About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Syair Lama

Dengan bismillah permulaan warkat
Diambil kertas kalam diangkat
Pena dan tinta jadi serikat
Menyampaikan hakikat dengan hasrat

Pena menyelam dawat menyambut
Terbentang kertas putih umbut
Kalam menari kata disebut
Jejak terbentang sebagai rambut

Awal mulanya surat direka
Kenangan menyerang tidak berjangka
Siang malam segenap ketika
Wajah tuan rasa di muka

Surat inilah pengganti diri
Datang menjelang muda bestari
Duduk berbincang berperi-peri
Melepas rindu hati sanubari
(karya Sabaruddin Ahmad)

Perlulah Bersabar

Semalam terdapat satu kumpulan
Kebanyakan mereka adalah perempuan
Mereka membeli sayur dan ikan
Kemudian berbeka pelbagai bualan

Aku datang mereka terpesona
Kerana dah lama tidak berjumpa
Bertanyakan khabar pergi ke mana
Tegal tak tahu aku merana

Banyak yang terperanjat setelah tahu
Dilanda motor seminggu dulu
Sekarang dah pulih di rumah terpaku
Membuat kerja setakat termampu

Ada antaranya menceritakan kisah
Kedudukannya sekarang sudah mewah
Berumah batu amatlah indah
Katanya pada ku ada yang marah

Rumahnya dilontari dengan batu
Taklah diketahui siapa pelutu (pelontar)
Tingkapnya pecah jadi abu
Kesedihan dirinya akulah tahu

Aku nasihati supaya bersabar
Tetapkan hati banyakkan Astaghfar
Iman usah dibiarkan bergegar
Sebilang waktu sujudlah ke tikar

Sedialah bersyukur apa yang terjadi
Qada dan Qadar ketentuan Illahi
Datangnya tidak kita ketahui
Cuma ikhtiar cuba dijalani

Kekal bersyukur jadi pegangan
Nikmat Tuhan dapat berterusan
Kalau tidak rosaklah iman
Mungkin iblis mengambil kesempatan

Bila iblis telah masuk
Kurang iman diri pun tunduk
Tersesatlah jalan langkah terperosok
Dunia Akhirat tak senang duduk

Buat menolak ajakan syaitan
Berkumpul berjemaah pasti digalakkan
Nasihat yang baik mesti dengarkan
Usah abaikan membaca Quran

Apatah lagi ada ketikanya
Ceramah agama diadakan pula
Bawalah diri turut bersama
Mungkin pengajaran dapat di sana

Sepanjang masa dilupa jangan
Yang maha berkuasa menghidup mematikan
Iringi doa hidayahnya diharapkan
Kekal ibadat teguh iman

Siapa Aku?

Dunia tersentak
Parah
Keping-keping hati hancur
Melihat kedurjanaan semakin berleluasa
Tidak beragamakah?
Tidak beradatkah?
Dia zuriatmu..
Dia lahir dari rahimmu..
Aku bukan binatang
Binatang pun sayangkan anak
Aku bukan sampah
Aku tidak minta dilahirkan
Mengapa ini terjadi?
Sudah hilangkah akal yang waras?
Dosa demi dosa ...
Noda terpalit atas nama kemodenan
Generasi alpa semakin panjang
Kebingungan
Kekeliruan
Dalam mencari identiti diri...
Siapa aku?


Hasil Nukilan : Maya Kirana
( Idea ini tercetus apabila saya berhadapan dengan maklumat pelajar yang gagal diketahui identiti ibu atau bapanya...)

Permainan Konda-kondi


Konda-kondi juga dikenali sebagai Perik Mata memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika memikir arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan. Permainan ini memerlukan kawasan lapang.

Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil berukuran, l5cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang.

Undian secara 'wan to som' dijalankan bagi membentuk pasukan dan menetapkan pasukan mana yang harus memainkan terlebih dahulu.

Permainan Pertama
Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang sementara itu, ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang.

Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata.

Permainan Kedua

Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara, kemudian memukulnya kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat.

Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika tidak berjaya. Pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.

Permainan Ketiga
Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan melentik ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah, dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu mengiranya dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai mata tertinggi memenangi perlawanan ini.

Permainan Teng-teng

Permainan ini juga dikenali sebagai Ketinting. Kanak-kanak perempuan sering memainkan permainan ini daripada kanak-kanak lelaki. Ini mungkin disebabkan permainan yang tidak begitu lasak serta memerlukan tenaga yang banyak dan ianya memerlukan pemerhatian di gelanggang yang agak kecil sahaja.


Di kampong-kampong gelanggang di buat dengan mengoreskan garisan di atas tanah sahaja, tetapi lain keadaannya pula dengan kanak-kanak yang berada di kawasan taman perumahan atau dikawasan pekan yang tiada halaman bertanah. Mereka akan menggunakan kapur tulis tepung atau apa sahaja yang dapat dilukiskan di atas jalan bertar.


Teng teng dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak terdiri dari dua hingga empat orang setiap gelanggang, tiada peraturan tetap dengan jumlah pemain bagi setiap gelanggang. Sekiranya melebihi dari empat pemain dalam satu gelanggang, ianya akan mendatangkan kesukaran bagi setiap pemain untuk berteng teng.


Gelanggang & Gundu
Gelanggang teng teng hanya dilukiskan petak-petak di atas tanah sahaja. Terdapat sembilan petak-petak kosong bagi satu gelanggang. Permainan dijalankan mengikut urutan seperti rajah di bawah.



Gelangang Teng Teng
Selain daripada gelanggang, gundu adalah juga sebagai perkakasan penting yang dimainkan bersama. Gundu atau buah ialah objek berbentuk leper sebesar separuh tapak tangan yang diperbuat daripada apa sahaja, seperti pecahan pinggan, kepingan besi atau batu yang leper.


Gundu ini adalah sebagai tanda bagi para pemain untuk mengerakkan kedudukan mereka di petak-petak gelangang.

Permainan Galah Panjang

Permainan tradisional yang dimainkan diluar rumah. Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak sahaja tetapi sebagai pertunjukan di pesta-pesta kebudayaan kadangkala dipertontonkan untuk pelancong oleh golongan dewasa.

Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan. Terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja.

Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya adalah sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu disepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang. Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang.

Sebelum permainan dimulakan undian secara wan tu som dijalankan oleh kedua-dua ketua pasukan. Siapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang. Penetapan pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, samada hanya dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.

Gelanggang Permainan

Galah Panjang

Kawasan permainan yang sederhana luas diperlukan, samada di atas tanah, kawasan bertar atau bersimin dan di atas padang. Tiada ukuran khas penetapan yang perlu dipatuhi, tetapi dianggarkan antara enam hingga lapan meter lebar dan jarak bagi setiap garisan lintang gelanggang antara tiga hingga empat meter. Jumlah garisan lintang bagi awak-awak tidak terhad, ia mengikut jumlah pemain bagi setiap pasukan.

Sebagai penanda garisan, akan digunakan tepung atau tali jika dimainkan di atas padang. Cat juga boleh digunakan sekiranya gelanggang simin. Tetapi kebanyakan kanak-kanak akan melorekkan garisan tersebut di atas tanah sahaja.

Kenangan Bersyair...

Setiap kali saya mengajar topik yang bertemakan puisi iaitu syair, setiap kali itu jugalah saya akan terkenang kembali sebuah buku syair lama yang menjadi koleksi bacaan almarhum ayah saya. Semasa saya kecil, ayah sering membacakan syair tersebut kepada saya. Walaupun suara ayah saya tidaklah sebegitu merdu seperi suara Jamal Abdillah..namun cerita yang terkandung dalam bait-bait syair tersebut amat saya suka. Apabila saya sudah boleh membaca, saya sentiasa mengulang-ulang syair tersebut sehingga ada waktunya kakak-kakak mentertawakan saya kerana lenggok syair saya yang ke laut... kata anak-anak sekarang.

Mulai saat saya dapat menguasai syair tersebut, hanya itulah satu-satunya syair yang akan saya sampaikan apabila ada pertandingan di sekolah. Alhamdulillah,keputusan juri biasanya memihak kepada saya...Syair itu mudah dan sesuai untuk pelajar-pelajar sekolah rendah. Selama saya mengajar pun saya sering menjadikan syair tersebut sebagai contoh.

Berikut antara bait-bait yang terdapat dalam syair tersebut:-

Ada kononya suatu masa,
Semua binatang boleh berbahasa,
Baik di hutan atau di desa,
Berlainan puak atau sebangsa...

Tersebutlah kisah suatu hari,
Seekor arnab berlari-lari,
Mencari makan ke sana ke mari,
Untuk ke perluan diri sendiri...

Tibalah ia di sebuah padang,
Seekor kura-kura dia terpandang,
Badannya bulat seperti gendang,
Sedang merangkak menuju ke ladang...

Kepada kura-kura arnab berkata,
Aduhai kura-kura binatang leta,
Mengapa merayap seperti sebuta,
Memalukan kaum kita semata...

Wahai arnab yang bongkak sombong,
Mengapa bercakap tinggi melambung,
Kalau berani mari bersabung,
Siapakalah dialah tanggung....

Itulah sebahagian daripada syair tersebut. Mudah difahami dan mengandungi banyak pengajaran di dalamnya.