About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mutiara Kata Pendidik

Guru yang paling baik ialah guru yang paling banyak belajar daripada muridnya
Jean Le Borson

Mendidik tidak bererti mengajar orang akan apa yang mereka tidak ketahui tetapi mendidik ialah suatu pekerjaan yang memakan hati, perlu dilakukan terus-menerus, sangat sulit dan perlu dilaksanakan dengan ramah-tamah, pengawasan, peringatan, perintah dan yang paling utama ialah memberi teladan.
John Ruskin

Pendidikan adalah soal kecintaan, kesabaran dan kebijaksanaan.Kebijaksanaan dan kesabaran berkembang apabila didukung oleh kecintaan.
Jean Lightheart

Cerita Dongeng Masyarakat Melayu

Dongeng Melayu ialah cerita rekaan bertujuan sebagai bahan pengajaran kepada kanak-kanak dengan perspektif yang positif dan juga membantu ibu bapa mendidikan anak-anak mereka dengan sopan-santun dan juga adat resam. Dongeng Melayu pada zaman sekarang telah dibukukan kepada buku cerita kanak-kanak pra-sekolah. Maksud dan erti dalam pengajaran kandungan Dongeng Melayu juga menjadi bahan didikan kanak-kanak pada usia kecil lagi.

 Pengajaran :

  • Kisah mengenai jangan menderhaka kepada ibu dan bapa. Kisah-kisah bercorak sedemikian seperti Nakoda Tanggang/Si Tenggang (Malaysia), Nakoda Malim Kundang (Minangkabau/ Indonesia) dan Nakhoda Manis (Brunei); menunjukan si anak yang di jaga dari kecil tetapi menderhaka kepada ibubapanya. dan cerita ini mengajar supaya anak-anak zaman sekarang lebih hormat kepada ibubapa.
  • Bawang Putih Bawang Merah - menceritakan dua orang anak perempuan sama bapa dan berlainan ibu, Putih, anak perempuan yang bersikap lemah-lembut dan bersopan-santun kepada orang tua dan Merah, anak perempuan yang bersikap kurang ajar dan tiada sopan-santun. Cerita ini mengajar supaya anak-anak sekarang bersabar apabila menghadapi rintangan, lebih menghormati orang tua dan tidak tamakkan harta. Selain itu, cerita ini turut mengajar bahawa perbuatan jahat akan dibalas jahat.
  • Ada juga cerita tengtang kehidupan binatang seperti sang kancil yang cerdik samaada ketika melepaskan diri dari [diburu][1]oleh pemangsanya,memberi buah fikiran dan sentiasa bijak menyelesaikan masalah.

Pantun Teka Teki 2

Burung nuri burung dara,
Terbang ke sisi taman kayangan;
Cubalah cari cubalah teka,
Makin diisi makin ringan.

Beras ladang sulung tahun,
Malam-malam masak nasi;
Dalam batang ada daun,
Dalam daun ada isi.

Diukur dijangka-jangka,
Burung merak burung angkasa;
Dengar tuan saya meneka,
Layang-layang gagah perkasa.

Buah budi bidara mengkal,
Masak sebiji di tepi pantai;
Hilang budi bicara akal,
Buah apa tidak bertangkai?

Terendak Bentan baru dibeli,
Untuk pakaian turun ke sawah;
Kalau tuan bijak bistari,
Apa binatang kepala di kaki.

Kalau ada tombak kencana,
Gunung Daik boleh didaki;
Kalau tuan bijak laksana,
Apa binatang keris di kaki?

Kalau tuan muda teruna,
Pakai seluar dengan gayanya;
Kalau tuan bijak laksana,
Biji di luar apa buahnya?

Kalau tuan bawa keladi,
Bawa juga si pucuk rebung;
Kalau tuan bijak bestari,
Apa binatang tanduk di hidung.

Ada ikan masak gulai,
Bulan terang pagi hari;
Kalau tuan bijak pandai,
Apa binatang keris di kaki.

Tugal padi jangan bertangguh,
Kunyit kebun siapa galinya;
Kalau tuan cerdik sungguh,
Langgit tergantung mana talinya?

Kalau tuan pergi ke kedai,
Belikan saya si gula batu;
Kalau tuan orang yang pandai,
Apa binatang tulangnya satu?

Budak-budak ramai di pekan,
Hari raya membakar petas;
Kalau tuan pandai kiasan,
Apakah buah gugur ke atas?

Tanjung Rambutan tanahnya landai,
Tempat bertanam padi pulut;
Kalau tuan sungguhnya pandai,
Apa binatang berkeris di mulut?

Belayar perahu dari Berandan,
Menuju arah Selat Melaka;
Lebar kepala dari badan,
Apakah itu cubalah teka.

Walau dibungkus bukan kiriman,
Sudah takdir tuhan yang satu;
Meski ditanam bukan tanaman,
Cubalah teka apakah itu?

Tarian Zapin

image
Salah satu bentuk tarian pergaulan masyarakat Melayu yang masih utuh dan popular dewasa ini ialah tari zapin. Dari perspektif sejarah perkembangannya tarian zapin telah menular luas di kalangan penggemar senitari di Malaysia ini telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya yang ternyata lebih tradisional sifatnya. Namun demikian banyak antara genre zapin tradisional ini tersebar hanya ke daerah-daerah tertentu sahaja dan salah satu daripada genre zapin tradisional yang dinamik dan anggun dikatakan masih terdapat di negeri Johor.
Di Johor zapin yang dikenali dalam dua bentuk iaitu Zapin Melayu dan Zapin Arab memperlihatkan perbezaaan dari segi unsur peradaptasiannya. Pada realiti kedua-duanya genre zapin itu berasal dari satu keseniaan masyarakat Arab yang di bawa Hadramaut. Keunikan tradisi Zapin Melayu terletak bukan sahaja pada kesatuan muzik dan peralatannya yang dipengaruhi oleh keseniaan Arab bahkan juga pada sifat segretasi penari dan penonton. Dalam konteks inilah keunikan tarian zapin begitu terserlah terutamanya pada ciri penghubungannya dengan keseniaan Islam yang dibawa oleh orang-orang Arab. Di Johor Tarian Zapin yang sudah diterima sebagai seni yang berunsur Islam yang berfungsi sebagai hiburan sama ada pada acara-acara sekular mahupun acara sambutan hari-hari kebesaran. Namun dari segi kelembutan dan kehalusan tradisi tarian itu sendiri, Zapin Melayu Johor walaupun ianya lahir dari adaptasi yang dilakukan ke atas Zapin Arab secara selektif namun tidak dapat disangkal lagi tarian zapin ini memperlihatkan lebih kehalusan dan keayuan geraknya dari Tarian Zapin Arab.
Satu hal yang menarik mengenai tarian Zapin Johor ialah keupayaan mewujudkan rasa persaudaraan penari dan pemuzik serta sifat esprik decorps yang dapat dimunculkan di kalangan mereka sekali gus mematahkan rasa malu penari-penari apabila menari di khalayak ramai. Secara simbolik gerak tari zapin ini menampakkan kepentingan usaha bersama dan bukannya usaha individu disamping meminggirkan persaingan antara pemain-pemain dalam kumpulan mahupun antara kumpulan, Ditinjau dari perspektif inilah, keunikan dan keistimewaan tarian Zapin Johor terserlah.

Dondang Sayang


Dondang Sayang merupakan nyanyian perantaraan, di mana persembahannya diiringi oleh permainan alat-alat muzik Melayu asli dan moden. Dondang Sayang dipercayai muncul di Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke 15 Masihi. Perkataan nyanyi dalam lagu Dondang Sayang adalah bermaksud pantun. Nyanyiannya akan didengar orang dengan penuh minat terletak pada kebolehan dan kecekapan para penyanyinya bersoal jawab atau berjual beli pantun. Alat-alat muzik yang mengiringi nyanyian Dondang Sayang adalah terdiri daripada sebuah biola, sebuah gong dan dua atau tiga buah rebana iaitu rebana kompang atau rebana keras. Irama gesekan biola dapat dianggap sebagai pembuka dan pengiring utama kepada nyanyian. Sementara tingkah pukulan rebana yang diselangi dengan paluan gong merupakan pelengkap lagu.

Tuhan Dilupa Jangan

Berhenti menulis sebentar tadi
Ke bilik air pergi mandi
Menyejukkan badan diriku ini
Kini bermula menulis lagi

Ilham datang tanpa keputusan
Memberi aku banyak kesempatan
Merakam mencipta untuk dibukukan
Nanti mudah untuk disimpan

Belajarlah mengenal huruf Arab
Rikaah, Parisi usah tersilap
Bila dah kenal mudah menggarap
Membaca menyelidik yang akan diharap

Tulisan Arab belajarnya leceh
Kata setengah orang pemaleh (pemalas)
Kiranya rajin taklah remeh
Tanpa usaha semuanya melopeh (melepas)

Adik kakak cuba perhatikan
Dari ruyung gula dikeluarkan
Dari batu jadi bangunan
Bergerak berusaha punca kejayaan

Itu bidalan orang tua-tua
Quran Hadis berfirman bersabda
Sebanyak usaha begitulah faedahnya
Berani menyangkal berat padahnya

Orang yang kini senang linang
Tekun berusaha malam dan siang
Ada kalanya jalannya terhalang
Berani mereka berdepan menentang

Jalan terhalang itulah cabaran
Di mana berjuang perlukan kesabaran
Di sana Tuhan dilupa jangan
Di bawah payungnya minta lindungan

Lindungan Tuhan perlu sentiasa
Di mana tegak kita berada
Kiranya itu tidak berserta
Usah diharap kejayaan menerpa

Ada antaranya mendapatkan rezeki
Menyamun merompak mencilut (kebas) mencuri
Ada yang dapat banyak sekali
Selamatnya diri taklah bererti

Harta terkumpul demikian laku
Di dunia puas kehendak lalu
Di Akhirat sama seperti batu
Umpan Neraka kekal di situ

Terlarang jelas kat orang beriman
Melakukan asi sepanjang zaman
Disuruh taat kepada Tuhan
Beramal beribadat teguhkan kepercayaan

Harapan kita sejak di dunia
Selamat sentosa sepanjang masa
Hingga ke Akhirat demikian hendaknya
kekal bahagia di dalam syurga

Tarian Makyong

Makyong ialah satu tarian drama Melayu tertua yang berasal dari negeri Siam. Tarian ini dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh bangsa Melayu, terutamanya ke negeri Kelantan, Terengganu, dan Kedah.Pada asalnya, Makyong hanya dipersembahan di istana sahaja.

Alat muziknya dipengaruhi oleh alat mizik lama, seperti rebab iaitu sejenis perkakas alat muzik yang memakai tiga utas tali yang digesek seperti biola, tetapi bezanya ia mempunyai ukiran dan dicat dengan warna-warni yang merupakan percampuran kesenian Siam dengan Melayu. Gendang, geduk, gedombak, celempong, gong dan sepasang buluh yang panjangnya sekira-kira 18 inchi untuk tempoh irama dalam lahu Makyong ini ikut sama dalam tarian itu.

Dalam satu pasukan Makyong adalah mengandungi kira-kira 20 orang lelaki dan perempuan termasuk ahli seni bunyian dan serombnongan penari perempuan yang digelar "Jong Dondang". segala jalan cerita dilakonkan itu bukanlah dengan bertulis tetapi dijalan dengan berhafal.

Cerita yang dilakukan oleh Makyong berasaskan cerita dongeng da khayalan, cerita jin dan mambang, dan sebagainya. Jarang sekali mengupas cerita kehidupan masyarakat di sekelilingnya.

Permainan Congkak

Permainan congkak memerlukan dua orang pemain. Papan congkak dipernuat dari kayu yang berukuran 80cm panjang dan 18 cm lebar. Kadang-kadang papan congkak ini diukur dengan ukiran yang indah.
Papan congkak mengandungi 14 libang yang dipanggil "kampung". Terdapat dua lubang besar di setiap hujung papan congkak. Lubang ini dipanggil "rumah". Permainan ini sangat digemari oleh kanak-kanak perempuan dan juga oleh wanita .

Cara bermain ialah;
Pusingan pertama:

(a) Kedua-dua pemain memulakan permainan serentak dengan memasukkan sebiji "buah" ke dalam setiap "kampung" sendiri dan


seterusnya masukkan ke dalam "rumah". Seterusnya "buah" hendaklah dimasukkan ke dalam "kampung" lawannya. Jika ia singgah di kampung lawan yang tidak ada buah ia dikira mati.
(b) Jika buah terakhir singgah di kampung lawan yang mempunyai buah, maka ia boleh meneruskan permainan.
(c) Jika ia mati di kampung sendiri, bertentangan dengan kampung lawan yang mempunyai buah, ia berhak mengambil buah lawannya itu.
(d) Sekiranya ia mati di kampung sendiri setelah melalui kampung lawan dan didapati di kampung lawan tidak ada buah, maka ia mati dalam kerugian.
(e) Di akhir permainan buah hanya tinggal beberapa biji sahaja dalam kampung masing-m,asing. Mereka dikehendaki berjalan tapak secara serentak menuju ke arah rumah masing-masing. Sekiranya salah seorang kehabisan buah dalam kampung ianya dikira kalah.

Pusingan kedua:
(a) Kedua-dua pemain mengisikan buah semula ke dalam kampungnya.
(b) Jika didapati seorang itu kekurangan buah, kampung yang kurang itu dianggap "terbakar".

Wau atau Layang-layang

 Permainan layang-layang atau wau amat digemari oleh penduduk-penduduk kampung. Permainan ini dimainkan semenjak lebih 500 tahun yang lalu. Wau masih digemari dan dimainkan di kawasan-kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Musim bermain wau adalah buluh yang diraut halus yang ditampalkan dengan kertas berwarna mengikut bentuk rangka.
Wau bukan sahaja dimainkan tetapi dipertandingkan yang dititikberatkan ialah kecantikan rupa, kemerduan bunyi dan tinggi serta keindahan naiknya.

Ada beberapa rahsia bagi mengawal wau di udara. Rahsia-rahsia itu akan difahami hanya apbila kita sendiri berdepan dengan masalah dalam menaikkan wau.
Seseorang pemain yang berpengalaman akan cepat bertindak apabila waunya membuat ragam di udara. Kebolehan dan kecekapan bertindak dengan cara-cara yang tersendiri membuktikan keupayaan seseorang pemain wau itu menghadapi cabaran dan mengatasi dengan tenang.

Cara Membuat Wau
Perlu sediakan rangka wau daripada buluh semasa mula-mula membuat wau. Buluh ibi perlu diraut. Selepas itu, tiga lapis kertas nipis dipasang di sayap wau itu. Kertas-kertas itu dilorek dengan bentuk bunga, daun, atau awan larat. Kemudian kertas-kertas itu ditebuk mengikut bentuk-bentuk ini.
Kertas yang telah ditebuk dilekatkan pada rangka wau. Kadang-kadang terdapat jambul yang berjurai-jurai di kepala dan di sebelah kiri kanan sayap wau itu. Jambul ini dibuat daripada kertas nipis berkilat.

Permainan Gasing

Permainan gasing memerlukan kebolehan yang tinggi. Ia dimainkan di merata-rata tempat di negara ini. Gasing yang besar amat popular di Kelantan dan Terengganu. Ia dimainkan selepas musim menuai.

Di pantai Barat Semenanjung gasing yang dimainkan adalah dari jenis yang kecil yang mempunyai banyak bentuk.
Terdapat dua pasukan yang dianggotai oleh empat orang bagi setiap kumpulan. Pasukan ini terdiri daripada pasukan pemusing dan pasukan pemangkah. Pemusing akan
memusingkan empat buah gasing dalam bulatan. Pasukan pemangkah pula akan cuba memangkah dan mematikan gasing lawannya. Pasukan itu akan terus memangkah sekiranya tidak melanggar undang-undang permainan. Sekiranya pihak pemangkah melanggar undang-undang permainan maka ia pula akan menjadi pemusing.
Markah sebanyak dua mata akan diberikan kepada setiap pemusing yang berjaya memangkah. Pasukan yang memperolehi mata yang terbanyak dalam masa 40 minit akan menjuarai pertandingan itu.