bagaimanapun Maya tidak dapat lama berada di sana kerana anak pula sibuk dengan kelas 'tuisyen'nya. Nampaknya tahun ini Maya terpaksa melupakan rancangan untuk bercuti ke mana-mana sehinggalah anak selesai menghadapi PMRnya. Bagi Maya, meskipun bertugas sebagai pendidik namun masih memerlukan kelas 'tuisyen' ini untuk membantu anak memantapkan pemahamannya. Bukan untuk memperkecil atau menidakkan kemampuan guru-guru di sekolah menengah anak Maya tu, cuma bagi Maya hanya kelas 'tuisyen' itulah masa untuk anak Maya mengulangkaji pelajarannya secara teratur. Bimbang juga jika di rumah dia tidak fokus dan mengulangkaji..maklumlah kadang-kadang rancangan K-Pop yang diminatinya itu lebih kuat tarikannya untuk ditonton di televisyen.

Sama-samalah kita menjadi pendorong dan sentiasa meluangkan masa dengan anak-anak agar mereka sentiasa berada di landasan yang betul untuk mengharungi kehidupan mendatang yang penuh pancaroba ini. InsyaAllah..


Selamat Hari Guru 2012


Hari ini 16 Mei 2012, warga guru di seluruh Malaysia walau di ceruk mana sekalipun meraikan sambutan hari guru . Pelbagai ragam mungkin dapat dilihat di setiap sekolah sama ada diraikan, meraikan atau hanya mungkin syok sendiri yang lebih kata seorang teman..Biarlah apa yang orang kata, seharusnya kita berbangga kerana diberikan hari yang istimewa ini sebagai tanda seluruh negara menghargai pergorbanan guru dalam mendidik anak bangsa. 

Dan seperti biasa bagi guru-guru yang mengajar di sekolah rendah khususnya, pastinya hari ini 'bonet' kereta mereka akan penuh dengan pelbagai jenis hadiah. Tidak terkecuali dengan diri saya sendiri..Walau ada di antaranya hanya memberi sekeping kad yang dihasilkan dengan tangan mereka sendiri, saya menerimanya dengan perasaan bangga dan terharu.."Terima kasih..belajar pandai-pandai, semoga menjadi insan yang berguna", itulah antara bait-bait yang sering dilafazkan sebagai tanda menghargai pemberian mereka.

Pastinya di setiap sekolah, antara aktiviti yang mesti ada dalam aturcara majlis pada hari ini ialah menyanyikan lagu "Guru Malaysia" dan lagu tema tahun ini iaitu "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Walaupun ada suara-suara yang berbisik, "tak sedap sungguh lagu tahun ni.."namun nyanyi tetap nyanyi walaupun tempo entah ke mana..Inilah lirik lagu tema pada tahun ini :

Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara

Kita berbicara tentang inovasi
Ciptaan baharu gaya hidup kini
Meningkatkan Produktiviti Terkini

Bangun, beranikan terima seruan
Mendidik, memimpin penuh berwawasan
Menciptakan kreativiti
Melahirkan Guru Inovatif

c/o
Sahutlah cabaran, perubahan
Daulatkan Bidang Pendidikan,
Guru Inovatif Melonjakkan
Transformasi Pendidikan Negara
Malaysia Ku tercinta

Kita berbicara tentang inovasi
Ciptaan baharu gaya hidup kini
Meningkatkan Produktiviti Terkini

Tiada pernah jemu tiada putus asa
Sedia menimba ilmu di mana saja
Binakanlah keyakinan
Merentasi segala halangan