"Haa ada lagi..ni pindah ke sini kes apa pulak?", dari jauh saya terdengar suara lantang Kak Asiah..pembantu am di pejabat. Saya yang baru saja turun dari kereta mempercepatkan langkah. Sememangnya hal-hal yang berkaitan pelajar amat sinonim dengan tugas rutin seharian saya. "Apa halnya tu Kak Asiah..pagi-pagi dah berleter",saya menegurnya. Kadang-kadang saya risau dengan mulutnya yang agak pedas bila berbicara..cakap lepas kata orang. Bimbang apa pandangan pihak luar jika cara kita menyambut tetamu diberi tanggapan negatif. " Ni haa cikgu, budak baru pindah..katanya tak pernah bersekolah..dah darjah 4..entah apa masalahnya..",tambahnya lagi dengan wajah kelat. "Oh, sekejap lagi minta dia berjumpa dengan saya ya..",sambil mata saya melirih ke arah seorang wanita bersama anaknya yang duduk di pondok bacaan sekolah.
Apabila loceng masuk ke kelas berbunyi saya bergegas masuk ke bilik kerja saya. Telah sedia menanti di situ wanita tadi bersama anaknya. Setelah menyelidiki umur anaknya,saya segera mengarahkan Kak Asiah membawa pelajar tersebut berjumpa guru kelas tahun 4 Bijak. Saya hanya ingin berbicara dengan penjaga pelajar ini untuk mengetahui sebab musabab kelewatan anaknya didaftarkan. Pelajar ini telah tercicir untuk jangka masa hampir empat tahun. Adalah menjadi satu kesalahan dan boleh diambil tindakan jika ibubapa atau penjaga gagal menghantar anak mereka ke sekolah..Hak setiap anak untuk menerima pendidikan yang diberikan secara percuma.
"Apa masalah puan sebenarnya sehingga Andy Putra tu tidak pergi ke sekolah?", tanya saya perlahan sambil membelek-belek dokumen yang diserahkan kepada saya. Kalau ikut pandangan mata kasar saya, wanita itu bukanlah dari golongan susah. Pemakaiannya juga kelihatan 'moden'. Dia merenung tepat ke arah saya, lantas bersuara agak perlahan. "Anak saya tak ada surat beranak cikgu..". "Ayahnya orang seberang dan tidak ada permit yang sah di sini ketika kami berkahwin..sekarang dia dah dapat taraf penduduk tetap,sambungnya lagi. "Oh..pendatang haramlah ni",hati saya berbisik. Pelbagai soalan saya tanya untuk kepastian walaupun itu membuat dia rasa kurang selesa. Walau bagaimanapun akhirnya dia dengan sukarela menceritakan masalahnya sejak mula tanpa dipinta. Mungkin saya tidak menunjukkan rasa kurang senang atau bersikap sambil lewa ketika itu. Masalah itu selesai dan anaknya diterima kerana dokumen yang diperlukan semuanya lengkap. Rasa kelegaan terpamer di wajahnya dan berkali-kali dia mengucapkan terima kasih. Saya cuma mengangguk..tugas saya hanya mengikut prosedur yang telah digariskan.
"Macam mana budak yang baru masuk tu Cikgu Anis? Boleh ke dia membaca? Ada masalah?", saya bertanyakan perkara itu ketika berselisih dengan guru kelasnya. "Setakat ini ok je Kak Maya..dia boleh membaca bila saya suruh tadi",jelas Cikgu Anis. Ada rasa kagum di hati.. Saya ingin bertanyakan perkara ini dengan Andy nanti. Pelajar-pelajar kelas pemulihan yang datang ke sekolah pun masih gagal menguasai kemahiran membaca dan menulis. Mesti ada rahsia yang boleh dipelajari..
"Nama awak siapa?",saya menyoalnya walaupun nama itu masih saya ingati. Nama yang agak asing sedikit bagi pelajar melayu. Dia menjawap dengan yakin sambil memandang tepat ke arah saya. "Andy pernah sekolah tak sebelum datang ke sini",saya bertanya lagi. Dia mengeleng-gelengkan kepalanya. "Dah tu Andy belajar membaca dengan menulis di mana", saya agak hairan sedikit. "Ibu yang ajar...hari-hari ibu ajar Andy membaca dan menulis",laju dia menjawab. ""Semua buku sekolah macam kawan-kawan Andy ada..ibu yang ajar..".Saya termangu mendengar kata-katanya itu. Sungguh tak terduga ada ibu yang mengambil berat sedemikian rupa demi masa depan anaknya walaupun dirinya tersepit dengan kemelut masalah yang berpanjangan. Terngiang-ngiang di telinga tentang perit jerih wanita tadi berjumpa dengan pelbagai pihak yang adakalanya begitu menjengkelkan. Banyak juga jari yang menuding ke arahnya bila tersilap langkah..
Bagi diri saya..setiap manusia menjalani kehidupan dan mempunyai takdir yang berbeza dalam hidup. Siapalah kita untuk menghukum..Jika ada yang boleh dipermudah..mudahkanlah agar kanak-kanak yang tidak bersalah ini tidak menjadi mangsa birokrasi yang berpanjangan. Amat malang sekiranya anak-anak yang mempunyai potensi dan cerdik sebegini terpaksa menerima hakikat hak mereka dinafikan akibat kesalahan ibu bapa mereka pada masa lampau. Terlalu banyak kisah-kisah begini dipaparkan di dada-dada akhbar..dan biasanya apabila telah dipolitikkan kes ini dapat diselesaikan dengan cepat. Mengapa begitu?
Saya menarik nafas panjang apabila mengenang nasib kanak-kanak yang boleh digolongkan dalam pelbagai kategori ini. Sekolah umpama sebuah gedung besar yang menyimpan seribu satu macam kisah anak-anak yang mempunyai pelbagai identiti yang bercelaru ini...dan yang pasti kisah-kisah mereka tersimpan selamat atas tanggungjawab yang telah diamanahkan demi kebaikan dan harga diri pelajar-pelajar tersebut..
Hak Yang Dinafikan..
Posted by Maya at Monday, April 30, 2012
Labels: DI CELAH-CELAH KEHIDUPAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment