".....papa boleh pandu laju sikit tak?", satu permintaan yang tidak pernah saya buat sebelum ini. "dah cukup limit ni mama...nak laju macam mana lagi...?. Mama tenang ok...semua akan ok...", suami saya cuba memujuk. "Mama takut pa...", airmata terus menerus membasahi pipi bagai titisan air hujan yang tiada hentinya.
Sebenarnya pagi itu, saya sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Johor kerana mendapat panggilan kecemasan daripada adik yang meminta Maya pulang segera. " Kak Maya baliklah....Kak Ngah nampak makin uzur sejak malam tadi", begitu pesan adik subuh tadi ketika Maya bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Tanpa berlengah saya meninggalkan pesan pada teman sekerja dan segera bertolak awal pagi itu juga...
Dua minggu lepas ketika menerima berita Kak Ngah sakit, saya sempat menziarahinya dan ketika itu kesihatannya sudah semakin membaik...walaupun ketika itu Kak Ngah kelihatan masih bingung dengan kehadiran kami di sisinya. Ketika saya menyatakan ingin balik ke Perak petang itu, Kak Ngah tidak putus-putus memandang ke arah saya dengan mata yang berkaca-kaca, dan si pelakon airmata seperti saya sudah pasti membalas pandangan itu dengan limpahan airmata yang membuat semua yang datang menziarahi Kak Ngah turut bersedih dan menangis.
"Hati-hati memandu tu...jangan risau, kami di sini akan jaga Kak Ngah dengan sebaik mungkin", janji adik dan kakak pada saya selepas melihat keadaan saya yang sugul dan agak keberatan untuk meninggalkan Kak Ngah tempoh hari. Sejak dari hari itu, setiap hari saya akan menelefon ke kampung untuk mendapatkan berita terkini mengenai Kak Ngah. Sepanjang dua minggu itu, saya sentiasa mendapat perkhabaran yang begitu memberangsangkan. Kesihatan Kak Ngah semakin pulih dan dia kembali mengenali ahli keluarga kami. Syukur ke hadrat Illahi kerana mengembalikan kesihatan Kak Ngah.
Saya menjadi panik apabila mendapat panggilan telefon dari adik pagi itu. Berbagai gambaran buruk terlintas di fikiran saya ketika itu. Mungkinkah Kak Ngah ....Oh, tidak mungkin!. Saya buang jauh-jauh perasaan itu... Sepanjang perjalanan itu, kami tidak singgah walaupun sebentar di mana-mana hentian lebuh raya. Suami dan anak gadis saya begitu memahami emosi mamanya ketika itu...rasa dahaga atau lapar langsung tidak dirasai oleh saya ketika itu. Namun saya ada membawa sedikit bekalan untuk suami dan anak jika mereka memerlukan.
"Kak Maya di mana sekarang?, Masih jauh lagi ke?", satu suara menerjah ke telinga saya ketika saya menjawab panggilan telefon yang berdering. Debaran di dada saya semakin memuncak. "Kak Maya dah sampai Ayer Keroh ni....kenapa dengan Kak Ngah?", saya menjawab dalam keadaan gementar. "Kak Ngah baik-baik....pesan abang tu jangan pandu laju-laju sangat..berhati-hati ya...". Tanpa sempat saya mengetahui siapa yang membuat panggilan itu talian telefon terputus. "Mama tak sedap hatilah pa...", luah saya pada suami. "Mama berdoalah semoga semuanya selamat ya...Jangan fikir bukan-bukan". Suami cuba meredakan kegelisahan saya.
Tepat jam 12.30 tengah hari, saya sampai ke rumah Kak Ngah. Dari kejauhan saya dapat melihat ramai orang berada di halaman rumah Kak Ngah. Tanpa dipinta saya mula menangis teresak-esak. Semakin lama semakin kuat esakan saya. Suami hanya membiarkan tangisan saya, seolah dia faham kemungkinan yang telah berlaku. Anak dara saya memandang sayu, seakan mengerti kesedihan mamanya. Kepulangan saya disambut oleh adik bongsu saya...tanpa sebarang kata dia terus memeluk saya. Tangisan saya semakin kuat tanpa memperduli mereka yang berada di sekeliling. Langkah saya semakin longlai...saya tidak berdaya untuk masuk ke dalam rumah Kak Ngah. Suami dan adik terpaksa memapah saya...Saya terkilan...Kak Ngah pergi tanpa memberi saya kesempatan untuk mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya. Anak-anak Kak Ngah datang memeluk saya...."Ummi dah tak ada Mak Lang...", esak dan tangis menjadi satu dan ketika itu saya tidak mampu menjadi penenang pada anak-anak Kak Ngah. Saya sendiri sedang melawan emosi kesedihan yang tidak terbendung.
Selepas asar, jenazah Kak Ngah selamat disemadikan namun airmata ini masih lagi tidak mahu kering. Setiap kali kakak, adik dan anak-anak Kak Ngah bercerita mengenai aruah, tiap kali itu juga airmata ni akan mengalir laju. Seharusnya saya menerima ini dengan penuh redha... namun sebagai insan yang lemah, saya berasa terkilan kerana tidak berada di sisi Kak Ngah ketika dia menghembuskan nafasnya yang terakhir sedangkan semua adik-beradik saya berada di sisinya. " Sudahlah tu kak...Kak Ngah semasa sihat sempat memohon maaf pada semua dan dia juga minta sampaikan pada Kak Maya. Kita doakan sama-sama semoga roh Kak Ngah ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman.dan diterima di sisi Allah SWT....", pujuk adik bongsu saya ketika dia melihat saya masih lagi menyendiri dan muram. Saya hanya mengangguk lemah...
Dua hari berada di kampung, keadaan saya kembali pulih. Saya dapat menerima hakikat Kak Ngah sudah tiada. Menjadi tanggungjawab saya pula untuk memberi kekuatan dan semangat pada anak-anak Kak Ngah yang masih bersedih atas pemergian umminya. Selama 3 malam berturut-turut kami mengadakan majlis tahlil walaupun dalam Islam tidak menetapkan sedemikian. Perkiraan itu dibuat kerana ahli keluarga semua ada berkumpul dan mudahlah untuk semua hadir ke majlis bacaan tahlil itu. Di ruang masa itu jugalah saya diberitahu keadaan sebenar yang terjadi pada Kak Ngah di saat-saat akhir pemergiannya. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, Kak Ngah pergi dalam keadaan dia sudah pulih daripada penyakitnya. Kak Ngah juga cukup tenang sewaktu hayatnya diambil dan ini sudah cukup buat saya mengubati rasa terkilan yang bersarang di hati sebelum ini. Rasa rindu terhadap Kak Ngah tiba-tiba datang menerpa...
"...mama...hari ni kita makan di luar ya...papa dengan girl nak belanja mama makan sempena Hari Ibu..", suara itu mengejutkan saya dari lamunan. Saya hanya melemparkan sebuah senyuman pada mereka tanpa sebarang kata... Al Fatihah buat Kak Ngah yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat 29 April 2011 yang lalu...semoga aman di sisiNya...
Kau Pergi Jua...
Posted by Maya at Sunday, May 08, 2011
Labels: DI CELAH-CELAH KEHIDUPAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment