About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bahagia Tetap Ada

Disangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengah hari...
Kekecewaan..
Kesedihan...
Kedukaan...
Kesepian...
Kemarahan...
Berbaur menjadi satu...
Satu yang bisa menghancurkan..
Melenyapkan...
Sebuah kebahagiaan yang dinanti..
Sekian lama...
Harapan yang ditaruh kian rapuh...
Hanya menanti untuk rebah...
Segala impian kini musnah..
Segala harapan hilanglah sudah...
Umpama nasi sudah menjadi bubur..


Usah menoleh lagi..
Bangkitlah...bangkitlah dari nestapamu...
Buangkan jauh rasa gusarmu..
Singkirkan jauh rasa amarahmu...
Simpankan saja...
Kenangan manis itu jauh di sanubarimu...
Barang yang lepas jangan dikenang
Iakan jadi hak orang lain...




Siapa kata engkau tidak bisa bangun dari jatuhmu..
Siapa kata...?
Aku tahu dirimu penuh semangat
Aku tahu dirimu bukan dirimu yang dulu
Aku juga tahu dirimu penuh iltizam
Penuh azam...
Jatuh...bangun...itu lumrah kehidupan..
Andai ada kesempatan itu
Kebahagiaan...kegembiraan...
Kejarlah...
Gapailah...
Capailah...
Jangan takut menempuh ombak..
Jika berumah di tepian pantai...
Alang-alang menyeluk pekasam..
Biar sampai ke pangkal lengan...
Biar sampai kebahagiaan hakiki itu
Menjadi milikmu..
Milikmu buat selama-lamanya...
Milikmu yang abadi...




Hasil Nukilan: Maya Kirana (didedikasikan khas buat seorang adik...)

Berat Mata Memandang...

"Assalamualaikum Cikgu Maya...", saya dikejutkan dengan suara memberi salam ketika sedang sibuk menyiapkan kerja-kerja terakhir yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat minggu depan. "Oh...Wa'alaikumsalam..", saya menjawab dalam keadaan sedikit terkejut kerana fikiran ketika itu tertumpu pada kerja-kerja yang ada di hadapan saya. Wajah wanita yang menyapa itu memang biasa saya lihat cuma saya sering terlupa nama mereka...Maklumlah pelajar silih berganti...sudah pasti saya sentiasa bertemu  dengan keluarga yang berbeza setiap tahun.

"Ada bayaran yuran ke cikgu hari ini..?", tanya wanita yang menyapa saya tadi. "Ya.., jawab saya ringkas. Kalau dia tak tahu kenapa pula dia datang hari ini...hati saya tertanya-tanya. Bagai dia tahu apa yang bermain di fikiran saya, lantas wanita itu berkata tanpa disuruh.." Saya datang bukan nak bayar yuran cikgu...temankan kawan ni,anak dia nak bertukar sekolah..". "Oh..., hanya itu yang terkeluar dari mulut saya ketika itu...Mungkin otak saya dah tepu dengan kerja-kerja yang harus disiapkan sehingga tiada idea untuk menyambung perbualan dengan wanita tersebut.

"Entahlah cikgu....saya belum dapat membayar yuran dan membeli buku untuk anak-anak saya tahun depan...duit tak ada cikgu..", dia menyambung percakapannya walaupun ketika itu saya tidak begitu memberi perhatian dengan kehadirannya. Mendengar ayat terakhir yang diucapkannya dengan penuh rasa sebak itu...saya segera mendongak dan memandang tepat ke arah wanita itu..."Tak mengapa, puan boleh bayar lewat sikit...suruh anak puan guna buku-buku latihan yang lama...", saya bersuara perlahan untuk mengurangkan kerisauan yang mungkin bersarang di hatinya.

"Semua dah habis buku-buku tu cikgu....saya pun tak tau apa dibuatnya oleh budak-budak tu", cepat dia menjawab. "Kalau begitu,puan belilah satu atau dua buku dulu buat sementara waktu...lagipun kalau tidak silap saya, anak sulung puan yang bernama Aslam ada menerima bantuan kewangan...Saya pun kurang pasti bila wang tersebut akan diberikan...", saya memberikan sedikit penjelasan yang agak menceriakan wajahnya.
"Tapi Faizul tak dapat..."'saya menyambung. "Dia tak hantar borang hari tu cikgu...terlupa. Bila Farah tengok tarikh dah lewat ", aha...baru saya teringat nama wanita itu Farah bila dia menyebutnya. Wajahnya ada iras anak mami...manis bila tersenyum.

Jawapan tidak hantar borang...terlewat...terlupa...agak menjengkelkan hati saya bila berurusan dengan masalah sebegini.  Kalau dah tahu susah dan memerlukan bantuan ambil beratlah sedikit dengan perkara-perkara sebegini...Bila tak dapat salahkan sekolah kata tak mahu bantulah...gerutu hati kecil saya. Adakalanya saya terpaksa memulangkan paku buah keras kepada mereka yang menimbulkan masalah disebabkan kealpaan mereka sendiri..."Puan sendirilah kena ambil berat kalau ingin dibantu...kena ambil tahu...", saya bertegas sedikit. "Kenalah berusaha...sampai bila asyik nak mengharapkan bantuan..", saya dah mula membebel,walaupun tiada niat berbuat demikian tadi. Mungkin disebabkan jawapan yang diberikan oleh wanita itu agak mendukacitakan saya tadi...

"Suami Farah tak ada kerja cikgu...permit dia dah tamat", tanpa diminta wanita itu membuka cerita keluarganya. Mungkin untuk meyakinkan saya akan kesusahannya. "Suami orang mana?", tanya saya ringkas. "Dia orang Bangla cikgu...". "Oh...", hanya itu yang terpacul dari mulut saya. "Duit yang Farah berikan pada adik untuk uruskan permit suami ditipu oleh adik Farah sendiri...",ada linangan air mata yang mula mengalir di pipinya. Saya memang cukup lemah menghadapi situasi air mata ini...anak dara saya pun selalu kata, mama menangis lebih dari pelakon filem tu sendiri...aha mungkin saya boleh menjadi pelakon air mata kalau diberikan peluang...

"Sekarang ni Farah berniaga kecil-kecilan depan rumah..jual kuih-kuih sikit cikgu. Nak kerja lain..anak tak ada orang jaga..nak upah Farah tak mampu nak bayar", dia terus menyambung. "Baitulmal ada juga bantu...tapi tak cukup. Nak bayar sewa rumah, tambang van sekolah lagi...kadang-kadang makan pun tak lepas", dia terus bercerita walaupun saya tidak memberikan apa-apa tindakbalas dengan apa yang diucapkannya. Mungkin dia dapat melihat ada rasa simpati yang saya tunjukkan ketika itu...Sebenarnya sudah banyak juga kes seperti ini yang saya hadapi..seperti saya kata tadi..inilah kelemahan saya apabila dihadapkan dengan situasi sedemikian. Mungkin sifat mereka yang dilahirkan berbintang Pisces memang begitu...keras hati tetapi mudah simpatik...

"Macam nilah puan, bila dapat duit bantuan anak nanti selesaikanlah semuanya ya..", saya cuba menyimpulkan luahan hatinya kerana masih banyak urusan yang perlu saya selesaikan. "Pihak sekolah akan sentiasa membantu jika puan memang benar-benar layak. Yang penting anak-anak jangan diabaikan pendidikannya...Setahu saya anak-anak puan pun agak cemerlang dalam pelajaran...cuma sering ponteng sekolah", jelas saya. "Kalau boleh tahun mendatang ni, anak-anak dapat bersekolah dengan sempurna", saya menaruh harapan padanya. Farah cuma mengangguk...lemah..

Tapi saya tahu terlalu banyak beban yang ada di fikirannya...terpikul di bahunya...semoga wanita itu tabah mengharungi kehidupan sukar dan penuh ranjau yang terpaksa ditempuhinya...Saya tertanya sendiri..bolehkah saya setabah dan sekuatnya jika dihadapkan dengan dugaan sedemikian...? Roda kehidupan...adakala kita di atas...adakala di bawah...takdir..qada' dan qadar Allah tak siapa mengetahuinya....

Dendam yang Terlerai...

Saya bertugas di sekolah sekarang sudah hampir 10 tahun...Pelbagai ragam guru dan pelajar telah saya lihat. Kadang kala kita sebagai orang dewasa terlupa bahawa kanak-kanak juga mempunyai perasaaan yang sensetif...dunia mereka nampak ceria tapi siapa sangka di sebalik keceriaan mereka ada duka yang terpalit...

Jika sebelum ini, saya menceritakan luahan rasa teman-teman, kali ini saya ingin berkongsi cerita mengenai luahan tulus daripada seorang anak kecil yang berada di Tahun 2. Begini kisahnya...

"Maya boleh tolong aku tak?" tanya Cikgu Hakim semasa kami jalan beriringan ke kantin. "Kenapa?", sepatah saya menjawab.."Engkau kenal Faris murid Tahun 2 Bakti tu kan?", jelas Cikgu Hakim. "Aha, memang saya kenal sangat..masa dia tahun 1 dulu saya mengajar dia subjek Matematik..Lagipun dia seorang murid yang sangat bijak..semua cikgu di sekolah ni kenal..", saya menjelaskan. "Aku biasalah Maya masuk kelas mengajar, tak sempat nak kenal-kenal dengan murid-murid ni..". "Faham, siapa tak kenal cikgu Hakim, guru disiplin yang digeruni oleh pelajar-pelajar", saya memulangkan kata-katanya.

"Aku nak mintak kamu tolong selidik apa masalah budak tu...hari ni dia tak mahu buat karangan yang diberikan. Puas aku marah.. dia tetap berdegil dan mendiamkan diri...". agaknya dia takut dengan aku", Cikgu Hakim menjelaskan apa yang terjadi..."InsyaAllah...nanti saya akan panggil dia...", saya memberikan jawapan yang mungkin melegakan Cikgu Hakim buat masa itu.

Saya tidaklah mengambil masa yang lama untuk memanggil dan menangani murid-murid yang bermasalah...keesokkannya saya terus bertemu dengan pelajar tersebut. "Hai, Faris...mari duduk dekat cikgu...Faris makan tak tadi waktu rehat? Dia mengangguk dengan senyumannya yang begitu mulus dan tulus...Begitulah rutin pendidik..adakalanya kita terpaksa meletakkan diri kita lebih sebagai seorang ibu bila berhadapan dengan anak-anak kecil seusia Faris ini. Alhamdulillah...saya bersyukur kerana dikurniakan dengan perasaan sedemikian...

"Semua kerja sekolah Faris ok ke?..seronok tak belajar dalam Tahun 2?..Saya cuba memancing tumpuan Faris dengan persoalan  yang ingin saya ketahui."Best memanglah best cikgu...tapi saya tak suka belajar Bahasa Melayu", dia mula bersuara ramah..."Susah sangat ke belajar Bahasa Melayu? atau ada yang Faris tak faham?" . "Saya tak suka buat karangan...saya benci buat karangan...semalam Cikgu Hakim suruh saya buat saya tak mahu...Cikgu Hakim marah saya...", ada nada jengkel dalam bicaranya...ada rasa hiba dalam sorotan matanya.

"Faris budak baikkan...dari dulu cikgu tahu Faris budak yang pandai...rajin...baik...", saya cuba memujuk dengan memberikan pujian-pujian yang dapat merangsang semangatnya kembali..."Tapi...dia berhenti untuk berkata-kata...Saya terus memujuk untuk berkata apa saja dengan saya..saya berjanji tidak akan marah dan ceritakan pada sesiapa..."Saya tak suka tajuk karangan yang Cikgu Hakim suruh buat...saya benci ayah saya..". "Kenapa Cikgu Hakim suruh saya buat tajuk "Ayah Saya"?", ada rasa getar dalam dada anak itu..

"Oh, itukah puncanya?! Disebabkan tajuk karangan yang tidak selari dengan jiwanya dia memberontak...Memang saya sedia maklum ada juga maklumat yang saya perolehi mengenai krisis yang terjadi dalam keluarga pelajar tersebut. Tapi saya tidak menjangka ianya menjadi satu dendam dalam diri anak kecil tersebut...Kerana dendam terhadap ayah yang meninggalkannya dan dianggap menjadi penyebab ibunya meninggal dunia...dia saanggup bertindak sedemikian dan sekiranya tidak diatasi perkara ini sudah pasti akan menjejaskan prestasinya yang cemerlang sebelum ini.

Atas budi bicara sebagai pendidik dan juga kasih seorang ibu terhadap anak yang kurang mendapat kasih sayang, saya menyelesaikan perkara tersebut dengan memanggil ayah dan juga wakil  penjaganya untuk sama-sama melihat permasalahan tersebut dan mencari jalan penyelesaian. Alhamdulillah...mungkin Faris bertuah kerana keluarganya mementingkan pelajaran, mereka tidak keberatan menerima teguran dan nasihat yang diberi dengan hati terbuka demi kebaikan dan masa depan anak kecil tersebut...

Saya adalah orang yang paling gembira apabila melihat ada sinar kebahagiaan yang terpancar di wajah anak kecil itu...Mudah-mudahan anak ini akan berjaya dalam hidup atas ketabahan yang dimiliki sejak dari usia yang sangat kecil...

Ada Apa Dengan Dia...

"Maya...hujung minggu ni 'free' tak? Terdengar jeritan kecil Azah dari bilik guru. Memang dia tu suka menjerit bila bercakap...Sehingga ada teman menggelarnya anak tarzan."Nak belanja Maya makan ke? Fasal makan bila-bila Maya sanggup". "Ada hal nak bincang dengan Maya ni...tolonglah. Bolehkan Maya...Maya baik...Maya itu..Maya ini..." Macam-macam yang terhambur dari bibir mongelnya itu...

"Baiklah...petang Sabtu nanti datang rumah Maya ok.. begitulah kebiasaannya,saya lebih gemar menjadikan rumah sendiri untuk berjumpa kawan-kawan. Selain mudah dikunjungi , rumah saya juga tiada anak-anak kecil yang mungkin mengganggu perbincangan kami...Anak gadis saya sudah meningkat remaja dan lebih suka memerap di biliknya.

"Penting sangat ke Azah apa yang kamu nak mintak Maya tolong ni..."ermm tak tahulah Maya..penting atau tidak, Azah kena cakap juga..Suspen juga saya dibuatnya..."Maya kenal kan dengan isteri cikgu Mail?" Aha...dua-dua memang saya kenal sangat..seorang mengajar di sekolah yang sama dengan kami manakala isterinya mengajar di sekolah berhampiran..."Kenapa pula dengan mereka Zah?" Saya agak tidak sabar menunggu Azah memulakan cerita...

"Maya kawan baik Zilakan?"..Aha kenapa pula dengan Zila? Semakin tidak jelas pula saya ketika itu.." Kak Liza isteri cikgu Mail minta tolong dengan saya. Dia kata cikgu Mail ada hubungan dengan Zila...Dia minta saya siasat hal ni.." "Kamu biar betul Azah...selama ni sepatah haram pun Zila tak pernah menyebut hal ni..kamu bukan tak tau perangai Azah tu..diakan mudah mesra dengan sesiapa pun...tak terkecuali cikgu Mail tu."  Zila adalah seorang ibu tunggal di sekolah kami...perawakan beliau yang agak menarik dan cepat mesra memang mudah buat orang lain memberi tanggapan negatif kepadanya jika tidak kenal dengan lebih dekat.

"Betul Maya...isteri cikgu Mail kata mereka selalu berbalas SMS". Kalau betul perkara tu..kesian dengan Kak Liza tu...tambah Azah lagi.." Dari kata-kata Azah saya dapat agak mereka berdua saling mengenali ...Sepanjang saya bersahabat baik dengan Zila, saya memang mengetahui citarasa teman saya itu...maksud saya jika dia berhajat mencari pengganti...ciri-ciri cikgu Mail bukanlah lelaki yang ada dalam pilihannya...Tak mungkin perkara ini benar...getus kata hati saya...

Saya tidak suka sama sekali mengeruhkan suasana...bimbang hubungan persahabatan dengan teman-teman tergugat disebabkan hal seperti ini... Macam nilah Azah, kamu beritahu saja pada isteri cikgu Mail semua tu tak benar...jelaskan pada dia mengenai sikap Zila yang mudah mesra dengan sesiapa saja dan kita semua sudah maklum hal tu...kita dah seperti adik beradik di sekolah ni...Pandai-pandai kamulah mengarang ayat supaya dia yakin dengan kata-kata kamu...Saya mahu perkara tersebut cepat selesai dan tidak berpanjangan hingga sampai ke pengetahuan kawan-kawan yang lain.

"Hal Zila tu biarlah Maya selesaikan macam mana nanti...Kita ni kalau ingin menarik rambut dalam tepung kena pastikan rambut tak putus dan tepung tak berselerakan..."Sempat lagi berperibahasa tu..." Azah menegur...Selepas kepulangan Azah, saya pula yang risau tentang hal ini..Lebih baik saya tak tahu apa-apa...Ini namanya tak ada masalah ..cari masalah...

"Zila...macam mana hubungan engkau dengan Si Zack tu? Ada perkembangan terbaru ke..?" Saya cuba memancing jawapan daripada Zila. Jawapan Zila amat penting untuk saya mengetahui hal yang sebenar dan menamatkan teka teki yang bermain di fikiran..."Mungkin jadi mungkin tidak...mungkin kahwin mungkin tidak..eh, macam tu pulak! Zila memang suka bergurau dan membuat lawak..."Tapi........seriuslah Maya...engkau jangan terkejut pulak. Sebenarnya minggu depan mak dengan ayah Si Zack nak jumpa aku......" Zila menjerit gembira...Saya ikut gembira mendengar berita tersebut, tetapi kegembiraan saya berlipat ganda kerana dengan berita tersebut maka saya tidak lagi perlu memikirkan masalah yang timbul sebelum ini..Alhamdulillah...Syukur kerana saya tidak perlu terlibat dengan pemasaalahan yang mungkin menjejaskan hubungan saya dengan rakan-rakan...

Berpada-padalah menunjukkan kemesraan kepada orang lain..kerana dibimbangi akan menimbulkan syak wasangka terhadap kita. Rambut kita mungkin sama hitam...tetapi apa yang ada di dalam hati pastinya berlainan...

Pilihan Bahasa

Saya baru saja menerima email daripada seorang rakan blogger yang mencadangkan kepada saya supaya meletakkan 'gadget' pilihan bahasa di dalam blog saya. Ini akan memberi peluang kepada lebih ramai pembaca dari pelbagai bangsa dan negara untuk memahami apa yang tertera di dalam blog kita.

Sepertinya saya mempunyai angan-angan yang terlalu besar tetapi apa salahnya mempunyai impian untuk menyebar luaskan apa yang ada di negara kita kepada orang lain...Mungkin ada sesuatu yang menarik untuk diketahui oleh mereka di sini...Terima kasih kepada rakan yang sudi memberikan maklumat dan berkongsi ilmu dengan saya di sini...

Ketinggalan Maklumat

Pernahkah anda mendengar perumpamaan berbunyi " bagaikan janda baru bangun tidur". Semasa seorang rakan sekerja melafazkannya saya turut tergelak sama mendengarnya. Biasalah orang lelaki suka mencipta sesuatu yang mereka minat dijadikan topik perbualan...Mulanya saya fikir rakan tersebut sekadar mereka-reka untuk dibuat sebagai bahan lawak .Maklumlah adakalanya beban kerja membuat masing-masing berasa sedikit 'stress'.

Saya sendiri mengaku tidak pernah bertemu dengan perumpamaan sedemikian sepanjang terlibat dalam dunia pendidikan ini. Apabila rakan tadi mengatakan perumpamaan itu wujud dan ada di dalam kamus perumpamaan Melayu, saya agak terkejut...Nampaknya saya sedikit tertinggal dalam hal ini...Mungkin juga perumpamaan ini tidak termasuk di dalam sukatan makanya saya agak lambat menerima maklumat tersebut...

Sebagai pendidik saya selalu teruja apabila dihadapkan dengan maklumat-maklumat terkini yang seharusnya saya tahu. Saya mungkin boleh disifatkan sebagai seorang yang tidak mahu ketinggalan maklumat...jika orang lain tahu ,saya juga mesti tahu...Saya terus ke Pusat Sumber untuk melihat kebenaran yang disebut oleh rakan tadi. Memang benar sama sekali apa yang dikatakan oleh rakan tadi..perumpamaan itu memang ada..

Maksud perumpamaan tersebut ialah biasanya masyarakat sering mengatakan bahawa seorang janda suka berhias diri tidak mengira masa...sedangkan wanita yang bersuami sering mengabaikannya.Sebab itulah dikatakan bahawa wajah atau rupa paras seorang janda tetap menarik meskipun dia baru bangun tidur...Aha..dalam kepala saya hanya ada satu ayat yang tertera...pastinya yang mencipta perumpamaan ini kaum lelaki...memang mereka cekap untuk menafsir sesuatu jika ianya berkaitan dengan perempuan...Walaupun itu cuma andaian saya sahaja...

Tulisan ini sekadar maklumat dan bukan memperleceh mana-mana pihak...

Jujurlah Padaku...

"Kak Maya tengah 'free' ke?" sapa seorang teman semasa saya sedang mengemas fail-fail di meja. "Nak kata'free' sampai pencen agaknya baru 'free'..." "Ada apa-apa yang Kak Maya boleh tolong ke?" " Kita berbual di Pusat Sumber lepas rehat nanti boleh tak Kak?" Tanya teman tu lagi..Saya ,menganggukkan kepala tanda setuju...ada nampak keresahan di wajahnya...Saya perlu luangkan sedikit masa untuknya ,sementelah dia telah menaruh kepercayaan pada saya untuk berkongsi cerita...

Begini kisahnya... Nampak berat masalah yang ditanggung oleh teman saya tu..Apa sebenarnya yang berlaku? Menurutnya sebelum ini dia dah kecohkan pekara ini dengan teman-teman lain...mungkin saya tertinggal cerita ini sebab saya berada di ruang kerja yang berlainan tempat...Sebahagian besar teman tahu yang dia kehilangan wang dalam simpanan di bank  sebanyak RM2500 ++.

Teman saya ini sudahpun merujuk perkara ini dengan pihak bank untuk mengetahui bagaimana punca berlaku kesilapan seperti ini. Pihak bank seperti biasa berjanji akan menjalankan siasatan...Teman saya ini juga telah terlebih dahulu bertanyakan kepada suami dan anak-anaknya jika ada di antara mereka yang mengambilnya secara senyap-senyap. Semuanya menggeleng dan bersimpati...

Teman saya cukup sedih kerana wang tersebut sebahagian daripada pinjaman yang terpaksa dia buat untuk membayar kos yuran pengajian yang baru diterima dan juga untuk menanggung kos anak-anaknya yang seramai 9 orang. Sebahagiannya duduk di asrama. Walaupun mungkin ianya nampak kecil di mata orang lain...namun ianya cukup besar buat dirinya..."Ami sedih sangat kak...sedih bukan disebabkan wang yang hilang itu saja tapi...." Ada nada getar di suaranya.. " Cakaplah terus terang Ami...InsyaAllah Kak Maya tidak akan ceritakan pada teman-teman lain..." Saya cuba menenangkan dirinya yang mula sebak.

"Saya ada ajak suami buat 'report' di balai supaya  dapat menjalankan siasatan secara terperinci tapi suami saya kata tunggulah sedikit waktu lagi..biar pihak bank buat siasatan dahulu". Lagipun bukan banyak sangat yang hilang...bukan rezeki kita agaknya.. Saya akur dengan nasihat dia kak". Teman saya terus bercerita...Saya hanya mampu menjadi pendengar yang setia sahaja ketika itu...Masih lagi tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku..

Menurutnya lagi,setelah tiada tindakan yang dibuat oleh pihak bank, teman saya membuat keputusan nekad untuk membuat laporan di balai agar pihak bank mengambil serius aduannya. Teman saya tidak mahu perkara seperti ini terus berlaku dan tidak diambil peduli... Dalam hati bagus juga tindakan teman saya tu..ajar mereka supaya bertanggungjawab sedikit..Dia beritahu suaminya hal tersebut dan minta cepat bertindak ...
Jika tidak dia rela berurusan sendiri, asalkan hatinya puas...Ingin sangat teman itu mengetahui dan melihat wajah manusia yang mengambil wangnya tanpa rasa malu...

Ketika dia serius membincangkan hal itu..tiba-tiba katanya suaminya gelak. "Kenapa kecoh sangat ni, duit tu sebenarnya abang pinjam...nanti abang bayarlah..."Selamba suaminya memberitahu perkara sebenar. "Siapa tak sakit hati kak?" "Saya ke hulu ke hilir menyelesaikan hal ini,dia ikut je.."Tak ada tanda-tanda dia bersalah... Sampai hati dia buat saya macam ni..Malu saya kalau teman-teman tau dia sebenarnya "pencuri"itu..." "Kenapa dia tak mengaku saja dari awal..Kenapa mesti berbohong dan menyusahkan saya ?" Berkali-kali teman saya mempersoalkan perkara itu...

Teman itu juga membuat pengakuan, sebelum ini memang menjadi 'habit' suaminya mengambil wang di beg duitnya dengan sewenang-wenangnya tanpa memberitahu. Namun dia malas memperbesar hal itu kerana sudah sedia maklum panas baran suaminya. Lagipun jumlah yang diambil tidaklah besar sangat. Tapi saya memang sama sekali tidak menjangka dia terlibat dalam kes ini."

"Dah lama saya pendam kak...makan hati dengan perbuatan dia tu". "Saya pun tak faham ke mana perginya wang gaji dia. Kalau saya tanya..kena tengkinglah jawapnya"."Alasan dia suami isteripun saya nak berkira...". "Bukan saya nak berkira Kak Maya...cuma saya mahu dia jujur dengan setiap yang dia lakukan..itu saja kak...". "Kami banyak tanggungan..anak ramai...hidup saya bukan senang walaupun suami-isteri bekerja".

Saya dibuai rasa terharu dan simpati melihat ada airmata yang bertakung di kelopak matanya...Saya menarik nafas dalam-dalam..."Ada waktu-waktunya saya ingin saja lari jauh...meleraikan hubungan, tapi melihat anak-anak saya tak sanggup.."  Teman saya mengakhiri luahannya sambil melepaskan keluhan...

Saya hanya mampu merenung wajah teman itu dengan penuh simpati...mungkin banyak lagi rahsia besar yang dia tidak luahkan pada saya. Mana mungkin dia setega itu jika hanya kerana hal yang diceritakan pada saya. Cukuplah jika dia mendapat kelegaan setelah meluahkan apa yang tersirat di hatinya ketika itu kepada saya. Hanya perkataan sabar...bersabarlah...Allah nak menguji kesabaran kita.. itu yang mampu saya ucapkan. Berat mata memandang berat lagi bahunya yang memikul...

Sejam berlalu tanpa disedari, sehinggalah loceng untuk dia masuk ke kelas berbunyi...Saya hanya mengekori gerak langkah longlainya sehinggalah dia hilang dari pandangan...
Fikiran saya buntu seketika...Apakah yang saya boleh lakukan untuk membantu...Saya hanya mampu mendengar....menjadi pendengar terbaik..mudah-mudahan...

Buat para suami di luar sana, hanya sebuah kejujuran yang isteri anda inginkan...Kembalikan kepercayaan isteri anda jika anda pernah terlibat seperti kondisi ini...

Luahan Rasa...

Minda saya bagai diasak-asak untuk mewujudkan satu lagi cabang penulisan di blog ini.Saya ingin sekali berkongsi cerita dan rasa dengan para pembaca (mungkin cuma segelintir pembaca) mengenai liku-liku perjalanan hidup ini. Sebagai orang yang sering menjadi rujukan teman-teman seperjuangan, pelbagai masalah sering diajukan kepada saya untuk bertukar-tukar pendapat. Jadi apa yang ada dalam kotak fikiran saya sekarang ialah "Luahan Rasa". Ya...mungkin itulah 'labels' yang perlu saya wujudkan...

Sebagai penulis yang mempunyai rasa tanggungjawab, saya perlu memastikan apa yang ingin saya buat ini tidak bercanggah sama sekali dengan hukum Agama Islam kita tercinta...Saya telah membaca pelbagai pendapat dari blog-blog soal jawab agama dan kesimpulan yang saya perolehi ialah..setiap penulisan yang kita hasilkan adalah bertujuan mengambil iktibar dan memberi pedoman kepada pembacanya...Rujukan terbaik adalah melalui kesusasteraan Al-quran.

AL-QURAN memang sepatutnya menjadi panduan utama kehidupan seorang muslim kerana ia lengkap dengan segala bidang ilmu termasuklah ilmu sastera. Keluasan dan kehebatan ilmu al-Quran ini terbukti dengan adanya karangan para sarjana dan pengkaji al-Quran yang tidak putus-putus sejak dulu hingga kini.

Dan salah satu ilmu yang dapat kita pelajari serta contohi daripada al-Quran ialah kehebatan dan keindahan kesusasteraannya. Kehebatan kesusasteraan al-Quran ini wajar dimanfaatkan oleh para penulis Islam yang menghasilkan karya sastera untuk menyampaikan dakwah kepada umat manusia. Yang pasti kisah dalam al-Quran sememangnya benar, merupakan sebaik-baik kisah dan ia paling berkesan. Perhatikan saja bagaimana baik dan indahnya kisah Nabi Yusuf a.s. dalam Surah Yusuf. Ketika mentafsirkan ayat 3 dalam Surah Yusuf yang bermaksud, "Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan al-Quran ini kepadamu," Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin dalam Al-Usul fi al-Tafsir menyatakan bahawa ini kerana ianya mengandungi ketinggian dalam sastera dan intipati yang penuh sempurna.

Manakala dalam Surah Al-Kahfi pula kita dapat mempelajari satu sifat kesusasteraan al-Quran yang sangat penting iaitu ia tidak membicarakan sesuatu yang tidak penting, tidak ada faedah dan juga remeh-temeh. Ibn Taimiyyah menukilkan dalam Muqaddimah fi Usul al-Tafsir antara perkara yang tidak ada faedah itu ialah seperti nama pemuda ashab al-kahfi, warna anjing ashab al-kahfi dan juga jumlah bilangan mereka. Di negara manakah terletaknya gua ashab al-kahfi itu juga tidak diberitahu kerana ia termasuk dalam hal yang tidak penting dan tidak ada manfaat. Iktibar yang besar daripada kisah hebat dalam surah ini kepada para penulis ialah perlunya seorang penulis dan juga pengarang karya kreatif itu hanya menulis sesuatu yang penting dan bermanfaat sahaja dalam karya-karyanya. Janganlah dikotorkan karya kita dengan perkara merepek dan tidak memberi faedah kepada pembaca.

Sebagai penulis yang mencontohi kesusasteraan al-Quran kita sewajarnya memikirkan perumpamaan yang cerdik dan membijaksanakan pembaca dalam karangan-karangan yang mahu kita hasilkan.

Rujukan dari Selatan Online oleh SALMAN SULAIMAN

Saya sama sekali tidak akan menggunakan nama dan tempat kejadian sebenar sebagai menghormati hak mutlak peribadi mereka yang terlibat. Saya hanya ingin berkongsi apa sebenarnya kisah-kisah yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini yang kadang kala kita langsung tidak terfikir dalam kotak minda kita..Semoga kita dapat mengambil sesuatu itu sebagai iktibar dan pedoman hidup kita dalam mengharungi hidup yang penuh pancaroba di dunia yang fana ini...Segala yang baik itu datangnya dari Allah dan segala keburukan itu berpunca dari kealpaan dan kelemahan diri kita sendiri...wallahualam...

Bila jari menari...

Hobi menulis jika dirangsang dengan baik bukan sahaja dapat dijadikan sebagai medium menyampaikan sesuatu mesej, malah jika ia digilap berterusan dapat memperluas lagi pengetahuan kita di bidang yang kita minati. Apa yang saya dapat katakan jika seorang penulis itu telah mula mengerakkan penanya di atas kertas atau jari jemarinya di atas 'keyboard', pastinya sukar baginya untuk menghentikan pelbagai idea dan ilham yang terjana dan bertali arus di minda...

Begitu jugalah perihal diri saya sejak balik dari menjadi tetamu Allah di bumi anibia sana...Setelah berkesempatan bercuti bersama keluarga di sini dan juga di selatan tanah air ,saya banyak menghabiskan masa di depan skrin komputer. Sementelah anak gadis saya mengikut ibu saudaranya balik ke kampung dan suami pula sibuk dengan kerjanya... Kesunyian itulah yang mungkin mendatangkan ilham untuk saya terus menulis tanpa had dan batas masa semenjak dua menjak ni... Sehinggakan suami ada menegur saya..ada ke watak dia dalam cerpen yang  sedang saya hasilkan. Saya hanya katakan..bila sesi persekolahan dah bermula saya mungkin tak berkesempatan sebegini aktif...Sememangnya dia sedia maklum minat saya ini sejak dahulu lagi..cuma ianya mungkin minat yang terpendam atau terendam...

Proses menyiapkan cerpen bukan boleh setakat janji siap...sebagai pendidik saya bertanggungjawab menggunakan hukum-hakam penggunaan tatabahasa yang betul...contohnya penggunaan dialog mestillah menggunakan sistem bahasa dan tanda baca yang betul. Jangan malu belajar daripada mereka yang berilmu.

Saya ada mengikuti sebuah blog penulisan novel dan cerpen , sebahagiannya saya berterima kasih kepada pihak yang mewujudkannya dan sebahagiannya pula saya kurang bersetuju dengan kelonggaran pihak tersebut meluluskan novel dan cerpen-cerpen yang dihantar. Kalau perlu saya bariskan kesilapan yang ada berkemungkinan sehari pun tidak akan habis...Walaupun saya bukan penulis terkenal seperti mereka yang terkenal dengan novel-novel cinta yang dihasilkan..tetapi sebagai seorang pendidik kadangkala mata ini sakit melihat kecelaruan bahasa yang ada...

Seorang teman ada berkata kepada saya,di rumahnya tersusun beratus-ratus karya novel cinta yang amat digemari remaja-remaja  zaman ini...walaupun hakikatnya beliau sudah seusia saya... Oh...seronok ke?..Bolehlah sebagai hobi..Secara jujurnya saya tidak pernah membeli novel-novel sedemikian walaupun ianya amat laris di pasaran. Anak gadis saya sendiri pun saya tidak galakkan untuk mempunyai minat membaca novel-novel tersebut. Adakah saya bersikap prejudis terhadap penulis-penulis sedemikian? Sama sekali tidak...cuma saya mungkin sudah hilang minat untuk membaca karya-karya yang bertemakan cinta muda-mudi sekarang. Itu saja...

Berwaspadalah...

Kelmarin semasa saya menjalankan tugas rutin bertugas di sekolah...seorang rakan  berbangsa tionghua meluahkan rasa kurang senangnya terhadap anak gadisnya yang bekerja di Kuala Lumpur. I geram ni..geram betul...kenapa? Habis semua kawasan rumah,isi rumah kereta i dia masukkan dalam blog dia...Memang marah sungguh teman seorang ni...Apa salahnya..mungkin anak cikgu  seronok dapat berkongsi-kongsi dengan kawan-kawan dia...saya meredakan suasana. Mana boleh...kalau ada yang berniat jahat mati i...semua maklumat rumah i ada dalam tu. Betul juga kan...

Rupa-rupanya anak gadis teman saya tu mempunyai pengikut yang ramai di blognya..sehingga saya agak terkejut apabila diberitahu dia mendapat bayaran atas populariti blognya...Mungkin tindakan anak gadis teman saya itu betul untuk menarik minat pengunjung, tetapi dari satu sudut mungkin ianya mendatangkan keburukan terutama dari segi keselamatan diri dan keluarganya..Saya yang sememangnya kurang ariff mengenai 'business' yang boleh dijana melalui blog hanya mampu menatap wajah teman saya tu dengan sebuah senyuman hambar sebagai tanda kita turut memahami situasi yang dihadapinya...

Apa yang boleh saya pelajari dari kes teman saya ini ialah saya harus mengingatkan pekara ini kepada anak gadis saya juga anak-anak didik saya . Walaupun saya ada juga memantau blog yang dibinanya dan tiada apa-apa yang membimbangkan, namun sebagai ibu bapa yang prihatin kita hendaklah sentiasa mengingatkan anak-anak kita agar berhati-hati apabila mengunakan kemudahan internet ini. Berwaspadalah kerana telah terlalu banyak terpapar di dada-dada akhbar mengenai penipuan yang berlaku di internet...Amat mengejutkan juga kerana mereka yang tertipu itu adalah di kalangan bijak pandai...

Semoga kita semua dijauhkan daripada perbuatan-perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada agama, diri, keluarga, bangsa dan negara...

Bicara Seorang Guru

Memang penat..
Memang Payah...
Memang Terbeban...
Tapi aku seorang guru
Jiwa aku jiwa guru
Biar orang kata
Kerja guru tidak boleh kaya...
Biar orang kata
Kerja guru di hutan belantara
Tapi aku bahagia...


Penat,payah, bebanan...
Hilang bagai air mengalir
Melihat anak-anak bangsa meraih jaya..


Wahai anak muda
Jika ada semangat juang
Sambutlah cabaran
Perjuangkan nasib anak bangsamu
Pedulikan kata orang
Pedulikan tanggapan orang
Biar rumah, kereta sederhana
Tidur kita bisa lena...
Tanpa rasa takut pencuri datang
Menerus hidup seorang pejuang...


Bila berbicara soal guru..
Aku benar-benar bahagia...
Terkenang jasa luput tiada...


Hasil Nukilan : Maya Kirana
(dihasilkan sebagai pembakar semangat kepada mereka yang bergelar guru dan bakal menjadi guru...)

Milik Bersama

Ganyang mereka
Ganyang si malingsia
Terpekik terlolong bagai hilang akal
Berdemo tanpa tau apa
Inikah bangsa merdeka?
Menghina mencerca negara lain tanpa rasa malu
Bagai semua milik mereka..

Kita dituduh perampok
Bermaharajela merampas hak mutlak mereka
Benarkah?
Begitukah?
Miskin sangatkah kita ?

Rumpun melayu luas
Melayu, Jawa, Bugis, Banjar, Minang, Boyan...
Di mana-mana ...
Tidak berhakkah mereka?
Rasa memiliki
Rasa sepunya


Warisan ini milik nenek moyang kita
Budaya ini milik leluhur kita
Seharusnya kita berbangga
Bukan bersengketa...
Ah...manusia bisa buat apa saja
Korupsi menutup kelemahan diri...


Ini negara merdeka
Tanah tumpah melayu kita
Pedulikan kata mereka
Pedulikan tingkah mereka
Budaya ini milik bersama
Milik bangsa nusantara...


Hasil Nukilan : Maya Kirana
( sajak ini diilhamkan semasa berlaku 'sweeping Malaysia' di Indonesia akibat perasaan tidak puashati mereka kerana kita dituduh mengaku budaya mereka milik kita...)

Maklumbalas

Saya ada menerima komen dan maklumbalas daripada seorang blogger mengenai blog saya ini..Menurut pandangan beliau secara jujurnya mengatakan bahawa blog saya berkemungkinan besar tidak akan menerima kunjungan yang ramai.

Alasan beliau ialah blog sebegini tidak menarik minat pembaca yang majoritinya adalah mereka yang berusia lingkungan 15-35 tahun. Golongan ini tidak lagi meminati genre sebegini sebagai bahan bacaan dan dianggap sudah ketinggalan zaman. Beliau ada mengesyorkan agar saya menyelitkan pelbagai bahan sampingan lain seperti hal-hal keluarga, pekerjaan atau apa saja artikel yang majoriti pembaca inginkan. Pandangan ikhlas beliau itu amat saya hargai dan berbanyak terima kasih saya ucapkan.

Walaupun pandangan beliau itu benar tetapi bagi diri saya sendiri blog popular bukanlah menjadi isu besar dan matlamat pembinaan blog ini. Bagi saya kepuasan dapat mencapai apa yang saya inginkan melebihi segalanya...Biarlah blog saya kekal begini....

Paparan Umum

Hari ini saya memaparkan  koleksi-koleksi  yang didraf selama ini. Mungkin sebelum ini saya masih kurang berkeyakinan untuk menjadikannya bacaan umum. Mungkin juga selepas ini saya akan lebih giat dan aktif menjadikan blog ini satu warisan peribadi untuk anak cucu sendiri...

Buat masa ini saya sedang dalam proses mendraf dan  menyiapkan sebuah cerpen yang bertajuk " Aku Bukan Boneka". Tajuk ini mungkin akan berubah mengikut kesesuaian apabila siap nanti. Cerpen ini berkisar mengenai permasalahan yang berlaku dalam sebuah keluarga. Agak mengujakan jugakan...tunggulah InsyaAllah akan muncul nanti...

Seandainya terdapat kesilapan dalam artikel-artikel atau karya yang ditulis oleh saya bolehlah teman-teman seperjuangan menegurnya untuk kebaikan bersama. Segala komen amatlah dihargai...

Pertandingan Zapin Peringkat Negeri Johor

Pada 15-17 Okt 2010 yang lalu bertempat di Stadium Tertutup MBJB Johor Bahru telah berlangsung Pertandingan Zapin Johor 2010 yang melibatkan penyertaan dari pelbagai kategori. Pertandingan yang berlangsung selama 3 hari itu menyaksikan persaingan sengit bagi kategori-kategori yang dipertandingkan termasuklah kategori sekolah rendah, sekolah menengah, jabatan dan agensi kerajaan serta mukim. 

Bagi mereka yang kurang faham maksud mukim, di negeri Johor ia bermaksud beberapa buah kampung disatukan dalam pimpinan seorang penghulu. Sebenarnya sepanjang saya berkhidmat sebagai pendidik di beberapa buah negeri dan juga sekolah, saya dapat melihat negeri Johor satu-satunya negeri yang begitu giat memastikan warisan kesenian nenek moyang tidak lenyap begitu sahaja.


Ketika saya balik kekampung,saya dapat melihat sendiri anak-anak saudara saya giat berlatih tarian zapin ini untuk pertandingan di sekolah. Seawal usia 5/6 tahun kanak-kanak telah dilatih untuk menguasai rentak zapin ini. Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila persembahan zapin ini mendapat sambutan yang cukup luarbiasa apabila dipertanding atau dipersembahkan di mana-mana majlis di Johor.


Sebagai generasi yang mewarisi sedikit sebanyak bakat berzapin ini, saya pernah juga melatih sekumpulan pelajar di sini untuk dipersembahkan pada Hari Anugerah Cemerlang dan juga RIMUP. Memang hebat sambutan dan sokongan yang diberikan. Untuk saya berzapin mungkin tidak sesuai lagi...biarlah anak-anak didik meneruskan legasi ini.