"Cikgu Maya ke?", pagi-pagi lagi saya telah dikejutkan dengan sapaan dari seorang penjaga murid. "Ya, saya...ada apa-apa yang boleh saya bantu encik?", saya terus bertanya tanpa dipinta. "Sebenarnya saya diminta datang oleh pihak sekolah dua minggu sudah. Tapi saya sibuk dan baru hari ini dapat datang", jelasnya. "Oh, encik ke penjaga kepada murid bernama Khairul dari tahun 6 tu?", baru saya teringat jawatan kuasa disiplin ada menghantar surat kepada penjaga pelajar tersebut untuk berbincang mengenai masalah pelajar itu.
"Saya bapa tiri kepada Khairul cikgu. Bapa kandung dia ada di Kelantan...Dia pindah ke sini pun sebab hak penjagaan diserahkan kepada ibunya oleh pihak mahkamah. Bapa budak tu bermasalah cikgu...penagih dadah". Saya diberi sedikit penjelasan mengenai latar belakang sebenar pelajar tersebut. Maklumlah Khairul baru 6 bulan belajar di sini, makanya banyak maklumat mengenainya tidak saya ketahui.
"Beginilah encik, sebenarnya saya dimaklumkan dua minggu sudah bahawa Khairul dah seminggu lebih tidak hadir ke sekolah tanpa sebab. Hasil dari maklumat yang kami terima dari rakan-rakan sekelasnya di dapati Khairul bekerja di sebuah gerai sebagai pembantu. Hasil pendapatan yang diperoleh tu dia gunakan untuk ke cyber cafe. Adakah encik tahu mengenai perkara ini?", saya terus memberi penerangan mengenai hal sebenar tanpa mahu berselindung apa-apa. Wajah penjaga pelajar tersebut yang dikenali sebagai Encik Ismail agak sedikit terkejut. " Jujur saya tidak tahu mengenai perkara ini cikgu...saya sendiri terkejut kerana selama ini setahu saya hari-hari dia pergi ke sekolah seperti biasa", perlahan dia menjawab.
"Itulah kebenarannya Encik Ismail...sebenarnya Khairul ni sejak awal lagi sudah banyak menimbulkan masalah pada guru-guru di sekolah ini. Selain suka ponteng sekolah, dia juga sering bergaduh dan membuli rakan-rakannya. Cakapnya juga kasar dengan guru-guru...Saya dan pihak sekolah dah berusaha menangani kes ini agar tidak berlarutan. Walau bagaimanapun kes terbaru ni agak membimbangkan pihak sekolah kerana jika berlaku sesuatu yang tidak diingini di luar sana, siapa yang harus bertanggungjawab?", saya menjelaskan dengan panjang lebar.
"Saya harap bila perkara ini berada dalam pengetahuan penjaga murid, kita dapat sama-sama bertindak dan memainkan peranan masing-masing. Jangan bila nasi dah menjadi bubur baru kita saling salah-menyalah. Saya rasa Khairul tu perlukan bimbingan dan kasih sayang dari orang tuanya, maklumlah dia datang dari keluarga yang bermasalah sebelum ini. Saya rasa Encik Ismail faham apa yang saya maksudkan". Saya berlagak seperti pakar kaunseling pula...Kebenaran kadangkala memang pahit untuk didengar atau diketahui....Encik Ismail hanya mengangguk dan termenung jauh...mungkin memikirkan kebenaran atau maksud kata-kata saya tadi.
"Saya akan cuba buat yang terbaik cikgu...", perlahan dia menjawab. "Saya harap Encik Ismail gunakanlah pendekatan yang terbaik ya... Anak-anak kita seperti Khairul tu masih mentah dan boleh dibentuk. Mereka cuma perlukan perhatian dari kita. Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan dia akan berubah sebelum keadaan menjadi lebih teruk...", sambung saya lagi. "Terima kasih banyak-banyak cikgu... Saya mintak pihak sekolah sama-sama menegur anak saya tu...", pintanya seraya bangun meminta diri. "InsyaAllah Encik Ismail...pihak sekolah sememangnya sentiasa mengambil berat pada setiap pelajar di sekolah ini".
Saya berasa lega kerana masalah ini dapat diselesaikan secara baik. Risau juga kerana ada juga keluarga yang sering bertindak melulu tanpa menyelidiki punca masalah apabila dipanggil hadir ke sekolah. Belum apa-apa dah menjerit... Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak-anak kita, seharusnya kita tahu pergerakan anak-anak kita sepanjang masa. Janganlah sering menyalahkan anak-anak bila kita sendiri tidak tahu ke mana dan apa aktiviti yang mereka buat. Luangkanlah masa yang berkualiti untuk anak-anak kita walau sesibuk manapun kita...Anak-anak adalah amanah Allah pada kita...sebagai ibu bapa kitalah yang sebenarnya mencorakkan mereka...
Kita Sebenarnya Mencorakkan Mereka...
Posted by Maya at Thursday, July 14, 2011
Labels: DI CELAH-CELAH KEHIDUPAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment