About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sedangkan Lidah Lagi Tergigit...

"Kak Maya telefon...", jerit Zarina kerani sekolah dari pintu pejabat. "Saya berlari-lari anak untuk cepat ke sana. "Mak aii  ada latihan marathon ke Maya?", sempat juga Zura dari bilik guru menegur." Assalamualaikum...siapa di sana?, saya bertanya untuk memastikan masih ada pemanggil di hujung talian sana. "Waalaikumsalam...akak ke tu?, soal pemanggil tersebut. Saya tidak dapat mengecam suara siapa yang membuat panggilan itu. " Ya, Kak Maya bercakap...Siapa tu?, soal saya pula. "Ida ni kak...kenapa akak tak angkat panggilan di handset akak tadi?, tanyanya lagi.

"Ooh, Ida ke tadi, maaflah Kak Maya ada kelas tadi..lagipun akak tak nampak pun nama Ida tertera di situ. Ida dah tukar nombor ke?. "Apa kata Ida call akak semula nanti...boleh kita berbual panjang..", saya mencadangkan."Okey kak", jawabnya ringkas lalu memutuskan talian. Saya pun kurang selesa untuk menggunakan telefon di pejabat. Selain ianya untuk urusan rasmi, persekitarannya juga agak tidak sesuai untuk bersembang.

Petang itu saya dan Ida atau nama sebenarnya Rafida membuat temu janji di Mc D setelah dia beriya-iya ingin berjumpa dengan saya. Sebenarnya Ida baru berpindah ke sekolah lain pada pertengahan tahun lalu atas arahan kenaikan pangkat sebagai Guru Koku. Sambil menyicip kentang goreng kami terus berbual dari satu topik ke topik yang lain.

"Kak...akak tau ke kisah Haris?", tiba-tiba Ida bertanya dengan muka agak serius. "Kisah apa pulak tu Ida..?", tanya saya. Setahu saya kebelakangan ini memang Haris sedang mengalami masalah dalam rumahtangganya. Namun saya tidaklah mengambil tahu  sangat perkara tersebut jika tuan punya badan tidak bercerita. Lagipun hal-hal pergolakan rumahtangga perlu diceritakan pada orang yang betul agar ianya tidak semakin merumitkan keadaan.

"Akak tau tak, Haris dah sampai nekad nak menceraikan isterinya minggu lepas", sambungnya lagi dengan bersungguh-sungguh. Rafida sememangnya teman paling rapat dengan saya kerana kami sama-sama ditempatkan di sekolah ini pada tahun yang sama. Sebab itu apa saja yang diketahuinya akan disampaikan kepada saya atas dasar percaya, meskipun hal tersebut sepatutnya dirahsiakan dari sesiapa. "Bila Haris jumpa Ida?", tanya saya . "Masa mesyuarat di PKG minggu lepas kak...macam-macam dia cerita kat Ida", jelasnya. "Tapi akak janji ya jangan cerita dengan sesiapa pun...ini rahsia antara Ida dengan akak je", pintanya sungguh-sungguh. Saya hanya tergelak...dan Ida faham sangat apabila saya gelakkan ayat yang sering dilafazkannya itu. Biasanya dia sendiri yang akan membocorkan rahsia yang dikatakan rahsia antara saya dengannya itu.

Saya tidaklah terkejut dengan apa yang Ida sampaikan itu. Sememangnya sejak dari awal tahun lagi saya melihat Cikgu Haris agak berubah sikap dari kebiasaan. Jika dulu dia ceria dan senang bergaul dengan rakan-rakan setugas., berbeza dengan keadaanya sekarang yang kelihatan sugul dan jarang menyapa teman-teman.Di kalangan teman-teman sekerja, Cikgu Haris dilihat sebagai lelaki yang sempurna untuk seorang wanita. Selain segak, dia juga ringan tulang dan bertanggungjawab. Jarang sekali dia bercerita atau memburukkan isterinya, yang ada hanyalah pujian. Sehingga ada di kalangan teman-teman yang agak meluat dan kasihan kerana mereka kenal siapa isteri Haris itu. "Ego melampaulah isteri Cikgu Haris tu Kak Maya. Taklah cantik mana...cantik lagi Kak Maya  Ida ni...", terkekeh-kekeh dia tergelak. "Aii...puji ada makna ni...nak Kak Maya belanja makanlah ni ya...", saya turut tersenyum melihat gelagatnya yang adakalanya agak keanak-anakan.

"Ida tu ambillah iktibar...Berdosa besar tau curang dengan suami ni, tak cium bau syurga kita. Kak Maya tau abang Z  tu baik sangat kat Ida. Jangan ambil kesempatan atas kebaikan suami kita. Bersyukur kerana dikurniakan suami yang baik...", saya sengaja ingin melihat reaksinya. "Baiklah Ustazah Maya...Ida akan jaga abang Z dengan baik", gelaknya makin kuat. "Haa...tu perli akak la tu...", cebik saya. Akhirnya kami sama-sama tersenyum..."Kak Maya dah lapar ni...Ida ajak ni sebab nak belanja Kak Maya makan kan? Kak Maya nak order macam-macam tau...", saya sengaja mengusiknya. "Boleh....., tapi kalau Kak Maya yang bayar lagi berselera Ida makan...lagipun badan Ida nikan kurus kering je", dia tergelak besar dengan kata-katanya sendiri. "Tak taulah macam mana Ida nak turunkan berat badan ni. Ada tak ubat kurus yang Ida tak perlu tahan makan kak?",saya hanya tersenyum melihat telatahnya yang sering membuat saya tak kering gusi ketawa. Teman-teman sepertinya adakalanya boleh meredakan tekanan di tempat kerja. Namun biarlah berpada-pada...

"Hal Haris tu janganlah kita perbesarkan ya Ida...memang bagus mengambil berat hal teman-teman tapi berpada-pada agar ianya tidak semakin memburukkan keadaan. Hal rumahtangga ni hanya kita yang faham...seeloknya semua itu kita yang tangani tanpa campur tangan orang lain. Bagi Kak Maya itulah yang sebaiknya," saya melontarkan kata-kata itu dengan penuh maksud yang tersirat. Hanya saya yang memahaminya... Ida menganggukkan kepalanya. "Betul kata Kak maya tu, Ida nak insaflah kak. Tak maulah ambil tahu lagi fasal ni. Tak fasal-fasal nanti mereka tu dah berbahagia semula...kita pulak yang tambah dosa...betul tak Kak Maya?,soalnya...walaupun dia sendiri tahu apa jawapan saya.

Sedangkan lidah lagi tergigit...inikan pula suami isteri. Lirik nyanyian P.Ramlee terngiang-ngiang di telinga saya. Perceraian adalah jalan terakhir...

Bersua kembali...Dengan KeizinanNya

Ahamdulillah...syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya Maya dapat lagi bersua di blog ini. Kepada sahabat2 yang menghantar email pada Maya bertanyakan khabar, terima kasih Maya ucapkan. Sebenarnya posting Maya yang terakhir itu, Maya dedikasikan buat aruah bapa mentua Maya yang telah kembali ke Rahmatullah di bulan Ramadan tempoh hari. Alhamdulillah, Maya dapat berkhidmat menjaganya hingga ke saat-saat akhirnya...

Al Fatihah

[Al-Fatihah Untuk Arwah yang telah pergi menemuiNya
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman
dariNya kita datang, kepadaNya jua kita kembali]


Artikel berkaitan akan menyusul....

Cintaku Padamu...

Ramadhan ...
hadirmu dinanti
ceria di sebalik tirai Syaaban
mengintai Syawal dalam sebulan
syaitan-syaitan bergari rantai
ketika nafsu bermain peranan
Ramadhan ...
kami semua saling bertahan

godaan nafsu...
emosi...
minum dan makan...

Ramadhan...
rukun Islam paling dinanti
imsak bertolak iftar ditemukan
saat berbuka penuh kesyukuran
selesai seharian satu kewajipan

Ramadhan ...
berduyun bertarawih sunat dikerjakan
namun apa ertinya
jika kewajipan sering dilalaikan
raih keduanya penuh keazaman
berbahagialah kita di bulan
penuh kemuliaan...

Ramadhan ...
andai kau pergi
kerinduan ini sudah pasti
menanti sebelas bulan dikau kembali
di kala muazin melaung azan
di kala tabuh dipalukan
menandakan harapan kau akan pulang
jadi teman penerus keimanan.

Semoga kita
dapat bertemu lagi
di Ramadhan untuk sekian kali
menjadi hamba yang sentiasa bersyukur
padaMu Illahi...

Hasil Nukilan : Maya Kirana

Tragedi Ramadhan...

Mataku terpaku di skrin televisyen. Suara anak dan suami yang bertelagah pendapat mengenai tarikh mula berpuasa terhenti... Semuanya sunyi senyap, bagai garuda datang bergempita menyerang desa... sedangkan kewujudannya entah cuma satu lagenda atau dongengan semata. Pengumuman oleh penyimpan mohor besar raja-raja sebentar tadi mengesahkannya. Ramadhan datang lagi...hadir dalam suasana yang cukup mendamaikan bagi setiap umah yang mencari keberkatannya.

Kehadirannya dinanti, pemergiannya ditangisi, ketiadaannya dirindui. Begitu hebatnya Ramadhan...Ramadhan juga hadir dengaan penuh kenangan. Kenangan mengusik jiwa..kenangan penuh air mata. "Ada makanan untuk bersahur pagi esok ma?" tiba-tiba aku dikejutkan dengan pertanyaan suami. "Ada...ada bang" tergagap-gagap aku mengiyakan. Antara faham atau tidak aku turut menganggukkan kepala.

"Apa yang dimenungkan tu, dari tadi abang perhatikan..mama sakit ke?". Riak wajah suami seakan risau. "Taklah bang...mama sihat walafiat ni. Mama cuma terkenang kisah lama...tiba-tiba teringat bila nak mula puasa ni", aku menjelaskan.

Hampir 12 tahun peristiwa itu terjadi. Namun terasa baru semalam ianya berlaku...Betapa pantasnya masa berlalu. Panggilan telefon malam itu masih lagi terngiang-ngiang di cuping telingaku. "Apa hal dah lewat malam abang Khai telefon ni?, spontan aku bertanya soalan yang tidak seharusnya. Kesal pula kata-kata itu terlepas. "Eh, takkan tak boleh abang Khai nak telefon...abang merajuklah macam ni", seakan suara itu menjauh dari gagang telefon. "Ishh abang ni..mengada-ngada pulak. Bukan macam tu...abang tu bukan senang nak telefon Ana kalau tak ada hal penting", aku cuba menjelaskan, walau aku tahu dia cuma bergurau.

"Abang Khai semua kat sana sihat ke?", pertanyaan yang seakan wajib setiap kali bersembang di telefon. "Alhamdulillah semuanya baik Ana. Si Taufik dengan Fara macam mana?". Dia pula bertanya khabar. "Semua ok bang...Alhamdulillah". "Berbuka apa tadi bang? Mesti sedap kalau Kak Ita yang masak", aku menambah. "Sup kepala kerbau!", sedikit menjerit dia menjawab. Hairan juga dengan jawapannya yang agak lawak...kerana abang Khai selalu serius dengan kata-katanya. Terkekek-kekek dia tergelak. Ceria sungguh mendengar suaranya malam itu. Aku turut ketawa mendengar jawapan itu. Banyak perkara yang sempat aku sembangkan malam itu dan dia berjanji tahun ini akan pulang awal berhari raya di kampung. Tentu kakak-kakak dan adik-adik aku seronok mendengar berita ini.

"Nampaknya Ana seorang yang tak dapat balik beraya di kampung tahun ni", aku menjawab hiba. "Tak mengapalah Ana... Kami semua doakan Ana selamat bersalin dengan selamat di sana", kata-katanya seakan memberi perangsang padaku. Ada sedikit kelegaan di hati. "Terima kasih bang...Kalau ada masa datanglah melawat Ana kat sini. Kesian adik abang ni", aku cuba memohon simpati. "InsyaAllah Ana...panjang umur nanti sampailah abang sana ya. Sebelum tu abang nak minta maaf zahir dan batin kat Ana kalau ada salah silap abang selama ni...". Aku terdiam tanpa kata-kata mendengar luahan maaf abang Khai. Ada rasa debar di hati. " Belum raya lagilah bang. Ada seminggu lagi puasa...Tak sabar-sabar nak raya abang Khai ni, mengalahkan budak-budak",saya mengusik untuk meredakan resah di dada. Abang Khai tergelak kecil di hujung talian. Lama juga kami berbual sehinggalah segalanya berakhir malam itu...

Airmataku seakan sudah kering. Jiwaku kosong... Aku bersendirian di sini hanya ditemani 'nurse' yang mundar mandir menjalankan tugasnya. Aku redha dengan ketentuanMu Ya Allah andai takdir yang ditentukan ini terkandung hikmah bagiku. Aku redha andai jemputan panggilanMu atas anakku merupakan hadiah terbaik untukku di Jannah nanti. Aku redha Ya Allah...walau keperitan dan kesedihan ini seakan tidak tertanggung olehku di saat ini...SesungguhNya Engkau Yang Maha Mengetahui atas apa jua yang telah ditakdirkan.

"Ana...abang nak balik kampung untuk urusan pengebumian anak kita...Ana berehat ya...nanti abang minta Bik Dah datang temankan Ana di sini", jelas suami tanpa memandang ke arahku. Airmatanya jelas berlinangan walaupun dia cuba sembunyikan dari penglihatanku. Aku cuma mampu merenung kosong...seakan tiada lagi urat sedih dan tangis ketika itu...Aku seakan berada di dunia asing...masih tidak percaya dengan apa yang terjadi...Baru tiga bulan lepas aku kehilangan ayah dan kini aku kehilangan lagi...

"Kenapa tak makan lagi nasi tu Ana?", tiba-tiba aku dikejutkan dengan sapaan ibu mentuaku. "Jangan banyak menangis...Bawak-bawak Ishtifar...sabar". Nasihat ibu mentuaku ketika dia melihat aku banyak termenung dan menangis. Mungkin dia takut kalau-kalau aku bentan dan gila meroyan...penyakit orang beranak. Aku cuma mengangguk. Sudah masuk empat hari aku kehilangan insan tersayang. Anak kedua yang dinanti selama ini pergi buat selama-lamanya...hanya beberapa jam saja dipinjamkan Allah ke dunia fana ini .Belum puas aku menatap wajahnya. Tunggu mama di sana sayang...Nanti mama datang...Bagai empangan pecah, airmata semakin laju membasahi pipi...

Deringan bunyi telefon awal pagi itu mengejutkan aku dari lena. Sudah banyak hari aku sukar untuk tidur.Namun akhirnya aku terlelap juga akibat keletihan malam itu. Terdengar suara suamiku menjawab panggilan tersebut. Aku cuba memasang telinga untuk mendengar butir bicara yang dibualkan tapi gagal memahaminya. Terlalu perlahan suara suami pagi itu...tidak seperti kebiasaannya. Tidak lama kemudian terdengar pula deruman bunyi kereta meninggalkan rumah mentuaku. Ke mana pula suamiku pergi tanpa sebarang pesan  desah di hati kecilku. Jarum jam menunjukkan masih terlalu awal untuk subuh di masjid...Aku bingung memikirkan...Tunggu sajalah dia balik nanti...

Daun pintu diselak. Dalam kesamaran lampu bilik suami datang menghampiriku. "Ana...abang ada sesuatu nak bagitau Ana...Ana jangan terkejut ya...Ana kena banyak-banyak bersabar". Suami memegang kedua-dua bahuku untuk menenangkan keadaan. Aku hanya mendiamkan diri. Tanpa rasa apa-apa ketika itu. Seolah-olah sudah tidak berperasaan lagi...Sedihkah...gembirakah...semuanya berbaur menjadi satu. "Abang dah tak ada...", perlahan suami memberitahuku. "Abang mana?", aku tidak faham maksud "abang"yang dijelaskan oleh suami.

Di kotak fikiranku hanya terfikirkan kaum keluarga di sebelah pihak suamiku saja. "Tadi Kak Teh telefon...abang Khai dah tak ada...", jelas suami sayu. "Abang Khai dah tak ada? Kenapa?"...aku sendiri tidak pasti dengan pertanyaan yang aku lontarkan ketika itu. "Kak Teh kata...masa Kak Ita kejut untuk bangun sahur...abang Khai dah tak ada...dia meninggal dalam tidur...". Jelas suami lagi sambil tangannya tidak lepas memegang bahuku. Mungkin dia bimbang aku tidak mampu mendengar semua itu. Aku bagai tersedar dari mimpi...Tiba-tiba rasa sebak menyerbu...dan sedu-sedan memecah keheningan subuh pagi itu. Aku tidak mampu lagi mengawal emosi yang tertahan sebelum ini...andai ditakdirkan ketika itu aku jatuh sakit...mungkin ketika ini aku tidak lagi mampu berdepan skrin monitor ini...Ana dah gila meroyan...MasyaAllah...Nauzubillah...Terima kasih Ya Allah kerana memberi aku kesihatan yang baik sehingga saat ini.

Kata-kata sabar dan nasihat tidak lagi dapat mengubat kesedihan yang melanda hati. Berat mata memandang berat lagi bahuku yang memikul...Siapalah aku ketika itu untuk berhadapan dengan ujian sebesar itu. Aku benar-benar tidak mampu Ya Allah. Terlalu berat dugaan ini untuk ku tanggung...Kehilangan insan-insan tersayang dalam jangka waktu terdekat sekaligus membuat aku lemah tak terdaya...Aku bagi dihamburkan dengan butir-butir peluru...memusnahkan seluruh kegembiraan di bulan Ramadhan yang mulia dan Syawal yang bakal menjelma dalam sekelip mata. Lebih membuat aku terkilan...aku tidak berdaya untuk menatap wajah abang Khai buat kali terakhir...Kesihatanku sendiri masih tidak mengizinkan untuk aku ke sana. Hanya doa dapat ku titipkan...Damailah kau di sana abangku...

Masih segar di ingatan gurauannya minggu lepas. Masih terngiang-ngiang suara cerianya...Rupanya petanda dia akan meninggalkan kami semua. Antara percaya atau tidak...aku terpaksa menerima kenyataan ini. Kenyataan yang begitu menghibakan seluruh ahli keluargaku...Kehilangan seorang ayah, abang dan juga anak...Tragedi di Bulan Ramadhan...

"Mama...mama...mana stokin Fara?", jeritan anak daraku mengejutkan aku dari lamunan. "Fara carilah di dalam bakul di bilik belakang tu", aku membalas. Rupa-rupanya sudah hampir dua jam aku mengelamun sendirian ketika membelek-belek album lama yang menyimpan kemas gambar-gambar kenangan keluargaku.

Ya Allah Ya Tuhanku...Kau berikanlah kami keberkatan di bulan yang mulia ini. Ampunilah segala dosaku juga ahli keluargaku di bulan penuh keampunan ini. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani...Ameen Ya Rabulalamin...

Dalam Mengapai Redha Illahi

Bahang Ramadhan kian terasa kehangatannya, saat Syaaban tanpa sedar berlari meninggalkan kita...merentas hari dan waktu tanpa perlu kita menghitung dalam kiraan panjang kehidupan. Ramadhan yang menjelma bagai menjengah diri dalam gelodak rekahan nafsu manusia sepanjang musim. Dalam diam tanpa sedar, Ramadhan bagai meriak kesedaran diri untuk semakin dekat pada yang Maha Khalik.

Sepanjang berpuasa sebulan Ramadhan yang lalu, sebaik mungkin bekalan telah kita kutip untuk kita harungi setahun sebelum datangnya lagi Ramadhan kali ini, apakah masih rimbun Pohon Taqwa kita? Apakan masih bisa orang ramai berteduh mengambil manafaat darinya, atau sudah habis keguguran dedaunan hijau dek kurangnya siraman amal dan bajaan ibadat kita selama setahun ini?

Apakah masih berbuah pohon taqwa kita tadi sehingga dapat berbakti kepada makhluk Allah yang lainnya, atau usahkan berbuah sebiji dua lagi, tapi berputik bunga pun tidak dek kelalaian kita menyuburkannya dengan akhlak yang mulia berserta iman yang mantap sepanjang tahun selepas Ramadhan yang lalu? Tiada siapa yang dapat menjawabnya, selain diri kita sendiri…Perhatikan lah ‘Pohon Taqwa’ kita masing-masing.

‘Pohon Taqwa’ kita tidak lain dan tidak bukan adalah amalan seharian kita, amal ibadat seharian kita serta tingkah laku pada akhlak kita selama ini. Sejauh mana kita menjaga halal dan haram ketetapan Allah, sejauh mana kita berhati-hati dalam menangani setiap syubhah dalam hidup kita, itulah taqwa. Hanyutkah kita dengan dunia yang fana ini, atau masih kuat berpaut pada realiti akhirat yang menjadi destinasi setiap diri?

Maka bersyukurlah, dan mohonlah pada Allah semoga masih dipanjang lagi umur kita agar bertemu dengan Ramadhan Karim, kerana Ramadhan adalah madrasah tarbiyah yang mendidik kita ke arah taqwa.

Kita Hanya Berikhtiar

Lusa InsyaAllah kita semua akan mula berpuasa di bulan penuh kemuliaan Ramadhan Al Mubarak. Bulan yang dinantikan kehadirannya oleh seluruh umat Islam walau di mana keberadaan mereka di bumi Allah ini.

Ketika Maya sedang laju menaip bait-bait di ruangan di celah-celah kehidupan tadi, Maya dikejutkan dengan satu panggilan telefon. "Mama....mama...Mak Teh telefon!", jerit anak dara saya dari luar bilik. "Ya...ya...mama datang ni. Janganlah terjerit-jerit macam tu girl, terkejut mama dibuatnya", saya bersuara sambil memandang tepat ke arahnya. "I am sorry...", sambil tergelak dia membuat gaya seperti seorang pelawak.

"Assalamualaikum....Kak Teh ke tu?, saya ingin memastikan dia masih ada di hujung talian. "Waalaikumsalam wbt...Kak Teh ni...Maya dengan semua sihat ke?",pertanyaan yang semestinya akan dilontarkan terlebih dahulu oleh Kak Teh. "Alhamdulillah kak, semuanya semakin sihat ni...", jelas saya membayangkan keadaan kami tiga beranak yang semakin berkembang saiznya...Di usia semakin meningkat mungkin metabolisma dalam badan sangat perlahan terbakar. Saya tersenyum sendiri...

"Ada hal apa Kak Teh telefon pagi-pagi ni?, tanya saya agak hairan. Mungkin kebiasaanya kami sering berbual di telefon selepas maghrib atau malam. "Tak adalah apa halnya...cuma nak bagitau pasal si Am tu. Semalam, lepas subuh Si Za tu ada call Kak Teh. Cemas sangat bunyinya...Dia bagitau Am tu tiba-tiba pitam selepas keluar dari bilik air", terang Kak Teh. "MasyaAllah...teruk ke Kak Teh", tanya saya agak terkejut. Risau sungguh hati saya apabila mendapat perkhabaran mengenai ahli keluarga yang sakit...duduk jauh di sini membuat hati saya sering berdebar dan cemas apabila mendapat panggilan pada waktu yang tidak pada kebiasaan.

"Bergegas Kak Teh dengan abang ke sana...Alhamdullilah dalam setengah jam tu Am dah sedar semula. Kami bawa dia ke Hospital Puteri. Itu pun puas kena paksa baru dia nak pergi. Doktor kata tekanan darah dia rendah, tekanan jantung pun lemah", jelas Kak Teh lagi. Si Za tu tak henti-henti menangisnya. Mungkin dia terkejut agaknya", sambung Kak Teh. Saya faham dengan apa yang Kak Teh jelaskan itu. Maklumlah mereka baru dua minggu lebih hidup bersama, mungkin peristiwa itu sangat menakutkan bagi isterinya yang pernah kehilangan suami pertamanya dahulu.

"Sekarang ni Am di mana Kak Teh?", saya inginkan kepastian agar kebimbangan yang bersarang di hati reda sedikit. "Dah balik rumah...Doktor suruh dia berehat di wad tapi Maya bukan tak tahu Am tu...degil dia jer, berehat di rumah lagi bagus katanya...duduk di wad boleh dapat darah tinggi pulak katanya", Kak Teh seakan geram dengan adik lelaki yang seorang itu. Saya tersenyum sendiri membayangkan raut wajah Kak Teh ketika  itu... Kakak yang paling mengambil berat terhadap susah senang adiknya, kerana mereka tinggal berhampiran di sana. Mungkin sifat Kak Teh yang penyayang dan lembut orangnya membuat dia lebih mengikut kehendak adiknya. Lainlah kalau Maya ni...sehingga Am tu pernah melabelkan Maya sebagai Kak Laser...hihi...Mungkin tugas sebagai pendidik membuat Maya lebih tegas dalam membuat sesuatu keputusan berbanding dengan kakak-kakak yang lain.

"Maya telefonlah Si Za tu ya...bagilah dia semangat. Kak Teh ni bukan pandai nak bagi motivasi pada orang. Jangan lupa ingatkan  Si Am tu...dia tu cakap Maya dengar sikit. Kalau Kak Teh yang cakap...ada saja jawapnya...",pinta Kak Teh. " InsyaAllah Kak Teh, nanti Maya call mereka. Kak Teh terpaksa mohon diri kerana dia perlu bergegas ke kampung suaminya kerana bapa mertuanya pun sedang sakit.

Sambil memandang patah-patah perkataan yang tertera di skrin komputer, saya tiba-tiba jadi terharu dan sedih. Sedih bila memikirkan keadaan adik yang sering sakit-sakit. Ada juga desas desus yang mengandaikan adik Maya itu terkena sesuatu yang agak misteri. Secara logiknya pemeriksaan doktor tidak menunjukkan dia menghadapi masalah kesihatan yang serius, namun jika dia jatuh sakit secara tiba-tiba agak mencemaskan orang-orang di sekelilingnya. Antara percaya atau tidak, mungkin kita perlu berusaha mencari ramuan dari pelbagai kaedah perubatan. Namun harus diingat, kesembuhan itu adalah dari Allah SWT....Sebagai hambaNya kita hanya berusaha...

Buat Am dan isteri, tabah dan bersabarlah dengan segala ujian yang diberikan oleh Allah SWT. Kak Maya dan keluarga akan sentiasa mendoakan kesembuhan dan kebahagiaan kalian. InsyaAllah...Ameen...

Andai Ini Ramadhan Yang Terakhir

Andai saya tahu ini Ramadhan terakhir, tentu siangnya saya sibuk berzikir, tentu saya tak akan jemu melagukan syair rindu mendayu..merayu kepada ALLAH Tuhan yang satu.

Andai saya tahu ini Ramadhan terakhir saya, tentu solat akan saya kerjakan di awal waktu, sungguh khusyuk lagi tawadhuk, tubuh dan kalbu bersatu memperhamba diri menghadap Rabbul Jalil. Menangisi kecurangan janji “innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil ‘alamin” [sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku kuserahkan hanya kepada ALLAH Tuhan seru sekalian alam.

Andai saya tahu ini Ramadhan terakhir, tidak akan saya sia siakan waktu walau sesaat yang berlalu setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja, di setiap kesempatan juga masa yang terluang. Alunan Al-Quran bakal akan saya dendangkan, akan saya syairkan,
Andai saya tahu ini Ramadhan terakhir, tentu malam akan saya sibukkan dengan bertarawih, berqiamullail, bertahajjud, mengadu, merintih, meminta belas kasih “sesungguhnya saya tidak layak untuk ke syurga-MU, tapi saya juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU ya ALLAH”

Andai saya tahu ini Ramadhan terakhir, tentu akan saya buru, saya cari suatu malam idaman yang lebih baik dari seribu bulan, tentu saya akan menyediakan batin dan zahir mempersiap diri, rohani dan jasmani menanti-nanti jemputan Izrail di kiri dan kanan lorong-lorong penuh redha ALLAH Ar-Rahman.

Duhai ILLAHI, Andai ini Ramadhan terakhir untuk saya, jadikanlah ia Ramadhan paling berarti, paling berseri menerangi kegelapan hati kami, menyeru ke jalan menuju redha serta kasih sayangMu Ya ILLAHI, yang akan mewarnai kehidupan saya di sana nanti

Sudah Terantuk Baru Terngadah

Jam menunjukkan hampir 2.30 petang. Hari ini saya balik sedikit lewat . Banyak kerja yang perlu diselesaikan dan banyak fail yang perlu dikemaskini. Ketika saya baru saja hendak melangkah masuk ke dalam kereta, tiba-tiba saya dikejutkan dengan satu suara. "Cikgu, boleh tumpang tak?", tanya suara halus itu. Saya menoleh ke arah suara itu dan melihat seorang murid bernama Naim memandang tepat ke arah saya memohon simpati.

'Mak awak tak datang ambil ke?", tanya saya sedikit kehairanan. Kebiasaanya saya sering melihat murid itu diambil oleh ibunya dengan menunggang motosikal. "Mak tak ada....dia ke KL", jelasnya dengan mata terkebil-kebil memandang saya. "Rumah awak kat mana ni? Cikgu lalu ke kawasan tu?", saya seakan memberi alasan untuk mengelak dari menumpangkannya. Maklumlah dah lewat...belum solat zuhor lagi.

"Rumah saya di Taman Jaya...saya tinggal di flat situ", jelasnya. Saya menjadi serba salah antara simpati dengan kesuntukan masa. Saya tahu kawasan flat tersebut. Agak jauh juga dari laluan saya. Perumahan untuk mereka yang dikategorikan miskin atau berpendapatan rendah. "Pagi tadi awak datang naik apa?", saya bertanya lagi seakan kurang berpuashati dengan jawapan murid tersebut. "Saya jalan kaki cikgu...", lemah suara dia menjawab sambil memandang tepat ke wajah saya, seakan dia faham bahawa saya agak keberatan untuk membantunya. Dia kembali ke arah tempat duduknya di bawah pohon besar tadi.

Saya terus masuk ke dalam kereta. Termenung memikirkan apakah tindakan yang saya  buat ini betul jika saya tidak membantunya. Rakan-rakan lain semua sudah balik dan suasana di sekolah semakin sunyi. Hanya terdapat segelintir pelajar yang sememangnya ibu bapa mereka ambil agak lewat setiap hari. Otak saya ligat memikirkan hal ini. Saya membayangkan mungkin sesuatu yang buruk berlaku ke atas pelajar tersebut jika saya tidak membantunya. Kemalangankah dia...atau mungkin diculik ketika berjalan kaki pulang ke rumah...Oh, tidak...Mungkin ketika itu penyesalan sudah tidak berguna lagi bagi diri saya.

"Naim...jom cikgu hantar awak balik", jerit saya. Sepantas kilat dia bangun mencapai beg dan berlari ke arah saya. Lebar senyumannya. "Terima kasih cikgu...", tergambar perasaan lega dan gembira di wajah mulusnya. Sepanjang perjalanan banyak perkara yang saya tanyakan...dan pastinya semakin bertambah simpati saya padanya. Kasihan...dalam usia yang baru menjangkau 10 tahun dia terpaksa berdikari untuk meneruskan kehidupan. Sekolahkah dia? atau makankah dia? tiada siapa yang ambil peduli jika ibunya sibuk bekerja sehingga lewat malam. Bapanya pula entah ke mana...Ibubapa yang bermasalah pastinya akan mendorong kewujudan murid-murid yang bermasalah di sekolah...Salah anak-anakkah?

"Itu rumah saya cikgu...saya duduk tingkat 4", Naim mengejutkan saya dari lamunan. "Oh, ya ke? Siapa ada di rumah sekarang?", saya cuba mengorek rahsia kehidupannya. "Tak ada siapa-siapa pun...abang saya jarang ada di rumah. malam baru dia balik...", jelasnya lagi. "Baiklah, cikgu nak balik ni..Naim jaga diri dan jangan merayau-rayau. Belajar rajin-rajin ya...", saya meminta diri dan meluncur laju meninggalkan kawasan perumahan tersebut.

Keesokkannya saya menceritakan perkara tersebut kepada guru-guru yang mengajarnya. Pernah juga dia meminta pertolongan daripada guru-guru lain sebelum ini. Ada yang memberi respon positif atas tindakan saya, dan ada juga yang berpendapat saya tidak wajar melakukannya. Bimbang keluarga pelajar tesebut mengambil kesempatan atas kebaikan yang dilakukan. Sebelum ini ada kes dimana setelah seorang guru membantu menghantar seorang pelajar ( bukan Naim ), setiap hari pula ibubapa pelajar tersebut menelefon meminta tolong menumpangkan anaknya kerana dia sibuk.

Mungkin ada benarnya kedua-dua pendapat itu dan saya pasti akan meneliti perkara tersebut. Walau bagaimanapun, jika hal ini terjadi dalam situasi yang saya lalui tidak ada salahnya kita membantu pelajar tersebut. Fikirkanlah jika ianya terjadi kepada anak-anak kita dalam usia tersebut dan tiada seorang guru pun yang ingin membantu ketika itu. Adakah kita kesal ketika itu...jika sesuatu berlaku pada anak kita? Fikir-fikirkanlah...

Di dalam kes seperti ini, kesalahannya seharusnya dipikul oleh ibu bapa kerana gagal menjaga kebajikan dan keselamatan anak mereka. Sesibuk mana pun kita...sesusah mana pun kehidupan kita...anak adalah tanggungjawab kita, amanah kita. Janganlah sudah terantuk baru terngadah....sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tiada gunanya...

Kita Sedang Diperhatikan

Jangan lupa
jangan leka
jangan lalai
kita sedang diperhatikan

Jangan dusta
jangan bohong
jangan tipu
kita sedang diperhatikan

Jangan khianat
jangan fitnah
jangan nista
kita sedang diperhatikan

Jangan angkuh
jangan sombong
jangan bermegah
kita sedang diperhatikan

Jangan tidak solat
jangan tidak menutup aurat
jangan lupa beramal ibadat
kerana selagi ada hayat
selagi ada perhitungan akhirat
kita sedang diperhatikan olehNya...

Hasil Nukilan : Maya Kirana

Jangan Sesekali

Jangan tertarik pada paras
kerana paras dapat meyesatkan
jangan tertarik pada kekayaan
kerana kekayaan boleh memusnahkan
namun kekayaan bukanlah satu dosa
dan kecantikan bukanlah satu kesalahan.

Jadilah cahaya yang suram
kerana sinarannya kekal abadi
jangan jadi cahaya yang terang
kerana sifatnya cuma sementara

Jangan pula biarkan perahumu hanyut
takut nanti tidak singgah di pelabuhan
jangan hanya pandang ke bawah
kerana mereka yang memandang ke hadapan
menemui jalan sebenar

Jangan mengukur kebijaksanaan seseorang
hanya kerana kepandaiannya berkata-kata
tetapi nilailah buah fikiran
serta tingkah lakunya

Hidup tidak boleh berpandukan perasaan hati
adakalanya menjahanamkan diri sendiri
hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita
antara nasib dan takdir
suatu yang lebih kurang sama
ia akan berubah
hanya dengan doa kita
dan dengan keizinanNya...

Terus Berkarya

Alangkah seronoknya bila melihat blog maya kirana berubah wajah...Dengan bantuan anak , akhirnya dapatlah blog maya bersalin kulit. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini blog maya agak terlalu perlahan untuk dibuka. Mungkin ini ada kaitan dengan 'content' yang terkandung di dalam blog maya seperti video, slaid dsbnya walaupun anak maya menafikannya. Alhamdulillah setelah ditukar, lebih cepat untuk dibuka selain kelihatan lebih segar dan menarik. Mungkin ini akan jadi pemangkin untuk maya mendapat lebih banyak idea dan ilham untuk terus berkarya...Terima kasih pada teman-teman blogger yang sentiasa memberi semangat untuk maya di sini...

Terungkaikah?

"Termenung jauh nampaknya Lia?", saya menegur Cikgu Lia yang sedang melayan perasaan di Pusat Sumber Sekolah (PSS) awal pagi itu. "Sesekali melayan perasaan ni seronok juga Kak Maya", Lia menjawab spontan. Mungkin dia sedikit terkejut...."Aha...memang seronok sesekali layan jiwang ni...", saya menambah. Saya terus mencapai akhbar hari itu. Sambil mata melilau mencari sesuatu yang menarik untuk di baca, tiba-tiba Lia bersuara, "Susah kalau orang tak faham nikan Kak Maya?",terpacul kata-kata tersebut dari bibirnya yang mungil.

"Lain je bunyi tu...Lia ada masalah ke?", cepat saya bertanya. "Nak kata masalah macam bukan...nak kata bukan tapi macam masalah...entahlah Kak Maya, mungkin Lia yang terlalu memikirkannya", Lia melepaskan sedikit keluhan. "Kalau Lia nak berkongsi dengan Kak Maya pun apa salahnya, Kak Maya sedia mendengar...", saya memandang tepat ke arah wajah gadis yang berusia dua puluhan itu. Dia cuma tersenyum...pahit...tawar...atau kelat senyuman itu hanya dia yang lebih tahu.

"Kak Maya taukan saya duduk berkongsi dengan kawan dari sekolah seberang jalan tu...". Saya mengangguk. Memang saya sering melihat mereka datang dan balik bersama. Berkongsi kenderaan, maklumlah mereka guru-guru yang baru 3 bulan ditempatkan di sini. Mungkin belum mampu memiliki kenderaan sendiri buat masa ini... "Jadi apa masalahnya sekarang?, saya pula yang tidak sabar.

"Lia risaulah Kak Maya...kawan Lia tu selalu keluar rumah jumpa teman lelakinya. Lewat malam baru balik...kalau setakat hujung minggu tu tak apa lagi, ni hampir setiap hari kak". Luah Lia dengan nada kesal. "Lia pun dah terdengar suara-suara kurang senang jiran sekeliling...apa Lia nak jawab kalau mereka bertanya nanti".Sambung Lia lagi. "Hati Lia dah tak seronok sekarang...asyik memikirkan perkara ini je", tambahnya lagi. Saya menatap wajah polos gadis itu penuh simpati. Benarlah katanya tadi, masalah orang tapi dah jadi masalah dirinya sekarang.

"Memang patut pun Lia risaukan hal ini. Kita hidup bermasyarakat tidak boleh mementingkan diri sendiri. Sesuatu yang tidak elok dan bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum agama sememangnya perlu ditegah dan dijauhi. Cuma bagaimana cara kita menyampaikan perasaan kurang senang kita tu harus kita fikirkan...Jangan sampai ada rasa dendam di hati atas perbuatan kita itu". Saya cuba memberikan sedikit pendapat mengenai permasalahan yang dihadapi Lia itu. "Ya kak...Lia faham tu. Itulah sebabnya Lia tak berani nak menegur sehingga sekarang...Lia buntu kak". Lia seakan meminta saya memberikan jalan penyelesaian agar dia tidak terus dibebani dengan masalah tersebut.

"Lia ada terfikir nak pindah ke rumah sewa lain tak?",tiba-tiba terkeluar pertanyaan itu dari mulut saya. "Ada juga kak...tapi Lia tak sampai hati nak beritahu kawan Lia tu". Baik sungguh hati budi gadis bernama Lia ini. masih lagi mempunyai rasa belas ihsan yang tinggi meskipun rakannya itu telah menjerat dirinya dengan masalah yang dia bawa. Nasib baiklah saya tak punya adik atau anak teruna..kalau tak memang elok sangat dijodohkan dengan gadis sebaik ini. Masih tebal dengan sikap dan sifat gadis timur yang begitu tertib dan sopan.

"Kak Maya nak beri pendapat sekarang mungkin agak tergesa-gesa. Apa kata selepas tamat persekolahan nanti kita sambung dan bincang hal ni lagi...Kak Maya pun ada kelas sebentar lagi. InsyaAllah ada jalan penyelesaiannya. Lia bawa bertenang ya...Tugas harus diutamakan. Anak-anak murid di kelas tu amanah kita. "Terima kasih Kak Maya. Lega sedikit rasanya bila Lia dapat luahkan hal ini. Lia pun ada kelas ni.Kita jumpa nanti ya Kak Maya". Kali ini saya melihat senyuman yang dilemparkan pada saya benar-benar ikhlas dan manis dipandang. Kami beredar dari PSS menuju ke kelas masing-masing dengan penuh harapan...

Kita Sebenarnya Mencorakkan Mereka...

"Cikgu Maya ke?", pagi-pagi lagi saya telah dikejutkan dengan sapaan dari seorang penjaga murid. "Ya, saya...ada apa-apa yang boleh saya bantu encik?", saya terus bertanya tanpa dipinta. "Sebenarnya saya diminta datang oleh pihak sekolah dua minggu sudah. Tapi saya sibuk dan baru hari ini dapat datang", jelasnya. "Oh, encik ke penjaga kepada murid bernama Khairul dari tahun 6 tu?", baru saya teringat jawatan kuasa disiplin ada menghantar surat kepada penjaga pelajar tersebut untuk berbincang mengenai masalah pelajar itu.

"Saya bapa tiri kepada Khairul cikgu. Bapa kandung dia ada di Kelantan...Dia pindah ke sini pun sebab hak penjagaan diserahkan kepada ibunya oleh pihak mahkamah. Bapa budak tu bermasalah cikgu...penagih dadah". Saya diberi sedikit penjelasan mengenai latar belakang sebenar pelajar tersebut. Maklumlah Khairul baru 6 bulan belajar di sini, makanya banyak maklumat mengenainya tidak saya ketahui.

"Beginilah encik, sebenarnya saya dimaklumkan dua minggu sudah bahawa Khairul dah seminggu lebih tidak hadir ke sekolah tanpa sebab. Hasil dari maklumat yang kami terima dari rakan-rakan sekelasnya di dapati Khairul bekerja di sebuah gerai sebagai pembantu. Hasil pendapatan yang diperoleh tu dia gunakan untuk ke cyber cafe. Adakah encik tahu mengenai perkara ini?", saya terus memberi penerangan mengenai hal sebenar tanpa mahu berselindung apa-apa. Wajah penjaga pelajar tersebut yang dikenali sebagai Encik Ismail agak sedikit terkejut. " Jujur saya tidak tahu mengenai perkara ini cikgu...saya sendiri terkejut kerana selama ini setahu saya hari-hari dia pergi ke sekolah seperti biasa", perlahan dia menjawab.

"Itulah kebenarannya Encik Ismail...sebenarnya Khairul ni sejak awal lagi sudah banyak menimbulkan masalah pada guru-guru di sekolah ini. Selain suka ponteng sekolah, dia juga sering bergaduh dan membuli rakan-rakannya. Cakapnya juga kasar dengan guru-guru...Saya dan pihak sekolah dah berusaha menangani kes ini agar tidak berlarutan. Walau bagaimanapun kes terbaru ni agak membimbangkan pihak sekolah kerana jika berlaku sesuatu yang tidak diingini di luar sana, siapa yang harus bertanggungjawab?", saya menjelaskan dengan panjang lebar.

"Saya harap bila perkara ini berada dalam pengetahuan penjaga murid, kita dapat sama-sama bertindak dan memainkan peranan masing-masing. Jangan bila nasi dah menjadi bubur baru kita saling salah-menyalah. Saya rasa Khairul tu perlukan bimbingan dan kasih sayang dari orang tuanya, maklumlah dia datang dari keluarga yang bermasalah sebelum ini. Saya rasa Encik Ismail faham apa yang saya maksudkan". Saya berlagak seperti pakar kaunseling pula...Kebenaran kadangkala memang pahit untuk didengar atau diketahui....Encik Ismail hanya mengangguk dan termenung jauh...mungkin memikirkan kebenaran atau maksud kata-kata saya tadi.

"Saya akan cuba buat yang terbaik cikgu...", perlahan dia menjawab. "Saya harap Encik Ismail gunakanlah pendekatan yang terbaik ya... Anak-anak kita seperti Khairul tu masih mentah dan boleh dibentuk. Mereka cuma perlukan perhatian dari kita. Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan dia akan berubah sebelum keadaan menjadi lebih teruk...", sambung saya lagi. "Terima kasih banyak-banyak cikgu... Saya mintak pihak sekolah sama-sama menegur anak saya tu...", pintanya seraya bangun meminta diri. "InsyaAllah Encik Ismail...pihak sekolah sememangnya sentiasa mengambil berat pada setiap pelajar di sekolah ini".

Saya berasa lega kerana masalah ini dapat diselesaikan secara baik. Risau juga kerana ada juga keluarga yang sering bertindak melulu tanpa menyelidiki punca masalah apabila dipanggil hadir ke sekolah. Belum apa-apa dah menjerit... Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak-anak kita, seharusnya kita tahu pergerakan anak-anak kita sepanjang masa.  Janganlah sering menyalahkan anak-anak bila kita sendiri tidak tahu ke mana dan apa aktiviti yang mereka buat. Luangkanlah masa yang berkualiti untuk anak-anak kita walau sesibuk manapun kita...Anak-anak adalah amanah Allah pada kita...sebagai ibu bapa kitalah yang sebenarnya mencorakkan mereka...

Erti Kehidupan

Awal tanpa sedar
Penghujung tanpa noktah
Erti sebuah kehidupan yang aku fahami
Sedih, gembira, suka dan duka
Menjadi rencah pelengkap rasa
 
Kehidupan ini sekadar pinjaman?
Pernahkah kita menghayati erti sebuah kehidupan? 
Cukupkah sudah segala amalan?
 
Tidak ku tahu bilakan pergi... 
Andaiku tahu pasti tiada yang lalai terhadap diri 
Yang berlalu pastinya satu kerugian 
Bagi mereka yang tidak menjalankan kewajipan
 
Nasihat ini buat diri sendiri
Aku berusaha menjadi yang beruntung
Di mana setiap hari amalan dihitung
Setiap harinya adalah kebaikan,
Setiap harinya membawa keuntungan...
 
Namun aku masih begini
Sekadar berjanji tidak pada hati
Apakah 'nur' itu telah pergi dari hati ini?
Ya Allah tabahkanlah hati kecilku ini
Agar setiap janji dapat kutepati
Bukan sekadar berjanji tetapi masih begini

Aku tidak mahu terperangkap di dalam diri ku
lagi.....

Ikan di laut asam di darat, dalam periuk bertemu juga...

Cuti sekolah bagi semester pertama sudah bermula, dan di waktu-waktu begini saya mempunyai sedikit ruang untuk mengadap blog saya yang sudak agak lama juga tiada pengisian yang baru. Walaupun saya terpaksa bertugas untuk hari-hari tertentu, namun cuti sebegini sedikit sebanyak dapat merehatkan minda yang rasanya cukup penat kebelakangan ini. Amat tidak benar sama sekali jika ada yang mengatakan tugas sebagai pendidik senang kerana bila murid bercuti, guru juga bercuti...

Di sekolah saya, sehingga hari ini, guru-guru yang mengajar Tahun 6 masih lagi bertungkus-lumus mengajar meskipun cuti sekolah. Mereka sanggup mengenepikan kepentingan diri sendiri demi memastikan kejayaan anak bangsa. Oleh itu sangatlah tidak wajar jika terpacul kata-kata  "guru makan gaji buta"semasa cuti. Jika mereka yang berada di bidang lain, makna cuti adalah cuti sepenuhnya, namun pendidik mindanya sentiasa bekerja, malahan banyak tugasan perlu diselesaikan walaupun berada di rumah...

"Kringg...kringggg...." , bunyi deringan telefon menghentikan seketika idea saya untuk menulis. "Assalamualaikum kak..., Fina ni", tanpa ditanya siapa gerangan di hujung talian, adik bongsu saya memperkenalkan dirinya. "Kak Maya tak balik kampung ke cuti sekolah ni?", dia terus menimbulkan persoalan. Mungkin sudah menjadi rutin dan kebiasaan saya untuk pulang menjengok ke kampung setiap kali cuti sekolah bermula. " Fina apa khabar? Semua sihat?", saya mematikan pertanyaannya. "Alhamdulillah...sampai terlupa Fina nak tanya khabar Kak Maya", dia tergelak kecil. Mungkin memikirkan pertanyaannya yang agak tergopoh-gapah tadi. Adik bongsu saya ni kalau bercakap laju...koma, noktah semua dilanggarnya..."Kak Maya, abang dengan girl semuanya sihat", jelas saya tersenyum sendiri membayangkan keletah adik bongsu saya itu.

" Kak Maya baliklah ya...kami banyak nak minta tolong Kak Maya ni", sambung Fina. "Minta tolong apa tu Fina? Kak Maya tolong bagi pendapat dengan makan tahulah...", saya berseloroh. "Ala Kak Maya ni...tolong siapkan gubahan usulah kak", jelas Fina bersungguh walaupun saya sudah sedia maklum mengenai perkara tersebut. " InsyaAllah Fina...esok lusa kalau abang kata ok, sampailah Kak Maya sana nanti", saya memberikan jawapan yang melegakan dia.

Masih terngiang-ngiang satu suara yang menegur saya ketika saya berada di kampung selepas jenazah Kak Ngah di bawa pergi untuk urusan pengebumian tempoh hari. "Apa khabar Kak Maya?", tegur seorang wanita yang kelihatan manis bertudung ketika saya berada dalam keadaan sugul di satu sudut di rumah Kak Ngah. Saya tak pasti adakah ketika itu saya memberikan respon pada pertanyaannya. Kelibat wanita itu seakan mengingatkan saya pada wajah seseorang." Di mana saya pernah bertemu wanita ini?", bisik hati kecil saya.

Akhirnya saya lupa mengenai kehadiran wanita itu sehinggalah dia muncul kembali pada majlis tahlil hari ketiga pemergian Kak Ngah...Dia melemparkan senyuman ketika kami saling berpandangan. Saya membalas senyuman dengan riak wajah seakan tertanya-tanya siapa gerangannya wanita itu. Seakan faham apa yang bermain di fikiran saya ketika itu, wanita itu mendekati saya lalu berkata.."Kak Maya tak ingat saya lagi ke?...saya Zira la kak...ingat lagi tak?",jelas wanita itu.

"Zira?...Zira yang duduk di Johor Bahru tu ke? Zira kawan Am dulu tu kan?, saya menyoalnya kembali. "Ya...sayalah tu Kak Maya, lama betul kita tak berjumpa kan kak...lebih dari 12 tahun agaknya...". Saya hanya mengangguk...Perbualan kami terhenti di situ disebabkan ketika itu saya sibuk membantu menyiapkan juadah untuk majlis tahlil pada malam itu. Dia juga turut menghulurkan tangan membantu kami sekeluarga. Terdetik juga di hati, gerangan apa yang membawanya ke sini...

Akhirnya segala persoalan saya terungkai, apabila dua minggu selepas itu...kakak saya yang berada di Johor Bahru menitipkan satu khabar gembira mengenai adik lelaki saya yang bernama Am yang pernah saya cerita sedikit masa dahulu. Khabarnya adik saya itu telah bersetuju untuk menamatkan zaman bujangnya buat kali kedua dalam masa terdekat. Benarlah apa yang terdetik di hati saya ketika melihat kehadiran wanita bernama Zira ketika di kampung dulu. Rupa-rupanya itu membawa petanda ada hubungan keluarga yang bakal tercipta...Syukur Alhamdulillah...akhirnya terbuka hati adik lelaki saya itu untuk memulakan kehidupan baru setelah gagal dalam perkahwinannya yang terdahulu...

Apakah istimewanya wanita itu sehingga dapat mencairkan hati lelaki adik saya?...Berbalik kepada hakikat bahawa jodoh, ajal maut hanya di tangan Allah. Kita sebagai hamba tidak tahu apa yang bakal terjadi di masa depan...Mungkin agak menghairankan bagi kita bagaimana mereka berdua boleh bertemu jodoh. Secara ringkas Maya jelaskan di sini bahawa wanita itu sebenarnya pernah menjadi teman wanita adik saya lebihkurang 15 atau 16 tahun dahulu kalau saya tidak silap. Akibat tiada jodoh, masing-masing membawa haluan sendiri dan memiliki keluarga sendiri. Sehinggalah suami kepada wanita tersebut meninggal dunia...saya tidak pasti sebab musabab kematiannya 5 tahun sudah.

Kini mereka akan disatukan kembali setelah masing-masing kembali sendiri. Aha...begitu romantik kisah mereka bagaikan drama minggu ini lagaknya.  Kami sekeluarga sentiasa merestui pilihannya dan semoga mereka berbahagia di dunia dan akhirat... Jadikanlah kegagalan masa lalu sebagai pedoman hidup untuk kita mengharungi perjalanan menuju ke Jannah...InsyaAllah...

"Kak Maya masih ada ke tu...senyap je..?'", saya tersentak dari lamunan. Sambil tergelak kecil  saya menjawab, "ada..ada.." "Adapun...ingat dah hilang tadi", nyaring suara adik bongsu di talian. "Perlahan sikit suara Fina tu boleh tak?...bingit tau telinga Kak Maya ni", saya berkata dengan nada gurau. "Kuat sangat ke suara Fina ni kak?..ada merdu macam suara Fina AF9 tu tak?", terkekek-kekek dia gelak."Ada-ada saja celotehnya..."Bolehlah...tapi picing tu ke lautlah Fina", saya pula yang tergelak agak kuat. "Ermm...taulah suara Kak Maya tu merdu...macam buluh betung", sempat lagi dia memuji sambil mengenakan saya. Adik bongsu saya ni masih lagi manja dengan sikap keanak-anakannya walaupun sudah beranak empat...

Perbualan kami terhenti di situ setelah saya berjanji akan balik juga ke kampung walau mungkin tidak dapat lama di sana. Memandangkan majlis adik lelaki saya akan berlangsung bukan dalam cuti persekolahan, makanya hanya waktu cuti sekolah inilah saya dapat membantu serba sedikit persiapan yang dibuat. Undangan perkahwinan yang diterima di sini pun tak menang tangan saya untuk menghadirinya. Hujung minggu lepas saja, ada tiga majlis yang saya hadiri dalam hari dan waktu yang sama.

Sehingga apabila tiba giliran  rumah ketiga saya hanya menyicip sedikit makanan sebagai menghormati tuan rumah. "Tak larat dah perut saya ni pa", jelas saya pada suami. "Abang pun kenyang ni...", jawabnya sambil terus menyuap nasi baryani yang dihidangkan penuh selera. "Kuat makan sungguh laki aku ni", detik hati kecil saya seraya menahan gelak melihat gelagatnya..."Makanlah pa...rezeki jangan ditolak...musuh jangan dicari...betul tak? Tanpa bersuara, suami hanya mengiyakan sambil menganggul-anggukkan kepala...

Bunga Sirih untuk Guru


Guru adalah Ibu pengasuh budiman
guru adalah ratu lebah
lalu memujuk membelai kelopak
cinta kasih sayang
lilinnya berbunga sinar cahaya
madunya berbunga penawar jiwa.

Guru adalah penyu pengasih
lalu menabur bunga telur
baktinya segar mewangi
sepanjang pantal zaman.

Guru adalah lampu penyuluh
pedoman kehidupan
guru adalah pendakwah
lalu mengikut jejak Nabi Muhammad
memimpin insan
ke jalan lurus ke padang luas.

Bunga sirih bunga pirtang
terima kasih terima savang
budi bicara guru berjasa
kami sanjung tinggi.

J.M. Aziz
Rumah Puisi
Seberang Takir

Abadi Dalam Harum Nama

Guru pendidik mulia
sudah berabad lalu
bermandi keringat
meniti gigi hari
mendaki puncak tinggi
di merata lurah dan denai
menabur bakti
tanpa mau dipeduli.

Guru pendidik mulia
bukan untuk dipuja
atau di dewa-dewa
siang dan malarnnya
adalah perjuangan jua
rela meluah bahagia
menelan duka nestapa
dengan senyum dan takwa
biarpun sayup di hutan belantara.

Guru pendidik mulia
laksana kuntum kembang mekar
memuncak nama pembela sejahtera
abadi dalam harum nama.

Ismala
1988

Sekadar Berkongsi Pendapat...

"Maya...akak ada hal sikit nak cakap dengan Maya...Boleh ke?", tanya Kak Sarah pagi kelmarin ketika saya sibuk menguruskan persiapan sambutan Hari Guru peringkat sekolah yang akan disambut pada 16 Mei setiap tahun. Ibarat guru-guru selalu kata...hari untuk guru-guru syok sendiri. Tak mengapalah, asalkan kita gembira dan bahagia pada hari tersebut sudah memadai...

"Kak Sarah nak cakap apa dengan saya? Ada hal penting yang saya tak tahu ke kak?", soal saya pada Kak Sarah yang akan menamatkan perkhidmatannya hujung tahun ini. "Kak Sarah sebenarnya tengah pening dengan anak bujang Kak Sarah tu...Dia minta akak merisik anak dara orang bulan depan..tapi..", Kak Sarah terdiam seketika. "Tapi kenapa pula kak?Akak tak berkenan ke dengan gadis tu...?", sambung saya lagi. "Kak Sarah risaulah Maya...anak bujang Kak Maya kenal budak tu di internet. Dia pun baru jumpa sekali  sahaja dengan budak perempuan tu walaupun dah kenal lama katanya". Kak Sarah meluahkan rasa bimbangnya. "Zaman kita dulu mana ada teknologi sebegini...Apa pendapat Maya? Akak tak dapat berikan jawapan pada anak bujang Kak Sarah tu", jelas Kak Sarah lagi.

Apabila saya diajukan persoalan sebegini, saya jadi terkenang dengan pengalaman yang dilalui oleh adik lelaki saya beberapa tahun dahulu. Percintaannya di internet atau alam cyber hanyalah ilusi dirinya semata. Kegilaannya melayan cinta di internet meninggalkan kesan yang amat tragis dalam kehidupannya . Sehingga aruah ibu saya pernah meminta saya segera merisik gadis yang menjadi idamannya itu kerana dia sering diberitahu oleh adik saya mengenai gadis tersebut. Walaupun saya berjaya menghubungi rakan-rakan rapat gadis tersebut untuk mengetahui mengenai gadis yang diminati oleh adik saya, namun maklumat yang diperolehi begitu terbatas dan akhirnya gagal.

Pada pendapat saya, ketaksuban adik saya telah memakan dirinya sendiri, sedangkan bagi sesetengah orang...hobi melayan cinta internet adalah sekadar hiburan dan mengisi masa lapang mereka tanpa ada niat menjadikan sesuatu hubungan itu serius sehingga ke jinjang pelamin. Bertahun-tahun hidup membujang kerana mengharapkan sesuatu yang tak pasti. Di dalam soal ini saya meletakkan kesalahan itu pada adik saya kerana mudah menaruh harapan pada sesuatu yang dia sendiri tidak jelas mengenainya.

"Maya...akak tanya ni, mengelamun pulak dia". Kak Sarah mengoyangkan bahu saya. Saya tergelak sendiri kerana sempat pula fikiran saya menerawang ke lain. "Macam mana ya kak...Maya sendiri pun tak tahu nak beri pendapat dalam masalah Kak Sarah ni. Maya manalah ada pengalaman bab minang meminang ni kak..", jelas saya lagi. "Apa kata Kak Sarah jumpa dan  berbincang  dahulu dengan keluarga gadis itu sebelum merisik secara rasmi...Lagipun keluarga gadis itu mesti berada dalam situasi Kak Sarah juga...Kenal-kenal dahulu la kak". "Itupun kalau cadangan saya boleh dipertimbangkan kak...". Saya memberikan sebuah jawapan yang saya sendiri tidak pasti. Sekadar memberikan sedikit kepuasan pada orang yang meminta pendapat apa salahnya..walaupun apa yang kita berikan itu mungkin tidak boleh digunapakai.

"Betul juga kata Maya tu...akak pun ada terfikir begitu. Orang kata kalau kenal siapa keluarganya, kita tahulah macam mana anaknya", saya mengiyakan kata-kata Kak Sarah. "Terima kasihlah Maya, sekurang-kurangnya akan nampak jalan untuk menyelesaikan kekalutan akak ni",sambil menepuk-nepuk bahu saya. Saya hanya melemparkan senyuman ikhlas tanda menghargai ucapan terima kasih Kak Sarah.

Saya bukan pakar kaunseling atau motivasi, namun saya bersyukur kerana diberikan keyakinan untuk memberikan sedikit sebanyak pendapat yang memberi kelegaan dana kepuasan pada orang lain.

Kau Pergi Jua...

".....papa boleh pandu laju sikit tak?", satu permintaan yang tidak pernah saya buat sebelum ini. "dah cukup limit ni mama...nak laju macam mana lagi...?. Mama tenang ok...semua akan ok...", suami saya cuba memujuk. "Mama takut pa...", airmata terus menerus membasahi pipi  bagai titisan air hujan yang tiada hentinya.

Sebenarnya pagi itu, saya sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Johor kerana mendapat panggilan kecemasan daripada adik yang meminta Maya pulang segera. " Kak Maya baliklah....Kak Ngah nampak makin uzur sejak malam tadi", begitu pesan adik subuh tadi ketika Maya bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Tanpa berlengah saya meninggalkan pesan pada teman sekerja dan segera bertolak awal pagi itu juga...

Dua minggu lepas ketika menerima berita Kak Ngah sakit, saya sempat menziarahinya dan ketika itu kesihatannya sudah semakin membaik...walaupun ketika itu Kak Ngah kelihatan masih bingung dengan kehadiran kami di sisinya. Ketika saya menyatakan ingin balik ke Perak petang itu, Kak Ngah tidak putus-putus memandang ke arah saya dengan mata yang berkaca-kaca, dan si pelakon airmata seperti saya sudah pasti membalas pandangan itu dengan limpahan airmata yang membuat semua yang datang menziarahi Kak Ngah turut bersedih dan menangis.

"Hati-hati memandu tu...jangan risau, kami di sini akan jaga Kak Ngah dengan sebaik mungkin", janji adik dan kakak pada saya selepas melihat keadaan saya yang sugul dan agak keberatan untuk meninggalkan Kak Ngah tempoh hari. Sejak dari hari itu, setiap hari saya akan menelefon ke kampung untuk mendapatkan berita terkini mengenai Kak Ngah. Sepanjang dua minggu itu, saya sentiasa mendapat perkhabaran yang begitu memberangsangkan. Kesihatan Kak Ngah semakin pulih dan dia kembali mengenali ahli keluarga kami. Syukur ke hadrat Illahi kerana mengembalikan kesihatan Kak Ngah.

Saya menjadi panik apabila mendapat panggilan telefon dari adik pagi itu. Berbagai gambaran buruk terlintas di fikiran saya ketika itu. Mungkinkah Kak Ngah ....Oh, tidak mungkin!. Saya buang jauh-jauh perasaan itu... Sepanjang perjalanan itu, kami tidak singgah walaupun sebentar  di mana-mana hentian lebuh raya. Suami dan anak gadis saya begitu memahami emosi mamanya ketika itu...rasa dahaga atau lapar langsung tidak dirasai oleh saya ketika itu. Namun saya ada membawa sedikit bekalan untuk suami dan anak jika mereka memerlukan.

"Kak Maya di mana sekarang?, Masih jauh lagi ke?", satu suara menerjah ke telinga saya ketika saya menjawab panggilan telefon yang berdering. Debaran di dada saya semakin memuncak. "Kak Maya dah sampai Ayer Keroh ni....kenapa dengan Kak Ngah?", saya menjawab dalam keadaan gementar. "Kak Ngah baik-baik....pesan abang tu jangan pandu laju-laju sangat..berhati-hati ya...". Tanpa sempat saya mengetahui siapa yang membuat panggilan itu talian telefon terputus. "Mama tak sedap hatilah pa...", luah saya pada suami. "Mama berdoalah semoga semuanya selamat ya...Jangan fikir bukan-bukan". Suami cuba meredakan kegelisahan saya.

Tepat jam 12.30 tengah hari, saya sampai ke rumah Kak Ngah. Dari kejauhan saya dapat melihat ramai orang berada di halaman rumah Kak Ngah. Tanpa dipinta saya mula menangis teresak-esak. Semakin lama semakin kuat esakan saya. Suami hanya membiarkan tangisan saya, seolah dia faham kemungkinan yang telah  berlaku.  Anak dara saya memandang sayu, seakan mengerti kesedihan mamanya. Kepulangan saya disambut oleh adik bongsu saya...tanpa sebarang kata dia terus memeluk saya. Tangisan saya semakin kuat tanpa memperduli mereka yang berada di sekeliling. Langkah saya semakin longlai...saya tidak berdaya untuk masuk ke dalam rumah Kak Ngah. Suami dan adik terpaksa memapah saya...Saya terkilan...Kak Ngah pergi  tanpa memberi saya kesempatan untuk mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya. Anak-anak Kak Ngah datang memeluk saya...."Ummi dah tak ada Mak Lang...", esak dan tangis menjadi satu dan ketika itu saya tidak mampu menjadi penenang pada anak-anak Kak Ngah. Saya sendiri sedang melawan emosi kesedihan yang tidak terbendung.

Selepas asar, jenazah Kak Ngah selamat disemadikan namun airmata ini masih lagi tidak mahu kering. Setiap kali kakak, adik dan anak-anak Kak Ngah bercerita mengenai aruah, tiap kali itu juga airmata ni akan mengalir laju. Seharusnya saya menerima ini dengan  penuh redha... namun sebagai insan yang lemah, saya berasa terkilan kerana tidak berada di sisi Kak Ngah ketika dia menghembuskan nafasnya yang terakhir sedangkan semua  adik-beradik saya berada di sisinya. " Sudahlah tu kak...Kak Ngah semasa sihat sempat memohon maaf pada semua dan dia juga minta sampaikan pada Kak Maya. Kita doakan sama-sama semoga roh Kak Ngah ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman.dan diterima di sisi Allah SWT....", pujuk adik bongsu saya ketika dia melihat saya masih lagi menyendiri dan muram. Saya hanya mengangguk lemah...

Dua hari berada di kampung, keadaan saya kembali pulih. Saya dapat menerima hakikat Kak Ngah sudah tiada. Menjadi tanggungjawab saya pula untuk memberi kekuatan dan semangat pada anak-anak Kak Ngah yang masih bersedih atas pemergian umminya. Selama 3 malam berturut-turut kami mengadakan majlis tahlil walaupun dalam Islam tidak menetapkan sedemikian. Perkiraan itu dibuat kerana ahli keluarga semua ada berkumpul dan mudahlah untuk semua hadir ke majlis bacaan tahlil itu. Di ruang masa itu jugalah saya diberitahu keadaan sebenar yang terjadi pada Kak Ngah di saat-saat akhir pemergiannya. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, Kak Ngah pergi dalam keadaan dia sudah pulih daripada penyakitnya. Kak Ngah juga cukup tenang sewaktu hayatnya diambil dan ini sudah cukup buat saya mengubati rasa terkilan yang bersarang di hati sebelum ini. Rasa rindu terhadap Kak Ngah tiba-tiba datang menerpa...

"...mama...hari ni kita makan di luar ya...papa dengan girl nak belanja mama makan sempena Hari Ibu..", suara itu mengejutkan saya dari lamunan. Saya hanya melemparkan sebuah senyuman pada mereka tanpa sebarang kata... Al Fatihah buat Kak Ngah yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat 29 April 2011 yang lalu...semoga aman di sisiNya...

Terus Berdoa...

Ketika anak kita masih kecil atau bayi, kita sering diburu kebimbangan andai mereka menghidap penyakit yang boleh menjejaskan keupayaan fizikal dan mental mereka untuk tumbuh sebagai kanak-kanak normal. Di peringkat kanak-kanak mereka pula kita dihantui pula dengan kisah-kisah penculikan kanak-kanak , pembunuhan, perkosaan dan kekejaman yang ada kalanya tidak terjangkau oleh akal kita akan berlaku kejadian sedemikian rupa. Kita mewujudkan satu tembok , di mana anak-anak dilarang bermain di luar dari kawasan rumah tanpa pengawasan orang dewasa. Dunia anak-anak kita menjadi begitu sempit dan kurang menyeronokkan...Namun semuanya untuk keselamatan anak-anak kita.

Apabila mereka mula menginjak zaman remaja, kebimbangan lain pula wujud...Anak lelaki atau perempuan  dengan kerisauan dan masalah yang berbeza pula. Saya masih ingat lagi bagaimana ibu dan ayah saya begitu gembira setiap kali anak-anaknya berjaya meraih kejayaan dalam hidup. Namun saya pernah juga mendengar ayah saya berkata...selagi anak-anak perempuannya belum berkahwin, selagi itulah ibu bapa akan bimbang dan risau. Ketika itu maruah sesebuah keluarga tidak boleh ditukar ganti dengan segunung emas sekali pun. Satu penghinaan yang dibawa hingga ke akhir hayat jika ada anak-anak yang mencemar maruah keluarga ketika itu.

Mempunya anak gadis yang meningkat remaja , saya sering meletakkan diri saya sebagai sahabat baik padanya. Memahami dunia mereka..minat mereka...bukan bermakna kita membenarkan tanpa sebarang garis panduan yang harus mereka ikuti. Setiap perkara yang hendak dilakukan, saya sering mengingatkan agar agama dihubungkaitkan dahulu. Jika bercanggah dan dilarang oleh agama, lupakan saja minat dan perkara yang ingin dilakukan itu. Insyaallah selamat dunia akhirat. Keduanya sentiasa ingat akan maruah keluarga...Jika selama ini nama baik keluarga sentiasa terpelihara, adakah kita akan jadi pemusnahnya? Dan ketiga jaga maruah diri sendiri jika tidak mahu orang menghina diri kita di dunia ini...

Jiwa remaja mudah memberontak...anak gadis saya juga adakalanya bersikap sedemikian...mudah merajuk dan sering memberi alasan yang pelbagai apabila saya memberi nasihat. Mama suka membebel...mama ni tak memahami jiwa remaja...mama ni apa yang adik buat semua tak betul...Bila dia merajuk saya akan membiarkannya tanpa sebarang pujukan sehingga dia sedar akan kesilapannya sendiri. Saya mahu dia berfikir...Dan pastinya selepas beberapa jam rajuknya...dia akan datang dan bersikap seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dari situ saya faham bahawa dia sedar akan kesilapannya dan perbuatannya untuk merajuk atas perkara yang sememangnya benar adalah salah sama sekali.

Sebaik mana didikan, sebanyak mana ilmu diberikan, qada dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah tidak kita ketahui...Sebagai hambaNya, apa yang kita mampu lakukan adalah terus berdoa agar anak-anak kita dan keluarga sentiasa dilindungi oleh Allah SWT dari perkara-perkara keji dan mungkar..Nauzubillah...

Melayan Kerenah

"Maya....", bisik Puan Umi seraya meminta saya ke bilik pejabatnya kelmarin. "Ada apa puan?", tanya saya sambil mengerut-ngerutkan dahi yang belum lagi ada tanda-tanda berkedut...hihi.."Farah nak tukarkan anak-anak dia ke sekolah lain minggu depan, dia kata guru kelas anak dia asyik denda dan marah anak dia", jelas Puan Umi pada saya. Farah lagi...getus hati kecil saya. Tak habis-habis lagi kisah dia ni rupanya... " Cuba awak selidik hal ini dengan guru kelas dan murid-murid dalam kelas tu...", Puan Umi memberi arahan yang pastinya harus saya lakukan dengan segera.

"Mala free ke lepas rehat nanti?..kalau free Kak Maya nak jumpa sekejap", tanya saya pada Cikgu Mala, guru kelas kepada Aslam yang hendak berpindah sekolah itu. "Saya tau sebab apa Kak Maya nak jumpa...mesti fasal ibu Aslamkan...", saya hanya mengangguk sambil tersenyum.

"Puan Umi minta Kak Maya tanya Mala apa kisah sebenarnya yang terjadi...Dia pun tak mahu dengar dari sebelah pihak sahaja, maklumlah kita semua sudah sedia maklum dengan ibu pelajar tersebut sebelum ini". "Apa yang Farah tu cerita pada guru besar?", tanya Mala agak serius. "Guru Besar ada bagitau pada Kak Maya tadi, dia kata Farah tu mengadu Cikgu Mala asyik denda dan marah anak dia selalu", jelas saya.

"Siapa yang tak marah Kak Maya, dahlah anak dia tu selalu tak hadir ke sekolah...kerja sekolah asyik tak siap, buku selalu tak bawa..hilanglah..lupalah..ada sahaja alasan budak tu, tak adil dengan rakan-rakan dia kalau saya biarkan saja tanpa sebarang dendaan", bersungguh Cikgu Mala menerangkan perkara sebenar yang terjadi. Murid lain pun saya buat begitu jika melakukan kesalahan.Tak ada pula ibubapa yang datang komplen. Kenapa pula saya tak boleh ambil tindakan yang sama pada anak dia? atau dia nak kita biarkan saja anak dia?", Cikgu Mala melepaskan geramnya. "Biarlah dia nak pindahkan anaknya tu...saya lagi suka. Kita bersungguh-sungguh mahu ajar anak dia...dia pula tuduh bukan-bukan dan tambah-tambah cerita. Saya betul-betul geram ni Kak Maya", sambung Cikgu Mala agak kesal."Sabar Mala...", pujuk saya untuk menenangkannya.

"Begitulah kisahnya Puan Umi...", saya menjelaskan maklumat sebenar yang diperolehi dari Cikgu Mala. "Ermm..saya pun ada dapat maklumat dari guru-guru subjek yang lain dan ceritanya pun lebih kurang sama", jelas Puan Umi. " Kalau begitu nanti saya minta kerani uruskan permohonan pindah sekolah ni dengan segera. tak guna kita tahan pun kalau banyak sangat masalah yang timbul nanti. Sebelum terjadi apa-apa yang lebih besar, biarlah dia pindahkan anak-anaknya..mana tahu di sekolah baru nanti semuanya berubah jadi lebih baik", Puan Umi tersenyum penuh makna. Saya turut tersenyum sambil berlalu pergi...

Blog Sunyi Sepi

Bila ada yang menegur, kenapa blog maya kirana sunyi sepi sekarang....barulah saya teringat sudah hampir sebulan lebih saya tidak berkunjung ke sini. Seperti biasa sudah pasti kekangan masa dan tugas yang menjadi halangan untuk saya bergiat aktif di sini. Bukan bermakna saya tidak membuka notebook langsung  tetapi hanya menyiapkan hal2 yang berkaitan dengan tugas saya sahaja.

Selain masa yang sentiasa mencemburui, saya juga berhadapan dengan hal-hal yang tidak terduga atau di luar kekuasaan kita semua. Menerima perkhabaran salah seorang kakak diserang angin ahmar atau stroke di kampung, juga menyebabkan saya harus meluangkan sebahagian masa untuk menziarahinya sebagai satu sokongan moral untuknya kembali sihat. Titipan doa tidak pernah lekang di bibir semoga beliau kembali pulih seperti sedia kala...Insyaallah...

Amanlah Di sana...

Hari ini tiada lagi 
Puisi indah yang kau tulis untukku...
Hari ini tiada lagi
Kata-kata indah yang kau ungkapkan padaku
Semua terdiam dan termangu
Hanya air mata yang menitis di pipiku..

Hapuslah duhai air mata
Ku tak sanggup mengenang semua itu..
Sungguh aku kasih...
Sungguh aku rindu...
Gurau sendamu...
Gelak tawamu...
Padamu ku ucapkan sejuta terimakasih
Kerana tinggalkan kenangan
Yang tak terhapuskan


Kaulah penglipur hati di saat lara
Temanku, di saat suka dan duka
Sejuta kenangan indah
Kala canda tawa kita...
Bersamamu...
Aku belajar tentang kehidupan
Bersamamu...
Aku belajar erti ketabahan
Kau lukiskan indahnya mega
Kau tuturkan tulusnya suria
Kini ku berada di pusaramu...


Aku harus melangkah meninggalkanmu
Untuk teruskan perjalanan ini...
Ku tak kuasa melihat semua ini
Ku masih tak mampu
Menahan titis airmata ini
Hingga luluhkan hatiku...
Kini hanya terharu dan pilu...
Mengapa ini semua
Begitu cepat berlalu...


Dulu kita pernah belajar bersama
Bermain bersama
Bahkan sempat bertingkah rasa
Kala hati tidak sekata...
Kini aku harus meniti jalan sendiri
Untuk meneruskan kehidupan ini

Semoga kau aman di sana...
Wahai teman...

Nukilan: Maya Kirana ( buat teman yang telah pergi buat selama-lamanya akibat kanser yang dihidapinya..Al Fatihah...)

Di mana...?

Di mana letak sayang?
Jika tiada keikhlasan...
Di mana letaknya kehidupan?
Jika tiada perasaan..

Cinta hadir kerana perkenalan 
Bersemi kerana perhatian...
Cinta tak lebih dari dusta
Cinta pengkhianat rasa...

Waspadalah pada cinta
Kerana ia buta...
Tiada dinama cinta abadi
Kecuali pada Ya Rabbi...

Jika cinta itu indah
Mengapa ada airmata...
Jika cinta itu menyakitkan
Mengapa ada tawa...
Bila cinta sudah datang
Jangan biarkan ia pergi...

Cinta menyatukan kita...
bagai ombak bersatu di pantai yang tenang...
Mahalnya harga sebuah cinta
Saat ianya sudah berlalu pergi...



Nukilan : Maya Kirana

Masalah Datang Lagi...

"Maya...saya nak minta tolong sikit ni..", guru besar yang saya panggil Puan tiba-tiba bersuara dari arah belakang ketika saya sedang menuju ke Pusat Sumber."Ada apa Puan?", saya memandang wajahnya yang kelihatan agak serius pagi itu. "Tolong bincangkan dalam jawatankuasa dan buat teguran pada pihak kantin...saya tak puas hati hari ini apabila memantau makanan yang dijual", Puan memberi penjelasan masih lagi dalam nada yang agak kesal.

"Sudahlah tidak mengikut syarat, bila saya tegur banyak pula alasan yang diberikan. Memang saya marah", luah Puan lagi. "Hari ini mood saya memang marah. Sudahlah di bank tadi saya geram kerana banyak sangat prosedur untuk keluarkan duit yang disumbangkan kepada sekolah", sambungnya lagi sambil tergelak kecil. Mungkin dia cuba meredakan ketegangan dalam dirinya...Saya hanya memandang wajah Puan sambil tersenyum..."Apa yang Puan marah sangat dengan pihak kantin tu", saya meminta sedikit pencerahan agar dapat mengambil tindakan sewajarnya selepas ini. Mungkin saya terlepas pandang perkara ini...

"Saya tegur pasal penjualan loli pop pada murid-murid. Saya beri arahan agar selepas habis stok yang ada jangan jual lagi benda tu. Tau apa Kak Intan tu jawab...? "Kalau saya tak jual, budak-budak ni tetap akan beli di kedai luar pagar tu. Kan lebih baik mereka beli di kantin...", Kak Intan pengusaha kantin mempertahankan tindakannya."Saya jawablah dalam nada marah...pedulilah kalau mereka beli di luar dari kawasan sekolah. Saya hanya ingin ingatkan makanan seperti gula-gula dan loli pop ini tidak boleh dijual di kantin sekolah". Kita mesti mengutamakan kesihatan murid dan jual makanan yang menyihatkan...itu arahan kementerian bukan dari saya..". Begitu bersungguh-sungguh Puan menerangkan kepada saya apa yang berlaku sehingga menyebabkan dia agak marah pagi itu.

"Sebenarnya saya dah tegur perkara ini minggu lepas lagi Puan. Saya ingat dia dah hentikan penjualan tu sebab dia mengiakan kata-kata saya minggu lepas. Tak sangka pula masalah ini masih berlarutan...Tak mengapalah Puan, saya akan cuba selesaikan masalah ini secepat mungkin", jawab saya. Puan mengangguk seraya berlalu pergi....Saya pula yang termangu-mangu memikirkan perkara tersebut. Masalah lagi...

"Saya tak puas hati kenapa anak saya tak dapat pinjaman buku Pendidikan Moral. Anak saya kena marah dengan guru yang mengajar sebab tidak ada buku itu", terdengar satu suara menyatakan ketidakpuas hatiannya dari arah bilik guru. Apa lagi ni...masalah yang tadi pun saya belum dapat selesaikan..."Ada apa Ju?",tanya saya pada Juliana guru SPBT atau guru yang menguruskan buku teks pelajar. "Saya tak puas hati sebab sekolah ini pilih kasih, perkauman!". Saya banyak kerja nak buat...siapa nak bayar gaji saya kalau tak pergi kerja.Kenapa sekolah bikin saya susah!". Penjaga murid itu menunjukkan rasa kurang senangnya dengan bahasa yang agak kasar dan keterlaluan. "Encik boleh cakap baik-baik tak?. Perkara ini kita boleh bawa berbincang...jangan cakap sebarangan tanpa usul periksa", saya sedikit geram dengan ayat yang dihamburkan oleh penjaga tersebut.

Setelah mendengar penjelasan dari pihak yang menguruskan pinjaman buku teks, saya cuba menerangkan dengan bahasa yang mudah difahami oleh penjaga murid tersebut. "Encik...bukan anak encik seorang yang belum dapat buku itu. Ramai lagi yang belum dapat sebab stok buku tak cukup. Kami akan beri bila stok baru sampai nanti. Di sekolah tidak ada sikap pilih kasih atau perkauman jadi saya harap encik tolong berhati-hati bila bercakap. Lagipun yang mengikuti kelas pendidikan moral bukan murid melayu..kenapa encik nak jadikan hal ini isu perkauman pula? Mungkin anak encik tak faham,maklumlah baru tahun satu. Nanti saya akan jelaskan pada guru yang mengajar dia. Saya janji bila sampai buku tu,anak encik pasti dapat". Saya menjelaskan dengan panjang lebar tanpa memberi kesempatan penjaga itu bercakap.

Penjaga itu terdiam...mungkin dia sedar dan akur dengan penjelasan saya. Atau mungkin dia mendapat maklumat yang salah dari anaknya sebelum ini. "Oh, macam itu ke cikgu? Cikgu jangan lupa bagi anak saya buku itu nanti. Saya orang susah. Mintak tolonglah cikgu... ". Saya hanya mengangguk tanda setuju...Selesai satu masalah...penat bila berurusan dengan penjaga yang suka "komplen" tanpa usul periksa terlebih dahulu. Seperti 'scene' melodi di TV3...main terjah je...

Apa jua masalah anak-anak kita di sekolah sebenarnya boleh dibawa berbincang dengan pihak pentadbiran. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan jika kita saling bertolak ansur dan memahami. Tidak rugi saling hormat-menghormati sesama kita.Kitakan 1 Malaysia...

Kekangan

Alhamdulillah...setelah sebulan lebih saya tidak berkesempatan untuk 'mengupdate' blog ini, hari ini saya dapat meluangkan sedikit masa untuk mencoretkan sesuatu di sini...Kekangan masa menjadi penyebab utama saya tidak dapat bergiat aktif untuk memakmurkan blog saya ini.

Selain sibuk dengan rutin tugas seharian, kini saya juga sibuk melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan di komuniti tempat saya tinggal. Apabila sudah dilantik sebagai sebahagian daripada jawatankuasa, sudah pasti saya sama ada secara rela atau terpaksa, akan menyumbang serba sedikit tenaga dan buah fikiran demi kemajuan biro wanita yang ditubuhkan. Walau bagaimanapun penglibatan ini tidaklah sehingga menjejaskan tugas dan kewajipan utama saya sebagai pendidik. InsyaAllah...

Jalan-jalan di Ibukota

Berjalan-jalan di ibukota,
simpang siur kereta melata,
Hingar bingar suara manusia,
Semua ada kepentingannya,
Menarah, meratah selagi ada.

Berjalan-jalan di ibukota,
sesekali aku mendongak,
Pencakar langit berdiri megah,
Kemegahan yang begitu sombong,
melihat teratak-teratak usang di bawah sana,

Berjalan-jalan di ibukota,
Terlihat warganya tergesa-gesa,
Entah ke mana hala tujunya,
Subuh maghrib entah di mana,
Masihkah ada keberkahannya?

Berjalan-jalan di ibukota,
Tercium aroma bercampur baur,
Wangi, hanyir menjadi satu,
Di mana indahnya?
Di mana istimewanya?

Berjalan-jalan di ibukota,
Remang senja menyingkap segala,
Pilihannya cuma dua,
Sujud tawaduk di jalan Tuhannya,
Atau melirih jalan penuh durjana,

Berjalan-jalan di ibukota,
Perkukuhkan iman di dada,
Agar tidak tersesat arah,
Agar nafsu tidak serakah,
Agar iman menjadi pedoman,

Berjalan-jalan di ibukota,
Aku ingin cepat pulang,
Kerana...
Aku tidak bisa lama di sini...

Hasil Nukilan : Maya Kirana

Kenangan bersamamu

Bulan tak lagi bersinar,
Sepi malam tak ku sedari,
Kepergianmu membawa bersama,
Hilangmu tanpa bekas,
Tanpa dapat ku jangkau,
Segalanya hanya tinggal kenangan,

Ayah dan ibu...
Di atas nisanmu aku berdiri membisu,
Di atas nisanmu ku titiskan airmata ini,
Tiap kali kaki ingin melangkah,
Tiap kali mulut ingin berbicara,
Tiap kali mata  ingin terpejam,
Selalu ku ingin ayah dan ibu kembali...

Tapi...
Semua itu hanyalah mimpi,
Yang datang lalu pergi,
Ayah dan ibu...
Semenjak kepergianmu,
Hidup bersama adik-adik tak seindah dulu,
Aku yang dulu manja,
Masih terasa dakap kasihmu nan tulus,

Ayah dan ibu...
Aku harus redha akan ketentuanNya,
Segalanya tentangmu terukir abadi di perisai hatiku...
Al Fatihah buat ayah dan ibu....

Hasil Nukilan : Maya Kirana ( suara hati  anak-anak yang telah kehilangan ayah dan ibu )

Fikiranku...

Dalam bisu ku hela lelah penat,
Menjadi seorang guru,
Kononnnya...
Guru umpama  lilin membakar diri,
Menerangi hidup orang lain sedang diri  lara,

Umpama tingkah yang kacau,
Terbeban segala titik bengek,
Umpama si robot dengan tuannya
Bertindak bagai tiada akal,
Bertindak bagai tiada hati,
Kebenaran tidak pernah diungkap,

Guru itu apa?
Jadi boneka?
Bertingkah saja tidak berani,
Berlagu penuh kesombongan,
Bagai semua tahu,
Namun kosong hati nurani,
Intelektual? 
Profesional?
Siapa ambil peduli?

Dalam fikiran yang mendung,
Ku gempur saja hujan ini,
Dalam kepala ini,
Akulah sang reformasi,
Akan ku bangkit semangat anak-anak ini,
Menjadi cahaya umat masa kini,

Di antara dua aku harus memilih,
Entah baik atau buruk,
Di antara dua aku harus berjuang,
Entah manis atau pahit,
Aku takkan berhenti meraih,
Dan aku tak ingin kalah...


Nukilan : Maya Kirana  

Terlepas Pandang...

"Cikgu Hakim...cikgu...", saya berteriak sedikit kuat tatkala melihat kelibat Cikgu Hakim menuju ke 'staf room'. "Apa hal ?", Cikgu Hakim sedikit terkejut. "Cikgu tau ke pasal kes budak tahun 3 keluar dari kawasan sekolah semasa waktu belajar minggu lepas?".Sambil mengaru-garu kepalanya yang hampir botak itu,Cikgu Hakim menjawab. "Ada saya dengar pasal tu dari murid-murid kelas saya...tapi emak budak tu tak ada pulak buat aduan apa-apa pun pada sekolah...saya taklah memanjangkan kes tersebut". Jelas Cikgu Hakim.

"Masalah ni cikgu...tadi Puan (guru besar) minta penjelasan mengenai hal ini. Ada seorang ahli jawatan kuasa PIBG di kalangan ibubapa  membuat aduan  pada guru besar mengenai kes ini...mungkin keluarga murid bercerita sesama mereka di luar sana", jelas saya. "Saya sendiri langsung tidak dimaklumkan oleh sesiapa sama ada murid atau guru yang berada di kelas tersebut...". "Yang menjadi persoalan sekarang bagaimana murid tersebut boleh terlepas pandang oleh guru dan juga pak guard kita"."Apa kata kita jumpa pak guard bertanyakan hal ini..." Saya dan Cikgu Hakim terus menuju ke pondok jaga..

"Memang ada sorang budak mintak keluar itu hari...saya tak bagi dia keluar. Lepas itu dia duduk tepi pagar saja. Saya pun pergi ronda-ronda sekolah...balik sini budak tu sudah tak ada", jawab pak guard bila saya menyoalnya. "Kenapa pak guard tak suruh dia balik ke kelas atau beritahu cikgu hal in?",tanya saya lagi. Pak guard tu seperti kebingungan saja bila kami menyoalnya bertalu-talu...banyak putar belitnya yang tidak masuk akal...Patutlah Puan selalu bising pak guard selalu hilang...senang-senang tetamu tak diundang boleh masuk ke kawasan sekolah kalau mempunyai jaga seperti ini.

Kejadian ini merupakan sesuatu yang dipandang serius oleh pihak sekolah kerana kedudukan sekolah yang terletak di kawasan lalu lintas yang sibuk. Amatlah merbahaya bagi kanak-kanak seusia murid tahun 3 jika tiada pengawasan daripada orang dewasa berjalan di luar sana. Sebagai guru yang terlibat secara langsung dengan hal ehwal murid, perkara ini sedikit merunsingkan saya. Saya memanggil pelajar yang terlibat untuk mengetahui perkara sebenar.

"Cikgu nak tanya Alif ni...Alif jawab jujur ya..jangan tipu cikgu tau", saya bertanya dengan nada lembut. "Minggu lepas betul ke Alif ada keluar sekolah waktu belajar?",tanya saya lagi. Dia cuma mengangguk sambil memandang saya. "Kenapa Alif nak keluar? Alif nak ke mana?", sambung saya lagi. "Alif nak ke 'opis' mak kat sana...Buku latihan Alif tertinggal kat rumah...Alif takut kena marah teacher",jelasnya dengan suara tersangkut-sangkut. "Kenapa Alif tak bagitau cikgu dulu...Jadi memang betul Alif keluar pergi ke 'opis' mak ya..?".Dia mengangguk lagi...

Hasil siasatan didapati pejabat tempat ibu pelajar itu bekerja berada tidak jauh dari sekolah. Persoalannya pelbagai kemungkinan boleh terjadi disebabkan kealpaan yang cuma sebentar. Walaupun kecuaian mungkin berpunca dari pihak sekolah, keluarga pelajar sepatutnya memaklumkan hal ini terus ke pengetahuan pihak sekolah. Silapnya ibu pelajar hanya menghantar anaknya semula kepada pak guard dan pelajar itu kembali semua ke kelas tanpa dapat dikesan oleh guru perbuatannya tadi. Guru mungkin mempunyai tanggapan murid tersebut ke tandas semasa pertukaran guru subjek. Bila perkara hendak terjadi...begitulah...

Seandainya ada peristiwa lain terjadi semasa murid tersebut dalam perjalanan berjumpa ibunya...pasti lain pula ceritanya...Hanya rasa kesyukuran kepada Allah SWT yang saya dapat panjatkan. Puan guru besar membuat 'report'serta merta kepada pihak pengurusan pengawal keselamatan meminta ditukarkan pengawal yang baru...yang lebih cerdik...yang mampu bertindak dengan cekap bila berlaku insiden-insiden sedemikian...

Lesung Mencari Alu (Antan)

Peribahasa ini memberi makna seeorang wanita atau perempuan yang mencari pasangan atau ‘mengejar-ngejar’ seorang lelaki. Pada zaman dahulu perbuatan ini memalukan dan janggal dalam masyarakat. Perempuan seperti ini dianggap tidak mempunyai nilai ‘malu’ dan dilabel sebagai perempuan ‘tidak baik’.
Namun, pada zaman sekarang, perbuatan ‘lesung mencari alu’ sudah dianggap biasa dan tidak memalukan. Jodoh bukan sahaja boleh dicari oleh lelaki tetapi perempuan juga berhak mencari jodohnya sendiri dengan memilih lelaki yang diingini. Malahan, pada zaman nabi, Siti Khatijah yang merisik dan meminang nabi Muhammad s.a.w.

Walau bagaimanapun, jika diteliti, mengapa orang-orang lama mencipta peribahasa begini? Tujuannya adalah untuk memelihara maruah dan diri kaum wanita yang harus mempunyai nilai ‘malu’ yang tinggi sesuai dengan penciptaan wanita yang lemah lembut.Wanita yang terpelihara dengan sifat ‘malu’ akan mendidik jiwa menjadi wanita yang tahu menjaga maruah diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Tidak ada salahnya jika kita menggunakan peribahasa lama ini sebagai pendinding untuk memelihara diri dari perbuatan-perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah kita sendiri.

Pantun Nasihat 2

Tanam balik buah peria,
Buah peria mahal sekali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.

Ketua-ketua raja duduk,
Jangan ditimpa papan;
Diketahui ganja itu mabuk,
Apakah sebab maka dimakan?

Meninjau berpadi masak,
Batang kapas bertimbal jalan;
Hati risau dibawa gelak,
Bagai panas mengandung hujan.

Pulau di balik Puali Gosong,
Pandang di Jawa diranggungkan;
Jangan kata terdorong-dorong,
Badan dan nyawa menanggungkan.

Cik Embung orang Melaka,
Tanam peria tepi pantai;
Jangan sombong tuan berkata,
Adakah buaya menolak bangkai?

Hangus bertih berwarna merah,
Mari dituang ke dalam kain;
Suami yang letih usah dimarah,
Kelak terbang ke bunga lain.

Anak Cina membawa surat,
Dari Perak langsung ke Deli;
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak dijual beli.

Pisang kelat digonggong helang,
Jatuh ke lubuk Inderagiri;
Jikalau berdagang di rantau orang,
Baik-baik membawa diri.

Petikan pantun : Puisi Melayu Tradisi, Mohd Yusof Md. Nor dan dr Abdul Rahman Kaeh. Fajar Bakti 1985.

Pantun Agama 1

Kemuning daunnya lampai,
Tumbuh di jirat paduka tuan;
Di atas dunia kau tak sampai,
Di dalam syurga bernantian.

Halia ini tanam-tanaman,
Di barat saja akan tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

Teritip di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail;
Imam khatib lagikan berdosa,
Bertambah pula kita yang jahil.

Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang;
Menangis mayat dipintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.

Buat serunai batang padi,
Bunyi lagu seri pualam;
Serban bukan semuanya haji,
Haji terletak pada amalan.

Tiada boleh menetak jati,
Papan di Jawa dibelah-belah;
Tiada boleh kehendak hati,
Kita di bawah perintah Allah.

Dipetik : Puisi Melayu Tradisi, Fajar Bakti,1985.

Tragedi Kehidupan...

"Ada hal-hal lain lagi sebelum kita tutup mesyuarat petang ini?, pertanyaan yang dipertua PIBG sekolah saya mematikan lamunan saya seketika. Entah mengapa saya tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya pada petang itu... Mungkin sedikit terganggu dengan ingatan terhadap keluarga di rumah. Kesihatan adik yang tidak menentu,juga kehadiran anak saudara yang seakan menggamit saya untuk cepat pulang ke rumah...

"Acik Maya ke mana?, tanya anak kecil bermulut mungil sebaik saya sampai. "Acik Maya kerja...Afiq dah bangun tidur ya...?, terasa saya mengemukakan pertanyaan agak kurang cerdik pula. Memang anak itu sedang tidur ketika saya keluar tadi. Macam-macam pertanyaan keluar dari mulutnya...saya menjawab sekadar memuaskan hati kanak-kanak yang mahukan jawapan bagi setiap pertanyaan.

"Papa Afiq dah bangun?",saya  pula menyoalnya. "Papa dah bangun...papa mandi...", cepat dia menjawab. "Oh..., kalau begitu jom kita masuk ke dalam". Sudah seminggu anak kecil itu berada di rumah saya...anak kepada adik lelaki saya. Adik saya yang mengalami keruntuhan rumahtangga sejak beberapa tahun lepas dan sejak itulah dia terpisah dengan anak kecil ini. Disebabkan dia sedang menerima rawatan di hospital berdekatan kediaman saya, maka itu dia tinggal di sini untuk beberapa waktu. Sejak kehadiran Afiq saya dapat melihat sinar kebahagian terpancar pada wajah adik saya itu...Dia begitu bersemangat dan mula berselera makan berbanding sebelum ini. Kehadiran Afiq benar-benar mengembalikan keceriaan dalam hidupnya...

Saya masih lagi teringat di satu petang Am (nama panggilan untuk adik) seakan hilang pertimbangan apabila dia tiba-tiba menangis di hadapan saya. "Apa salah saya kak?..kenapa semua ni terjadi pada diri saya...? Dia menangis seperti anak kecil tanpa boleh ditahan-tahan. Saya membiarkan Am melepaskan apa yang mungkin terpendam di hatinya selama ini. Sebagai satu-satunya saudara yang paling rapat dan tinggal berdekatan di sini mungkin dia lebih yakin untuk meluahkannya kepada saya.

"Saya kecewa kak...saya sedih sangat...peluang saya untuk kembali padanya dan berakhir...". "Kenapa dia tak beri saya kesempatan kak...kenapa dia tak bagi saya peluang untuk kali kedua...? "Jahat sangat ke adik akak ni?...Jahat ke saya kak?". Bertalu-talu dia mempersoalkan sesuatu yang saya sendiri tidak mampu untuk menjawabnya...Saya hanya mampu memandang wajah Am tanpa sebarang kata-kata. Saat itu juga airmata saya gugur tanpa henti...tangisan si primadona air mata...

"Am....bersabarlah...jodoh Am memang bukan dengan dia lagi". "Am kena terima dengan hati terbuka...Am jangan terlalu ikut perasaan ya...", saya sendiri tidak pasti jawapan saya tu boleh diterima atau menambah kesedihan di hatinya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul...Apalah daya saya untuk membantu...jika memang itu ketentuan yang sudah disuratkan untuk adik saya. Manusia hanya mampu merancang...ajal maut..jodoh semuanya ditentukan olehNYA ...

Esakan Am dah lama berhenti...namun linangan air  mata seakan tidak mahu berhenti dari mengalir di pipi saya. "Kita sama-samalah doakan kebahagiaan Irma tu ya...Jangan berdendam dengan apa yang terjadi...dia tetap mama Afiq". Am hanya berdiam diri...tunduk membeku tanpa sebarang reaksi. Mungkin dia sedang mendengar apa yang saya katakan...Begitulah keadaan adik saya sejak mengetahui bekas isterinya telah mendapat pengganti lain. Tekanan atau stress yang melampau menyebabkan berlaku komplikasi mengejut pada kesihatan jantungnya yang sedia bermasalah sebelum ini. Alhamdulillah dia kini semakin pulih dan begitu bersemangat dengan adanya Afiq di sisinya...Saya turut merasai kegembiraan ini...

"Kak Maya...", saya dikejutkan oleh panggilan Am. Mungkin sedari tadi dia asyik memerhatikan saya yang sedang asyik mengelamun.. "Aha...ya..ya...ada apa Am?", agak kelam kabut saya menjawab. "Kak...hujung minggu ni saya dengan Afiq nak balik kampung. Mungkin seminggu dua kami di sana...", jelas Am  kepada saya."Eh, kan Am belum sihat lagi...tunggulah seminggu dua lagi Am...biar kesihatan Am tu pulih sepenuhnya..", pinta saya. "Saya dah sihat kak, lagipun banyak urusan saya  nak selesaikan di sana". "Kalau semua berjalan dengan lancar mungkin saya akan terus menetap di sana". Am menerangkan penuh yakin. Seakan dia sudah tekad untuk memulakan sebuah kehidupan baru bersama anaknya.

Begitulah perjanjian yang termetrai...sesiapa yang mendirikan rumahtangga lebih dulu akan hilang hak penjagaan anak mereka. Undang-undang dunia hanyalah hukum yang dibuat oleh manusia namun hak ibubapa terhadap anak adalah sehingga ke akhir hayat. Saya sering mengingatkan adik akan hal tersebut.. Hubungan anak dengan ibu tidak seharusnya terputus dan bertolak ansurlah dalam semua perkara yang melibatkan kehidupan anak. Anak berhak mendapat kehidupan normal seperti kanak-kanak lain...

Saya akan sentiasa terus mendoakan mudah-mudahan mereka berdua dapat mengharungi kehidupan dengan penuh bermakna...Mungkin di saat ini mereka sedang menikmati saat-saat indah antara bapa dan anak setelah sekian lama terpisah dengan takdir yang tidak pernah mereka pinta...Semoga sinar kebahagian akan terus menyelubungi hidup mereka berdua...Baru semalam mereka pulang ke kampung...hingga saat ini saya masih merasakan kesedihan dan kesyahduan atas tragedi yang menimpa mereka...Sesungguhnya setiap dugaan dan ujian itu ada rahmat yang perlu kita cari di sebaliknya...Pengalaman mematang dan mendewasakan manusia...InsyaAllah...