About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kerenah Anak Muridku

"Cikgu Maya..buatlah cerpen kisah kami!, kami nak baca! Jerit anak-anak muridku yang terkenal dengan mulut becok dan membawanganya. Siapa lagi kalau bukan Si Jiha, Balqish, Husna, Syakila dan Izzati."Eh,awak ada cerita best ke? Kisah pak we ke? " Aku saja mengusik mereka. "Eeii cikgu ni..mana kami ada pak we! "Eh, tak ada ke? Bukan awak selalu membawang kisah pak we ke bila ada je masa terluang?", saja aku terus menyakat mereka.
    Sebenarnya hari ini merupakan hari pertama mereka diberikan peluang untuk berehat sepenuhnya setelah bertungkus lumus menjawab soalan UPSR yang baru saja berlalu semalam. Sambil melayari internet di bilik komputer aku bersembang-sembang santai dengan mereka. Sebagai pelajar yang sedang meningkat remaja mereka begitu seronok jika diajak bersembang tentang hal-hal yang berlaku di persekitaran mereka. Bersambung...

Antara angan-angan dan Impian

"Dulu saya minat sangat menulis cerpen. Kalau ada masa terluang pasti jari-jemari ini ligat menari di papan kekunci",entah mengapa tiba-tiba topik berkaitan blog menjadi perbualan aku dengan Cikgu Shiha kelmarin. Macam-macam blog aku ada..blog resipi,blog kerjaya,blog zaman sambung belajar dan juga  blog hasil karya. Dalam banyak-banyak blog, blog hasil karyalah yang paling aktif ketika itu. Pantng ada peristiwa yang berlaku di sekolah, pasti akan aku jadikan telenova. Walaupun ada tokok tambah dan nama-nama watak yang ditukar namun jalan cerita adalah berpijak di bumi nyata. Senang cerita kisah benarlah...

Namun dengan kemunculan media-media sosial seperti FB,Twitter,Telegram,Whatsapp  dll telah membunuh zaman kegemilangan blog atau website satu ketika dulu. Orang-orang muda atau generasi Y sekarang lebih berminat untuk berbicara terus di ruang-ruang sembang secara langsung dan terbuka. Mereka bukan lagi generasi yang suka meluahkan perasaan di blog yang belum tentu ada pembacanya. Tiada istilah bahasa kiasan atau lantunan bicara yang indah yang digunakan dalam mesej-mesej mereka. Adakalanya aku sendiri tidak faham bila membacanya, Carca marba sehingga hilang kesantunan dan keindahan bahasa melayu itu sendiri.

Panjang pulak cerita aku. Cikgu Shiha hanya melontarkan senyumannya yang menawan. Entah senyum seronok mendengar celoteh aku atau mungkin dia berharap sangat aku cepat-cepat bertukar ke topik yang lain. "Awak bosan ke dengar cerita saya?,aku cuba menduga. "Eh,taklah...seronok apa. Ceritalah lagi apa yang awak tulis",ujarnya lagi. "Semua tu dah jadi kenangan Shiha. Saya dah lama sangat tidak mengarang. Sejak berpindah-pindah sekolah, ruang masa terasa begitu padat sehingga  saya tidak lagi menghasilkan sebarang karya. Walaupun di benak kepala dan di sudut sanubari saya ini tersimpan seribu macam cerita dan peristiwa, namun hingga ke saat ini  saya tidak mampu lagi untuk mengarapnya menjadi cerpen,puisi  dan sebagainya.

"Awak tulislah lagi. Mesti banyak kisah yang awak boleh jadikan cerpen sejak mengajar di sekolah inikan?, Shiha seakan cuba menaikkan semangat aku." Entahlah Shiha...minat tu memang sentiasa ada,cuma masa sering menjadi kekangan..". Mungkin juga saya boleh bermula dengan kisah awak Shiha!, aku tiba-tiba melontarkan ayat itu penuh semangat. "Haaa, kisah saya???, terkejut beruk Shiha mendengarnya. "Yelah, awak kan banyak cerita sejak menjadi Guru Besar di sekolah ini, sambung aku lagi. "Kisah awak tu boleh buat novel tau. Silap haribulan boleh kaya saya..hihi", aku tergelak ketika menuturkan kata-kata tersebut. "Wah, kalau awak dah kaya,jangan lupa saya pula. Saya kan watak utama..royalti mesti besar..hahaha", tergelak besar dia. "Itu dah mesti...", aku jawab seraya tertawa.

Tanpa sedar kerana terlalu asyik bersembang, kami sudah sampai ke destinasi yang dituju. Cerita kami tamat di situ..umpama angan-angan Mat Jenin. Tapi siapa tahukan..tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu..

Aku juga sering berkata kepada murid-muridku, kadang kala kita perlu memasang angan-angan untuk berjaya. Tapi janganlah asyik nak berangan jer..usahanya tiada. Bak kata Seniman P.Ramlee,habuk pun tarak.


Terbiar Sepi..

Sudah hampir setahun blog ini terbiar tanpa sebarang coretan. Entah mengapa semangat ingin berkarya seakan hilang. Jari-jemari ini terasa berat untuk menaip dan menitipkan sesuatu di sini. Setiap kali Maya cuba untuk berkarya..setiap kali itu juga 'mood' itu hilang tiba-tiba. Dunia penulisan yang sememangnya menjadi minat Maya selama ini ,seakan hilang daya tarikannya. Semuanya menjadi lesu..tidak bermaya..

Kasih Yang Hilang - Bahagian 1

"Awak datang lambat lagi hari ni Danish. Bangun lewat lagi ke?" Saya berpaling ke arah pintu kelas Tahun 6 Bakti seraya menegur murid yang baru masuk. Jam di tangan menunjukkan tepat jam 8.00 pagi. Sudah hampir dua puluh minit pelajaran berlangsung. Dia cuma tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. " Maafkan saya cikgu", sambil bergegas ke tempat duduknya di bahagian paling belakang. Saya cuma memerhatikannya sambil sedikit mengeluh. "Sayang sekali.."

Sebaik hampir menamatkan pelajaran, saya mengarahkan ketua kelas untuk mengumpulkan kerja sekolah yang diberikan di dalam buku latihan. " Semua hantar cikgu, kecuali Danish", lantang suara Adam memaklumkan. "Danish lagi..getus hatiku perlahan".

Apa yang tak kena dengan budak seorang ni. Setahu saya Danish merupakan antara murid yang berpotensi semasa dia berada di Tahap 1 dahulu. Sejak naik ke Tahap 2 pelajarannya terus merosot selain masalah disiplin dari segi kehadirannya ke sekolah.Sekarang dia dah berada di Tahun 6 dan akan menghadapi peperiksaan UPSR yang dikira agak penting juga untuk menentukan kedudukan kelasnya semasa di bangku sekolah menengah nanti. Pasti ada yang tidak kena..Saban hari saya terus mengikuti perkembangan budak seorang ini. Saya juga merisik maklumat dari kawan-kawan terdekatnya. Sedikit sebanyak saya sudah dapat mengagak mengapa Danish jadi begitu. Saya perlu bersemuka dengannya agar permasalahan ini tidak berlanjutan. Kasihan jika masa depannya hancur atas kesilapan kita sebagai guru dan ibu bapa yang tidak prihatin.

"Danish jumpa cikgu lepas waktu rehat nanti ya..cikgu tunggu di bilik kaunseling". Saya memberitahunya ketika murid-murid lain sibuk berkejar ke kantin untuk makan. "Awak bawa duit tak?", tanya saya. "Ada cikgu..", jawabnya lalu beredar pergi menuju ke kantin dengan langkah longlai. Saya terus menuju ke bilik kaunseling dengan harapan dapat membantunya bersama rakan setugas cikgu Nani yang sememangnya pakar dalam bab-bab mengorek rahsia pelajar. Maklumlah Nani merupakan Guru Kaunseling terlatih sedangkan saya hanya mengikut naluri atau rasa hati sendiri.

Tanpa dipaksa dan seakan sudah tahu tujuan saya memanggilnya..Danish terus bercerita dan meluahkan rasa hati kanak-kanaknya. "Ayah saya yang sering bangun lewat cikgu..bukan saya. Saya dah banyak kali pesan tapi ayah tak kisahpun. Kalau boleh saya tak mau ponteng sekolah tapi..saya nak pergi sekolah naik apa kalau ayah tak hantar?",jelasnya lagi sambil memandang tepat ke arah saya. Ada riak kesedihan di matanya ketika itu. "Ayah awak masuk kerja pukul berapa?", tanya saya lagi. "Ayah dah lama tak kerja..kata nenek ayah dah kena buang kerja. Dulu ayah saya pegawai bank. Dulu hidup saya senang. Dulu ayah marah kalau saya ponteng sekolah. Dulu saya gembira ada ayah dan mama yang sayang saya. Sekarang mama dengan ayah dah bercerai...", luahnya dengan airmata mula bergenang di matanya. MasyaAllah..

Saya dan cikgu Nani terdiam seketika dan saling berpandangan. Kasihannya anak ini. Ada rasa kepedihan yang teramat ketika dia meluahkan kata-kata itu. Mata saya mula pedih..Saya mengalihkan pandangan keluar dan menarik nafas dalam-dalam. Ingin rasanya memeluk anak ini dan mententeramkannya. Ibarat kasih seorang ibu terhadap anaknya namun tugas adakalanya membataskan hubungan antara guru dan pelajar. Saya cuma mampu mengelus lembut bahunya sambil menepuk-nepuk perlahan. Saya belum mampu untuk berkata apa-apa..Diam tanpa sebarang bicara.


Orang Tengah

Pernahkan anda menghadapi situasi serba salah? Situasi di mana anda berada di tengah-tengah antara dua pihak yang tidak bersefahaman. Situasi begini amat berbahaya sebenarnya, jika kita tidak dapat mengendalikannya dengan betul dan berhati-hati. Kemungkinan menjadi lebih buruk boleh terjadi jika kita tersilap percaturan dalam menyelesaikannya.

Bak kata pepatah, ditelan mati emak..diluah mati bapak. Serba tak kena..Kemam je..kata kumpulan lawak Sepahtu :-) Dalam mencari solusi yang sesuai, pastinya kita terpaksa pendamkan permasalahan itu untuk jangka waktu tertentu. Silap haribulan, yang bertelagah bergembira, kita pula yang mengalami tekanan perasaan kerana memikirkan masalah orang lain :-).

Maya akan bercerita lebih lanjut mengenai topik ini di lain masa..InsyaAllah.