Deringan bunyi telefon yang bertalu-talu mengejutkan saya dari tidur. Sempat saya membelek jam loceng, belum subuh lagi. Baru jam 4.30 pagi. Suami bergegas bangun dan menjawab panggilan. Risau juga di hati bila dapat panggilan pada waktu-waktu begitu. "Siapa pa?," Saya tidak sabar untuk mengetahui pemanggilnya. "Hmmmm, salah nombor, mengacau orang tido jer", rungut suami seraya kembali menyambung tidurnya. Cepat sungguh dia boleh terlelap semua. Bunyi dengkurannya yang agak kuat membuat mata saya hilang rasa mengantuk. Terkebil-kebil melayan perasaan sendiri sehinggalah azan subuh berkumandang. Saya segera bangkit.
Setelah selesai menunaikan kewajipan, sekali lagi telefon berbunyi. "Mama jawaplah, malas papa nak layan. Asyik salah nombor jer."Gerutu suami agak jengkel. Saya segera mencapai gagang dan terdengar satu suara halus di hujung sana. " Maya ke tu? Norazah ni dari Muar." Belum sempat saya bertanya, dia telah mempekenalkan dirinya terlebih dulu. "Azah? Azah Muar?", saya pula yang kelam kabut menjawab. Masih kabur dengan nama pemanggil. Biasanya kalau saya dapat panggilan dari Muar, pastinya dari kaum keluarga saya sendiri.
"Azah toncetlah, aishhhh cepaat no lupa kawan aku sorang ni". Seakan dia tau saya kebingungan di sini. "Haaa..Azah! Kau rupanya. Mimpi apa kau telefon aku pepagi buta ni?". Buat terkejut aku jer. Memang saya beraku engkau jer bila bersembang dengan teman-teman lama. Azah merupakan sahabat baik saya ketika sama-sama belajar di maktab dahulu. "Maya, aku ada berita sedih nak sampaikan kat engkau ni. Kawan kita Aya dah tak ada. Dia dah meninggal malam tadi Maya". Aku terpaku. Kelu rasa lidah untuk membalas kata-kata Azah. Aku hanya mampu menjawap dalam hati."Innalillah wainnalillah hirajiun."
"Aruah sakit apa Azah?". Airmata terus merembes membasahi pipi. Berita itu benar-benar mengejutkan saya. Sebagai sahabat yang sangat akrab satu ketika dulu, saya terkilan kerana tidak pernah tahu penderitaan aruah selama ini. "Kanser payu dara tahap 4 Maya. Aku pun tahu baru-baru ini jer. Tapi tak sangka pulak dia kritikal. Dia ceria jer masa aku terserempak di bandar tempoh hari", cerita Azah sayu. "Terima kasih Azah kau sudi bagitau aku. Sampaikan salam takziah aku buat keluarga aruah yer. Aku tak dapat balik ke sana." Jelas saya agak terkilan. "Aku faham, engkau jauh. Yang penting aku dah sampaikan. Sama-sama kita doakan moga roh aruah tenang di sana. In Sha Allah aku sampaikan salam kau nanti. Assalamualaikum Maya..bye". "Waalaikumsalam..bye". Kata-kata Azah membuat saya lebih terharu. Saya menangis teresak-esak..melepaskan rasa sebak di dada. Semua kenangan manis ketika bersama aruah kembali mengisi memori. Dialah sahabat yang paling memahami saya satu ketika dahulu. Ketika kami sama-sama menginjak zaman remaja dan seterusnya menjadi dewasa.
Masih terngiang-ngiang di telinga ini, bila dia memarahi saya ketika itu. " Kalau kau teruskan niat kau tu, kita putus sahabat. Apa-apa hal terjadi lepas ni, kau jangan cari aku."Marah betul Aya pada saya ketika itu. Puncanya kerana saya melayan seorang guru pelatih senior yang terkenal dengan jolokan buaya darat di maktab. Saya bukanlah bersungguh sangat nak kenal buaya darat tu. Sekadar ingin melihat sejauh mana dia suka mempermainkan hati para gadis maktab ketika itu. Kalau berpeluang saya ingin mempermainkan dia pula. Biar dia rasa bagai mana perasaan bila dipermain-mainkan. Agak nakal juga saya ketika itu, namun semua itu sudah berlalu dan menjadi kenang-kenangan. Saya akhirnya membuat keputusan yang betul bila memutuskan hubungan dengan buaya darat itu demi sebuah persahabatan. Dunia persahabatan antara saya, Azah dan Aya cukup indah sekali ketika itu. Susah senang kami bersama. Kami sering digelar 3 Dara Pingitan seperti kisah dalam komik Gila-gila yang cukup terkenal satu ketika dulu.
"Kenapa ni ma?". Aku tersedar dari lamunan apabila ditegur oleh suami. Mungkin dia terkejut melihat saya menangis teresak-esak di ruang tamu sendirian. Dia meminta saya banyak bersabar dan menerima ketentuan Allah setelah tahu apa yang terjadi. Saya hanya mampu menganggukkan kepala tanda bersetuju walau di hati sanubari ini terlalu banyak perkara yang membuat saya terkilan. Saya bukanlah sahabat yang baik kerana tidak pernah ada di sampingnya ketika aruah menderita. Kesibukan tugas masing-masing telah menjarakkan hubungan persahabatan kami. Saya hanya berkesempatan bertemu aruah dua tahun dulu, ketika dia datang bertandang ke rumah keluarga saya di Muar. Itulah kali terakhir saya menemui aruah dan ketika itu beliau masih lagi sihat dan masih dengan sikapnya yang ramah dan suka mengusik. Sesungguhnya mati itu benar. Tidak terlewat dan tidak tercepat walau sedetik pun bila waktunya tiba.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.. Ameen.
Memori Indah Bersamamu Sahabat
Posted by Maya at Saturday, April 19, 2014
Labels: KENANGAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment