About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bila Anak-anak Terlebih Akal

Dunia kanak-kanak khususnya mereka yang berada di sekolah rendah sememangnya penuh dengan sesuatu yang tidak kita duga. Adakalanya perbuatan mereka langsung tidak masuk akal oleh kita sebagai orang dewasa. Apatah lagi jika zaman-kanak kita ketika itu belum lagi dipenuhi dengan pelbagai peralatan dan teknologi canggih seperti sekarang. Seperti situasi yang terjadi baru-baru ini, ketika saya sedang bersiap-siap untuk balik ke rumah setelah tamat persekolahan pada hari tersebut.

"Cikgu Maya! cikguuu!",terdengar jeritan suara pelajar dari luar bilik. Bergegas saya bangun dan menjenguk keluar. "Ada apa ni terjerit-jerit. Kenapa kamu semua belum balik lagi?"Sergah saya dengan nada agak tinggi. Agak kesal dan terganggu juga ketika itu kerana masih terdapat lagi murid-murid yang berkeliaran di kawasan sekolah meskipun masa persekolahan telah tamat sejam yang lalu.

"Haa ada apa yang kamu terjerit-jerit panggil cikgu ni Iqbal?" Sambil saya memandang tepat ke arah pelajar yang menjerit-jerit tadi. "Cikgu, tadikan..tadikan..Nabil main cucuk-cucuk spring dalam plug kat kelas 3 Bakti. Lepas tu dia masukkan air dalam spring tu cikgu". Tergagap-gagap dia menjelaskan kepada saya. "Haaah, Kamu dah puas hidup ke? Spring apa pulak. Ya Allah, budak-budak ni...macam-macam hal". Hati saya mula berasa geram dan panas bila mendengar apa yang berlaku. Boleh tersengih-sengih pula budak Si Nabil ni, semakin menyirap darah saya dibuatnya. Boleh dapat darah tinggi kalau tidak dikawal.

"Ni springnya cikgu".Iqbal menghulurkannya kepada saya. "Mana kamu dapat benda ni Nabil? Kamu punya ke? Dia cuma tunduk dan mengangguk. Takut agaknya menentang muka saya yang mula menyinga. "Kamu tau tak perbuatan kamu tu boleh menyebabkan kamu mati terkena karan? Kamu boleh kejung hangus tau!". Saya menggunakan bahasa paling mudah untuk difahami oleh mereka. "Nauzubillah.." bisik hati saya bila membayangkan jika berlaku perkara yang tidak diingini kepada mereka tadi. Saya termangu seketika memikirkan apa yang perlu saya lakukan ketika itu. Atas saranan guru besar setelah dimaklumkan apa yang berlaku, beliau meminta saya berjumpa dengan penjaga pelajar pada keesokkan harinya. Saya memberi amaran kepada Nabil agar surat tersebut diserahkan kepada ibubapanya. Jika tidak saya sendiri akan datang ke rumahnya.

"Puan tahu ke kenapa saya memanggil puan datang ke sekolah hari ini?" Tanya saya seraya mempersilakan ibu kepada Nabil duduk berhadapan dengan saya. Sebagai guru yang menguruskan hal ehwal pelajar, situasi seperti inilah yang paling saya tidak sukai sehingga terpaksa memanggil penjaga pelajar datang ke sekolah. Bukan niat untuk menyusahkan mereka yang bekerja, tapi ada ketikanya tindakan perlu diambil segera untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk di masa akan datang. Dia menggeleng."Tak tahu cikgu. Bila saya tanya dia tak mahu cakap apa-apa. Mesti Si Nabil tu ada buat salahkan cikgu?" Sambil matanya menjeling tajam ke arah anaknya Nabil yang berdiri di sebelah.

"Begini puan, semalam anak puan telah melakukan perbuatan yang boleh meragut nyawanya jika tidak ada pelajar yang nampak perbuatannya itu". Terkejut ibu itu apabila mendengar rentetan cerita yang saya sampaikan berkaitan anaknya. Merah mukanya menahan kemarahan."Sebenarnya cikgu, anak saya ni juga pernah melakukan hal yang sangat menjengkelkan kami sedikit masa dulu. Dia telah mengisi tangki motosikal ayahnya dengan pasir sehingga penuh menyebabkan ayahnya terpaksa mengambil cuti untuk menghantar motosikal itu ke bengkel. Tak tahulah saya cikgu, puas dah kami denda, rotan dan nasihat. rupa-rupanya dia masih lagi membuat kerja-kerja pelik ini," luahnya sedikit kesal dan malu atas sikap anaknya itu. "Cikgu nak rotan ke.. denda ke, saya tak akan marah."Saya hanya mampu mendengar luahan daripada seorang ibu yang agak kecewa dan marah dengan sikap anaknya itu.

"Kamu dengar tu Nabil?? Kamu nak buat lagi tak lepas ni???", gertak saya agak keras. Dia cuma menggeleng-gelengkan kepalanya,sambil matanya tak lepas dari memandang wajah ibunya. Tahu pulak dia buat muka sedih melihat genangan airmata di kelopak mata ibunya itu. Harap-harap dia menyesal atas perbuatannya itu selepas ini. "Beginilah puan, saya harap selepas ini puan segeralah ambil dia selepas waktu persekolahan. Jangan beri dia peluang untuk  merayau-rayau dan membuat sesuatu yang di luar kawalan semua pihak. Kadangkala sikap kita sendiri yang tidak prihatin dengan perangai anak sendiri menyebabkan perkara ini berlaku.Sama-samalah kita saling bekerjasama menangani perkara ini. Pihak sekolah akan mengingatkan semula perkara ini kepada semua pelajar agar tidak ada lagi pelajar yang membuat perkara-perkara yang boleh membahayakan kselamatan mereka sendiri selepas tamat waktu persekolahan." Hanya itu yang mampu saya katakan semasa mengiringi penjaga itu keluar dari bilik saya.

0 comments: