About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sang Kancil Dengan Kerbau

Pada suatu hari ada seekor kerbau jantan hendak minum air. Kerbau itu berjalan melalui satu lorong menuju ke sungai. Sungai itu agak luas. Airnya cetek aja, jenih dan sejuk. Kerbau itu mengharung air. Air itu hanya setakat lutut sahaja. Kerbau itu menuju ke tengah-tengah sungai kerana air di bahagian tengah sungai lagi jernih. Ketika menghirup air, kerbau terdengar sesuatu di tepi sungai. Kerbau merenung ke arah uara itu. Kerbau ternampak air terhambur naik di tebing sungai.

"Tolong! Tolong! Tolong aku, kerbau!" tiba-tiba terdengar suara dari tepi sungai dekat rimbunan buluh. Kerbau cuba memerhati dan meneliti suara itu. Kerbau ternampak sesuatu berbalam-balam dari jauh seperti batang kelapa ditindih sebatang kayu. Suara meminta tolong terus bergema. Merayu-rayu bunyinya. Kerbau mendekati suara itu. Rupa-rupanya ada seekor buaya ditindih oleh pokok kayu, betul-betul di tengah belakangnya.Oh, buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau. "Tolong aku, kerbau! Aku ditimpa oleh pokok yang tumbang. Aku tidak boleh bergerak. Berat sungguh batang kayu ini," jawab buaya. Kerbau kasihan melihat buaya. Kerbau cuba mengangkat kayu itu dengan tanduknya. Apabila batang kayu terangkat, buaya cepat-cepat melepaskan dirinya. Sebaik-baik sahaja kerbau menghumban kayu itu ke bawah, buaya segera menangkapnya.

"Eh, buaya! Kenapa ini?" tanya kerbau apabila dirasai kakinya digigit buaya. "Aku hendak makan kau. Hari ini kau menjadi rezeki aku," jelas buaya sambil menggigit lebih kuat lagi. "Kaulah binatang yang amat jahat dalam dunia ini. Tidak tahu membalas budi. Orang berbuat baik, kau balas jahat," kata kerbau.

"Sepatutnya buat baik dibalas baik. Buat jahat dibalas jahat," sambung kerbau lagi. "Aku tidak peduli," jawab buaya. Kerbau cuba menanduk buaya tetapi buaya menguatkan lagi gigitannya. Kerbau tidak mampu melepaskan diri kerana berada dalam air. Kalau buaya menariknya ke bawah tentulah ia akan lemas. Kerbau merayu supaya buaya tidak membunuhnya. "Janganlah bunuh aku, buaya! Aku pun mahu hidup. Kau makanlah benda lain," kerbau merayu. Tetapi buaya tetap tidak peduli. "Aku boleh melepaskan kau tetapi dengan satu syarat," kata buaya. "Apakah syaratnya?" tanya kerbau. "Kita cuba dapatkan jawapan, betul atau tidak bahawa berbuat baik dibalas baik? Kita tanya apa-apa yang lalu di sini," ujar buaya. "Kalau jawapannya sama sebanyak tiga kali, aku akan bebaskan kau," ujar buaya lagi.

Kerbau bersetuju dengan syarat yang dicadangkan oleh buaya. Mereka bersama-sama menunggu sesiapa sahaja yang lalu atau yang hanyut di dalam sungai itu. Tiba-tiba mereka ternampak sebuah saji yang buruk hanyut. Buaya pun bertanya pada saji. "Saji, betulkah berbuat baik dibalas baik?" tanya buaya. "Tidak betul. Berbuat baik dibalas jahat," jawab saji. Saji menceritakan kisah hidupnya. "Di rumah, aku digunakan untuk menutup makanan. Nasi, lauk, kuih, dan apa-apa sahaja aku lindungi," jelas saji. "Pendek kata, aku banyak menolong dan berbakti kepada tuan aku. Kucing dan tikus tidak boleh mencuri lauk. Aku lindungi," cerita saji. "Tetapi aku amat sedih, apabila aku buruk dan koyak, tidak berdaya lagi menutup makanan, aku dibuang ke sungai," ujar saji. "Itulah sebabnya aku berkata berbuat baik dibalas jahat," saji menamatkan ceritanya dan terus hanyut."Macam mana kerbau? Betul atau tidak apa yang aku kata?" tanya buaya. Kerbau berdiam diri kerana berasa cemas dan sedih. Kerbau berdoa di dalam hati supaya Tuhan menolongnya. "Tuhan tentu akan menolong orang yang baik," kata kerbau dalam hatinya.


Tidak lama kemudian, kelihatan sepasang kasut buruk pula hanyut di situ. Sebelah daripada kasut itu tenggelam kerana tapaknya tembus. Tetapi kasut itu bergantung kepada pasangannya dengan tali. Kedua-dua belah kasut itu bersama-sama hanyut. "Hah, itu satu lagi benda hanyut! Kita cuba tanya," kata buaya. "Kasut, betul atau tidak berbuat baik dibalas baik?" tanya buaya. Kerbau berdebar-debar menunggu jawapan kasut. Kalau kasut bersetuju dengan kenyataan itu bererti ia akan selamat. Kalau kasut berkata tidak betul, habislah riwayatnya. "Tidak betul kerana berbuat baik dibalas jahat," jawab kasut. Hancurlah harapan kerbau untuk hidup apabila mendengar kasut memberi jawapan itu. Kasut lalu bercerita.Pada suatu masa lalu, kasut amat disayangi oleh tuannya. Setiap hari kasut dibersihkan dan dikilatkan.

Apabila malam, kasut itu disimpan di tempat selamat. Kasut itu juga hanya dipakai oleh tuannya apabila pergi ke bandar sahaja. Kalau tuannya pergi ke tempat berpasir atau berlumpur, kasut itu tidak dipakainya. Tetapi apabila sudah buruk, kasut itu tidak disayangi lagi. Badannya tidak dikilatkan lagi. Kasut itu dibaling ke tepi tangga selepas digunakan. Apabila malam, kasut itu ditinggalkan di halaman rumah. Kasut itu dibiarkan berembun dan berhujan. Ketika itu juga, kasut itu menjadi tempat persembunyian katak puru untuk menangkap nyamuk. Apabila sudah terlalu buruk dan koyak, kasut itu dibuangkan ke dalam sungai. "Itulah sebabnya aku hanyut ke sini," kasut menamatkan ceritanya lalu pergi bersama-sama arus air. "Sudah dua jawapan. Engkau kalah.

Tetapi aku bagi satu peluang lagi," kata buaya. "Kalau datang yang ketiga, sama jawapannya, engkau akan menjadi habuanku," jelas buaya kepada kerbau.Ketika kerbau dan buaya menanti kedatangan benda yang ketiga, tiba-tiba datang seekor kancil hendak minum air. Kancil itu pergi ke tebing tempat buaya dan kerbau. Kancil terkejut apabila melihat buaya menggigit kaki kerbau. Kancil melihat air mata kerbau berlinang. Manakala buaya pula kelihatan bengis. "Ada apa kerbau? Kenapa buaya gigit kaki engkau?" tanya kancil. "Mujurlah engkau datang, kancil! Kami sedang menunggu hakim yang ketiga untuk mengadili kami," kata buaya. "Mengapa?" tanya kancil. "Kami bertengkar, berbuat baik adalah dibalas jahat," kata buaya. "Tetapi kenapa kamu gigit kaki kerbau?" tanya kancil. Buaya lalu bercerita mengenai dirinya yang ditindih batang kayu. Kerbau datang menolong. Tetapi buaya tidak mahu membalas perbuatan baik kerbau. Buaya menganggap kerbau itu patut menjadi rezekinya.

"Tetapi sebelum aku memberikan keputusan, aku mahu tengok kejadian asalnya," kata kancil. "Mula-mula aku kena tindih batang pokok patah. Batang pokok itu jatuh menimpa belakang aku," jawab buaya. "Boleh aku tengok macam mana pokok itu berada di atas belakang kau?" tanya Kancil. "Macam mana aku hendak tunjukkan, kerbau sudah alihkan batang kayu itu," jawab buaya. "Baiklah! Sekarang engkau pergi duduk tempat asal, tempat engkau kena tindih," ujar kancil. Buaya mengikut sahaja arahan kancil. Buaya melepaskan kaki kerbau lalu duduk dekat batang pokok. "Kerbau! Cuba engkau tunjukkan, bagaimanakah kayu itu berada di atas belakang buaya? Tunjukkan padaku, bagaimanakah caranya engkau mengangkat batang kayu itu?" kancil mengarah seperti hakim. Kerbau melakukan apa yang disuruh oleh kancil. "Cuba engkau bergerak, buaya! Bolehkah kayu itu diangkat?" kancil mengarah buaya. Buaya cuba bergerak dan mengangkat batang pokok itu tetapi tidak berdaya. "Cuba lagi, seperti engkau mula-mula kena tindih," kata kancil. "Up! Up!" bunyi suara buaya cuba mengalih batang pokok. "Kuat lagi! Kuat lagi!" seru kancil.

Buaya terus mencuba tetapi tidak berupaya melepaskan diri. Buaya cuba mengumpul kekuatan untuk mengangkat batang kayu itu, tetapi gagal. Ekornya sahaja membedal air tetapi batang kayu tetap itu tidak bergerak. Buaya sudah penat. Kerbau pula menunggu arahan kancil. "Selepas itu apakah yang terjadi?" tanya kancil. "Selepas itu aku datang menolong. Aku mengangkat batang pokok itu. Apabila buaya terlepas, ia gigit kaki aku," jawab kerbau. "Bagaimanakah cara kamu mengangkatnya?" tanya kancil. Kerbau segera mendekati batang pokok itu. Kerbau menundukkan kepala hendak engangkat batang kayu itu. "Sudah! Setakat itu dulu. Aku sudah faham. Jangan angkat kayu itu," kata kancil. "Habis itu macam mana pula dengan buaya? Tentu buaya akan mati," jawab kerbau. "Engkau ini sangat lurus dan jujur, wahai kerbau!" kata kancil. "Biarlah buaya ini mati. Kalau buaya ini hidup, engkau tentu mati. Buaya yang jahat ini patut menerima balasannya kerana tidak tahu membalas budi baik," kata kancil lalu berlari naik ke atas tebing sungai. Buaya bertempik apabila mendengar kata-kata kancil. Buaya tahu ia sudah kena tipu. Buaya membedal ekornya dengan sekuat-kuat hatinya. Air sungai melambung naik. Kerbau segera melompat lalu berlari naik ke atas tebing mengikut kancil. "Jaga, kancil! Kautipu aku. Ingat, kancil! Aku akan makan kau," pekik buaya. Namun, kancil dan kerbau tidak mempedulikan buaya lagi. Kerbau mengucapkan terima kasih kepada kancil. Kedatangan kancil ke tebing sungai itu telah menyelamatkan nyawanya. Buaya sudah menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan jahatnya itu.

"Engkau ini sangat lurus dan jujur, wahai kerbau!" kata kancil. "Biarlah buaya ini mati. Kalau buaya ini hidup, engkau tentu mati. Buaya yang jahat ini patut menerima balasannya kerana tidak tahu membalas budi baik," kata kancil lalu berlari naik ke atas tebing sungai. Buaya bertempik apabila mendengar kata-kata kancil. Buaya tahu ia sudah kena tipu. Buaya membedal ekornya dengan sekuat-kuat hatinya. Air sungai melambung naik. Kerbau segera melompat lalu berlari naik ke atas tebing mengikut kancil. "Jaga, kancil! Kautipu aku. Ingat, kancil! Aku akan makan kau," pekik buaya. Namun, kancil dan kerbau tidak mempedulikan buaya lagi. Kerbau mengucapkan terima kasih kepada kancil. Kedatangan kancil ke tebing sungai itu telah menyelamatkan nyawanya. Buaya sudah menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan jahatnya itu.

Sang Kancil Dengan Monyet

Pada suatu pagi, Sang Kancil pergi mencari makanan. Sang Kancil ternampak sebatang pokok jambu. Sang Kancil terliur hendak makan buah jambu. Di atas pokok jambu itu, tinggal seekor monyet. Sang Kancil lalu meminta pada Sang Monyet, "Wahai Sang Monyet, berikanlah aku sebiji jambu!"

Tetapi Sang Monyet enggan memberikan buah jambu kepada Sang Kancil. "Kalau engkau mahu makan, engkau panjatlah sendiri," Sang Monyet berkata dengan sombong. Sang Kancil mendapat suatu akal. Sang Kancil membaling monyet itu dengan sebatang kayu kecil.

Apalagi! Marahlah Sang Monyet. Sang Monyet memetik beberapa biji jambu. Sang Monyet segera membaling jambu itu ke arah Sang Kancil. Namun, Sang Kancil pandai mengelak. "Ha! Ha! Ha!" Sang Kancil ketawa. Sang Kancil sangat gembira.

"Engkau kena tipu," kata Sang Kancil kepada Sang Monyet. Sang Monyet terdiam apabila mendengar Sang Kancil berkata begitu."Sekarang aku dapat makan buah jambu," ujar Sang Kancil. Sang Kancil segera makan buah jambu itu. "Pandai sungguh Sang Kancil memperdayakan aku," kata Sang Monyet di dalam hatinya. Sang Monyet berasa malu.

Sang Kancil Dengan Sang Gajah

kancil003
Bermulalah kisah pada suatu petang sang kancil yang cerdik bersiar-siar didalam hutan belantara. Sedang ia bersiar-siar tiba-tiba sang kancil telah terjatuh ke jurang yang amat dalam. Ia cuba untuk keluar berkali-kali malangnya tidak berjaya.

Setelah segala usaha yang dilakukan adalah sia-sia, sang kancil pun berfikir;
“Macam mana aku nak keluar dari lubang yang sangat dalam ini”
Setelah lama berfikir namun tiada idea yang bernas untuk sang kancil keluar dari lubang tadi, namun sang kancil tetap tidak mahu berputus asa.

Dalam kebuntuan mencari idea, sang kancil telah terdengar bunyi tapak kaki yang besar.
“Kalau bunyi tapak kaki macamni, ni tak lain, mesti gajah ni!”

Kemudian Sang Kancil mendapat satu idea yang bernas untuk menyelamatkan diri untuk keluar dari lubang.
Kemudian sang gajah yang lalu itupun menegur sang kancil;
“Eh sang kancil, tengah buat apa?” Tanya si Gajah.
“Menyelamatkan diri!”
“Dari apa?” Tanya gajah lagi.
“Dari bahaya, cuba tengok atas, langit nak runtuh, dah hitam” Balas sang kancil.
Gajah yang dungu ini pun terus mempercayai sang kancil bulat-bulat.
“Habis tu macam mana nak selamatkan diri?” Tanya si gajah.
“Masuklah sekali dalam lubang ini, kalau langit runtuh pun selamat kita dekat sini”
Tanpa berfikir panjang sang gajah pun terus melompat ke dalam lubang untuk menyelamatkan dirinya. Kemudian sang kancil pun mengambil kesempatan untuk melompat di atas badan gajah dan terus keluar dari lubang yang dalam itu.

“Haha, padan muka engkau, selamat aku” Kemudian sang kancil pun berlalu pergi meninggalkan sang gajah yang masih terpinga-pinga di dalam lubang tadi”.
………………………………………………………………..
Seronok juga bila membaca cerita kanak-kanak begini. Teringat masa kecil dulu, inilah cerita dongeng dan turun temurun yang diwarisi dari zaman berzaman. Namun bila difikirkan kembali, apa yang cuba untuk disampaikan melalui cerita ini?

Jadilah seperti sang kancil yang cerdik tapi tak baik?
Atau jadilah seperti sang gajah yang baik tapi tak cerdik?
“Orang baik tak cerdik akan ditipu, orang yang cerdik tapi tak baik akan menipu”
Jangan jadi sang kancil seperti dalam cerita tadi kerana sang kancil yang cerdik tapi tak baik telah menipu sang gajah untuk menyelamatkan diri. Juga jangan jadi seperti sang gajah kerana walaupun baik tapi tak cerdik akan ditipu.

Jadi tiada pilihan lain selain jadi orang yang cerdik dan baik kerana orang yang sebegini tidak akan ditipu juga tidak menipu. Dan pengakhiran cerita sang kancil dan sang gajah itu sepatutnya begini.
“Eh, sang kancil, tengah buat apa?” Tanya sang gajah.
“Aku terjatuh dalam lubang yang besar inilah, dah berkali-kali aku cuba untuk keluar tapi tak berjaya, bagaimana kalau engkau berjaya tolong aku untuk keluar dari sini, aku akan bagi tebu yang paling besar di dalam hutan rimba ini!” balas sang kancil

“Oh, ye ke, baiklah tapi aku nak keluarkan engkau bagaimana?”
“Cuba engkau tengok sekeliling, mana tau ada dahan kayu ke pokok tumbang ke untuk keluarkan aku dari lubang ini”
“Oh aku Nampak ada dahan kayu”

Kemudian sang gajah menggunakan kekuatannya menolak tunggul kayu dan menggunakan belalainya untuk menolak tunggul kayu ke dalam lubang.
Kemudian sang kancil pun keluar dari lubang itu dan seperti yang dijanjikan, memberikan sang gajah tebu yang paling besar dalam hutan rimba.

Seruling Sakti

Pada zaman dahulu terdapat sebuah pekan kecil yang sangat cantik terletak di kaki bukit. Pekan tersebut di kenali Hamelyn. Penduduk di pekan tersebut hidup dengan aman damai, tetapi sikap mereka tidak perihatin terhadap kebersihan. Pekan tersebut penuh dengan sampah sarap. Mereka membuang sampah di merata-rata menyebabkan pekan tersebut menjadi tempat pembiakan tikus. Semakin hari semakin banyak tikus membiak menyebabkan pekan tersebut dipebuhi oleh tikus-tikus.

Tikus-tikus berkeliaran dengan banyaknya dipekan tersebut. Setiap rumah tikus-tikus bergerak bebas tanpa perasaan takut kepada manusia. Penduduk di pekan ini cuba membela kucing untuk menghalau tikus dan ada diantara mereka memasang perangkap tetapi tidak berkesan kerana tikus terlampau banyak. Mereka sungguh susah hati dan mati akal bagaimana untuk menghapuskan tikus-tikus tersebut.

Musibah yang menimpa pekan tersebut telah tersebar luas ke pekan-pekan lain sehinggalah pada suatu hari seorang pemuda yang tidak dikenali datang ke pekan tersebut dan menawarkan khidmatnya untuk menghalau semua tikus dengan syarat penduduk pekan tersebut membayar upah atas kadar dua keping wang mas setiap orang. Penduduk di pekan tersebut berbincang sesama mereka diatas tawaran pemuda tadi. Ada diatara mereka tidak bersetuju oleh kerana mereka tidak sanggup untuk membayar upah yang sangat mahal. Setelah berbincang dengan panjang lebar akhirnya mereka bersetuju untuk membayar upah seperti yang diminta oleh pemuda itu kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain.

Keputusan tersebut dimaklumkan kepada pemuda tadi, lalu dia mengeluarkan seruling sakti dan meniupnya. Bunyi yang keluar dari seruling itu sangat merdu dan mengasik sesiapa yang mendengarnya. Tikus-tikus yang berada dimerata tempat didalam pekan tersebut mula keluar dan berkumpul mengelilinginya. Pemuda tadi berjalan perlahan-lahan sambil meniup seruling sakti dan menuju ke sebatang sungai yang jauh dari pekan tersebut. Apabila sampai ditepi sungai pemuda tadi terus masuk kedalamnya dan diikuti oleh semua tikus.Tikus-tikus tadi tidak dapat berenang didalam sungai dan semuanya mati lemas.

Kini pekan Hamelyn telah bebas daripada serangan tikus dan penduduk bersorak dengan gembiranya. Apabila pemuda tadi menuntut janjinya, penduduk tersebut enggan membayar upah yang telah dijanjikan kerana mereka mengangap kerja yang dibuat oleh pemuda tadi tidak sepadan dengan upah yang diminta kerana hanya dengan meniupkan seruling sahaja. Pemuda tadi sangat marah lalu dia menuipkan seruling saktinya sekali lagi. Irama yang keluar dari seruling itu sangat memikat hati kanak-kanak menyebabkan semua kanak-kanak berkumpul di sekelilingnya.

Satelah semua kanak-kanak berkumpul pemuda tadi berjalan sambil meniupkan seruling dan diikuti oleh semua kanak-kanak. Pemuda itu membawa kanak-kanak tersebut keluar dari pekan Hamelyn. Setelah Ibu Bapa menyedari bahawa mereka akan kehilangan anak-anak, mereka mulai merasa cemas kerana kanak-kanak telah meninggalkan mereka dan mengikuti pemuda tadi. Mereka mengejar pemuda tadi dan merayu supaya menghentikan daripada meniup seruling dan memulangkan kembali anak-anak mereka. Merka sanggup memberi semua harta benda yamg ada asalkan pemuda tersebut mengembalikan anak-anak mereka.

Rayuan penduduk tidak diendahkan oleh pemuda tadi lalu mereka membawa kanak-kanak tersebut menuju kesuatu tempat dan apabila mereka sampai disitu muncul sebuah gua dengan tiba-tiba. Pemuda tadi mesuk ke dalam gua itu dan diikuti oleh kanak-kanak. Setelah semuanya masuk tiba-tiba gua tersebut gaib dan hilang daripada pandangan penduduk pekan tersebut. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa oleh kerana mereka telah memungkiri janji yang mereka buat. Merka menyesal diatas perbuatan mereka tetapi sudah terlambat. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Sehingga hari ini penduduk pekan Hamelyn tidak melupakan kesilapan yang dilalukan oleh nenek moyang mereka. Menepati janji adalah pegangan yang kuat diamalkan oleh penduduk pekan Hamelyn sehingga hari ini.

Bangau Dengan Ketam

Pada zaman dahulu terdapat sebuah tasik yang sangat indah. Airnya sungguh jernih dan di dalamnya ditumbuhi oleh pokok-pokok teratai yang berbunga sepanjang masa. Suasana di sekitar tasik tersebut sungguh indah. Pokok-pokok yang tumbuh di sekitarnya hidup dengan subur. Banyak burung yang tinggal di kawasan sekitar tasik tersebut. Salah seekornya adalah burung bangau. Manakala di dalam tasih hidup bermacam-macam ikan dan haiwan lain. Ada ikan telapia sepat, kelah, keli, haruan dan bermacam-macam ikan lagi. Selain daripada ikan,terdapat juga ketam dan katak yang turut menghuni tasih tersebut
.
Burung bangau sangat suka tinggal di kawasan tasik tersebut kerana ia senang mencari makan. Ikan-ikan kecil di tasik tersebut sangat jinak dan mudah ditangkap. Setiap hari burung bangau sentiasa menunggu di tepi tasik untuk menagkap ikan yang datang berhampiran dengannya.

Beberapa tahun kemudian burung bangau semakin tua. Ia tidak lagi sekuat dulu untuk menangkap ikan. Kadang- kadang ia tidak memperolehi ikan untuk dimakan menyebabkan ia berlapar seharian. Ia berfikir di dalam hatinya seraya berkata "Kalau beginilah keadaanya, aku akan mati kelaparan kerana tidak lagi berdaya untuk menangkap ikan. Aku mesti mencari jalan supaya aku dapat memperolehi makanan dengan mudah".
Burung bangau mendapat idea dan berpura-pura duduk termenung dengan perasan sedih di tebing tasik. Seekor katak yang kebetulan berada di situ ternampak bangau yang sangat murung dan sedih lalu bertanya "Kenapakah aku lihat akhir-akhir ini kamu asik termenung dan bersedih sahaja wahai bangau?". Bangau menjawab " Aku sedang memikirkan keadaan nasib kita dan semua penghuni tasih ini." "Apa yang merunsingkan kamu, sedangkan kita hidup di sini sudah sekian lama tidak menghadapi sebarang masalah." Jawab katak. "Awak manalah tahu, aku sering terbang ke sana ke mari dan mendengar manusia sedang berbincang tentang bencana kemarau yang akan menimpa kawasan ini dalam beberapa bulan lagi. Kau lihat sajalah sejak akhir-akhir ini hari panas semacam aje, hujan pun sudah lama tidak turun". Bangau menyambung lagi "Aku khuatir tasik ini akan kering dan semua penghuni di tasik ini akan mati." Katak mengangguk- ngangukkan kepalanya sebagai tanda bersetuju dengan hujah bangau tadi. Tanpa membuang masa katak terus melompat ke dalam tasik untuk memaklumkan kepada kawan-kawan yang lain.

Berita bencana kemarau telah tersebar ke seluruh tasih begitu cepat dan semua penghuni tasik berkumpul ditebing sungai dimana bangau berada. Masing-masing riuh rendah menanyakan bangau akan berita tersebut. Seekor ikan haruan bertanya kepada bangau "Apakah cadangan engkau untuk membantu kami semua?" Burung bangau berkata "Aku ada satu cadangan, tetapi aku khuatir kamu semua tidak bersetuju." "Apakah cadangan tersebut" kata haruan seolah-olah tidak sabar lagi mendengarnya. Bangau berkata " Tidak jauh dari sini ada sebuah tasik yang besar dan airnya dalam, aku percaya tasik tersebut tidak akan kering walaupun berlaku kemarau yang panjang." "Bolehkah engkau membawa kami ke sana" sampuk ketam yang berada di situ. "Aku boleh membawa kamu seekor demi seekor kerana aku sudah tua dan tidak berdaya membawa kamu lebih daripada itu" kata burung bangau lagi.. Mereka pun bersetuju dengan cadangan burung bangau
.
Burung bangau mula mengangkut seekor demi seekor ikan daripada tasik tersebut, tetapi ikan- ikan tersebut tidak dipindahkan ke tasik yang dikatakannya.Malahan ia membawa ikan-ikan tersebut ke batu besar yang berhampiran dengan tasik dan dimakannya dengan lahap sekali kerana ia sudah tidak makan selama beberapa hari. Setelah ikan yang dibawanya dimakan habis, ia terbang lagi untuk mengangkut ikan yang lain. Begitulah perbuatanya sehingga sampai kepada giliran ketam. Oleh kerana ketam mempunyai sepit ia hanya bergantung  pada leher burung bangau dengan menggunakan sepitnya. Apabila hampir sampai ke kawasan batu besar tersebut,ketam  memandang ke bawah dan melihat tulang-tulang ikan bersepah di atas batu besar. Melihat keadaan tersebut ketam berasa cemas dan berfikir di dalam hatinya "Matilah aku kali ini dimakan oleh bangau." Lalu ia memikirkan sesuatu untuk menyelamatkan dirinya daripada ratahan bangau yang rakus.  Setelah tiba di atas batu besar ketam masih lagi berpegang pada leher bangau sambil berkata "Dimanakah tasik yang engkau katakan itu dan kenapa engakau membawa aku di sini?" Bangau pun tergelak dengan terbahak-bahak lalu berkata "Kali ini telah tiba masanya engkau menjadi rezeki aku." Dengan perasaan marah ketam menyepit leher bangau dengan lebih kuat lagi menyebabkan bangau sukar untuk bernafas, sambil merayu minta di lepaskan, ia berjanji akan menghantar ketam kembali ke tasik tersebut. Ketam tidak mempedulikan rayuan bangau malah ia menyepit lebih kuat lagi sehingga leher bangau terputus dua dan bangau mati di situ jua.

Dengan perasaan gembira kerana terselamat daripada menjadi makanan bangau ia bergerak perlahan-lahan menuju ke tasik sambil membawa kepala bangau.  Apabila tiba di tasik, kawan-kawannya masih lagi setia menunggu giliran masing-masing.  Setelah melihat ketam sudah kembali dengan membawa kepala bangau mereka kehairanan dan ketam menceritakan kisah yang berlaku. Semua binatang di tasik tersebut berasa gembira kerana mereka terselamat daripada menjadi makanan burung bangau yang tamak dan mementingkan diri sendiri. Mereka mengucakpan terima kasih kepada ketam kerana telah menyelamatkan mereka semua.

Sang Kancil Dengan Buaya

Pada zaman dahulu Sang Kancil adalah merupakan binatang yang paling cerdik di dalam hutan. Banyak binatang-binatang di dalam hutan datang kepadanya untuk meminta pertolongan apabila mereka menghadapi masalah. Walaupun ia menjadi tempat tumpuan binatang- binatang di dalam hutan, tetapi ia tidak menunjukkan sikap yang sombong malah sedia membantu pada bila-bila masa saja.

Suatu hari Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan untuk mencari makanan. Oleh kerana makanan di sekitar kawasan kediaman telah berkurangan Sang Kancil bercadang untuk mencari di luar kawasan kediamannya. Cuaca pada hari tersebut sangat panas, menyebabkan Sang Kancil berasa dahaga kerana terlalu lama berjalan, lalu ia berusaha mencari sungai yang berdekatan. Setelah meredah hutan akhirnya kancil berjumpa dengan sebatang sungai yang sangat jernih airnya. Tanpa membuang masa Sang Kancil terus minum dengan sepuas-puasnya. Kedinginan air sungai tersebut telah menghilangkan rasa dahaga Sang Kancil.

Kancil terus berjalan-jalan menyusuri tebing sungai, apabila terasa penat ia berehat sebentar di bawah pohon beringin yang sangat rendang di sekitar kawasan tersebut. Kancil berkata didalam hatinya "Aku mesti bersabar jika ingin mendapat makanan yang lazat-lazat". Setelah kepenatannya hilang, Sang Kancil menyusuri tebing sungai tersebut sambil memakan dedaun kegemarannya yang terdapat disekitarnya. Apabila tiba di satu kawasan yang agak lapang, Sang Kancil terpandang kebun buah-buahan yang sedang masak ranum di seberang sungai."Alangkah enaknya jika aku dapat menyeberangi sungai ini dan dapat menikmati buah-buahan tersebut" fikir Sang Kancil.

Sang Kancil terus berfikir mencari akal bagaimana untuk menyeberangi sungai yang sangat dalam lagi deras arusnya. Tiba-tiba Sang Kacil terpandang Sang Buaya yang sedang asyik berjemur di tebing sungai. Sudah menjadi kebiasaan buaya apabila hari panas ia suka berjemur untuk mendapat cahaya matahari.Tanpa berlengah-lengah lagi kancil terus menghampiri buaya yang sedang berjemur lalu berkata " Hai sabahatku Sang Buaya, apa khabar kamu pada hari ini?" buaya yang sedang asyik menikmati cahaya matahari terus membuka mata dan didapati sang kancil yang menegurnya tadi "Khabar baik sahabatku Sang Kancil" sambung buaya lagi "Apakah yang menyebabkan kamu datang ke mari?" jawab Sang Kancil "Aku membawa khabar gembira untuk kamu" mendengar kata-kata Sang Kacil, Sang Buaya tidak sabar lagi ingin mendengar khabar yang dibawa oleh Sang Kancil lalu berkata "Ceritakan kepada ku apakah yang engkau hendak sampaikan".

Kancil berkata "Aku diperintahkan oleh Raja Sulaiman supaya menghitung jumlah buaya yang terdapat di dalam sungai ini kerana Raja Sulaiman ingin memberi hadiah kepada kamu semua". Mendengar saja nama Raja Sulaiman sudah menggerunkan semua binatang kerana Nabi Sulaiman telah diberi kebesaran oleh Allah untuk memerintah semua makhluk di muka bumi ini. "Baiklah, kamu tunggu di sini, aku akan turun kedasar sungai untuk memanggil semua kawan aku" kata Sang Buaya. Sementara itu Sang Kancil sudah berangan-angan untuk menikmati buah-buahan. Tidak lama kemudian semua buaya yang berada di dasar sungai berkumpul di tebing sungai. Sang Kancil berkata "Hai buaya sekelian, aku telah diperintahkan oleh Nabi Saulaiman supaya menghitung jumlah kamu semua kerana Nabi Sulaiman akan memberi hadiah yang istimewa pada hari ini". Kata kancil lagi "Beraturlah kamu merentasi sungai bermula daripada tebing sebelah sini sehingga ke tebing sebelah sana".

Oleh kerana perintah tersebut adalah datangnya daripada Nabi Sulaiman semua buaya segera beratur tanpa membantah. Kata Buaya tadi "Sekarang hitunglah, kami sudah bersedia" Sang Kancil mengambil sepotong kayu yang berada di situ lalu melompat ke atas buaya yang pertama di tepi sungai dan ia mula menghitung dengan menyebut "Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk" sambil mengetuk kepala buaya begitulah sehingga kancil berjaya menyeberangi sungai. Apabila sampai ditebing sana kancil terus melompat ke atas tebing sungai sambil bersorak kegembiraan dan berkata" Hai buaya-buaya sekalian, tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu semua dan tidak ada hadiah yang akan diberikan oleh Nabi Sulaiman".

Mendengar kata-kata Sang Kancil semua buaya berasa marah dan malu kerana mereka telah di tipu oleh kancil. Mereka bersumpah dan tidak akan melepaskan Sang Kancil apabila bertemu pada masa akan datang. Dendam buaya tersebut terus membara sehingga hari ini. Sementara itu Sang Kancil terus melompat kegembiraan dan terus meniggalkan buaya-buaya tersebut dan terus menghilangkan diri di dalam kebun buah-buahan untuk menikmati buah-buahan yang sedang masak ranum itu.

Puteri Saadong

PUTERI SAADONG BERAKHIR DI BUKIT MARAK?

Pemerintahan Puteri Saadong dikatakan berakhir pada kira-kira menjelang kurun ke-18, di akhir-akhir pemerintahan baginda tidak langsung disebut baik mana-mana juga buku sejarah, bahkan cerita-cerita lisan dari penduduk-penduduk negeri Kelantan pun tidak didapati, puas juga saya menjelajah keseluruh negeri Kelantan, ke Kampung-kampung yang jauh di pendalaman dan pernah juga saya menajalankan kajian di bukit Marak yang dikatakan tempat akhir sekali Puteri Saadong bersemayam tidak saya temui bahan-bahan yang boleh menolong mengesan lingkaran sejarahnya yang berikut.

Dengan berakhirnya pemerintahan Raja Abdul Rahim yang menggantikan pemerintahan Raja Abdullah di Kota Mahligai dan juga pemerintahan Puteri Saadong di Bukit Marak maka muncul semula pemerintahan di Jembal, iaitu pemerintahan Sultan umar (Raja Umar), baginda ini ialah adik kepada Raja Loyor, dan pangkat bapa saudara pula kepada Puteri Saadong.

Pemerintahan baginda ini dikatakan bermula pada tahun 1675, baginda mempunyai beberapa orang putera dan puteri, putera sulung baginda bernama Raja kecil Solong yang dirajakan di Kota Teras (di Kampung Teras dekat Kampung Mentuan), seorang lagi putera baginda bernama Raja Ngah atau dipanggil juga Raja Hudang memerintah di Tebing Tinggi Pusaran Buah (Kampung Tanjung Chat), seorang puteri Sultan Umar bernama Raja Pah telah berkahwin pula dengan Tuan Besar Long Bahar seorang putera raja yang datang dari Patani (dalam negeri Thai).

Mengenai Tuan Besar Long Bahar pula menurut Ringkasan Cetera Kelantan yang ditulis oleh Datuk Paduka Raja Kelantan Nik Mahmud bin Ismail adalah putera Wan Daim ataudisebut juga Datuk Pangkalan Tua, raja dari negeri Petani yang zuriatnya berasal dari keturunan anak-anak Raja Bugis bernama Paqih Ali.

Tuan Besar Long Bahar mempunyai beberapa orang saudara iaitu Tuan Solong Kelantan, Tuan Senik Genting dan Datuk Pasir Petani. Oleh kerana terjadinya perselisihan keluarga maka Tuan Besar Long Bahar telah merantau ke Negeri Kelantan dengan membawa bersama seorang putera yang bernama Long Sulaiman, dan di Kelantan Long Besar berkahwin pula dengan Raja Pah puteri Sultan Umar, kemudian Tuan Besar Long Bahar berpindah membuka sebuah tempat yang diberi nama Kota Kubang Labu (dalam Wakaf Baru sekarang).

Dalam tahun 1721 Sultan Umar telah mangkat dan baginda inilah juga yang disebut atau digelar raja Udang yang mana makamnya terdapat masa ini didalam kawasan sawah padi kira&127;&127;&127;&127;-kira dua rantai jauhnya dari sekolah Rendah Kebangsaan Kedai Lalat, begitu juga dengan Raja Bahar kekanda baginda yang memerintah Jembal yang mangkat pada tahun 1675 yang digelar raja ekor yang makamnya terdapat sekarang ini dikampung Tok kambing, Mukim Sering dekat Kota Bharu.

Dengan kemangkatan Sultan umar makam putera sulung baginda yang bernama Raja Kecil Solong yang sedang memerintah di Kota Teras tidak mahu mengambil alih pemerintahan di Jembal dari ayahndanya, dan dengan persetujuan baginda jugalah lalu diangkat adik iparnya iaitu Tuan Besar Long Bahar menjadi raja di Jembal, dan dengan itu Kota Kubang Labu diserahkan kepada pemerintahan putera baginda yang bernama Long Sulaiman, putera ini ialah dari isteri baginda di Patani.

Apabila pemerintahan Jembal dan juga pemerintahan di Kota Kubang Labu terserah kepada pemerintahan Tuan Besar Long Bahar dan putera baginda maka berakhirlah satu peringkat pemerintahan yang berasal dari zuriat Raja sakti yang memerintah Jembal, dan pada peringkat ini pula maka zuriat keturunan dari Tuan Besar Long Baharlah yang memerintah Jembal juga Kota Kubang Labu keturunan dari Tuan Besar Long Bahar ini jugalah asalnya raja-raja yang memerintah Negeri Kelantan hingga sekarang ini.
Dalam tahun 1977 dan seterusnya hingga tahun-tahun yang kemudian saya telah menjalankan kajian dibeberapa tempat disekitar Kedai Lalat yang letaknya kira-kira 7 batu dari bandar Kota Bharu, di kampung tersebut terletaknyamakam-makam Raja Loyor , iaitu ayahnda Puteri Saadong, menurut cerita dari penduduk-penduduk kampung sekitar yang saya dapati bahawa pada suatu ketika dulu terdapat beberapa orang siam yang datang untuk mengorek makam tersebut, kononya orang siam tersebut bermimpi bahawa didalam makam tersebut terdapat sebilah keris yang dianggap keramat atau mempunyai kuasa ghaib, begitu juga saya diberitahu pernah disuatu ketika ada orang-orang mencuri serpihan batu nisannya yang dibuat dari batu marmar, beberapa hari kemudian serpihan itu dipulangkan semula, menurut orang yang mengambil serpihan tersebut bahawa ia sering diganggu mimpi yang menakutkan.
Makam Raja Udang atau Sultan Umar mempunyai beberapa kepercayaan pula, makam ini terletak tidak jauh dari Masjid Kedai Lalat, waktu saya melawat ke makam tersebut saya dapati ada sebuah batu besar yang disebut batu hampar terletak berdekatan dengan makam tersebut, orang kampung disekitar ada yang percaya batu tersebut mempunyai kuasa-kuasa ghaib, batu tersebut sepanjang tiga kaki dan lebarnya lebih kurang dua kaki, tebalnya kira-kira enam inci (6 inci), tidak sesiapa yang berani mengambil batu tersebut walaupun pada hemah saya batu tersebut sangat baik dibuat tempat membasuh kain baju, saya percaya batu tersebut digunakan untuk membuat binaan makam, boleh jadi kerana besarnya tidak mencukupi maka lalu ditinggal begitu saja.

Saya juga telah melawat sebuah makam lagi di Kampung Tok Kambing iaitu kira-kira sebatu jauhnya dari Kedai Lalat, makam tersebut ialah dikenali sebagai makam Raja Ekor atau Raja Bahar, makam ini terdapat binaan yang dibuat dari batu pejal, sungguh menarik kerana terdapat ukiran yang terpahat, ukiran tersebut menggambarkan seekor burung (boleh jadi Burung Bangau) sangat menghairankan saya kerana biasanya perkuburan islam tidak menggambarkan benda-benda hidup saperti haiwan-haiwan.

Pahat yang berbentuk burung biasanya mempunyai pengaruh-pengaruh dari utara terutama dari Negeri China (meliputi negeri-negeri di Indo-China), adakah Raja Ekor ini seorang raja yang berasal dari Indo-China ataupun boleh jadi batu makam tersebut sengaja ditempa di Chempa (Republik Khamer) yang waktu di zaman dulu adalah pernah menjadi sebuah kerajaan yang umat islam dan pengaruh islam. Inilah satu perkara yng ahli-ahli penyelidik harus menjalankan pula satu kajian yang lebih mendalam, seelok-eloknya meninjau pula kenegri-negeri di Indo-China untuk melihat makam-makam Islam di zaman dulu yang banyak terdapat di negara tersebut, dapatlah dibuat perbandingan dengan makam-makam raja-raja Jembal yang terdapat di Kelantan terutama makam Raja Ekor yang masih menjadi mesteri.

PUTERI SAADONG BUNUH SUAMI KERANA CEMBURU.
Catitan Ibnu Batutah tentang negeri yang disebut Kilu-Kerai itu kurang jelas, baik tentang letak negeri tersebut dan juga gaya pemerintahan Raja Perempuan yang disebut Urd-uja itu, ialah satu perkara yang sangat rumit dapat dikesan oleh pakar-pakar sejarah.

Dengan keterangan yang sebegitu sedikit maka kita tidaklah boleh memberi kata putus bahawa Kilu-Kerai itulah yang sebenarnya Kuala Kerai yang terdapat di Negeri Kelantan sekarang ini, walau bagaimanapun perkara ini boleh diselesaikan jika sekiranya ada pakar-pakar sejarah yang betul-betul menjalankan penyelidikan khas mengenai perkara tersebut.

Dari beberapa keterangan yang diperolehi yakni berdasarkan dari hikayat-hikayat lama dan juga lain-lain catitan sejarah, adalah Negeri Kelantan telah wujud pemerintahan beraja yang berteraskan agama Islam pada kira-kira awal kurun ke 15, dikatakan raja yang mula-mula memerintah Kelantan yang dapat dikesan ialah Maharaja K'Umar atau disebut juga Raja K'Umar, pemerintahan baginda adalah sekitar tahun masehi 1411, tidak diketahui dimana letaknya pusat pemerintahan baginda, sesetengah ahli sejarah tempatan percaya pusat pemerintahan baginda terletak di Pulau Sabar, iaitu sebuah pulau yang terletak di tengah sungai Kelantan 

berhampiran dengan Kampung laut, pulau tersebut pada masa ini telah tenggelam.
Selepas pemerintahan K'Umar muncul pula pemerintahan Sultan Iskandar, pemerintahan baginda berakhir pada tahun 1465 masehi kerana dibinasakan oleh Angkatan Perang Siam (Thai), kononnya baginda dan lebih 100,000 rakyat Kelantan telah dapat ditawan dan dibawa kenegeri Siam, tidaklah diketahui tentang nasib raja tersebut adakah baginda mangkat di Siam atau juga dihantar pulang ke Kelantan.

Kira-kira pada tahun masehi 1477 sebuah angkatan perang dari Melaka yang diperintah oleh Sultan Mahmud telah datang menyerang dan mengalahkan Kelantan, Sultan Mansur iaitu Sultan Kelantan telah dapat ditawan, begitu juga ditawan ketiga-tiga puteri baginda iaitu Puteri Unang Kening, Cubak dan Cuban. Puteri Unang Kening yang paling jelita itu kemudian diperisterikan oleh Sultan Mahmud Shah, maka setelah Sultan Mansur Shah mengaku tunduk kepada pemerintahan Melaka lalu baginda diangkat semula menjadi sultan Kelantan, sejak itu negeri Kelantan dikira sebagai jajahan takluk Melaka.

Sultan mansur Shah mangkat pada kira-kira tahun masehi 1526, putera baginda yang bernama Raja Gombak telah dilantik menjadi pemerintah Kelantan, baginda bersemayam di Pulau sabar juga, dalam tahun 1548 Raja Gombak telah mangkat dengan tidak meningggalkan zuriat, oleh itu anak saudara baginda yang bernama Raja Ahmad telah dilantik menjadi pemerintah Kelantan, baginda bergelar Sultan Ahmad, menurut beberapa punca sejarah Sultan Ahmad ini mempunyai seorang puteri yang sangat jelita yang bernama Puteri Cik Wan Kembang, dan sewaktu Sultan Ahmad mangkat puteri ini masih kecil lagi, lalu dil;antik aeorang anak raja dari Johor yang bernama Raja Husain memangku raja dengan bergelar Sultan Husain.

Sultan Husain yang memerintah kelantan itu dikatakan mangkat pada tahun 1610, dengan itu lalu dilantik Cik wan Kembang menjadi pemerintah Kelantan. Raja perempuan Kelantan ini dikatakan berpindah dari Pulau Sabar ke sebuah tempat yang sangat jauh di pendalaman iaitu Gunung Cinta Wangsa (terletak kira-kira 27 batu ke tenggara Kuala Kerai).
GANJIL
Mengapa baginda berpindah begitu jauh dari tebing sungai Kelantan adalah satu perkara yang sungguh ganjil, biasanya pemerintahan raja-raja di zaman dahulu adalah memilih tempat-tempat yang berhampiran dengan sungai, kerana sungailah yang menjadi jalan dan perhubungan yang penting ketika itu.
Harus jugalah pada fikiran raja perempuan itu bahawa tempat tersebut lebih selamat dan tenteram dari apa juga gangguan luar, terutama sekali gangguan dari pemerintahan Siam yang dianggap kuasa yang teragung ketika itu.

Dalam jangka yang sama di zaman pemerintahan Cik Wan Kembang, atau pada pedagang-pedagang bangsa Arab disebut Cik Siti (Cik Siti wan Kembang), maka di Negeri Kelantan telah wujud sebuah lagi pemerintahan beraja yang berpusat di Jembal (Kedai lalat sekarang iaitu kira-kira 6 batu dari bandar Kota Bharu). raja yang memerintah disitu bernama Raja Loyor putera Raja Sakti yang berasal dari Kedah.
Ada sesetengah ahli sejarah tempatan berpendapat yang Raja Loyor berkahwin dengan Namng Cayang yang dikatakan seoarang raja perempuan Pattani yang melarikan diri ke Kelantan, dari perkahwinan itu mereka beroleh seorang puteri yang diberi&127; nama Puteri Saadong, Puteri Saadong inilah yang kemudiannya diambil oleh Cik Siti Wan Kembang menjadi anak angkatnya, kerana baginda sendiri tidak mempunyai anak. Puteri Saadong pula berkahwin denban sepupunya yang bernama Raja Abdullah, kemudian Raja Abdullah telah dilantik menjadi raja di tempat yang bernama Cetak (dalam Jajahan Pasir Mas). Tidak lama di situ Raja Abdullah berpindah pula bersemayam di Kota Mahligai (dalam Daerah Melor sekarang).

Setelah Raja Abdullah dan Puteri Saadong berkerajaan di Kota Mahligai, maka Cik Siti Wan Kembang pun balik semula bersemayam di Gunung Ayam, setelah itu tidak lagi didapati cerita tentang Cik Siti Wan Kembang adakah baginda berpindah ke tempat lain atau mangkat di tempat tersebut.
Memanglah satu perkara yang sukar untuk mengesantentang kedudukan tempat semayam Cik Siti Wan Kembang yang sebenarnya, kerana di negeri Kelantan terdapatdua buah gunung yang bernama Gunung Ayam, sebuah terletak kira-kira 17 batu ke barat Gua Musang, gunung tersebut setinggi 2,945 kaki, terletak pula terlalu jauh dirimba yang sangat sukar dijalankan penyelidikan, sebuah lagi Gunung Ayam terletak dekat dengan sempadan negeri Terengganu iaitu kira-kira 15 batu ke timur laut Kuala Kerai, gunung tersebut setinggi 2,674 kaki, terletaknya pula jauh jauh ke dalam rimba. Gunung Ayam yang mana satu menjadi tempat dan pusat pemerintahan Cik Siti Wan Kembang.

Waktu saya melawat makam Tuan Tabal atau nama batang tubuhnya Tuan haji Abdul samad bin Muhammad, seorang tokoh pengembang agama Islam yang terkenal di negeri Kelantan, yang meninggal dunia pada tahun 1891 dan dan dimakamkan di perkuburan Banggul, jalan ke Pantai Cahaya Bulan (Pantai Cinta Berahi), saya juga telah diberitahu oleh Encik Nik Abdul Rahman bin Nik Dir yang memandu saya ke makam tersebut bahawa tidak berapa jauh dari makam Tuan Tabal itu terdapat sebuah makam lama yang sangat cantik dibina dari batu pejal serta berukir pula, makam tersebut orang-orang Banggul menyebut Makam Cik Siti, saya juga telah makam tersebut, kesimpulannya dari kajian saya tidak syak lagi makam tersebut adalah sebuah makam lama dari seorang perempuan yang dari keturunan raja-raja atau orang-orang besar juga, dan seni ukir pada binaan makamnya menggambarkan seni ukir yang hampir persamaannya dengan makam-makam di jembal dan juga makam-makam di permakaman DiRaja Langgar, adakah ini yang sebenarnya makam Cik Siti Wan Kembang adalah satu perkara yang sangat menarik dan perlu dibuat kajian yang lebih teliti.

NISAN
Berdasarkan tanah perkuburan Banggul saya yakin adalah satu tanah perkuburan yang sangat lama, mungkin tanah perkuburan tersebut telah digunakan beratus-ratus tahun lampau, di perkuburan Banggul itu juga akan memperlihatkan kepada kita berbagai-bagai jenis bentuk batu nisan yang ganjil-ganjil serta ada pula yang berukir dan bertulis ayat-ayat Quiran yang sangat cantik dan menarik.
Dengan berakhirnya pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang tidak dapat dikesan di akhir pemerintahannya, maka muncullah pemerintahan Raja Abdullah di Kota Mahligai.
Pemerintahan Raja Abdullah berakhir pada tahun 1671 iaitu apabila baginda mangkat dibunuh oleh isterinya Puteri Saadong, lalu Puteri Saadong melantik pula Raja Rahim anak Raja Abdullah merajai Kota Mahligai. Tidak lama setelah Raja Rahim memerintah baginda kemudian dibunuh pula oleh rakyatnya di tepi tasik Lelayang Mandi. Dengan kemangkatan Raja Rahim maka berakhirlah pemerintahan beraja di Kota Mahligai.

Konon menurut cerita Puteri Saadong telah lama ditawan dan di bawa ke Siam (Thailand) iaitu ketika tentera-tentera Siam datang melanggar Kelantan waktu mereka mula-mula berkahwin dan bersemayam di Kota Mahligai, selepas beberapa tahun Puteri Saadong di Siam, baginda di hantar balik ke Kelantan. Alangkah terkejutnya Puteri Saadong bila mendapati yang suaminya Raja Abdullah telah berkahwin lain, maka dari punca itulh berlakunya pertengkaran dan berakhir kemangkatan Raja Abdullah dengan tikaman pacak sanggul isterinya.

Mengapa Kulit Kura-kura Retak

Dalam sebuah hutan, seekor kura-kura berkawan baik dengan dua ekor itik. Pada suatu ketika, akibat musim kemarau yang panjang , semua tanaman mati dan kolam tempat mereka bermain juga kering.
Itik mengajak kura-kura berpindah tetapi kura-kura berasa susah hati kerana dia tidak boleh terbang.
Itik mencadangkan kepada kura-kura supaya mengigit sebatang kayu dan itik akan membawa kura-kura dengan kayu tersebut.

Itik juga berpesan supaya kura-kura tidak boleh sama sekali membuka mulutnya.
Kura-kura berjanji akan patuh kepada permintaan itik dan apabila mereka bersedia, itik pun menerbangkan kura-kura merentasi hutan, merentasi sungai sehinggalah mereka tiba di sebuah kampung.

Kura-kura merasa megah apabila terdengar suara budak-budak riuh rendah bersorak kehairanan.
“Kura-kura boleh terbang? Tengok tu…kura-kura boleh terbang! Kura-kura boleh terbang….!
Kerana terlalu gembira, kura-kura terlupa pesanan itik lalu membuka mulutnya ingin memberitahu sememangnya dia boleh terbang.

Tiba-tiba kura-kura tersedar dirinya tidak lagi tergantung pada kayu yang dibawa oleh itik.
Setelah melayang-layang di udara, dia jatuh terhempas di bumi. Cengkerangnya retak dan kakinya cedera. Sejak peristiwa itulah kulit kura-kura kelihatan retak di sana sini..

Apakah Permainan Rakyat?

Dalam tradisi lisan, permainan ini yang dikenali juga sebagai pemainan masa lapang atau sukan rakyat termasuk dalam kategori "folk games". Permainan ini bukan sahaja berfungsi sebagai alat hiburan tetapi juga berperanan dalam aktiviti sosial untuk menyerikan majlis-majlis keramaian, perkahwinan dan sebagainya.
Permainan masa lapang dan sukan rakyat yang lahir di dalam kebudayaan Melayu, malah dalam kebudayaan semua dikatakan sebagai satu cara untuk pelepasan emosi manusia itu sendiri.

Di samping berfungsi diatas permainan tradisional dalam masyarakat Melayu memainkan beberapa peranan yang lain seperti bertindak sebagai alat komunikasi di kalangan anggota masyarakat.
Permainan masa lapang bagi orang Melayu boleh dibahagikan kepada permainan untuk orang dewasa dan permainan untuk kanak-kanak.

Permainan untuk orang dewasa termasuklah permainan wau, sepak raga, gasing, menyabung ayam, laga buah keras, congkak, berlaga kerbau dan lain-lain.
Permainan untuk kanak-kanak pula termasuklah main telaga buruk, guli-guli, main galah, main kapal terbang, cina buta, ketup atau sembunyi dan lain-lain.

Kuda Kepang

Terdapat berbagai pendapat mengenai asal usul tarian ini. Ada pendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa, Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Setelah waktu berlalu, kuda-kuda itu ditukar dengan kulit binatang atau buluh bagi menggantikan kuda sebenar. Ada pula yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Untuk meniru gerak langkah bala tentera Saidina Ali maka lahirlah tarian kuda kepang.

Tarian Kuda kepang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya yang berketurunan Jawa. Kuda kepang berupa satu patung anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang diwarnakan untuk menjadi lebih menarik.

Lazimnya terdapat 10 hingga 15 orang penari bagi setiap kumpulan penari kuda kepang yang biasanya akan mempunyai seorang ketua. Pada peringkat awalnya, semua gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal permainan. Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Pada masa dahulu terdapat banyak pantang larang bagi mereka yang menonton persembahan kuda kepang seperti tidak mencaci penarinya atau akan menimpa musibah.


Peralatan yang diperlukan untuk permainan kuda kepang ialah alat muzik yang terdiri daripada 5 buah angklung. Angklung diperbuat daripada buluh dan rotan yang boleh didapati daripada kawasan persekitaran. Angklung bersaiz segi empat dan ianya dimainkan dengan cara menggoyang dan menggoncang buluh tersebut. Bagi buluh yang kecil, apabila diketuk akan mengeluarkan bunyi nyaring, manakala buluh yang besar akan mengeluarkan bunyi bergema dan dari kombinasi kedua-dua bunyi ini akan menghasilkan bunyi yang indah dan menarik.

Perkakas lain yang digunakan ialah sebuah gendang. Gendang ini diperbuat daripada kayu leban dan kulitnya dari kulit lembu. Kulit lembu diperoleh dari saki baki kulit lembu yang dikorbankan semasa Hari Raya Haji. Kulit lembu ini dikeringkan. Sementara pengikatnya diperbuat daripada rotan. Gendang mempunyai panjang diameter lebih kurang 3 kaki. Gendang ini dipalu mengikut irama yang tertentu.

Perkakas lain yang digunakan ialah pecut. Pecut diperbuat daripada buluh dan tali. Kedua-duanya dipintal menjadi satu. Fungsi pecut adalah untuk mengarah dan mengawal permainan atau penari kuda kepang.

Perkakas terpenting ialah kuda-kuda. Ianya diperbuat daripada kulit lembu. Dibentuk menyerupai kuda dan diwarnakan merah,putih atau kelabu.

Selain itu perkakas lain adalah tali sepanjang 30 meter. Tali sepanjang ini digunakan untuk dibuat pagar bagi mengelak penari kuda kepang yang mabuk berkeliaran dan mudah untuk bomoh mengawalnya. Alat-alat lain ialah gong. Gong yang dipalu akan mengeluarkan bunyi "goooong" dan meyedapkan lagi bunyi muzik pengiring.

Kompang

Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat Melayu. Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang. Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing. Mempunyai baluh berbingkai yang dibuat dari kayu keras, lazimnya kayu jenis nangka atau nama saintifik Artocarpus Heterophyllus.

Belulang dari kulit kambing digunakan sebagai bahan bunyi yang dipasang pada permukaan baluhnya dengan menggunakan bahan pelekat dan ditindih dengan paku supaya ketegangannya lebih terjamin.
Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu bertujuan menegangkan permukaan kompang, bertujuan menguatkan bunyi kompang. Kini, gelung plastik turut digunakan.

Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim, atau melalui Jawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab.
 
Kompang biasanya berukuran enam belas inci ukur lilit dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.

Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang dengan bahagian jari-jari atau tapak tangan mengikut rentak. Kompang lazimnya dimainkan secara berkumpulan. Kompang biasanya dimainkan semasa perarakan, kenduri dan upacara-upacara tradisi lain. Dalam konteks persembahan, kumpulan kompang akan dibahagi kepada tiga kumpulan mengikut peranannya masing-masing.

Bunyi yang berlainan dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi ‘bum’ di perolehi dengan tepukan di sisi kompang dan tapak tangan dikuncup/rapat. Bunyi ‘pak’ di perolehi dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.

Paluan kompang terbahagi kepada 2 bahagian iaitu paluan tradisi dan paluan moden ataupun kreatif. Paluan tradisi adalah paluan di mana memukul kompang sambil menyanyi ataupun bersyair dalam versi Arab ataupun bahsa Melayu klasik. Manakala paluan moden pula di mana paluan tersebut diselitkan dengan gerakan ataupun tarian. Di Sabah, pertandingan kompang sering diadakan untuk memartabatkan kembali kesenian Melayu yang telah hampir pupus ini.

Abok-abok Sagu

Bahan-Bahan:
1 kg kelapa parut
(sudah dikupas kulitnya)
500g sagu biji
2 tsp rata garam halus
Gula melaka secukupnya
daun pisang(dilayur)
Lidi secukupnya
Cara:
1 Basuh sagu biji.Tapis dab biarkan 30 minit.
2 Basuh sagu biji sekali lagi.Biarkan di tapisan selama 30 minit lagi.
3 Gaul sagu biji dengan kelapa parut dan garam halus.
4 Letakkan satu sudu makan campuran sagu biji-kelapa ke atas daun pisang. Tabur gula melaka yang telah diracik. Tutup dengan satu atau dua sudu makan campuran sagu biji-kelapa parut.
5 Semat daun pisang dengan lidi.
6 Kukus hingga naik wap(20 minit)atau sehingga daun pisangnya layu.
Tambahan:
Sagu biji usah direndam, hanya setakat dibasuh sahaja untuk kedua-dua kalinya.

Pantun Agama

Akar keramat akar bertuah,
Akar bertepuk di gua batu;
Nabi Muhammad cintakan Allah,
Di mana tuan masa itu?

Angin bertiup lautan bergelombang,
Di tengah lautan kapal berlabuh;
Diharap keluarga tak usahlah bimbang,
Doakan sakit segera sembuh.

Apa guna berkaki dua,
Kalau tidak berjalan lagi;
Apa guna kita bersua,
Kalau tidak bersembahyang lagi.

Asam kandis asam gelugur,
Dua urat asam belimbing;
Menangis mayat dalam kubur,
Melihat papan menjadi dinding.

Roti Jala

Bahan-Bahan:
1 kilo tepung gandum
2 biji telor ayam
1 tin susu cair Carnation
1 sudu marjerin
Sedikit garam
Setitik pewarna kuning
Cara:
Bancuh tepung bersama susu cair/garam/pewarna/mentega dan telur.

Akhir sekali blender tepung yang telah dibancuh tadi supaya ianya tidak bergentel dan senang untuk dilayang.

Panaskan kuali dan sapukan sedikit minyak kemudian layangkan tepung yang telah cair.

Kemudian setelah selesai angkat lipatkan segi empat atau segi tiga.

Buah Melaka

Bahan-Bahan:
tepung pulut
air pandan
sedikit garam
sedikit air kapur
1 ketul ubi keledek bersiaz kecil
gula kabung/melaka dipotong kecil
kelapa parut (putih)
Cara:
1. Bancuh tepung pulut bersama air pandan, air kapur dan sedikit garam.
2. Masukkan ubi rebus yang telah direbus dan dilecek ke dalam bancuhan tepung.
3. Pastikan bancuhan tidak terlalu kering atau terlalu lembab.
4. Bentukkan bulat-bulat mengikut kesukaan anda.
5. Masukkan gula melaka yang telah dipotong tadi ke dalam tepung dan bentukkan bulat.
6. Pastikan air mendidih sebelum anda masukkan buah melaka tadi. Apabila ia timbul, bolehlah diangkat dan terus masukkan ke dalam mangkuk yang berisi kelapa parut.
Tambahan:
1. Air kapur tidak perlu terlalu banyak kerana ia akan menjejaskan rasa.
2. Ubi keledek akan membuatkan buah melaka tidak terlalu kenyal ketika dikunyah dan memberikan bunyi 'pop' ketika anda menggigitnya

Apam Balik

Bahan-Bahan:

2 cawan tepung gandum
½ cawan gula
½ camca kecil soda bikarbonat
1 camca kecil pewarna kuning
1 biji telur
1 ½ cawan air
½ camca kecil baking powder
1 cawan kacang tanah (dimesin)- bahan tabur
1 tin jagung - bahan tabur
1 cawan gula - bahan tabur
Sedikit mentega
Cara:
Mesin gula bersama telur hingga kembang, masukkan soda, air, baking powder dan pewarna kuning. Mesin lagi hingga sebati. Masukkan tepung dan mesin lagi supaya ianya tidak bergentel. Ambil satu senduk dan tuangkan ke dalam kuali kemudian nipiskan. Tutup kuali sebentar. Apabila setengah masak, taburkan bahan taburan tadi. Masaklah hingga kekuningan.