Semasa zaman kanak-kanak dulu, ibu saya sering mengalunkan lagu-lagu
nasyid dari kumpulan Orkes Sinar Murni ini. Saya membesar seiring dengan
zaman kegemilangan kumpulan ini. Lagu-lagunya memberikan kesan yang
cukup mendalam dan sering dijadikan pilihan untuk pertandingan nasyid di
sekolah ketika itu. Kumpulan nasyid saya pernah mendapat tempat ketiga
ketika membawa lagu ini untuk pertandingan nasyid peringkat mukim ketika
sambutan Maulidur Rasul ketika itu. Sehingga kinipun saya suka
memutarkan lagu-lagu kumpulan ini.
ORKES SINAR MURNI - CUBA RENUNGKAN
Posted by Maya at Sunday, April 20, 2014 0 comments
Sekadar Berkarya
Salam buat semua. Ada yang bertanya kepada saya, adakah cerita-cerita yang saya paparkan di blog ini kisah benar. Mungkin cerita yang saya sampaikan lebih berbentuk cerpen, maka ramai yang beranggapan ianya sekadar nukilan dan khayalan penulis. Tidak saya nafikan cara penyampaian saya lebih terarah kepada penceritaan cerpen atau novel namun sebenarnya inti pati ceritanya adalah hal-hal yang berlaku dalam kehidupan seharian saya. Semuanya adalah kisah benar, cuma saya garap dalam bentuk yang lebih menarik untuk dibaca ..ada ke peminat? :-) maklumlah saya dulu pernah bercita-cita menjadi wartawan tapi tak kesampaian pula.
Mengenai di mana saya bertugas tu..terpaksalah saya rahsiakan. Ini untuk kebaikan semua pihak. Untuk pengetahuan juga, nama watak dalam karya saya bukanlah nama sebenar. Ini untuk mengelakkan salah faham dan juga menjaga kepentingan semua.In Sha Allah, saya hanya berniat untuk mengasah bakat berkarya saya di sini. Ambillah yang baik sebagai teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.
Posted by Maya at Saturday, April 19, 2014 0 comments
Labels: UMUM
Memori Indah Bersamamu Sahabat
Deringan bunyi telefon yang bertalu-talu mengejutkan saya dari tidur. Sempat saya membelek jam loceng, belum subuh lagi. Baru jam 4.30 pagi. Suami bergegas bangun dan menjawab panggilan. Risau juga di hati bila dapat panggilan pada waktu-waktu begitu. "Siapa pa?," Saya tidak sabar untuk mengetahui pemanggilnya. "Hmmmm, salah nombor, mengacau orang tido jer", rungut suami seraya kembali menyambung tidurnya. Cepat sungguh dia boleh terlelap semua. Bunyi dengkurannya yang agak kuat membuat mata saya hilang rasa mengantuk. Terkebil-kebil melayan perasaan sendiri sehinggalah azan subuh berkumandang. Saya segera bangkit.
Setelah selesai menunaikan kewajipan, sekali lagi telefon berbunyi. "Mama jawaplah, malas papa nak layan. Asyik salah nombor jer."Gerutu suami agak jengkel. Saya segera mencapai gagang dan terdengar satu suara halus di hujung sana. " Maya ke tu? Norazah ni dari Muar." Belum sempat saya bertanya, dia telah mempekenalkan dirinya terlebih dulu. "Azah? Azah Muar?", saya pula yang kelam kabut menjawab. Masih kabur dengan nama pemanggil. Biasanya kalau saya dapat panggilan dari Muar, pastinya dari kaum keluarga saya sendiri.
"Azah toncetlah, aishhhh cepaat no lupa kawan aku sorang ni". Seakan dia tau saya kebingungan di sini. "Haaa..Azah! Kau rupanya. Mimpi apa kau telefon aku pepagi buta ni?". Buat terkejut aku jer. Memang saya beraku engkau jer bila bersembang dengan teman-teman lama. Azah merupakan sahabat baik saya ketika sama-sama belajar di maktab dahulu. "Maya, aku ada berita sedih nak sampaikan kat engkau ni. Kawan kita Aya dah tak ada. Dia dah meninggal malam tadi Maya". Aku terpaku. Kelu rasa lidah untuk membalas kata-kata Azah. Aku hanya mampu menjawap dalam hati."Innalillah wainnalillah hirajiun."
"Aruah sakit apa Azah?". Airmata terus merembes membasahi pipi. Berita itu benar-benar mengejutkan saya. Sebagai sahabat yang sangat akrab satu ketika dulu, saya terkilan kerana tidak pernah tahu penderitaan aruah selama ini. "Kanser payu dara tahap 4 Maya. Aku pun tahu baru-baru ini jer. Tapi tak sangka pulak dia kritikal. Dia ceria jer masa aku terserempak di bandar tempoh hari", cerita Azah sayu. "Terima kasih Azah kau sudi bagitau aku. Sampaikan salam takziah aku buat keluarga aruah yer. Aku tak dapat balik ke sana." Jelas saya agak terkilan. "Aku faham, engkau jauh. Yang penting aku dah sampaikan. Sama-sama kita doakan moga roh aruah tenang di sana. In Sha Allah aku sampaikan salam kau nanti. Assalamualaikum Maya..bye". "Waalaikumsalam..bye". Kata-kata Azah membuat saya lebih terharu. Saya menangis teresak-esak..melepaskan rasa sebak di dada. Semua kenangan manis ketika bersama aruah kembali mengisi memori. Dialah sahabat yang paling memahami saya satu ketika dahulu. Ketika kami sama-sama menginjak zaman remaja dan seterusnya menjadi dewasa.
Masih terngiang-ngiang di telinga ini, bila dia memarahi saya ketika itu. " Kalau kau teruskan niat kau tu, kita putus sahabat. Apa-apa hal terjadi lepas ni, kau jangan cari aku."Marah betul Aya pada saya ketika itu. Puncanya kerana saya melayan seorang guru pelatih senior yang terkenal dengan jolokan buaya darat di maktab. Saya bukanlah bersungguh sangat nak kenal buaya darat tu. Sekadar ingin melihat sejauh mana dia suka mempermainkan hati para gadis maktab ketika itu. Kalau berpeluang saya ingin mempermainkan dia pula. Biar dia rasa bagai mana perasaan bila dipermain-mainkan. Agak nakal juga saya ketika itu, namun semua itu sudah berlalu dan menjadi kenang-kenangan. Saya akhirnya membuat keputusan yang betul bila memutuskan hubungan dengan buaya darat itu demi sebuah persahabatan. Dunia persahabatan antara saya, Azah dan Aya cukup indah sekali ketika itu. Susah senang kami bersama. Kami sering digelar 3 Dara Pingitan seperti kisah dalam komik Gila-gila yang cukup terkenal satu ketika dulu.
"Kenapa ni ma?". Aku tersedar dari lamunan apabila ditegur oleh suami. Mungkin dia terkejut melihat saya menangis teresak-esak di ruang tamu sendirian. Dia meminta saya banyak bersabar dan menerima ketentuan Allah setelah tahu apa yang terjadi. Saya hanya mampu menganggukkan kepala tanda bersetuju walau di hati sanubari ini terlalu banyak perkara yang membuat saya terkilan. Saya bukanlah sahabat yang baik kerana tidak pernah ada di sampingnya ketika aruah menderita. Kesibukan tugas masing-masing telah menjarakkan hubungan persahabatan kami. Saya hanya berkesempatan bertemu aruah dua tahun dulu, ketika dia datang bertandang ke rumah keluarga saya di Muar. Itulah kali terakhir saya menemui aruah dan ketika itu beliau masih lagi sihat dan masih dengan sikapnya yang ramah dan suka mengusik. Sesungguhnya mati itu benar. Tidak terlewat dan tidak tercepat walau sedetik pun bila waktunya tiba.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.. Ameen.
Posted by Maya at Saturday, April 19, 2014 0 comments
Labels: KENANGAN
Mari Berpantun
Maya selalu ditanya oleh murid-murid di sekolah. "Cikgu Maya..apa Facebook cikgu..saya nak 'add' . Kawan-kawan juga begitu.." Engkau tak ada FB ( kata singkat untuk Facebook ) ke Maya? Kalau ada saya nak 'add'. Biasanya saya akan menggeleng dan kata, "cikgu tak pandai nak ber 'FB'.. Sebenarnya ketika laman sosial seperti 'facebook' menjadi medium yang popular, Maya juga tidak ketinggalan mendaftar sebagai ahli. Kalau orang lain menjadi ahli yang aktif tapi Maya pula ahli yang pasif. Tak ke mana pun akaun tu..terperap juga :-)
Hari ini entah bagaimana, terdetik di hati untuk mengisi laman blog Maya yang dah lama ditinggalkan dengan koleksi pantun. Maya terjumpa satu halaman pantun di FB tapi memerlukan akaun FB untuk menyertainya. Nasiblah Maya masih ingat 'password' dan akaun masih boleh diaktifkan. Alhamdulillah "Request' saya diterima. Agak menarik dan aktif juga aktiviti berpantun ahli-ahli di sana. Ketika saya mengajukan permintaan untuk memberikan idea pantun bertemakan sukan rakyat ( seorang kawan yang melatih pasukan pantun sekolah meminta bantuan Maya untuk mencipta pantun tema tersebut ), respon yang saya terima amat baik sekali.
Tak kenal maka tak cinta. Memang seronok bila dapat berbalas-balas pantun dengan mereka yang berminat dengaan warisan budaya bangsa ini. Inilah antara rangkap-rangkap pantun yang berjaya digarap oleh ahli-ahli di sana. Menarik dan dalam maksudnya.
sungguh tajam sibulu landak
jangan dipegang diwaktu malam
jika nakhodanya memaksa kehendak
alamat lancang kuning akan tenggelam
jika berjalan diwaktu malam
bawalah suluh untuk penerang
bila kapal mahu tenggelam
janji setia harus dipegang...
ikan talang ikan berlemak
hendak mengulai tidak berapi
kerbau bejalan sudah jinak
hendak menambat tidak bertali...
Walau bagaimanapun ada juga yang mencipta pantun tanpa mengikut hukum pantun yang sebenarnya. Pastinya kedengaran agak janggal bila di penghujung baris tidak senada..Sepatutnya pantun mestilah diakhiri dgn A B A B . Contohnya A = nuri B = lada C = beri D = dada ( ri da ri da ).
Pantun merupakan warisan peninggalan bangsa yang amat bernilai. Terserlah kelembutan dan betapa beradabnya bangsa melayu kita satu ketika dulu apabila sesuatu hajat atau keinginan disampaikan dengan berpantun. Amatlah dialu-alukan apabila pihak Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif untuk menghidupkan kembali warisan budaya ini dengan mengadakan Pertandingan Pantun antara sekolah-sekolah sehingga ke peringkat kebangsaan.
Semoga generasi akan datang akan lebih menghargai khazanah warisan bangsa ini.
Posted by Maya at Saturday, April 05, 2014 0 comments
Labels: UMUM
Pekasam dan Talam Keladi
Nampaknya terperam kembalilah blog Maya ini. Kalau ikan dijeruk memang sedang elok jadi pekasam. Masa sering menjadi kekangan yang tidak berpenghujung selagi belum pencen dari tugas. Bila dah pencen hal lain pula yang menunggu.. Semalam Maya ke Teluk Intan mencari hasil-hasil kampung di sana. Dapat juga benda yang dicari..ubi kayu, ubi keledek, ubi keladi dan yang paling terkenal buah nanasnya. Penuhlah bonet kereta..hinggakan suami Maya kata, "Lepas ni kita boleh berniaga di pasar malam Ipoh pula", hihi menikam sungguh ayat dia. Tak kisahlah kan..asalkan apa yang dihajat tercapai.
Petang ni Maya nak makan kuih talam keladi. Resipi pun Maya dah jumpa. Maya suka ambil resipi dari blog Mat Gebu. http://www.tiffinbiru.com/2009/01/talam-keladi.html . Selama ini memang menjadilah apa resipi yang Maya ambil pun. Caranya mudah dan ringkas..hasilnya memang sangat memuaskan.
Tengok gambar pun dah kecur air liur Maya..Harap-harap menjadilah..
Posted by Maya at Saturday, April 05, 2014 0 comments
Labels: UMUM