About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bubur Chacha

Bila ternampak gambar bubur chacha (caca? cacar?) teringin pula Maya nak makan. Jangan terfikir Maya mengidam pula ya.. Rasanya cukup lama Maya tidak membuat manisan bubur caca . Teringat pula semasa Maya di bangku sekolah dulu, ketika berada di 'form 1 atau 2' dulu. Inilah bubur yang pertama Maya belajar membuatnya. Masih Maya ingat lagi nama guru tersebut..Miss Quek yang berbangsa cina. Tepung yang berwarna-warni tu kami kena buat sendiri. Kami menguli dan memotong kemudian menjemurnya. Minggu berikutnya barulah kami memasak bubur caca tersebut.

Miss Quek ini boleh tahan garangnya ketika mengajar kami memasak..namun berkat kesabarannya mengajar kami yang keras tangan inilah, kami boleh menjadi tukang masak yang baik untuk keluarga hari ini. Terima kasih cikgu..

Ini contoh resipi bubur caca yang Maya ambil di internet. Lebih enak jika kita campurkan ubi keledek yang dipotong kecil ke dalam bubur caca tersebut.


Bahan-bahan ( 4 orang makan )

  • 2 cawan bubur chacha
  • 500 ml santan
  • 1 cawan gula pasir
  • 2 helai daun pandan

Cara-cara

  1. basuh bubur cacar/chacha sehingga bersih dan direbus sehingga empuk
  2. panaskan santan dengan api yang sederhana agar santan tidak pecah minyak
  3. masukkan bubur cacar/chacha yang sudah empuk, gula dan daun pandan (simpulkan daun pandan terlebih dahulu) ~ sukatan santan dan gula boleh ditambah atau dikurang mengikut selera anda ~
  4. masak bubur cacar/chacha sehingga pekat 
Selamat mencuba~

Berkorban Masa

Cuti sekolah datang lagi...dan seperti kebiasaannya Maya menerima banyak undangan majlis perkahwinan sama ada di sini atau di kampung Maya di Johor sana. Apakan daya..hanya ucapan tahniah yang dapat Maya titipkan melalui telefon pada mereka yang sudi menjemput. Kekangan masa yang begitu terhad, tidak mengizinkan Maya untuk memenuhi semua undangan.

Hujung minggu lepas Maya berkesempatan balik ke kampung Maya di Muar sana untuk menghadiri majlis pertunangan anak saudara perempuan Maya. Alhamdulillah dapatlah Maya berjumpa dengan sanak saudara Maya untuk melepas rindu..Maya juga amat bersyukur bila melihat adik Maya yang sakit (seperti yang Maya pernah tulis di sini) semakin sihat sekarang. Hanya nasihat dan pesanan yang dapat Maya berikan agar dia sentiasa menjaga kesihatannya..

Anak saudara Maya dipinang oleh anak teruna dari Selangor..kawan sama belajar di universiti katanya. barang hantaran antara dua negeri ini tidaklah banyak berbeza..ada persalinan lengkap dan ada juga kuih muih sebagai pemanis. Pada asalnya hanya 7 dulang berbalas 9, tetapi akhirnya bilangan itu bertambah menjadi 17 belas dulang bila saudara mara masing-masing menghadiahkan "sesuatu"..Untuk tidak mengecilkan hati pemberi..maka "sesuatu" itu terpaksalah diberikan juga kepada pihak lelaki..untung besarlah pihak sana ya :). Rezeki..

Apa yang menarik pada majlis tersebut, turut diberikan satu hantaran khas untuk si kakak yang belum lagi berpunya..sepersalinan baju dan juga sebentuk cincin. "Wah, untunglah angah ya..", saya saja mengusik anak buah saya..kakak kepada si adik yang bertunang. Angah cuma tersenyum... "Mak Lang tak ada calon ke untuk Angah?", dengan selamba dia menyoal saya pula. "Kalau Angah tak memilih..Mak Lang ada banyak calon ni..nanti Mak Lang bagi album gambar calon-calon tu", berderai gelak ketawa petang itu setelah majlis selesai. Rasa pantas sungguh masa berlalu...anak-anak buah semuanya semakin menginjak dewasa sekarang.

Walau bagaimanapun Maya tidak dapat lama berada di sana kerana anak pula sibuk dengan kelas 'tuisyen'nya. Nampaknya tahun ini Maya terpaksa melupakan rancangan untuk bercuti ke mana-mana sehinggalah anak selesai menghadapi PMRnya. Bagi Maya, meskipun bertugas sebagai pendidik namun masih memerlukan kelas 'tuisyen' ini untuk membantu anak memantapkan pemahamannya. Bukan untuk memperkecil atau menidakkan kemampuan guru-guru di sekolah menengah anak Maya tu, cuma bagi Maya hanya kelas 'tuisyen' itulah masa untuk anak Maya mengulangkaji pelajarannya secara teratur. Bimbang juga jika di rumah dia tidak fokus dan mengulangkaji..maklumlah kadang-kadang rancangan K-Pop yang diminatinya itu lebih kuat tarikannya untuk ditonton di televisyen.

Sama-samalah kita menjadi pendorong dan sentiasa meluangkan masa dengan anak-anak agar mereka sentiasa berada di landasan yang betul untuk mengharungi kehidupan mendatang yang penuh pancaroba ini. InsyaAllah..


Selamat Hari Guru 2012


Hari ini 16 Mei 2012, warga guru di seluruh Malaysia walau di ceruk mana sekalipun meraikan sambutan hari guru . Pelbagai ragam mungkin dapat dilihat di setiap sekolah sama ada diraikan, meraikan atau hanya mungkin syok sendiri yang lebih kata seorang teman..Biarlah apa yang orang kata, seharusnya kita berbangga kerana diberikan hari yang istimewa ini sebagai tanda seluruh negara menghargai pergorbanan guru dalam mendidik anak bangsa. 

Dan seperti biasa bagi guru-guru yang mengajar di sekolah rendah khususnya, pastinya hari ini 'bonet' kereta mereka akan penuh dengan pelbagai jenis hadiah. Tidak terkecuali dengan diri saya sendiri..Walau ada di antaranya hanya memberi sekeping kad yang dihasilkan dengan tangan mereka sendiri, saya menerimanya dengan perasaan bangga dan terharu.."Terima kasih..belajar pandai-pandai, semoga menjadi insan yang berguna", itulah antara bait-bait yang sering dilafazkan sebagai tanda menghargai pemberian mereka.

Pastinya di setiap sekolah, antara aktiviti yang mesti ada dalam aturcara majlis pada hari ini ialah menyanyikan lagu "Guru Malaysia" dan lagu tema tahun ini iaitu "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Walaupun ada suara-suara yang berbisik, "tak sedap sungguh lagu tahun ni.."namun nyanyi tetap nyanyi walaupun tempo entah ke mana..Inilah lirik lagu tema pada tahun ini :

Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara

Kita berbicara tentang inovasi
Ciptaan baharu gaya hidup kini
Meningkatkan Produktiviti Terkini

Bangun, beranikan terima seruan
Mendidik, memimpin penuh berwawasan
Menciptakan kreativiti
Melahirkan Guru Inovatif

c/o
Sahutlah cabaran, perubahan
Daulatkan Bidang Pendidikan,
Guru Inovatif Melonjakkan
Transformasi Pendidikan Negara
Malaysia Ku tercinta

Kita berbicara tentang inovasi
Ciptaan baharu gaya hidup kini
Meningkatkan Produktiviti Terkini

Tiada pernah jemu tiada putus asa
Sedia menimba ilmu di mana saja
Binakanlah keyakinan
Merentasi segala halangan

Kuih Lopes

Kuih yang diperbuat daripada pulut merupakan kegemaran anak dara saya sejak kecil . Lemang, pulut panggang, pulut inti dsbnya begitu menyelerakan tekaknya. Saya pula sememangnya kurang sedikit kuih-kuih dari pulut ni. Mungkin juga anak dara saya dibesarkan di negeri bapanya yang terkenal dengan lemang sebagai makanan tradisi. kelmarin seorang teman membawa kuih lopes sebagai bekalan ke sekolah. Enak juga rasanya..Saya bercadang untuk membuatnya memandangkan dah lama juga saya tidak menyediakan hidangan daripada pulut ini. Bila tu...?


Bahan-bahan:
2 cawan beras pulut
2 cawan santan cair
1/2 cawan air pandan (dikisar)
1 sudu kecil air kapur
1/2 sudu kecl garam
Beberapa titik pewarna hijau
Kelapa parut yg di gaul dengan sedikit garam.

Cara penyediaan:
1. Cuci beras pulut, rendam beras pulut dgn air yang dicampurkan dengan perwarna hijau dan air kapur. Rendamkan selama 3jam.
2. Kisar daun pandan bersama 1/2 cawan air dan tapiskan airnya.
3. Toskan beras dan masukkan dalam loyang. Kukus selama 20minit.
4. Kemudian masukkan santan yang dicampurkan dgn garam dan air pandan kukus lagi selama 30minit.
5. Alas bekas 4segi/bulat dengan plastik/daun pisang. Ambil pulut yg telah masak tadi dan tekan padat2 dgn plastik/daun pisang.
6. Biarkan sejuk,kemudian potonglah ikut bentuk yang disukai. Kemudian golekkan dalam kelapa parut.

Bahan Untuk Air Gula:
3 ketul gula melaka
5 sudu besar gula
3 cawan air
2 helai daun pandan ~ disimpul.

Cara penyediaan:
~ Masukkan semua bahan ke dalam periuk. Bila mendidih kecilkan api dan masak hingga agak likat/pekat. Bila sudah sejuk bolehlah dimakan bersama pulut.

Malang Tak Berbau..

"Cikgu.......cikgu! Danial berdarah..!", saya dikejutkan dengan jeritan beberapa orang pelajar ketika baru saja hendak melangkah keluar dari bilik untuk pulang tengah hari tadi. "Masalah lagi...kenapalah budak-budak ni tak balik lagi..jam dah 12.45 tengah hari. Sepatutnya hari Jumaat jam 12.00 ibu bapa dah ambil mereka...",gerutu hati saya sedikit kesal. Dalam keterpaksaan saya harus juga mengambil tahu apa yang terjadi untuk mengelakkan masalah timbul kemudian hari.

"Awak berdua mari sini !", saya sedikit menjerit. Mungkin sedikit emosi..maklumlah hari Jumaat saya harus bergegas untuk mengambil anak, juga disebabkan suami pulang ke rumah untuk makan sebelum menunaikan solat Jumaat. Jika hari-hari biasa saya mungkin tidak sekalut ini. Patutlah suami selalu menegur..sibukkan sangat anak orang, anak sendiri terabai. Erm..

"Cepat bagitau cikgu apa yang berlaku tadi?",saya mendesak. Dalam sedu sedan kedua-dua yang terlibat saling tuduh menuduh antara satu sama lain. "Beritahu cikgu sorang-sorang!",saya terus meninggikan suara bila melihat masing-masing tidak mahu mengaku punca berlakunya kejadian tersebut. "Awak yang sepak muka Danial sampai luka ke Aizat? Kenapa awak buat macam tu?", geram berbaur marah membara di dalam hati. "Dia ajak saya main lawan-lawan...saya lawanlah", dia menjelaskan sambil menangis. Saya terus menepuk dahi..sabar jelah dengan perangai budak-budak ni. Nasib baik budak-budak tahun 2, kalau murid tahun 5 atau tahun 6 memang tunggu ajelah nasib mereka nanti.

Saya memeriksa keadaan Danial, agak teruk juga calar di pipi dan dahinya. Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, ketika mereka berdua bergumpal di atas padang, muka Danial telah terkena ranting kayu yang terdapat di padang. Maknanya bukan disebabkan tumbukan Aizat. Tapi puncanya tetap salah...bergaduh selepas waktu sekolah.

Ketika saya bingung memikirkan apa yang perlu dibuat, tiba-tiba Danial mencapai beg dan terus berlari.."Van dia dah sampai cikgu", jelas seorang pelajar yang berada di situ. Saya tidak sempat untuk menyelesaikan perkara itu..tergantung begitu sahaja.. "Erm...nampaknya hari Isnin nanti terpaksalah saya menghadapi satu lagi masalah", bisik hati kecil saya.

"Awak yang nampak kejadian tadi..hari Isnin nanti cikgu nak jumpa",pesan saya kepada beberapa orang murid yang berada di situ. Saya perlukan saksi untuk menjelaskan apa yang berlaku sekiranya ibu bapa pelajar datang untuk merujuk kes tersebut. Sepanjang perjalanan balik saya masih lagi diburu rasa kesal dengan sikap segelintir ibu bapa dan penjaga yang memandang remeh keselamatan anak mereka selepas tamat waktu persekolahan. Adalah perkara biasa terdapat antara pelajar-pelajar ini diambil selewat jam 3.00 petang. Siapa patut disalahkan jika berlaku hal-hal yang tidak diingini pada waktu begini..

Mungkin disebabkan kes-kes sedemikianlah ada segelintir teman-teman saya mahu segera pulang setiap hari Jumaat. Inilah padah yang saya dapat bila sering pulang lewat...Silap-silap nanti sekolah juga yang akan disalahkan kerana tidak mampu menjaga keselamatan anak mereka. Wahai ibu bapa dan penjaga di luar sana...tolonglah prihatin sedikit dengan keselamatan anak-anak anda. Ambillah anak-anak tepat pada waktunya. Janganlah hanya berharap pada sekolah walaupun ada pengawal keselamatan. Anak-anak kecil belum panjang akalnya. Dalam gurau pun mungkin mendatangkan bahaya.Malang tak berbau..Bayangkan jika tiada siapa lagi di sekolah masa itu..Selamatkah mereka?