About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berat Mata Memandang...

"Assalamualaikum Cikgu Maya...", saya dikejutkan dengan suara memberi salam ketika sedang sibuk menyiapkan kerja-kerja terakhir yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat minggu depan. "Oh...Wa'alaikumsalam..", saya menjawab dalam keadaan sedikit terkejut kerana fikiran ketika itu tertumpu pada kerja-kerja yang ada di hadapan saya. Wajah wanita yang menyapa itu memang biasa saya lihat cuma saya sering terlupa nama mereka...Maklumlah pelajar silih berganti...sudah pasti saya sentiasa bertemu  dengan keluarga yang berbeza setiap tahun.

"Ada bayaran yuran ke cikgu hari ini..?", tanya wanita yang menyapa saya tadi. "Ya.., jawab saya ringkas. Kalau dia tak tahu kenapa pula dia datang hari ini...hati saya tertanya-tanya. Bagai dia tahu apa yang bermain di fikiran saya, lantas wanita itu berkata tanpa disuruh.." Saya datang bukan nak bayar yuran cikgu...temankan kawan ni,anak dia nak bertukar sekolah..". "Oh..., hanya itu yang terkeluar dari mulut saya ketika itu...Mungkin otak saya dah tepu dengan kerja-kerja yang harus disiapkan sehingga tiada idea untuk menyambung perbualan dengan wanita tersebut.

"Entahlah cikgu....saya belum dapat membayar yuran dan membeli buku untuk anak-anak saya tahun depan...duit tak ada cikgu..", dia menyambung percakapannya walaupun ketika itu saya tidak begitu memberi perhatian dengan kehadirannya. Mendengar ayat terakhir yang diucapkannya dengan penuh rasa sebak itu...saya segera mendongak dan memandang tepat ke arah wanita itu..."Tak mengapa, puan boleh bayar lewat sikit...suruh anak puan guna buku-buku latihan yang lama...", saya bersuara perlahan untuk mengurangkan kerisauan yang mungkin bersarang di hatinya.

"Semua dah habis buku-buku tu cikgu....saya pun tak tau apa dibuatnya oleh budak-budak tu", cepat dia menjawab. "Kalau begitu,puan belilah satu atau dua buku dulu buat sementara waktu...lagipun kalau tidak silap saya, anak sulung puan yang bernama Aslam ada menerima bantuan kewangan...Saya pun kurang pasti bila wang tersebut akan diberikan...", saya memberikan sedikit penjelasan yang agak menceriakan wajahnya.
"Tapi Faizul tak dapat..."'saya menyambung. "Dia tak hantar borang hari tu cikgu...terlupa. Bila Farah tengok tarikh dah lewat ", aha...baru saya teringat nama wanita itu Farah bila dia menyebutnya. Wajahnya ada iras anak mami...manis bila tersenyum.

Jawapan tidak hantar borang...terlewat...terlupa...agak menjengkelkan hati saya bila berurusan dengan masalah sebegini.  Kalau dah tahu susah dan memerlukan bantuan ambil beratlah sedikit dengan perkara-perkara sebegini...Bila tak dapat salahkan sekolah kata tak mahu bantulah...gerutu hati kecil saya. Adakalanya saya terpaksa memulangkan paku buah keras kepada mereka yang menimbulkan masalah disebabkan kealpaan mereka sendiri..."Puan sendirilah kena ambil berat kalau ingin dibantu...kena ambil tahu...", saya bertegas sedikit. "Kenalah berusaha...sampai bila asyik nak mengharapkan bantuan..", saya dah mula membebel,walaupun tiada niat berbuat demikian tadi. Mungkin disebabkan jawapan yang diberikan oleh wanita itu agak mendukacitakan saya tadi...

"Suami Farah tak ada kerja cikgu...permit dia dah tamat", tanpa diminta wanita itu membuka cerita keluarganya. Mungkin untuk meyakinkan saya akan kesusahannya. "Suami orang mana?", tanya saya ringkas. "Dia orang Bangla cikgu...". "Oh...", hanya itu yang terpacul dari mulut saya. "Duit yang Farah berikan pada adik untuk uruskan permit suami ditipu oleh adik Farah sendiri...",ada linangan air mata yang mula mengalir di pipinya. Saya memang cukup lemah menghadapi situasi air mata ini...anak dara saya pun selalu kata, mama menangis lebih dari pelakon filem tu sendiri...aha mungkin saya boleh menjadi pelakon air mata kalau diberikan peluang...

"Sekarang ni Farah berniaga kecil-kecilan depan rumah..jual kuih-kuih sikit cikgu. Nak kerja lain..anak tak ada orang jaga..nak upah Farah tak mampu nak bayar", dia terus menyambung. "Baitulmal ada juga bantu...tapi tak cukup. Nak bayar sewa rumah, tambang van sekolah lagi...kadang-kadang makan pun tak lepas", dia terus bercerita walaupun saya tidak memberikan apa-apa tindakbalas dengan apa yang diucapkannya. Mungkin dia dapat melihat ada rasa simpati yang saya tunjukkan ketika itu...Sebenarnya sudah banyak juga kes seperti ini yang saya hadapi..seperti saya kata tadi..inilah kelemahan saya apabila dihadapkan dengan situasi sedemikian. Mungkin sifat mereka yang dilahirkan berbintang Pisces memang begitu...keras hati tetapi mudah simpatik...

"Macam nilah puan, bila dapat duit bantuan anak nanti selesaikanlah semuanya ya..", saya cuba menyimpulkan luahan hatinya kerana masih banyak urusan yang perlu saya selesaikan. "Pihak sekolah akan sentiasa membantu jika puan memang benar-benar layak. Yang penting anak-anak jangan diabaikan pendidikannya...Setahu saya anak-anak puan pun agak cemerlang dalam pelajaran...cuma sering ponteng sekolah", jelas saya. "Kalau boleh tahun mendatang ni, anak-anak dapat bersekolah dengan sempurna", saya menaruh harapan padanya. Farah cuma mengangguk...lemah..

Tapi saya tahu terlalu banyak beban yang ada di fikirannya...terpikul di bahunya...semoga wanita itu tabah mengharungi kehidupan sukar dan penuh ranjau yang terpaksa ditempuhinya...Saya tertanya sendiri..bolehkah saya setabah dan sekuatnya jika dihadapkan dengan dugaan sedemikian...? Roda kehidupan...adakala kita di atas...adakala di bawah...takdir..qada' dan qadar Allah tak siapa mengetahuinya....

0 comments: