About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Malang Tak Berbau..

"Cikgu.......cikgu! Danial berdarah..!", saya dikejutkan dengan jeritan beberapa orang pelajar ketika baru saja hendak melangkah keluar dari bilik untuk pulang tengah hari tadi. "Masalah lagi...kenapalah budak-budak ni tak balik lagi..jam dah 12.45 tengah hari. Sepatutnya hari Jumaat jam 12.00 ibu bapa dah ambil mereka...",gerutu hati saya sedikit kesal. Dalam keterpaksaan saya harus juga mengambil tahu apa yang terjadi untuk mengelakkan masalah timbul kemudian hari.

"Awak berdua mari sini !", saya sedikit menjerit. Mungkin sedikit emosi..maklumlah hari Jumaat saya harus bergegas untuk mengambil anak, juga disebabkan suami pulang ke rumah untuk makan sebelum menunaikan solat Jumaat. Jika hari-hari biasa saya mungkin tidak sekalut ini. Patutlah suami selalu menegur..sibukkan sangat anak orang, anak sendiri terabai. Erm..

"Cepat bagitau cikgu apa yang berlaku tadi?",saya mendesak. Dalam sedu sedan kedua-dua yang terlibat saling tuduh menuduh antara satu sama lain. "Beritahu cikgu sorang-sorang!",saya terus meninggikan suara bila melihat masing-masing tidak mahu mengaku punca berlakunya kejadian tersebut. "Awak yang sepak muka Danial sampai luka ke Aizat? Kenapa awak buat macam tu?", geram berbaur marah membara di dalam hati. "Dia ajak saya main lawan-lawan...saya lawanlah", dia menjelaskan sambil menangis. Saya terus menepuk dahi..sabar jelah dengan perangai budak-budak ni. Nasib baik budak-budak tahun 2, kalau murid tahun 5 atau tahun 6 memang tunggu ajelah nasib mereka nanti.

Saya memeriksa keadaan Danial, agak teruk juga calar di pipi dan dahinya. Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, ketika mereka berdua bergumpal di atas padang, muka Danial telah terkena ranting kayu yang terdapat di padang. Maknanya bukan disebabkan tumbukan Aizat. Tapi puncanya tetap salah...bergaduh selepas waktu sekolah.

Ketika saya bingung memikirkan apa yang perlu dibuat, tiba-tiba Danial mencapai beg dan terus berlari.."Van dia dah sampai cikgu", jelas seorang pelajar yang berada di situ. Saya tidak sempat untuk menyelesaikan perkara itu..tergantung begitu sahaja.. "Erm...nampaknya hari Isnin nanti terpaksalah saya menghadapi satu lagi masalah", bisik hati kecil saya.

"Awak yang nampak kejadian tadi..hari Isnin nanti cikgu nak jumpa",pesan saya kepada beberapa orang murid yang berada di situ. Saya perlukan saksi untuk menjelaskan apa yang berlaku sekiranya ibu bapa pelajar datang untuk merujuk kes tersebut. Sepanjang perjalanan balik saya masih lagi diburu rasa kesal dengan sikap segelintir ibu bapa dan penjaga yang memandang remeh keselamatan anak mereka selepas tamat waktu persekolahan. Adalah perkara biasa terdapat antara pelajar-pelajar ini diambil selewat jam 3.00 petang. Siapa patut disalahkan jika berlaku hal-hal yang tidak diingini pada waktu begini..

Mungkin disebabkan kes-kes sedemikianlah ada segelintir teman-teman saya mahu segera pulang setiap hari Jumaat. Inilah padah yang saya dapat bila sering pulang lewat...Silap-silap nanti sekolah juga yang akan disalahkan kerana tidak mampu menjaga keselamatan anak mereka. Wahai ibu bapa dan penjaga di luar sana...tolonglah prihatin sedikit dengan keselamatan anak-anak anda. Ambillah anak-anak tepat pada waktunya. Janganlah hanya berharap pada sekolah walaupun ada pengawal keselamatan. Anak-anak kecil belum panjang akalnya. Dalam gurau pun mungkin mendatangkan bahaya.Malang tak berbau..Bayangkan jika tiada siapa lagi di sekolah masa itu..Selamatkah mereka?

0 comments: