About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Luahan Rasa...

Minda saya bagai diasak-asak untuk mewujudkan satu lagi cabang penulisan di blog ini.Saya ingin sekali berkongsi cerita dan rasa dengan para pembaca (mungkin cuma segelintir pembaca) mengenai liku-liku perjalanan hidup ini. Sebagai orang yang sering menjadi rujukan teman-teman seperjuangan, pelbagai masalah sering diajukan kepada saya untuk bertukar-tukar pendapat. Jadi apa yang ada dalam kotak fikiran saya sekarang ialah "Luahan Rasa". Ya...mungkin itulah 'labels' yang perlu saya wujudkan...

Sebagai penulis yang mempunyai rasa tanggungjawab, saya perlu memastikan apa yang ingin saya buat ini tidak bercanggah sama sekali dengan hukum Agama Islam kita tercinta...Saya telah membaca pelbagai pendapat dari blog-blog soal jawab agama dan kesimpulan yang saya perolehi ialah..setiap penulisan yang kita hasilkan adalah bertujuan mengambil iktibar dan memberi pedoman kepada pembacanya...Rujukan terbaik adalah melalui kesusasteraan Al-quran.

AL-QURAN memang sepatutnya menjadi panduan utama kehidupan seorang muslim kerana ia lengkap dengan segala bidang ilmu termasuklah ilmu sastera. Keluasan dan kehebatan ilmu al-Quran ini terbukti dengan adanya karangan para sarjana dan pengkaji al-Quran yang tidak putus-putus sejak dulu hingga kini.

Dan salah satu ilmu yang dapat kita pelajari serta contohi daripada al-Quran ialah kehebatan dan keindahan kesusasteraannya. Kehebatan kesusasteraan al-Quran ini wajar dimanfaatkan oleh para penulis Islam yang menghasilkan karya sastera untuk menyampaikan dakwah kepada umat manusia. Yang pasti kisah dalam al-Quran sememangnya benar, merupakan sebaik-baik kisah dan ia paling berkesan. Perhatikan saja bagaimana baik dan indahnya kisah Nabi Yusuf a.s. dalam Surah Yusuf. Ketika mentafsirkan ayat 3 dalam Surah Yusuf yang bermaksud, "Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan al-Quran ini kepadamu," Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin dalam Al-Usul fi al-Tafsir menyatakan bahawa ini kerana ianya mengandungi ketinggian dalam sastera dan intipati yang penuh sempurna.

Manakala dalam Surah Al-Kahfi pula kita dapat mempelajari satu sifat kesusasteraan al-Quran yang sangat penting iaitu ia tidak membicarakan sesuatu yang tidak penting, tidak ada faedah dan juga remeh-temeh. Ibn Taimiyyah menukilkan dalam Muqaddimah fi Usul al-Tafsir antara perkara yang tidak ada faedah itu ialah seperti nama pemuda ashab al-kahfi, warna anjing ashab al-kahfi dan juga jumlah bilangan mereka. Di negara manakah terletaknya gua ashab al-kahfi itu juga tidak diberitahu kerana ia termasuk dalam hal yang tidak penting dan tidak ada manfaat. Iktibar yang besar daripada kisah hebat dalam surah ini kepada para penulis ialah perlunya seorang penulis dan juga pengarang karya kreatif itu hanya menulis sesuatu yang penting dan bermanfaat sahaja dalam karya-karyanya. Janganlah dikotorkan karya kita dengan perkara merepek dan tidak memberi faedah kepada pembaca.

Sebagai penulis yang mencontohi kesusasteraan al-Quran kita sewajarnya memikirkan perumpamaan yang cerdik dan membijaksanakan pembaca dalam karangan-karangan yang mahu kita hasilkan.

Rujukan dari Selatan Online oleh SALMAN SULAIMAN

Saya sama sekali tidak akan menggunakan nama dan tempat kejadian sebenar sebagai menghormati hak mutlak peribadi mereka yang terlibat. Saya hanya ingin berkongsi apa sebenarnya kisah-kisah yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini yang kadang kala kita langsung tidak terfikir dalam kotak minda kita..Semoga kita dapat mengambil sesuatu itu sebagai iktibar dan pedoman hidup kita dalam mengharungi hidup yang penuh pancaroba di dunia yang fana ini...Segala yang baik itu datangnya dari Allah dan segala keburukan itu berpunca dari kealpaan dan kelemahan diri kita sendiri...wallahualam...

0 comments: