About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KEK COKLAT MOIST

Seronok bila tengok orang dok pos macam2 masakan di FB yang mana saya turut menjadi ahli group. Sempat bersoping sakan membeli bahan-bahan kuih. Kuih apa nak buat tu saya belum fikir lagi hihi. Yang penting segala macam bahan yang perlu, dah ada bila hati tergerak untuk mencuba. Cuba jaya kata orang.. Kek Coklat Moist ni dah banyak kali saya menjamahnya bila kawan-kawan bawa ke sekolah. Buat tempahan pun selalu juga.. :)

Mula-mula saya fikir kek ini sangat cerewet untuk membuatnya..tetapi bila saya dapat resipi yang disukat guna cawan ni saya lebih yakin utk mencuba. Mudah..tak perlu nak timbang bagai..Teringat zaman buat kuih dengan aruah ibu dan kakak-kakak, semuanya disukat dengan cawan. Yang pasti kuih yang diidamkan menjadi. Jom sama-sama kita mencuba :)



KEK COKLAT MOIST 

Bahan A
1 cawan air
1 cawan minyak masak
1 cawan susu pekat
1 cawan serbuk koko
1 cawan gula kastor
4 biji telur pukul dulu 

Bahan B
1 1/2 cwn tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat

Bahan C ( Topping )
1 cawan minyak masak
1 cawan serbuk koko
1 cawan susu pekat
Sedikit Susu kotak jika perlu

Cara-caranya :
Masak bahan A(kecuali telur) dengan api sederhana ( masak sehingga gula larut tak perlu spai didih ye ...4 biji telur dipukul dn masukkan dlm adunan A, Akhir sekali masukkan tepung sikit2 kacau guna senduk jer. Masukkan dlm bekas atau loyang yg di sapu planta.. Siap untuk di kukus selama 1jam, bekas kecil mcm sy ni 20-30 min jer..

Cara-cara membuat topping :
Panaskan minyak masak dan masukkan serbuk koko dan susu pekat kemudian kacau. ( sekiranya pekat sangat boleh masukkan sedikit susu kotak atau kurangkan serbuk koko. Siap untuk di topping

Rasa Hati

Hari yang berlalu bagai tanpa rasa
Kembali aku terjerat dalam lingkaran waktu
Ku renung dan ku selusuri detik-detik yang berlalu
Apakah yang harus ku atur semula
Berdiri ku di cermin hati
Melihat putih hitamnya kehidupan
Agar langkah dapat disusun
Agar khayalan tidak meluputkan cita
Agar fikiran kembali jernih
Ku bersujud dan menadah doa
Agar berlalu resah
Agar tidak karam di telaga impian
Ku harus belajar dari burung
Agar dapat melihat indahnya alam
Ku harus belajar dari ikan
Agar ku tahu rahsia di dasar bumi
Ku harus belajar dari  bintang
Agar dapat terus melangkah dalam kegelapan
Dan segala resahku
Aku mahu belajar apa saja
Tentang hidup
Tentang kedamaian
Aku berlindung kepadaMu Ya Allah
Dari hati yang hitam..


Hasil Nukilan : Maya Kirana


Bila Anak-anak Terlebih Akal

Dunia kanak-kanak khususnya mereka yang berada di sekolah rendah sememangnya penuh dengan sesuatu yang tidak kita duga. Adakalanya perbuatan mereka langsung tidak masuk akal oleh kita sebagai orang dewasa. Apatah lagi jika zaman-kanak kita ketika itu belum lagi dipenuhi dengan pelbagai peralatan dan teknologi canggih seperti sekarang. Seperti situasi yang terjadi baru-baru ini, ketika saya sedang bersiap-siap untuk balik ke rumah setelah tamat persekolahan pada hari tersebut.

"Cikgu Maya! cikguuu!",terdengar jeritan suara pelajar dari luar bilik. Bergegas saya bangun dan menjenguk keluar. "Ada apa ni terjerit-jerit. Kenapa kamu semua belum balik lagi?"Sergah saya dengan nada agak tinggi. Agak kesal dan terganggu juga ketika itu kerana masih terdapat lagi murid-murid yang berkeliaran di kawasan sekolah meskipun masa persekolahan telah tamat sejam yang lalu.

"Haa ada apa yang kamu terjerit-jerit panggil cikgu ni Iqbal?" Sambil saya memandang tepat ke arah pelajar yang menjerit-jerit tadi. "Cikgu, tadikan..tadikan..Nabil main cucuk-cucuk spring dalam plug kat kelas 3 Bakti. Lepas tu dia masukkan air dalam spring tu cikgu". Tergagap-gagap dia menjelaskan kepada saya. "Haaah, Kamu dah puas hidup ke? Spring apa pulak. Ya Allah, budak-budak ni...macam-macam hal". Hati saya mula berasa geram dan panas bila mendengar apa yang berlaku. Boleh tersengih-sengih pula budak Si Nabil ni, semakin menyirap darah saya dibuatnya. Boleh dapat darah tinggi kalau tidak dikawal.

"Ni springnya cikgu".Iqbal menghulurkannya kepada saya. "Mana kamu dapat benda ni Nabil? Kamu punya ke? Dia cuma tunduk dan mengangguk. Takut agaknya menentang muka saya yang mula menyinga. "Kamu tau tak perbuatan kamu tu boleh menyebabkan kamu mati terkena karan? Kamu boleh kejung hangus tau!". Saya menggunakan bahasa paling mudah untuk difahami oleh mereka. "Nauzubillah.." bisik hati saya bila membayangkan jika berlaku perkara yang tidak diingini kepada mereka tadi. Saya termangu seketika memikirkan apa yang perlu saya lakukan ketika itu. Atas saranan guru besar setelah dimaklumkan apa yang berlaku, beliau meminta saya berjumpa dengan penjaga pelajar pada keesokkan harinya. Saya memberi amaran kepada Nabil agar surat tersebut diserahkan kepada ibubapanya. Jika tidak saya sendiri akan datang ke rumahnya.

"Puan tahu ke kenapa saya memanggil puan datang ke sekolah hari ini?" Tanya saya seraya mempersilakan ibu kepada Nabil duduk berhadapan dengan saya. Sebagai guru yang menguruskan hal ehwal pelajar, situasi seperti inilah yang paling saya tidak sukai sehingga terpaksa memanggil penjaga pelajar datang ke sekolah. Bukan niat untuk menyusahkan mereka yang bekerja, tapi ada ketikanya tindakan perlu diambil segera untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk di masa akan datang. Dia menggeleng."Tak tahu cikgu. Bila saya tanya dia tak mahu cakap apa-apa. Mesti Si Nabil tu ada buat salahkan cikgu?" Sambil matanya menjeling tajam ke arah anaknya Nabil yang berdiri di sebelah.

"Begini puan, semalam anak puan telah melakukan perbuatan yang boleh meragut nyawanya jika tidak ada pelajar yang nampak perbuatannya itu". Terkejut ibu itu apabila mendengar rentetan cerita yang saya sampaikan berkaitan anaknya. Merah mukanya menahan kemarahan."Sebenarnya cikgu, anak saya ni juga pernah melakukan hal yang sangat menjengkelkan kami sedikit masa dulu. Dia telah mengisi tangki motosikal ayahnya dengan pasir sehingga penuh menyebabkan ayahnya terpaksa mengambil cuti untuk menghantar motosikal itu ke bengkel. Tak tahulah saya cikgu, puas dah kami denda, rotan dan nasihat. rupa-rupanya dia masih lagi membuat kerja-kerja pelik ini," luahnya sedikit kesal dan malu atas sikap anaknya itu. "Cikgu nak rotan ke.. denda ke, saya tak akan marah."Saya hanya mampu mendengar luahan daripada seorang ibu yang agak kecewa dan marah dengan sikap anaknya itu.

"Kamu dengar tu Nabil?? Kamu nak buat lagi tak lepas ni???", gertak saya agak keras. Dia cuma menggeleng-gelengkan kepalanya,sambil matanya tak lepas dari memandang wajah ibunya. Tahu pulak dia buat muka sedih melihat genangan airmata di kelopak mata ibunya itu. Harap-harap dia menyesal atas perbuatannya itu selepas ini. "Beginilah puan, saya harap selepas ini puan segeralah ambil dia selepas waktu persekolahan. Jangan beri dia peluang untuk  merayau-rayau dan membuat sesuatu yang di luar kawalan semua pihak. Kadangkala sikap kita sendiri yang tidak prihatin dengan perangai anak sendiri menyebabkan perkara ini berlaku.Sama-samalah kita saling bekerjasama menangani perkara ini. Pihak sekolah akan mengingatkan semula perkara ini kepada semua pelajar agar tidak ada lagi pelajar yang membuat perkara-perkara yang boleh membahayakan kselamatan mereka sendiri selepas tamat waktu persekolahan." Hanya itu yang mampu saya katakan semasa mengiringi penjaga itu keluar dari bilik saya.

Sabar dan Tabahlah Adikku

"Adik..tolong picit-picit sikit bahu mama ni..". Letih sungguh terasa badan selepas berulang alik dari Ipoh ke Johor Bahru kelmarin. Saya hanya sempat bermalam sehari sahaja memandangkan hari Jumaat ialah hari bekerja di Perak. Ingin saja menyambung cuti hingga ke hujung minggu, tapi apakan daya suami pula ada urusan penting di sini. Sementelah pula anak ada pertandingan kawad kaki untuk pasukan beruniform yang disertainya. Terpaksalah saya sekadar dapat berjanji untuk pulang bercuti pada cuti sekolah hujung bulan ini jika keadaan mengizinkan.

Bukanlah dalam perancangan saya sebenarnya untuk balik ke Johor tetapi disebabkan suami terpaksa mendengar keluhan demi keluhan saya setiap hari maka dia mencadangkan kami balik ke sana sempena cuti hari pekerja . Bagai pucuk dicita ulam mendatang, balik saja dari sekolah hari Rabu lepas kami terus bertolak. Terima kasih papa kerana sentiasa memahami dan bersabar dengan mama yang banyak kerenah. Memang saya tidak sabar untuk balik ke sana setelah  menerima perkhabaran demi perkhabaran tentang keadaan adik saya yang baru saja menjalani pembedahan buah pinggang pada minggu lepas. "Alang jangan bimbang..semua dah selamat". Itulah kata-kata yang sering didendangkan di telinga saya oleh adik-beradik saya di sana bila saya menelefon mereka. Airmata dan doa sajalah yang menjadi teman setiap kali saya teringat adik saya itu.

"Bila abang dengan Kak Lang sampai?". Am agak terkejut bila melihat saya dan keluarga telah berada di rumahnya ketika dia terjaga dari tidur. "Baru jer Am. Am macam mana sekarang?". Saya memandang ke arah wajahnya yang cengkung dan tubuhnya yang semakin susut. Sedih melihat keadaan adik lelaki saya yang seorang ini. Berat sungguh dugaan hidup yang dilaluinya. Bertimpa-timpa penyakit yang datang. Namun saya kagum dengan semangat yang ada pada dirinya. Menurut isterinya dia juga jarang sekali mengeluh dan menyusahkan orang lain dengan penyakitnya itu. Alhamdulillah, sememangnya dia adik yang terlalu baik dan kebaikannya itu adakalanya mengundang padah bila ada yang mengambil kesempatan ke atas dirinya. Saya sering mengingatkan agar berpada-padalah membuat kebaikan kepada orang lain.

Semalaman bersembang saya mengambil kesempatan menelah isihati dan apa jua perkara yang ingin dia kongsikan. Sememangnya saya antara kakak yang dia rapat dan selesa untuk dia berbicara dan bawa berbincang. Mungkin jarak usia yang lebih rapat dan membesar bersama menjadikan kami lebih mengenal hati budi masing-masing. Banyak yang kami bualkan dan banyak juga perkara yang meruntun hati saya hingga membuat saya sebak dan menahan airmata dari berlinangan. "Ajal maut di tangan Allah Am. Orang yang sihat pun ramai yang mati mengejut." Saya hanya mampu meluahkan kata-kata itu setiap kali dia merasakan dia akan pergi lebih dulu dari kami semua. "Ya Allah, Engkau berikanlah kesabaran dan ketabahan kepada  adikku ini. Panjangkanlah usianya dan berikan kesihatan yang baik padanya". Hanya doa yang mampu saya bisikkan di hati sepanjang mendengar keluh kesah darinya. Meskipun malam semakin larut dia masih ingin meluahkan segala yang terbuku di hatinya selama ini. Apabila saya menyuarakan kebimbangan terhadap kesihatannya, dia tidak mahu saya risau kerana dia merasakan dirinya semakin sihat. Saya setia menemaninya bersembang sehinggalah kokokan ayam  mula kedengaran.

Meskipun sukar untuk saya melelapkan mata, akhirnya saya terjaga bila suami mengejutkan lena saya kerana waktu subuh telah hampir ke penghujung. "Kenapa papa tak kejut mama awal sikit?".Saya agak terkejut bila jam sudah hampir menunjukkan jam 7.00 pagi. "Puas papa kejut, mama tu tidur mati. Ingat tadi papa nak siram air jer". Saya bingkas bangun tanpa menghiraukan gurauan suami. Inilah gara-gara tidur lewat sehingga solat pun dah subuh gajah kata orang-orang tua.

Ketika sarapan pagi Am masih lagi menyambung tidurnya. Keletihan barangkali akibat berjaga hingga lewat pagi. Terbit juga rasa bersalah di hati, bimbang kesihatan Am akan terganggu. Alhamdulillah, ketika kami sibuk menyiapkan juadah tengah hari, dia sempat menjengah ke dapur dalam keadaan yang ceria. Seperti biasa ada sahaja usikan yang membuat kami semua ketawa. Gembira, seronok dan sedih bercampur baur bila melihat dia boleh bergurau dan ketawa walaupun keadaannya ketika itu masih tidak bermaya. Saya tahu dia tidak mahu kami adik-beradik risaukan dirinya dan dia cuba sedaya mungkin untuk kelihatan sihat. Sayu hati ini tuhan sahaja yang tahu. Adakala terdetik di hati ini untuk kembali menetap di sana agar saya dapat berkumpul bersama-sama adik-beradik saya. Susah senang biarlah kami ada bersama. Apalah daya saya, tentunya sebagai isteri saya perlu akur dan berada di sisi suami yang mencari rezeki di sini. Mudah-mudahan impian saya untuk kembali bermastautin di negeri kelahiran saya akan tercapai setelah bersara nanti.

Selepas asar saya sekeluarga bertolak balik ke Ipoh. Meskipun berat rasa hati ini meninggalkan mereka semua, namun hidup perlu diteruskan dan saya perlu kembali untuk melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Sepanjang perjalanan saya lebih banyak mendiamkan diri sehingga saya sendiri gagal memahami  butir bicara antara suami dan anak. Sesekali saya hanya mengiakan sahaja apa yang ditanya oleh mereka. Masih jelas terbayang di mata, genangan airmata Am ketika saya memeluk dan mengucapkan selamat tinggal tadi. Saya tidak mampu berkata apa-apa, hanya pelukan erat kami saja mengambarkan segala-galanya. Rembesan airmata umpama hujan yang turun tanpa henti ketika kaki melangkah masuk ke dalam kereta. "Alang sayang Am...".

"Dahlah ma, penat adik." Saya tersentak ketika anak menyuarakan keletihannya memicit-micit badan saya. Jauh rupanya saya mengelamun..dan ketika saya menamatkan bait-bait akhir ini, airmata saya gugur lagi.




ORKES SINAR MURNI - CUBA RENUNGKAN



Semasa zaman kanak-kanak dulu, ibu saya sering mengalunkan lagu-lagu
nasyid dari kumpulan Orkes Sinar Murni ini. Saya membesar seiring dengan
zaman kegemilangan kumpulan ini. Lagu-lagunya memberikan kesan yang
cukup mendalam dan sering dijadikan pilihan untuk pertandingan nasyid di
sekolah ketika itu. Kumpulan nasyid saya pernah mendapat tempat ketiga
ketika membawa lagu ini untuk pertandingan nasyid peringkat mukim ketika
sambutan Maulidur Rasul ketika itu. Sehingga kinipun saya suka
memutarkan lagu-lagu kumpulan ini.

Sekadar Berkarya

Salam buat semua. Ada yang bertanya kepada saya, adakah cerita-cerita yang saya paparkan di blog ini kisah benar. Mungkin cerita yang saya sampaikan lebih berbentuk cerpen, maka ramai yang beranggapan ianya sekadar nukilan dan khayalan penulis. Tidak saya nafikan cara penyampaian saya lebih terarah kepada penceritaan cerpen atau novel namun sebenarnya inti pati ceritanya adalah hal-hal yang berlaku dalam kehidupan seharian saya. Semuanya adalah kisah benar, cuma saya garap dalam bentuk yang lebih menarik untuk dibaca ..ada ke peminat? :-) maklumlah saya dulu pernah bercita-cita menjadi wartawan tapi tak kesampaian pula.

Mengenai di mana saya bertugas tu..terpaksalah saya rahsiakan. Ini untuk kebaikan semua pihak. Untuk pengetahuan juga, nama watak dalam karya saya bukanlah nama sebenar. Ini untuk mengelakkan salah faham dan juga menjaga kepentingan semua.In Sha Allah, saya hanya berniat untuk mengasah bakat berkarya saya di sini. Ambillah yang baik sebagai teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.


Memori Indah Bersamamu Sahabat

Deringan bunyi telefon yang bertalu-talu mengejutkan saya dari tidur. Sempat saya membelek jam loceng, belum subuh lagi. Baru jam 4.30 pagi. Suami bergegas bangun dan menjawab panggilan. Risau juga di hati bila dapat panggilan pada waktu-waktu begitu. "Siapa pa?," Saya tidak sabar untuk mengetahui pemanggilnya. "Hmmmm, salah nombor, mengacau orang tido jer", rungut suami seraya kembali menyambung tidurnya. Cepat sungguh dia boleh terlelap semua. Bunyi dengkurannya yang agak kuat membuat mata saya hilang rasa mengantuk. Terkebil-kebil melayan perasaan sendiri sehinggalah azan subuh berkumandang. Saya segera bangkit.

Setelah selesai menunaikan kewajipan, sekali lagi telefon berbunyi. "Mama jawaplah, malas papa nak layan. Asyik salah nombor jer."Gerutu suami agak jengkel. Saya segera mencapai gagang dan terdengar satu suara halus di hujung sana. " Maya ke tu? Norazah ni dari Muar." Belum sempat saya bertanya, dia telah mempekenalkan dirinya terlebih dulu. "Azah? Azah Muar?", saya pula yang kelam kabut menjawab. Masih kabur dengan nama pemanggil. Biasanya kalau saya dapat panggilan dari Muar, pastinya dari kaum keluarga saya sendiri.

"Azah toncetlah, aishhhh cepaat no lupa kawan aku sorang ni". Seakan dia tau saya kebingungan di sini. "Haaa..Azah! Kau rupanya.  Mimpi apa kau telefon aku pepagi buta ni?". Buat terkejut aku jer. Memang saya beraku engkau jer bila bersembang dengan teman-teman lama. Azah merupakan sahabat baik saya ketika sama-sama belajar di maktab dahulu. "Maya, aku ada berita sedih nak sampaikan kat engkau ni. Kawan kita Aya dah tak ada. Dia dah meninggal malam tadi Maya". Aku terpaku. Kelu rasa lidah untuk membalas kata-kata Azah. Aku hanya mampu menjawap dalam hati."Innalillah wainnalillah hirajiun."

"Aruah sakit apa Azah?". Airmata terus merembes membasahi pipi. Berita itu benar-benar mengejutkan saya. Sebagai sahabat yang sangat akrab satu ketika dulu, saya terkilan kerana tidak pernah tahu penderitaan aruah selama ini. "Kanser payu dara tahap 4 Maya. Aku pun tahu baru-baru ini jer. Tapi tak sangka pulak dia kritikal. Dia ceria jer masa aku terserempak di bandar tempoh hari", cerita Azah sayu. "Terima kasih Azah kau sudi bagitau aku. Sampaikan salam takziah aku buat keluarga aruah yer. Aku tak dapat balik ke sana." Jelas saya agak terkilan. "Aku faham, engkau jauh. Yang penting aku dah sampaikan. Sama-sama kita doakan moga roh aruah tenang di sana. In Sha Allah aku sampaikan salam kau nanti. Assalamualaikum Maya..bye". "Waalaikumsalam..bye". Kata-kata Azah membuat saya lebih terharu. Saya menangis teresak-esak..melepaskan rasa sebak di dada. Semua kenangan manis ketika bersama aruah kembali mengisi memori. Dialah sahabat yang paling memahami saya satu ketika dahulu. Ketika kami sama-sama menginjak zaman remaja dan seterusnya menjadi dewasa.

Masih terngiang-ngiang di telinga ini, bila dia memarahi saya ketika itu. " Kalau kau teruskan niat kau tu, kita putus sahabat. Apa-apa hal terjadi lepas ni, kau jangan cari aku."Marah betul Aya pada saya ketika itu. Puncanya kerana saya melayan seorang guru pelatih senior yang terkenal dengan jolokan buaya darat di maktab. Saya bukanlah bersungguh sangat nak kenal buaya darat tu. Sekadar ingin melihat sejauh mana dia suka mempermainkan hati para gadis maktab ketika itu. Kalau berpeluang saya ingin mempermainkan dia pula. Biar dia rasa bagai mana perasaan bila dipermain-mainkan. Agak nakal juga saya ketika itu, namun semua itu sudah berlalu dan menjadi kenang-kenangan. Saya akhirnya membuat keputusan yang betul bila memutuskan hubungan dengan  buaya darat itu demi sebuah persahabatan. Dunia persahabatan antara saya, Azah dan Aya cukup indah sekali ketika itu. Susah senang kami bersama.  Kami sering digelar 3 Dara Pingitan seperti kisah dalam komik Gila-gila yang cukup terkenal satu ketika dulu.

"Kenapa ni ma?". Aku tersedar dari lamunan apabila ditegur oleh suami. Mungkin dia terkejut melihat saya menangis teresak-esak di ruang tamu sendirian. Dia meminta saya banyak bersabar dan menerima ketentuan Allah setelah tahu apa yang terjadi. Saya hanya mampu menganggukkan kepala tanda bersetuju walau di hati sanubari ini terlalu banyak perkara yang membuat saya terkilan. Saya bukanlah sahabat yang baik kerana tidak pernah ada di sampingnya ketika aruah menderita. Kesibukan tugas masing-masing telah menjarakkan hubungan persahabatan kami. Saya hanya berkesempatan bertemu aruah dua tahun dulu, ketika dia datang bertandang ke rumah keluarga saya di Muar. Itulah kali terakhir saya menemui aruah dan ketika itu beliau masih lagi sihat dan masih dengan sikapnya yang ramah dan suka mengusik. Sesungguhnya mati itu benar. Tidak terlewat dan tidak tercepat walau sedetik pun bila waktunya tiba.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.. Ameen.

Mari Berpantun

Maya selalu ditanya oleh murid-murid di sekolah. "Cikgu Maya..apa Facebook cikgu..saya nak 'add' . Kawan-kawan juga begitu.." Engkau tak ada FB ( kata singkat untuk Facebook ) ke Maya? Kalau ada saya nak 'add'. Biasanya saya akan menggeleng dan kata, "cikgu tak pandai nak ber 'FB'.. Sebenarnya ketika laman sosial seperti 'facebook' menjadi medium yang popular, Maya juga tidak ketinggalan mendaftar sebagai ahli. Kalau orang lain menjadi ahli yang aktif tapi Maya pula ahli yang pasif. Tak ke mana pun akaun tu..terperap juga :-)

Hari ini entah bagaimana, terdetik di hati untuk mengisi laman blog Maya yang dah lama ditinggalkan dengan koleksi pantun. Maya terjumpa satu halaman pantun di FB tapi memerlukan akaun FB untuk menyertainya. Nasiblah Maya masih ingat 'password' dan akaun masih boleh diaktifkan. Alhamdulillah "Request' saya diterima. Agak menarik dan aktif juga aktiviti berpantun ahli-ahli di sana. Ketika saya mengajukan permintaan untuk memberikan idea pantun bertemakan sukan rakyat ( seorang kawan yang melatih pasukan pantun sekolah meminta bantuan Maya untuk mencipta pantun tema tersebut ), respon yang saya terima amat baik sekali.

Tak kenal maka tak cinta. Memang seronok bila dapat berbalas-balas pantun dengan mereka yang berminat dengaan warisan budaya bangsa ini. Inilah antara rangkap-rangkap pantun yang berjaya digarap oleh ahli-ahli di sana. Menarik dan dalam maksudnya.

sungguh tajam sibulu landak
jangan dipegang diwaktu malam
jika nakhodanya memaksa kehendak
alamat lancang kuning akan tenggelam

jika berjalan diwaktu malam
bawalah suluh untuk penerang
bila kapal mahu tenggelam
janji setia harus dipegang...

ikan talang ikan berlemak
hendak mengulai tidak berapi
kerbau bejalan sudah jinak
hendak menambat tidak bertali...

Walau bagaimanapun ada juga yang mencipta pantun tanpa mengikut hukum pantun yang sebenarnya. Pastinya kedengaran agak janggal bila di penghujung baris tidak senada..Sepatutnya pantun mestilah diakhiri dgn  A B A B . Contohnya A = nuri   B = lada  C = beri   D = dada ( ri da ri da ).

Pantun merupakan warisan peninggalan bangsa yang amat bernilai. Terserlah kelembutan dan betapa beradabnya bangsa melayu kita satu ketika dulu apabila sesuatu hajat atau keinginan disampaikan dengan berpantun. Amatlah dialu-alukan apabila pihak Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif untuk menghidupkan kembali warisan budaya ini dengan mengadakan Pertandingan Pantun antara sekolah-sekolah sehingga ke peringkat kebangsaan.

Semoga generasi akan datang akan lebih menghargai khazanah warisan bangsa ini.

Pekasam dan Talam Keladi

Nampaknya terperam kembalilah blog Maya ini. Kalau ikan dijeruk memang sedang elok jadi pekasam. Masa sering menjadi kekangan yang tidak berpenghujung selagi belum pencen dari tugas. Bila dah pencen hal lain pula yang menunggu.. Semalam Maya ke Teluk Intan mencari hasil-hasil kampung di sana. Dapat juga benda yang dicari..ubi kayu, ubi keledek, ubi keladi dan yang paling terkenal buah nanasnya. Penuhlah bonet kereta..hinggakan suami Maya kata, "Lepas ni kita boleh berniaga di pasar malam Ipoh pula", hihi menikam sungguh ayat dia. Tak kisahlah kan..asalkan apa yang dihajat tercapai.

Petang ni Maya nak makan kuih talam keladi. Resipi pun Maya dah jumpa. Maya suka ambil resipi dari blog Mat Gebu. http://www.tiffinbiru.com/2009/01/talam-keladi.html . Selama ini memang menjadilah apa resipi yang Maya ambil pun. Caranya mudah dan ringkas..hasilnya memang sangat memuaskan.

Talam Keladi

Tengok gambar pun dah kecur air liur Maya..Harap-harap menjadilah..