Lusa InsyaAllah kita semua akan mula berpuasa di bulan penuh kemuliaan Ramadhan Al Mubarak. Bulan yang dinantikan kehadirannya oleh seluruh umat Islam walau di mana keberadaan mereka di bumi Allah ini.
Ketika Maya sedang laju menaip bait-bait di ruangan di celah-celah kehidupan tadi, Maya dikejutkan dengan satu panggilan telefon. "Mama....mama...Mak Teh telefon!", jerit anak dara saya dari luar bilik. "Ya...ya...mama datang ni. Janganlah terjerit-jerit macam tu girl, terkejut mama dibuatnya", saya bersuara sambil memandang tepat ke arahnya. "I am sorry...", sambil tergelak dia membuat gaya seperti seorang pelawak.
"Assalamualaikum....Kak Teh ke tu?, saya ingin memastikan dia masih ada di hujung talian. "Waalaikumsalam wbt...Kak Teh ni...Maya dengan semua sihat ke?",pertanyaan yang semestinya akan dilontarkan terlebih dahulu oleh Kak Teh. "Alhamdulillah kak, semuanya semakin sihat ni...", jelas saya membayangkan keadaan kami tiga beranak yang semakin berkembang saiznya...Di usia semakin meningkat mungkin metabolisma dalam badan sangat perlahan terbakar. Saya tersenyum sendiri...
"Ada hal apa Kak Teh telefon pagi-pagi ni?, tanya saya agak hairan. Mungkin kebiasaanya kami sering berbual di telefon selepas maghrib atau malam. "Tak adalah apa halnya...cuma nak bagitau pasal si Am tu. Semalam, lepas subuh Si Za tu ada call Kak Teh. Cemas sangat bunyinya...Dia bagitau Am tu tiba-tiba pitam selepas keluar dari bilik air", terang Kak Teh. "MasyaAllah...teruk ke Kak Teh", tanya saya agak terkejut. Risau sungguh hati saya apabila mendapat perkhabaran mengenai ahli keluarga yang sakit...duduk jauh di sini membuat hati saya sering berdebar dan cemas apabila mendapat panggilan pada waktu yang tidak pada kebiasaan.
"Bergegas Kak Teh dengan abang ke sana...Alhamdullilah dalam setengah jam tu Am dah sedar semula. Kami bawa dia ke Hospital Puteri. Itu pun puas kena paksa baru dia nak pergi. Doktor kata tekanan darah dia rendah, tekanan jantung pun lemah", jelas Kak Teh lagi. Si Za tu tak henti-henti menangisnya. Mungkin dia terkejut agaknya", sambung Kak Teh. Saya faham dengan apa yang Kak Teh jelaskan itu. Maklumlah mereka baru dua minggu lebih hidup bersama, mungkin peristiwa itu sangat menakutkan bagi isterinya yang pernah kehilangan suami pertamanya dahulu.
"Sekarang ni Am di mana Kak Teh?", saya inginkan kepastian agar kebimbangan yang bersarang di hati reda sedikit. "Dah balik rumah...Doktor suruh dia berehat di wad tapi Maya bukan tak tahu Am tu...degil dia jer, berehat di rumah lagi bagus katanya...duduk di wad boleh dapat darah tinggi pulak katanya", Kak Teh seakan geram dengan adik lelaki yang seorang itu. Saya tersenyum sendiri membayangkan raut wajah Kak Teh ketika itu... Kakak yang paling mengambil berat terhadap susah senang adiknya, kerana mereka tinggal berhampiran di sana. Mungkin sifat Kak Teh yang penyayang dan lembut orangnya membuat dia lebih mengikut kehendak adiknya. Lainlah kalau Maya ni...sehingga Am tu pernah melabelkan Maya sebagai Kak Laser...hihi...Mungkin tugas sebagai pendidik membuat Maya lebih tegas dalam membuat sesuatu keputusan berbanding dengan kakak-kakak yang lain.
"Maya telefonlah Si Za tu ya...bagilah dia semangat. Kak Teh ni bukan pandai nak bagi motivasi pada orang. Jangan lupa ingatkan Si Am tu...dia tu cakap Maya dengar sikit. Kalau Kak Teh yang cakap...ada saja jawapnya...",pinta Kak Teh. " InsyaAllah Kak Teh, nanti Maya call mereka. Kak Teh terpaksa mohon diri kerana dia perlu bergegas ke kampung suaminya kerana bapa mertuanya pun sedang sakit.
Sambil memandang patah-patah perkataan yang tertera di skrin komputer, saya tiba-tiba jadi terharu dan sedih. Sedih bila memikirkan keadaan adik yang sering sakit-sakit. Ada juga desas desus yang mengandaikan adik Maya itu terkena sesuatu yang agak misteri. Secara logiknya pemeriksaan doktor tidak menunjukkan dia menghadapi masalah kesihatan yang serius, namun jika dia jatuh sakit secara tiba-tiba agak mencemaskan orang-orang di sekelilingnya. Antara percaya atau tidak, mungkin kita perlu berusaha mencari ramuan dari pelbagai kaedah perubatan. Namun harus diingat, kesembuhan itu adalah dari Allah SWT....Sebagai hambaNya kita hanya berusaha...
Buat Am dan isteri, tabah dan bersabarlah dengan segala ujian yang diberikan oleh Allah SWT. Kak Maya dan keluarga akan sentiasa mendoakan kesembuhan dan kebahagiaan kalian. InsyaAllah...Ameen...
Kita Hanya Berikhtiar
Posted by Maya at Friday, July 29, 2011
Labels: DI CELAH-CELAH KEHIDUPAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment