Esok hari terakhir persekolahan sebelum cuti pertengahan semester 1 bermula. Terlalu cepat masa berlalu..sehingga Maya merasakan banyak kerja seharian sama ada di sekolah atau rumah yang masih lagi tertangguh. Ada kalanya cuti seakan tidak bercuti bila memikirkan banyak perkara yang perlu diselesaikan. Rutin ke sekolah seperti biasa walaupun hari cuti. Nasib baiklah keluarga memahami dan sentiasa menyokong.
Keinginan untuk berkarya adakalanya begitu meluap-luap namun semuanya tergantung begitu sahaja bila memikirkan banyak perkara lain yang lebih penting untuk Maya selesaikan. Maya sering berharap akan tiba masanya Maya dapat berkarya dalam suasana yang cukup santai..
Lusa Maya akan balik ke kampung halaman Maya di Johor kerana ingin menziarahi adik Maya yang sedang sakit. Semalam Maya mendapat berita dari kakak di sana tentang kesihatan adik Maya yang sering terganggu akibat serangan jantung yang sering dia alami kebelakangan ini. Walaupun keadaannya beransur pulih namun Maya rasa bersalah jika tidak meluangkan masa bertanya khabar atas alasan kesibukan bekerja.
Maya dan keluarga hanya mampu mendoakan adik Maya semoga cepat sihat dan sembuh serta dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. InsyaAllah..
Rutin Kehidupan
Posted by Maya at Thursday, March 21, 2013 0 comments
Labels: UMUM
Membazir Bila Diberi Percuma?
Kelmarin Maya dikejutkan dengan suara bising-bising di kantin. Apa yang berlaku di sana? Maya segera bergegas ke sana untuk meninjau dengan lebih dekat. "Cikgu Maya..tolonglah saya", seketika ittu juga makcik kantin menyebut nama saya dalam situasi yang saya sendiri masih kebingungan. "Apa kenanya ni..?", saya memandang wajah beberapa orang pelajar di situ berserta dengan makcik kantin sekolah. "Cikgu tengoklah ni..habis makanan RMT ( Rancangan Makanan Tambahan yang diberikan percuma setiap hari pada yang layak ) dibuang tanpa dimakan. Sedih saya tengok cikgu..", Kak Siah pengusaha kantin meluahkan rasa kesalnya. Airmatanya turut mengalir..mungkin memikirkan penat lelahnya seakan tidak dihargai oleh pelajar-pelajar yang terlibat. "Tak apalah Kak Siah, nanti saya uruskan hal ini..saya akan siasat perkara ini", saya cuba meredakan keadaan dan tidak mahu perkara tersebut berlanjutan di situ. "Awak semua tunggu di pusat sumber sekarang..banyak yang ingin cikgu tanyakan", saya segera mengarahkan mereka beredar dari situ dengan segera.
"Betul kamu buang makanan RMT tadi? Cikgu mahu setiap orang jawap dengan jujur", saya memandang tepat ke wajah setiap pelajar yang terlibat dengan rasa geram dan tidak puas hati. Sudahlah diberi makan percuma, memilih pulak..tak tahu bersyukur langsung.., gerutu hati kecil saya agak kesal dengan situasi yang berlaku itu. Ini merupakan kali kedua saya menerima laporan sedemikian dan masih melibatkan murid-murid yang sama seramai 4-5 orang. Sebagai guru yang terlibat secara langsung dalam pemilihan mereka yang layak menerima RMT ini,pastinya saya rasa bersalah jika pemilihan yang dilakukan tersilap sehingga mereka yang benar-benar layak gagal, sedangkan mereka yang tidak layak pula mendapatnya kerana pemilihan berdasarkan maklumat atas kertas sahaja.
Semua mengaku melakukannya atas alasan tidak sedap, kenyang dan kurang berminat dengan menu yang disediakan pada hari itu. Alasan yang masih sama dengan kes terdahulu berulang kembali walaupun menu yang disediakan telah diubah atas persetujuan bersama pelajar-pelajar yang terlibat itu. 'Demand' sungguh budak-budak ni.. Alasan yang saya tidak boleh terima pada kali ini. Saya perlu memanggil ibubapa dan penjaga yang terlibat untuk berbincang sama ada anak mereka perlu atau tidak RMT ini. Saya tidak mahu pembaziran sebegini terus berlaku dan menjadi ikutan pelajar-pelajar lain. Saya memberi amaran kali terakhir, jika ada laporan yang sama, RMT mereka akan ditarik balik dengan serta merta setelah mendapat persetujuan penjaga mereka.
Betapa mewahnya hidup kita jika dibandingkan dengan kanak-kanak di negara lain, perkara tersebut sering saya ulang-ulang bila berpeluang membicarakan topik pembaziran makanan. Di sini saya sisipkan tentang kehidupan segelintir masyarakat Kemboja yang makan sampah untuk meneruskan kelangsungan hidup. Semoga menjadi iktibar buat kita dan sentiasa menghargai serta bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan kepada kita.
Posted by Maya at Thursday, March 21, 2013 0 comments
Labels: UMUM
Kenali Anak-anak Kita
Alhamdulillah...bersyukur ke hadrat Allah S.W.T atas limpah kurnia yang diberikan pada hambaNya. Rasanya belum terlambat untuk Maya mengucapkan tahniah pada anak Maya 'gurl' kerana berjaya memperoleh 'straight 8A's dalam PMR yang lalu. Terima kasih kerana membanggakan mama dan papa.
Di dalam hati sebenarnya tercuit sedikit rasa bersalah kerana sepanjang tahun 2012, Maya jarang dapat meluangkan masa untuk anak..dan bergantung sepenuhnya pada keupayaan diri dia sendiri di sekolah di samping kelas tuisyen yang diikuti. Kesibukan tugas adakalanya membuat kita alpa dan mengabaikan anak sendiri..Alhamdulillah..anak sangat berdikari dan memahami kesibukan mama dan papanya.
Maya bertuah kerana dianugerahkan anak yang agak geliga otaknya. Ini terbukti sejak 'gurl' di sekolah rendah ( sekolah cina ). Dia memperoleh 'straight 7 A's dalam UPSR ( tambahan 2 subjek pemahaman dan penulisan Bahasa Cina ). Jika melihat cara dia study, Maya pun risau..sangat releks. Begitu juga ketika PMR..dia langsung tidak menunjukkan rasa stress atau risau..ulangkaji hanya di kelas tuisyen sahaja. Namun Maya diberitahu oleh guru-gurunya, dia sangat fokus di dalam kelas ketika belajar..mungkin itulah kelebihannya mudah mengingat apa saja yang diajar oleh guru di dalam kelas.
Maya juga sering mengingatkan hal ini kepada anak-anak di sekolah, jika 100% tumpuan dan perhatian diberikan di dalam kelas semasa guru mengajar, tidak perlu lagi ibu bapa menghantar anak ke kelas tuisyen. Sudah memadai kerana apa yang disampaikan oleh guru-guru di sekolah sebenarnya cukup lengkap mengikut silibus berbanding mereka ke kelas tuisyen berbayar yang adakalanya pakai tangkap muat sahaja ( bukan semua..) Mungkin disebabkan kelas itu berbayar, maka anak-anak dan ibu bapa lebih memberatkan kelas tuisyen tersebut.
Kenali kelebihan dan kelemahan anak-anak kita, pasti ada jalan untuk kita sama-sama berganding bahu meningkatkan kebolehannya..Apa guna membazir wang jika kita sendiri tahu anak berada di tahap yang agak lemah..Anak-anak seperti itu memerlukan bimbingan yang berbeza dan pastinya tidak sesuai mengikuti kelas tuisyen biasa..Jangan kerana anak orang lain ke kelas tuisyen terkenal, kita juga ingin menunjuk-nunjuk kita juga mampu..Sudahlah anak lemah..dibebani pula dengan kelas tuisyen yang mereka tidak mampu mengikutinya, hasilnya pasti anak-anak semakin bosan untuk belajar..dan sikap tidak minat ini akan terbawa-bawa ke sekolah dengan tidak memberi perhatian apa yang diajar oleh guru.
InsyaAllah..jika ada jalinan serta kesinambungan antara guru-guru yang mengajar dengan bimbingan serta perhatian ibu bapa di rumah, Maya amat yakin anak-anak akan lebih fokus dan sentiasa berazam untuk berjaya..
Posted by Maya at Friday, February 15, 2013 0 comments
Labels: UMUM
Momokan..
Ketika usia semakin menginjak ke separuh abad, ketika melihat anak-anak kecil bekejaran.. kita seringkali terkenang masa-masa kecil dulu. Terkenang macam macam perkara yang kelakar, pelik,
seronok, menakutkan, sedih dan macam macam lagi yang
pernah terjadi dalam hidup kita semua. Baiklah untuk kali ini saya ingin berkongsi memori indah yang masih terpahat dalam kenangan..
Mungkin ada antara teman-teman yang melalui situasi sebegini. Masa kecil dulu, ibu bapa Maya mesti marah tiap kali Maya ber'aku', 'kau' dengan
kawan- kawan. Kawan -kawan Maya pun kata" mak saya katakan, kalau kita cakap 'aku' nanti kita jadik hantu paku
tau" . Dengan muka yang serius..Disebabkan ayat sebegitu sering diulang-ulang maka Maya pun percaya sajalah kerana mak dia yang beritahu perkara itu.
Masakan orang dewasa mahu menipu. Mereka juga yang menasihati kita
supaya jangan menipu kerana menipu itu berdosa..
Jenuh juga Maya cuba membayangkan macamanalah rupa hantu paku itu masa tu..Masa berlalu..dan disebabkan momokan sedemikian maka kami sentiasa berwaspada apabila bercakap antara satu sama lain. Mungkin sebab itu agaknya anak-anak yang dilahirkan di zaman retro lebih sopan bila berbicara :) . Walaupun satu penipuan..kerana sehingga kini tidak terbukti hantu paku itu wujud..namun kesan positif dari momokan sedemikian yang harus kita lihat.
Mungkin momokan sedemikian tidak sesuai dilakukan pada masa kini..sebabnya mudah..terlalu banyak hantu yang boleh dilihat oleh anak-anak kita di televisyen..setakat hantu paku apalah sangat..
Hantu Kak Limah Balik Kampung pun mereka tergelak je...
Posted by Maya at Wednesday, December 05, 2012 0 comments
Labels: KENANGAN
Kembali Lagi..
Setelah berbulan-bulan lamanya saya tidak berblog.. banyak
alasan yang tidak penting, akhirnya saya cuba mulakan lagi. Terasa janggal ketika
memulakannya, seperti pertama kali berblog..
Sudah terlalu banyak
peristiwa yang sudah saya lalui dan tidak sempat saya ceritakan di sini.
Entah sudah berapa banyak idea yang terpaksa diperap dan berkarat
lantaran alasan-alasan tak penting itu. Saya berusaha memulakan lagi.
Dalam
momen cuti sekolah yang panjang ini, dengan segala kejernihan hati , saya meminta maaf buat
teman-teman yang selalu mendukung dan memberi dorongan dan buat rakan-rakan blogger yang saban hari berkunjung untuk mendapatkan hal yang itu-itu saja.
Posted by Maya at Wednesday, December 05, 2012 0 comments
Labels: UMUM












