About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kasih Yang Hilang - Bahagian 1

"Awak datang lambat lagi hari ni Danish. Bangun lewat lagi ke?" Saya berpaling ke arah pintu kelas Tahun 6 Bakti seraya menegur murid yang baru masuk. Jam di tangan menunjukkan tepat jam 8.00 pagi. Sudah hampir dua puluh minit pelajaran berlangsung. Dia cuma tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. " Maafkan saya cikgu", sambil bergegas ke tempat duduknya di bahagian paling belakang. Saya cuma memerhatikannya sambil sedikit mengeluh. "Sayang sekali.."

Sebaik hampir menamatkan pelajaran, saya mengarahkan ketua kelas untuk mengumpulkan kerja sekolah yang diberikan di dalam buku latihan. " Semua hantar cikgu, kecuali Danish", lantang suara Adam memaklumkan. "Danish lagi..getus hatiku perlahan".

Apa yang tak kena dengan budak seorang ni. Setahu saya Danish merupakan antara murid yang berpotensi semasa dia berada di Tahap 1 dahulu. Sejak naik ke Tahap 2 pelajarannya terus merosot selain masalah disiplin dari segi kehadirannya ke sekolah.Sekarang dia dah berada di Tahun 6 dan akan menghadapi peperiksaan UPSR yang dikira agak penting juga untuk menentukan kedudukan kelasnya semasa di bangku sekolah menengah nanti. Pasti ada yang tidak kena..Saban hari saya terus mengikuti perkembangan budak seorang ini. Saya juga merisik maklumat dari kawan-kawan terdekatnya. Sedikit sebanyak saya sudah dapat mengagak mengapa Danish jadi begitu. Saya perlu bersemuka dengannya agar permasalahan ini tidak berlanjutan. Kasihan jika masa depannya hancur atas kesilapan kita sebagai guru dan ibu bapa yang tidak prihatin.

"Danish jumpa cikgu lepas waktu rehat nanti ya..cikgu tunggu di bilik kaunseling". Saya memberitahunya ketika murid-murid lain sibuk berkejar ke kantin untuk makan. "Awak bawa duit tak?", tanya saya. "Ada cikgu..", jawabnya lalu beredar pergi menuju ke kantin dengan langkah longlai. Saya terus menuju ke bilik kaunseling dengan harapan dapat membantunya bersama rakan setugas cikgu Nani yang sememangnya pakar dalam bab-bab mengorek rahsia pelajar. Maklumlah Nani merupakan Guru Kaunseling terlatih sedangkan saya hanya mengikut naluri atau rasa hati sendiri.

Tanpa dipaksa dan seakan sudah tahu tujuan saya memanggilnya..Danish terus bercerita dan meluahkan rasa hati kanak-kanaknya. "Ayah saya yang sering bangun lewat cikgu..bukan saya. Saya dah banyak kali pesan tapi ayah tak kisahpun. Kalau boleh saya tak mau ponteng sekolah tapi..saya nak pergi sekolah naik apa kalau ayah tak hantar?",jelasnya lagi sambil memandang tepat ke arah saya. Ada riak kesedihan di matanya ketika itu. "Ayah awak masuk kerja pukul berapa?", tanya saya lagi. "Ayah dah lama tak kerja..kata nenek ayah dah kena buang kerja. Dulu ayah saya pegawai bank. Dulu hidup saya senang. Dulu ayah marah kalau saya ponteng sekolah. Dulu saya gembira ada ayah dan mama yang sayang saya. Sekarang mama dengan ayah dah bercerai...", luahnya dengan airmata mula bergenang di matanya. MasyaAllah..

Saya dan cikgu Nani terdiam seketika dan saling berpandangan. Kasihannya anak ini. Ada rasa kepedihan yang teramat ketika dia meluahkan kata-kata itu. Mata saya mula pedih..Saya mengalihkan pandangan keluar dan menarik nafas dalam-dalam. Ingin rasanya memeluk anak ini dan mententeramkannya. Ibarat kasih seorang ibu terhadap anaknya namun tugas adakalanya membataskan hubungan antara guru dan pelajar. Saya cuma mampu mengelus lembut bahunya sambil menepuk-nepuk perlahan. Saya belum mampu untuk berkata apa-apa..Diam tanpa sebarang bicara.


0 comments: