About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Masa Untuk Berkarya Kembali

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia.
Agak lama juga saya tak berblog... itulah yang terdetik di minda waktu surf blog pada hari ini. Saya teramat sibuk dengan tugas-tugas hakiki yang memerlukan komitmen yang tinggi. Kekangan masa sehingga tidak berkesempatan melayan hobi saya menulis di sini. Mudah mudahan cuti panjang pada kali ini dapat mengerak dan menjana kembali idea-idea yang lama membeku di benak ini.

Belum lagi memikirkan destinasi mana harus dituju pada cuti panjang kali ini. Maklumlah hanya kita yang bercuti sedangkan suami masih sibuk dan belum dapat meluangkan waktu untuk bercuti bersama keluarga. Terpaksalah saya menyibukkan diri sebagai surirumah sepenuh masa. Ada baiknya juga..dapatlah saya mengadap komputer melayari blog teman-teman yang lama tidak dijengah. Pelbagai ragam dan cerita yang dipaparkan membuat saya adakalanya tersenyum dan tergelak sendiri. Melihat resipi-resipi baru yang begitu menyelerakan membuat saya teruja untuk mencuba. Pastinya jarum timbang tidak segan-segan melonjak tinggi selepas ini hihi.

Terlalu banyak yang ingin dikongsikan lalu digarap menjadi  hasil karya yang lebih menarik untuk dibaca. Respon positif yang diterima akan menjadi pemangkin dan pembakar semangat untuk saya terus berkarya InsyaAllah.

Orang Johor dan Zapin

Malang Tak Berbau..

"Ya Allah, Astaghfirullah..Kak Lin!", spontan saya menjerit pagi itu. "Mana towel? Mana tisu? Ya Allah", saya berteriak dengan rasa gementar. Menggigil tubuh badan saya melihat kejadian yang berlaku di depan mata. Melihat darah yang berjijiran di lantai simen itu membuat saya mabuk darah dan pening seketika.

Suasana pagi itu menjadi kelam kabut seketika. Masing-masing cuba membantu dan keadaan agak panik seketika kerana pagi itu guru-guru dan pelajar baru sahaja sampai  di sekolah. Saya baru sahaja ingin membuka tingkap di bilik kerja saya apabila kejadian yang tidak terduga itu berlaku. Di luar tingkap dan di depan mata saya kejadian itu berlaku terlalu pantas. Apa yang saya ingat ketika itu berlalu dua orang pelajar Tahun Enam dan sepantas kilat itu juga saya tiba-tiba terpandang seorang murid lain tiba-tiba berlari dan melompat di belakang pelajar salah seorang pelajar Tahun Enam tadi.

Jantung saya seakan terhenti..dan saya sudah dapat bayangkan apa yang bakal terjadi. Jeritan pelajar di luar sudah memberikan saya jawapan yang cukup mendebarkan. Saya panik seketika dan mengharapkan itu cuma satu mimpi. Namun bila melihat muka pelajar yang penuh berlumuran darah saya tahu itu bukan kemalangan kecil. Sukar dan takut saya membayangkan keadaan luka yang dialami oleh pelajar tersebut ketika itu.

"Pelan-pelan lap muka budak tu cikgu", saya meminta Cikgu Asrul lebih berhati-hati kerana saya tahu luka itu agak parah. Pelajar tersebut segera dibawa ke hospital oleh guru bertugas pagi itu setelah dimaklumkan kepada keluarga pelajar terbabit. Saya hanya mampu berdoa semoga dipermudahkan segala urusan dan tidak berlaku sesuatu yang serius kepada pelajar tersebut.

Saya segera memaklumkan kejadian tersebut kepada Puan Guru Besar, kerana ketika kejadian beliau belum lagi sampai. Beliau meminta saya memanggil saksi-saksi yang terlibat dan bersedia jika ada pihak-pihak yang meminta penjelasan bagaimana kemalangan itu boleh berlaku. "Ya Allah, dugaan sungguh di hari pertama berpuasa ini. Ada sahaja perkara yang cuba kita elak terjadi", bisik hati kecil saya.

"Ini betul-betul 1 Malaysia Cikgu Hamdan", saya memandang cikgu disiplin yang digeruni oleh pelajar. Di depan kami berdiri Wong, Iqbal dan Sivan dengan wajah terkulat-kulat dan agak muram.


Selamat Menyambut Bulan Ramadhan AlMubarak

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan
“Apabila tibanya bulan Ramadhan maka terbukalah pintu-pintu surga serta tertutuplah pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan digari” (hadis Riwayat Imam Bhukhari dan Imam Muslim)

Masih belum terlambat rasanya untuk saya ucapkan Selamat menyambut bulan Ramadhan yang mulia untuk semua keluarga, kawan-kawan dan pengunjung blog Maya Kirana.

Di kesempatan ini, saya memohon seribu kemaafan kepada semua sekiranya ada melakukan sebarang kesalahan dalam sedar atau tidak. Doakan lah semoga rezeki kita semakin bertambah.

Sejak bulan Ramadhan ini, sukar juga saya ingin mencari masa terluang untuk membuat sedikit penulisan di ruangan saya. Harap-harap Allah memberi kelapangan kepada saya untuk berkongsi pendapat dan idea di sini.

Rutin Kehidupan

Esok hari terakhir persekolahan sebelum cuti pertengahan semester 1 bermula. Terlalu cepat masa berlalu..sehingga Maya merasakan banyak kerja seharian sama ada di sekolah atau rumah yang masih lagi tertangguh. Ada kalanya cuti seakan tidak bercuti bila memikirkan banyak perkara yang perlu diselesaikan. Rutin ke sekolah seperti biasa walaupun hari cuti. Nasib baiklah keluarga memahami dan sentiasa menyokong.

Keinginan untuk berkarya adakalanya begitu meluap-luap namun semuanya tergantung begitu sahaja bila memikirkan banyak perkara lain yang lebih penting untuk Maya selesaikan. Maya sering berharap akan tiba masanya Maya dapat berkarya dalam suasana yang cukup santai..

Lusa Maya akan balik ke kampung halaman Maya di Johor kerana ingin menziarahi adik Maya yang sedang sakit. Semalam Maya mendapat berita dari kakak di sana tentang kesihatan adik Maya yang sering terganggu akibat serangan jantung yang sering dia alami kebelakangan ini. Walaupun keadaannya beransur pulih namun Maya rasa bersalah jika tidak meluangkan masa bertanya khabar atas alasan kesibukan bekerja.

Maya dan keluarga hanya mampu mendoakan adik Maya semoga cepat sihat dan sembuh serta dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. InsyaAllah..

Kenali Anak-anak Kita

Alhamdulillah...bersyukur ke hadrat Allah S.W.T atas limpah kurnia yang diberikan pada hambaNya. Rasanya belum terlambat untuk Maya mengucapkan tahniah pada anak Maya 'gurl' kerana berjaya memperoleh 'straight 8A's dalam PMR yang lalu. Terima kasih kerana membanggakan mama dan papa.

Di dalam hati sebenarnya tercuit sedikit rasa bersalah kerana sepanjang tahun 2012, Maya jarang dapat meluangkan masa untuk anak..dan bergantung sepenuhnya pada keupayaan diri dia sendiri di sekolah di samping kelas tuisyen  yang diikuti. Kesibukan tugas adakalanya membuat kita alpa dan mengabaikan anak sendiri..Alhamdulillah..anak sangat berdikari dan memahami kesibukan mama dan papanya.

Maya bertuah kerana dianugerahkan anak yang agak geliga otaknya. Ini terbukti sejak 'gurl' di sekolah rendah ( sekolah cina ). Dia memperoleh 'straight 7 A's dalam UPSR ( tambahan 2 subjek pemahaman dan penulisan Bahasa Cina ). Jika melihat cara dia study, Maya pun risau..sangat releks. Begitu juga ketika PMR..dia langsung tidak menunjukkan rasa stress atau risau..ulangkaji hanya di kelas tuisyen sahaja. Namun Maya diberitahu oleh guru-gurunya, dia sangat fokus di dalam kelas ketika belajar..mungkin itulah kelebihannya mudah mengingat apa saja yang diajar oleh guru di dalam kelas.

Maya juga sering mengingatkan hal ini kepada anak-anak di sekolah, jika 100% tumpuan dan perhatian diberikan di dalam kelas semasa guru mengajar, tidak perlu lagi ibu bapa menghantar anak ke kelas tuisyen. Sudah memadai kerana apa yang disampaikan oleh guru-guru di sekolah sebenarnya cukup lengkap mengikut silibus berbanding mereka ke kelas tuisyen berbayar yang adakalanya pakai tangkap muat sahaja ( bukan semua..) Mungkin disebabkan kelas itu berbayar, maka anak-anak dan ibu bapa lebih memberatkan kelas tuisyen tersebut.

Kenali kelebihan dan kelemahan anak-anak kita, pasti ada jalan untuk kita sama-sama berganding bahu meningkatkan kebolehannya..Apa guna membazir wang jika kita sendiri tahu anak berada di tahap yang agak lemah..Anak-anak seperti itu memerlukan bimbingan yang berbeza dan pastinya tidak sesuai mengikuti kelas tuisyen biasa..Jangan kerana anak orang lain ke kelas tuisyen terkenal, kita juga ingin menunjuk-nunjuk kita juga mampu..Sudahlah anak lemah..dibebani pula dengan kelas tuisyen yang mereka tidak mampu mengikutinya, hasilnya pasti anak-anak  semakin bosan untuk belajar..dan sikap tidak minat ini akan terbawa-bawa ke sekolah dengan tidak memberi perhatian apa yang diajar oleh guru.

InsyaAllah..jika ada jalinan serta kesinambungan antara guru-guru yang mengajar dengan bimbingan serta perhatian ibu bapa di rumah, Maya amat yakin anak-anak akan lebih fokus dan sentiasa berazam untuk berjaya..