Cuti sekolah bagi semester pertama sudah bermula, dan di waktu-waktu begini saya mempunyai sedikit ruang untuk mengadap blog saya yang sudak agak lama juga tiada pengisian yang baru. Walaupun saya terpaksa bertugas untuk hari-hari tertentu, namun cuti sebegini sedikit sebanyak dapat merehatkan minda yang rasanya cukup penat kebelakangan ini. Amat tidak benar sama sekali jika ada yang mengatakan tugas sebagai pendidik senang kerana bila murid bercuti, guru juga bercuti...
Di sekolah saya, sehingga hari ini, guru-guru yang mengajar Tahun 6 masih lagi bertungkus-lumus mengajar meskipun cuti sekolah. Mereka sanggup mengenepikan kepentingan diri sendiri demi memastikan kejayaan anak bangsa. Oleh itu sangatlah tidak wajar jika terpacul kata-kata "guru makan gaji buta"semasa cuti. Jika mereka yang berada di bidang lain, makna cuti adalah cuti sepenuhnya, namun pendidik mindanya sentiasa bekerja, malahan banyak tugasan perlu diselesaikan walaupun berada di rumah...
"Kringg...kringggg...." , bunyi deringan telefon menghentikan seketika idea saya untuk menulis. "Assalamualaikum kak..., Fina ni", tanpa ditanya siapa gerangan di hujung talian, adik bongsu saya memperkenalkan dirinya. "Kak Maya tak balik kampung ke cuti sekolah ni?", dia terus menimbulkan persoalan. Mungkin sudah menjadi rutin dan kebiasaan saya untuk pulang menjengok ke kampung setiap kali cuti sekolah bermula. " Fina apa khabar? Semua sihat?", saya mematikan pertanyaannya. "Alhamdulillah...sampai terlupa Fina nak tanya khabar Kak Maya", dia tergelak kecil. Mungkin memikirkan pertanyaannya yang agak tergopoh-gapah tadi. Adik bongsu saya ni kalau bercakap laju...koma, noktah semua dilanggarnya..."Kak Maya, abang dengan girl semuanya sihat", jelas saya tersenyum sendiri membayangkan keletah adik bongsu saya itu.
" Kak Maya baliklah ya...kami banyak nak minta tolong Kak Maya ni", sambung Fina. "Minta tolong apa tu Fina? Kak Maya tolong bagi pendapat dengan makan tahulah...", saya berseloroh. "Ala Kak Maya ni...tolong siapkan gubahan usulah kak", jelas Fina bersungguh walaupun saya sudah sedia maklum mengenai perkara tersebut. " InsyaAllah Fina...esok lusa kalau abang kata ok, sampailah Kak Maya sana nanti", saya memberikan jawapan yang melegakan dia.
Masih terngiang-ngiang satu suara yang menegur saya ketika saya berada di kampung selepas jenazah Kak Ngah di bawa pergi untuk urusan pengebumian tempoh hari. "Apa khabar Kak Maya?", tegur seorang wanita yang kelihatan manis bertudung ketika saya berada dalam keadaan sugul di satu sudut di rumah Kak Ngah. Saya tak pasti adakah ketika itu saya memberikan respon pada pertanyaannya. Kelibat wanita itu seakan mengingatkan saya pada wajah seseorang." Di mana saya pernah bertemu wanita ini?", bisik hati kecil saya.
Akhirnya saya lupa mengenai kehadiran wanita itu sehinggalah dia muncul kembali pada majlis tahlil hari ketiga pemergian Kak Ngah...Dia melemparkan senyuman ketika kami saling berpandangan. Saya membalas senyuman dengan riak wajah seakan tertanya-tanya siapa gerangannya wanita itu. Seakan faham apa yang bermain di fikiran saya ketika itu, wanita itu mendekati saya lalu berkata.."Kak Maya tak ingat saya lagi ke?...saya Zira la kak...ingat lagi tak?",jelas wanita itu.
"Zira?...Zira yang duduk di Johor Bahru tu ke? Zira kawan Am dulu tu kan?, saya menyoalnya kembali. "Ya...sayalah tu Kak Maya, lama betul kita tak berjumpa kan kak...lebih dari 12 tahun agaknya...". Saya hanya mengangguk...Perbualan kami terhenti di situ disebabkan ketika itu saya sibuk membantu menyiapkan juadah untuk majlis tahlil pada malam itu. Dia juga turut menghulurkan tangan membantu kami sekeluarga. Terdetik juga di hati, gerangan apa yang membawanya ke sini...
Akhirnya segala persoalan saya terungkai, apabila dua minggu selepas itu...kakak saya yang berada di Johor Bahru menitipkan satu khabar gembira mengenai adik lelaki saya yang bernama Am yang pernah saya cerita sedikit masa dahulu. Khabarnya adik saya itu telah bersetuju untuk menamatkan zaman bujangnya buat kali kedua dalam masa terdekat. Benarlah apa yang terdetik di hati saya ketika melihat kehadiran wanita bernama Zira ketika di kampung dulu. Rupa-rupanya itu membawa petanda ada hubungan keluarga yang bakal tercipta...Syukur Alhamdulillah...akhirnya terbuka hati adik lelaki saya itu untuk memulakan kehidupan baru setelah gagal dalam perkahwinannya yang terdahulu...
Apakah istimewanya wanita itu sehingga dapat mencairkan hati lelaki adik saya?...Berbalik kepada hakikat bahawa jodoh, ajal maut hanya di tangan Allah. Kita sebagai hamba tidak tahu apa yang bakal terjadi di masa depan...Mungkin agak menghairankan bagi kita bagaimana mereka berdua boleh bertemu jodoh. Secara ringkas Maya jelaskan di sini bahawa wanita itu sebenarnya pernah menjadi teman wanita adik saya lebihkurang 15 atau 16 tahun dahulu kalau saya tidak silap. Akibat tiada jodoh, masing-masing membawa haluan sendiri dan memiliki keluarga sendiri. Sehinggalah suami kepada wanita tersebut meninggal dunia...saya tidak pasti sebab musabab kematiannya 5 tahun sudah.
Kini mereka akan disatukan kembali setelah masing-masing kembali sendiri. Aha...begitu romantik kisah mereka bagaikan drama minggu ini lagaknya. Kami sekeluarga sentiasa merestui pilihannya dan semoga mereka berbahagia di dunia dan akhirat... Jadikanlah kegagalan masa lalu sebagai pedoman hidup untuk kita mengharungi perjalanan menuju ke Jannah...InsyaAllah...
"Kak Maya masih ada ke tu...senyap je..?'", saya tersentak dari lamunan. Sambil tergelak kecil saya menjawab, "ada..ada.." "Adapun...ingat dah hilang tadi", nyaring suara adik bongsu di talian. "Perlahan sikit suara Fina tu boleh tak?...bingit tau telinga Kak Maya ni", saya berkata dengan nada gurau. "Kuat sangat ke suara Fina ni kak?..ada merdu macam suara Fina AF9 tu tak?", terkekek-kekek dia gelak."Ada-ada saja celotehnya..."Bolehlah...tapi picing tu ke lautlah Fina", saya pula yang tergelak agak kuat. "Ermm...taulah suara Kak Maya tu merdu...macam buluh betung", sempat lagi dia memuji sambil mengenakan saya. Adik bongsu saya ni masih lagi manja dengan sikap keanak-anakannya walaupun sudah beranak empat...
Perbualan kami terhenti di situ setelah saya berjanji akan balik juga ke kampung walau mungkin tidak dapat lama di sana. Memandangkan majlis adik lelaki saya akan berlangsung bukan dalam cuti persekolahan, makanya hanya waktu cuti sekolah inilah saya dapat membantu serba sedikit persiapan yang dibuat. Undangan perkahwinan yang diterima di sini pun tak menang tangan saya untuk menghadirinya. Hujung minggu lepas saja, ada tiga majlis yang saya hadiri dalam hari dan waktu yang sama.
Sehingga apabila tiba giliran rumah ketiga saya hanya menyicip sedikit makanan sebagai menghormati tuan rumah. "Tak larat dah perut saya ni pa", jelas saya pada suami. "Abang pun kenyang ni...", jawabnya sambil terus menyuap nasi baryani yang dihidangkan penuh selera. "Kuat makan sungguh laki aku ni", detik hati kecil saya seraya menahan gelak melihat gelagatnya..."Makanlah pa...rezeki jangan ditolak...musuh jangan dicari...betul tak? Tanpa bersuara, suami hanya mengiyakan sambil menganggul-anggukkan kepala...
Ikan di laut asam di darat, dalam periuk bertemu juga...
Posted by Maya at Tuesday, May 31, 2011
Labels: DI CELAH-CELAH KEHIDUPAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment