About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sabar dan Tabahlah Adikku

"Adik..tolong picit-picit sikit bahu mama ni..". Letih sungguh terasa badan selepas berulang alik dari Ipoh ke Johor Bahru kelmarin. Saya hanya sempat bermalam sehari sahaja memandangkan hari Jumaat ialah hari bekerja di Perak. Ingin saja menyambung cuti hingga ke hujung minggu, tapi apakan daya suami pula ada urusan penting di sini. Sementelah pula anak ada pertandingan kawad kaki untuk pasukan beruniform yang disertainya. Terpaksalah saya sekadar dapat berjanji untuk pulang bercuti pada cuti sekolah hujung bulan ini jika keadaan mengizinkan.

Bukanlah dalam perancangan saya sebenarnya untuk balik ke Johor tetapi disebabkan suami terpaksa mendengar keluhan demi keluhan saya setiap hari maka dia mencadangkan kami balik ke sana sempena cuti hari pekerja . Bagai pucuk dicita ulam mendatang, balik saja dari sekolah hari Rabu lepas kami terus bertolak. Terima kasih papa kerana sentiasa memahami dan bersabar dengan mama yang banyak kerenah. Memang saya tidak sabar untuk balik ke sana setelah  menerima perkhabaran demi perkhabaran tentang keadaan adik saya yang baru saja menjalani pembedahan buah pinggang pada minggu lepas. "Alang jangan bimbang..semua dah selamat". Itulah kata-kata yang sering didendangkan di telinga saya oleh adik-beradik saya di sana bila saya menelefon mereka. Airmata dan doa sajalah yang menjadi teman setiap kali saya teringat adik saya itu.

"Bila abang dengan Kak Lang sampai?". Am agak terkejut bila melihat saya dan keluarga telah berada di rumahnya ketika dia terjaga dari tidur. "Baru jer Am. Am macam mana sekarang?". Saya memandang ke arah wajahnya yang cengkung dan tubuhnya yang semakin susut. Sedih melihat keadaan adik lelaki saya yang seorang ini. Berat sungguh dugaan hidup yang dilaluinya. Bertimpa-timpa penyakit yang datang. Namun saya kagum dengan semangat yang ada pada dirinya. Menurut isterinya dia juga jarang sekali mengeluh dan menyusahkan orang lain dengan penyakitnya itu. Alhamdulillah, sememangnya dia adik yang terlalu baik dan kebaikannya itu adakalanya mengundang padah bila ada yang mengambil kesempatan ke atas dirinya. Saya sering mengingatkan agar berpada-padalah membuat kebaikan kepada orang lain.

Semalaman bersembang saya mengambil kesempatan menelah isihati dan apa jua perkara yang ingin dia kongsikan. Sememangnya saya antara kakak yang dia rapat dan selesa untuk dia berbicara dan bawa berbincang. Mungkin jarak usia yang lebih rapat dan membesar bersama menjadikan kami lebih mengenal hati budi masing-masing. Banyak yang kami bualkan dan banyak juga perkara yang meruntun hati saya hingga membuat saya sebak dan menahan airmata dari berlinangan. "Ajal maut di tangan Allah Am. Orang yang sihat pun ramai yang mati mengejut." Saya hanya mampu meluahkan kata-kata itu setiap kali dia merasakan dia akan pergi lebih dulu dari kami semua. "Ya Allah, Engkau berikanlah kesabaran dan ketabahan kepada  adikku ini. Panjangkanlah usianya dan berikan kesihatan yang baik padanya". Hanya doa yang mampu saya bisikkan di hati sepanjang mendengar keluh kesah darinya. Meskipun malam semakin larut dia masih ingin meluahkan segala yang terbuku di hatinya selama ini. Apabila saya menyuarakan kebimbangan terhadap kesihatannya, dia tidak mahu saya risau kerana dia merasakan dirinya semakin sihat. Saya setia menemaninya bersembang sehinggalah kokokan ayam  mula kedengaran.

Meskipun sukar untuk saya melelapkan mata, akhirnya saya terjaga bila suami mengejutkan lena saya kerana waktu subuh telah hampir ke penghujung. "Kenapa papa tak kejut mama awal sikit?".Saya agak terkejut bila jam sudah hampir menunjukkan jam 7.00 pagi. "Puas papa kejut, mama tu tidur mati. Ingat tadi papa nak siram air jer". Saya bingkas bangun tanpa menghiraukan gurauan suami. Inilah gara-gara tidur lewat sehingga solat pun dah subuh gajah kata orang-orang tua.

Ketika sarapan pagi Am masih lagi menyambung tidurnya. Keletihan barangkali akibat berjaga hingga lewat pagi. Terbit juga rasa bersalah di hati, bimbang kesihatan Am akan terganggu. Alhamdulillah, ketika kami sibuk menyiapkan juadah tengah hari, dia sempat menjengah ke dapur dalam keadaan yang ceria. Seperti biasa ada sahaja usikan yang membuat kami semua ketawa. Gembira, seronok dan sedih bercampur baur bila melihat dia boleh bergurau dan ketawa walaupun keadaannya ketika itu masih tidak bermaya. Saya tahu dia tidak mahu kami adik-beradik risaukan dirinya dan dia cuba sedaya mungkin untuk kelihatan sihat. Sayu hati ini tuhan sahaja yang tahu. Adakala terdetik di hati ini untuk kembali menetap di sana agar saya dapat berkumpul bersama-sama adik-beradik saya. Susah senang biarlah kami ada bersama. Apalah daya saya, tentunya sebagai isteri saya perlu akur dan berada di sisi suami yang mencari rezeki di sini. Mudah-mudahan impian saya untuk kembali bermastautin di negeri kelahiran saya akan tercapai setelah bersara nanti.

Selepas asar saya sekeluarga bertolak balik ke Ipoh. Meskipun berat rasa hati ini meninggalkan mereka semua, namun hidup perlu diteruskan dan saya perlu kembali untuk melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Sepanjang perjalanan saya lebih banyak mendiamkan diri sehingga saya sendiri gagal memahami  butir bicara antara suami dan anak. Sesekali saya hanya mengiakan sahaja apa yang ditanya oleh mereka. Masih jelas terbayang di mata, genangan airmata Am ketika saya memeluk dan mengucapkan selamat tinggal tadi. Saya tidak mampu berkata apa-apa, hanya pelukan erat kami saja mengambarkan segala-galanya. Rembesan airmata umpama hujan yang turun tanpa henti ketika kaki melangkah masuk ke dalam kereta. "Alang sayang Am...".

"Dahlah ma, penat adik." Saya tersentak ketika anak menyuarakan keletihannya memicit-micit badan saya. Jauh rupanya saya mengelamun..dan ketika saya menamatkan bait-bait akhir ini, airmata saya gugur lagi.




0 comments: