About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jalan-jalan di Ibukota

Berjalan-jalan di ibukota,
simpang siur kereta melata,
Hingar bingar suara manusia,
Semua ada kepentingannya,
Menarah, meratah selagi ada.

Berjalan-jalan di ibukota,
sesekali aku mendongak,
Pencakar langit berdiri megah,
Kemegahan yang begitu sombong,
melihat teratak-teratak usang di bawah sana,

Berjalan-jalan di ibukota,
Terlihat warganya tergesa-gesa,
Entah ke mana hala tujunya,
Subuh maghrib entah di mana,
Masihkah ada keberkahannya?

Berjalan-jalan di ibukota,
Tercium aroma bercampur baur,
Wangi, hanyir menjadi satu,
Di mana indahnya?
Di mana istimewanya?

Berjalan-jalan di ibukota,
Remang senja menyingkap segala,
Pilihannya cuma dua,
Sujud tawaduk di jalan Tuhannya,
Atau melirih jalan penuh durjana,

Berjalan-jalan di ibukota,
Perkukuhkan iman di dada,
Agar tidak tersesat arah,
Agar nafsu tidak serakah,
Agar iman menjadi pedoman,

Berjalan-jalan di ibukota,
Aku ingin cepat pulang,
Kerana...
Aku tidak bisa lama di sini...

Hasil Nukilan : Maya Kirana

Kenangan bersamamu

Bulan tak lagi bersinar,
Sepi malam tak ku sedari,
Kepergianmu membawa bersama,
Hilangmu tanpa bekas,
Tanpa dapat ku jangkau,
Segalanya hanya tinggal kenangan,

Ayah dan ibu...
Di atas nisanmu aku berdiri membisu,
Di atas nisanmu ku titiskan airmata ini,
Tiap kali kaki ingin melangkah,
Tiap kali mulut ingin berbicara,
Tiap kali mata  ingin terpejam,
Selalu ku ingin ayah dan ibu kembali...

Tapi...
Semua itu hanyalah mimpi,
Yang datang lalu pergi,
Ayah dan ibu...
Semenjak kepergianmu,
Hidup bersama adik-adik tak seindah dulu,
Aku yang dulu manja,
Masih terasa dakap kasihmu nan tulus,

Ayah dan ibu...
Aku harus redha akan ketentuanNya,
Segalanya tentangmu terukir abadi di perisai hatiku...
Al Fatihah buat ayah dan ibu....

Hasil Nukilan : Maya Kirana ( suara hati  anak-anak yang telah kehilangan ayah dan ibu )

Fikiranku...

Dalam bisu ku hela lelah penat,
Menjadi seorang guru,
Kononnnya...
Guru umpama  lilin membakar diri,
Menerangi hidup orang lain sedang diri  lara,

Umpama tingkah yang kacau,
Terbeban segala titik bengek,
Umpama si robot dengan tuannya
Bertindak bagai tiada akal,
Bertindak bagai tiada hati,
Kebenaran tidak pernah diungkap,

Guru itu apa?
Jadi boneka?
Bertingkah saja tidak berani,
Berlagu penuh kesombongan,
Bagai semua tahu,
Namun kosong hati nurani,
Intelektual? 
Profesional?
Siapa ambil peduli?

Dalam fikiran yang mendung,
Ku gempur saja hujan ini,
Dalam kepala ini,
Akulah sang reformasi,
Akan ku bangkit semangat anak-anak ini,
Menjadi cahaya umat masa kini,

Di antara dua aku harus memilih,
Entah baik atau buruk,
Di antara dua aku harus berjuang,
Entah manis atau pahit,
Aku takkan berhenti meraih,
Dan aku tak ingin kalah...


Nukilan : Maya Kirana  

Terlepas Pandang...

"Cikgu Hakim...cikgu...", saya berteriak sedikit kuat tatkala melihat kelibat Cikgu Hakim menuju ke 'staf room'. "Apa hal ?", Cikgu Hakim sedikit terkejut. "Cikgu tau ke pasal kes budak tahun 3 keluar dari kawasan sekolah semasa waktu belajar minggu lepas?".Sambil mengaru-garu kepalanya yang hampir botak itu,Cikgu Hakim menjawab. "Ada saya dengar pasal tu dari murid-murid kelas saya...tapi emak budak tu tak ada pulak buat aduan apa-apa pun pada sekolah...saya taklah memanjangkan kes tersebut". Jelas Cikgu Hakim.

"Masalah ni cikgu...tadi Puan (guru besar) minta penjelasan mengenai hal ini. Ada seorang ahli jawatan kuasa PIBG di kalangan ibubapa  membuat aduan  pada guru besar mengenai kes ini...mungkin keluarga murid bercerita sesama mereka di luar sana", jelas saya. "Saya sendiri langsung tidak dimaklumkan oleh sesiapa sama ada murid atau guru yang berada di kelas tersebut...". "Yang menjadi persoalan sekarang bagaimana murid tersebut boleh terlepas pandang oleh guru dan juga pak guard kita"."Apa kata kita jumpa pak guard bertanyakan hal ini..." Saya dan Cikgu Hakim terus menuju ke pondok jaga..

"Memang ada sorang budak mintak keluar itu hari...saya tak bagi dia keluar. Lepas itu dia duduk tepi pagar saja. Saya pun pergi ronda-ronda sekolah...balik sini budak tu sudah tak ada", jawab pak guard bila saya menyoalnya. "Kenapa pak guard tak suruh dia balik ke kelas atau beritahu cikgu hal in?",tanya saya lagi. Pak guard tu seperti kebingungan saja bila kami menyoalnya bertalu-talu...banyak putar belitnya yang tidak masuk akal...Patutlah Puan selalu bising pak guard selalu hilang...senang-senang tetamu tak diundang boleh masuk ke kawasan sekolah kalau mempunyai jaga seperti ini.

Kejadian ini merupakan sesuatu yang dipandang serius oleh pihak sekolah kerana kedudukan sekolah yang terletak di kawasan lalu lintas yang sibuk. Amatlah merbahaya bagi kanak-kanak seusia murid tahun 3 jika tiada pengawasan daripada orang dewasa berjalan di luar sana. Sebagai guru yang terlibat secara langsung dengan hal ehwal murid, perkara ini sedikit merunsingkan saya. Saya memanggil pelajar yang terlibat untuk mengetahui perkara sebenar.

"Cikgu nak tanya Alif ni...Alif jawab jujur ya..jangan tipu cikgu tau", saya bertanya dengan nada lembut. "Minggu lepas betul ke Alif ada keluar sekolah waktu belajar?",tanya saya lagi. Dia cuma mengangguk sambil memandang saya. "Kenapa Alif nak keluar? Alif nak ke mana?", sambung saya lagi. "Alif nak ke 'opis' mak kat sana...Buku latihan Alif tertinggal kat rumah...Alif takut kena marah teacher",jelasnya dengan suara tersangkut-sangkut. "Kenapa Alif tak bagitau cikgu dulu...Jadi memang betul Alif keluar pergi ke 'opis' mak ya..?".Dia mengangguk lagi...

Hasil siasatan didapati pejabat tempat ibu pelajar itu bekerja berada tidak jauh dari sekolah. Persoalannya pelbagai kemungkinan boleh terjadi disebabkan kealpaan yang cuma sebentar. Walaupun kecuaian mungkin berpunca dari pihak sekolah, keluarga pelajar sepatutnya memaklumkan hal ini terus ke pengetahuan pihak sekolah. Silapnya ibu pelajar hanya menghantar anaknya semula kepada pak guard dan pelajar itu kembali semua ke kelas tanpa dapat dikesan oleh guru perbuatannya tadi. Guru mungkin mempunyai tanggapan murid tersebut ke tandas semasa pertukaran guru subjek. Bila perkara hendak terjadi...begitulah...

Seandainya ada peristiwa lain terjadi semasa murid tersebut dalam perjalanan berjumpa ibunya...pasti lain pula ceritanya...Hanya rasa kesyukuran kepada Allah SWT yang saya dapat panjatkan. Puan guru besar membuat 'report'serta merta kepada pihak pengurusan pengawal keselamatan meminta ditukarkan pengawal yang baru...yang lebih cerdik...yang mampu bertindak dengan cekap bila berlaku insiden-insiden sedemikian...

Lesung Mencari Alu (Antan)

Peribahasa ini memberi makna seeorang wanita atau perempuan yang mencari pasangan atau ‘mengejar-ngejar’ seorang lelaki. Pada zaman dahulu perbuatan ini memalukan dan janggal dalam masyarakat. Perempuan seperti ini dianggap tidak mempunyai nilai ‘malu’ dan dilabel sebagai perempuan ‘tidak baik’.
Namun, pada zaman sekarang, perbuatan ‘lesung mencari alu’ sudah dianggap biasa dan tidak memalukan. Jodoh bukan sahaja boleh dicari oleh lelaki tetapi perempuan juga berhak mencari jodohnya sendiri dengan memilih lelaki yang diingini. Malahan, pada zaman nabi, Siti Khatijah yang merisik dan meminang nabi Muhammad s.a.w.

Walau bagaimanapun, jika diteliti, mengapa orang-orang lama mencipta peribahasa begini? Tujuannya adalah untuk memelihara maruah dan diri kaum wanita yang harus mempunyai nilai ‘malu’ yang tinggi sesuai dengan penciptaan wanita yang lemah lembut.Wanita yang terpelihara dengan sifat ‘malu’ akan mendidik jiwa menjadi wanita yang tahu menjaga maruah diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Tidak ada salahnya jika kita menggunakan peribahasa lama ini sebagai pendinding untuk memelihara diri dari perbuatan-perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah kita sendiri.

Pantun Nasihat 2

Tanam balik buah peria,
Buah peria mahal sekali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.

Ketua-ketua raja duduk,
Jangan ditimpa papan;
Diketahui ganja itu mabuk,
Apakah sebab maka dimakan?

Meninjau berpadi masak,
Batang kapas bertimbal jalan;
Hati risau dibawa gelak,
Bagai panas mengandung hujan.

Pulau di balik Puali Gosong,
Pandang di Jawa diranggungkan;
Jangan kata terdorong-dorong,
Badan dan nyawa menanggungkan.

Cik Embung orang Melaka,
Tanam peria tepi pantai;
Jangan sombong tuan berkata,
Adakah buaya menolak bangkai?

Hangus bertih berwarna merah,
Mari dituang ke dalam kain;
Suami yang letih usah dimarah,
Kelak terbang ke bunga lain.

Anak Cina membawa surat,
Dari Perak langsung ke Deli;
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak dijual beli.

Pisang kelat digonggong helang,
Jatuh ke lubuk Inderagiri;
Jikalau berdagang di rantau orang,
Baik-baik membawa diri.

Petikan pantun : Puisi Melayu Tradisi, Mohd Yusof Md. Nor dan dr Abdul Rahman Kaeh. Fajar Bakti 1985.

Pantun Agama 1

Kemuning daunnya lampai,
Tumbuh di jirat paduka tuan;
Di atas dunia kau tak sampai,
Di dalam syurga bernantian.

Halia ini tanam-tanaman,
Di barat saja akan tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

Teritip di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail;
Imam khatib lagikan berdosa,
Bertambah pula kita yang jahil.

Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang;
Menangis mayat dipintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.

Buat serunai batang padi,
Bunyi lagu seri pualam;
Serban bukan semuanya haji,
Haji terletak pada amalan.

Tiada boleh menetak jati,
Papan di Jawa dibelah-belah;
Tiada boleh kehendak hati,
Kita di bawah perintah Allah.

Dipetik : Puisi Melayu Tradisi, Fajar Bakti,1985.

Tragedi Kehidupan...

"Ada hal-hal lain lagi sebelum kita tutup mesyuarat petang ini?, pertanyaan yang dipertua PIBG sekolah saya mematikan lamunan saya seketika. Entah mengapa saya tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya pada petang itu... Mungkin sedikit terganggu dengan ingatan terhadap keluarga di rumah. Kesihatan adik yang tidak menentu,juga kehadiran anak saudara yang seakan menggamit saya untuk cepat pulang ke rumah...

"Acik Maya ke mana?, tanya anak kecil bermulut mungil sebaik saya sampai. "Acik Maya kerja...Afiq dah bangun tidur ya...?, terasa saya mengemukakan pertanyaan agak kurang cerdik pula. Memang anak itu sedang tidur ketika saya keluar tadi. Macam-macam pertanyaan keluar dari mulutnya...saya menjawab sekadar memuaskan hati kanak-kanak yang mahukan jawapan bagi setiap pertanyaan.

"Papa Afiq dah bangun?",saya  pula menyoalnya. "Papa dah bangun...papa mandi...", cepat dia menjawab. "Oh..., kalau begitu jom kita masuk ke dalam". Sudah seminggu anak kecil itu berada di rumah saya...anak kepada adik lelaki saya. Adik saya yang mengalami keruntuhan rumahtangga sejak beberapa tahun lepas dan sejak itulah dia terpisah dengan anak kecil ini. Disebabkan dia sedang menerima rawatan di hospital berdekatan kediaman saya, maka itu dia tinggal di sini untuk beberapa waktu. Sejak kehadiran Afiq saya dapat melihat sinar kebahagian terpancar pada wajah adik saya itu...Dia begitu bersemangat dan mula berselera makan berbanding sebelum ini. Kehadiran Afiq benar-benar mengembalikan keceriaan dalam hidupnya...

Saya masih lagi teringat di satu petang Am (nama panggilan untuk adik) seakan hilang pertimbangan apabila dia tiba-tiba menangis di hadapan saya. "Apa salah saya kak?..kenapa semua ni terjadi pada diri saya...? Dia menangis seperti anak kecil tanpa boleh ditahan-tahan. Saya membiarkan Am melepaskan apa yang mungkin terpendam di hatinya selama ini. Sebagai satu-satunya saudara yang paling rapat dan tinggal berdekatan di sini mungkin dia lebih yakin untuk meluahkannya kepada saya.

"Saya kecewa kak...saya sedih sangat...peluang saya untuk kembali padanya dan berakhir...". "Kenapa dia tak beri saya kesempatan kak...kenapa dia tak bagi saya peluang untuk kali kedua...? "Jahat sangat ke adik akak ni?...Jahat ke saya kak?". Bertalu-talu dia mempersoalkan sesuatu yang saya sendiri tidak mampu untuk menjawabnya...Saya hanya mampu memandang wajah Am tanpa sebarang kata-kata. Saat itu juga airmata saya gugur tanpa henti...tangisan si primadona air mata...

"Am....bersabarlah...jodoh Am memang bukan dengan dia lagi". "Am kena terima dengan hati terbuka...Am jangan terlalu ikut perasaan ya...", saya sendiri tidak pasti jawapan saya tu boleh diterima atau menambah kesedihan di hatinya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul...Apalah daya saya untuk membantu...jika memang itu ketentuan yang sudah disuratkan untuk adik saya. Manusia hanya mampu merancang...ajal maut..jodoh semuanya ditentukan olehNYA ...

Esakan Am dah lama berhenti...namun linangan air  mata seakan tidak mahu berhenti dari mengalir di pipi saya. "Kita sama-samalah doakan kebahagiaan Irma tu ya...Jangan berdendam dengan apa yang terjadi...dia tetap mama Afiq". Am hanya berdiam diri...tunduk membeku tanpa sebarang reaksi. Mungkin dia sedang mendengar apa yang saya katakan...Begitulah keadaan adik saya sejak mengetahui bekas isterinya telah mendapat pengganti lain. Tekanan atau stress yang melampau menyebabkan berlaku komplikasi mengejut pada kesihatan jantungnya yang sedia bermasalah sebelum ini. Alhamdulillah dia kini semakin pulih dan begitu bersemangat dengan adanya Afiq di sisinya...Saya turut merasai kegembiraan ini...

"Kak Maya...", saya dikejutkan oleh panggilan Am. Mungkin sedari tadi dia asyik memerhatikan saya yang sedang asyik mengelamun.. "Aha...ya..ya...ada apa Am?", agak kelam kabut saya menjawab. "Kak...hujung minggu ni saya dengan Afiq nak balik kampung. Mungkin seminggu dua kami di sana...", jelas Am  kepada saya."Eh, kan Am belum sihat lagi...tunggulah seminggu dua lagi Am...biar kesihatan Am tu pulih sepenuhnya..", pinta saya. "Saya dah sihat kak, lagipun banyak urusan saya  nak selesaikan di sana". "Kalau semua berjalan dengan lancar mungkin saya akan terus menetap di sana". Am menerangkan penuh yakin. Seakan dia sudah tekad untuk memulakan sebuah kehidupan baru bersama anaknya.

Begitulah perjanjian yang termetrai...sesiapa yang mendirikan rumahtangga lebih dulu akan hilang hak penjagaan anak mereka. Undang-undang dunia hanyalah hukum yang dibuat oleh manusia namun hak ibubapa terhadap anak adalah sehingga ke akhir hayat. Saya sering mengingatkan adik akan hal tersebut.. Hubungan anak dengan ibu tidak seharusnya terputus dan bertolak ansurlah dalam semua perkara yang melibatkan kehidupan anak. Anak berhak mendapat kehidupan normal seperti kanak-kanak lain...

Saya akan sentiasa terus mendoakan mudah-mudahan mereka berdua dapat mengharungi kehidupan dengan penuh bermakna...Mungkin di saat ini mereka sedang menikmati saat-saat indah antara bapa dan anak setelah sekian lama terpisah dengan takdir yang tidak pernah mereka pinta...Semoga sinar kebahagian akan terus menyelubungi hidup mereka berdua...Baru semalam mereka pulang ke kampung...hingga saat ini saya masih merasakan kesedihan dan kesyahduan atas tragedi yang menimpa mereka...Sesungguhnya setiap dugaan dan ujian itu ada rahmat yang perlu kita cari di sebaliknya...Pengalaman mematang dan mendewasakan manusia...InsyaAllah...

Langkah Pejuang

Di sini...
Di bumi asing ini,
Manusia berjuang untuk hidup,
Dengan langkah penuh keberanian,membujur lalu melintang patah,
Di sini...
Di bumi gersang ini,
Sesekali ombak ganas menerjah,
Gundah resah melanda jiwa,...
Hidup di sini memang payah,
Dugaan, cabaran silih berganti,
Sesekali langkah ingin berhenti,
Namun keazaman masih tergenggam,
Semangat perlu terus digagah,
Kekadang terasa perit meghimpit,
Melawan rasa rindu dendam,
Menentang rasa sendu syahdu,
Suara gemersik bagai memanggil,
Menyata rindu tidak keruan,
Langkah ini masih panjang,
Perjalanan masih jauh,
Titipkan semangat sepanjang perjuangan,
Agar keamanan bisa digapai,
Keamanan sejagat menjadi harapan...

Nukilan : Maya Kirana (didedikasikan buat perwira negara)


Mencari Jawapan...

Sejenak aku termenung...
Merenung dari kejauhan,
Termangu dalam kesyahduan,
Kegundahan, keinsafan menjadi satu,
Bertanya pada diri,
Di sisi paling dalam,
Apa yang aku inginkan?
Bertanya lagi pada diri,
Hingga ke pelosok hati,
Apa itu keindahan?
Aku masih lagi termangu,
Ku pejam kedua-dua mata,
Cuba mencari sebuah jawapan,
Dalam hati yang sedang bimbang,
Ku gelengkan kepala,
Ku hembus nafas dalam-dalam,
Terasa berat desahannya,
Terasa sesak rasa di dada,
Dalam hati yang masih bimbang...
Namun aku belum temui jawapan...

Hasil Nukilan : Maya Kirana

Anak-anak Kita...

"Maya...engkau dah nampak ke ada burung belatuk di sekolah kita? tanya cikgu Hakim ketika saya berselisih jalan menuju ke kelas. "Burung belatuk?..Burung apa cikgu?, Saya ketika itu memang betul-betul tidak dapat menangkap maksud yang ingin cikgu Hakim sampaikan. "Kamu ni 'slow' la...cikgu Hakim tergelak melihat saya kebingungan. Cikgu Hakim guru disiplin yang memang terkenal dengan bahasa dan lawak kasarnya...sabar jelah...

"Budak Fadzli tahun 3 tulah...kamu tak nampak warna rambut dia...dah macam mat saleh celup aku tengok?",cikgu Hakim menjelaskan tanpa dipinta. Aha...baru saya teringat minggu lepas guru kelas murid tersebut ada memaklumkan kepada saya. Saya dah terlepas pandang kes ini, nasib baik cikgu Hakim mengingatkan. Mungkin kesibukan saya minggu ini menguruskan adik yang menjalani rawatan di sini menyebabkan saya tidak dapat memberi sepenuh tumpuan di sekolah.

"Cikgu dah ambil tindakan ke?".Tanya saya. "Tindakan aku senang je Maya...bagi jer", jelas cikgu Hakim sambil ketawa. "Bagi jer" maksud cikgu Hakim tu saya sedia maklum, sudah pasti murid tersebut didenda atau dihukum. "Kalau begitu nanti saya panggil murid tersebut untuk dapatkan penjelasan lanjut", jawab saya seraya meneruskan langkah ke kelas. Hukuman seharusnya dikenakan sebagai peringatan kepada pelajar terbabit namun kita juga perlu mencari punca mengapa ia boleh berlaku. Kita harus memberi ruang pelajar terbabit memberi penjelasan.

"Oh...Fazli murid kelas pemulihan tu ke? hati saya berkata ketika melihat murid tersebut datang berjumpa saya. Murid ini sememangnya hiperaktif dan agak nakal... Ada teman mengatakan murid ni seperti tiada perasaan...kita marah pun dia tersenyum...sabar ajelah..."Cantik rambut awak Fazli...buat di kedai ke? tanya saya. Sambil tersengih-sengih menampakkan gigi rongaknya dia menjawab.."Kakak buatkan...adik pun kakak buatkan...tak boleh hilang". Tanpa ditanya  lebih lanjut dia menjelaskan dengan panjang lebar. "Kalau begitu cikgu botakkan rambut tu boleh? Nanti hilanglah...", saya menduga. "Tak mau...",dia mengeleng-gelengkan kepalanya.

Menghadapi kerenah murid sebegini adakalanya membuat saya tidak sampai hati untuk mengambil sebarang tindakan keras. Sebagai pelajar yang dikategorikan 'slow learner' dan lambat matang berbanding usia mungkin kejadian ini berlaku disebabkan persekitarannya yang tidak membantu. Secara peribadi, saya meletakkan kesalahan ini kepada ibubapa pelajar tersebut berbanding murid itu sendiri. Mungkin ibubapa akan memberikan pelbagai alasan....namun jika kita kenal anak kita sepenuhnya dan mengambil berat  kepentingan pelajaran mereka, perkara sedemikian dapat dielakkan.

Apa lagi yang saya dapat lakukan..kecuali menunggu rambut hitam yang baru tumbuh...saya sendiri tidak pasti boleh atau tidak warna itu dihilangkan menggunakan peluntur rambut. Saya hanya mengingatkan dan memberi amaran jika buat lagi..."cikgu botakkan kepala awak Fazli...Ingat tau...!". Dia mengangguk sambil matanya terkebil-kebil memandang saya. Faham ke budak ni... Ibubapa pelajar ini juga diingatkan akan kesalahan anak mereka yang melanggar peraturan sekolah. Begitu juga pelajar-pelajar lain juga diberikan penjelasan supaya tidak ada yang cuba-cuba melakukannya...

Di manakah Kita?

Keserakahan manusia semakin rakus,
Peradaban manusia diinjak-injak,
Agama dipermain tanpa rasa takut,
Nilai budaya entah ke mana,
Engkau, engkau, aku,aku...
Kubur masing-masing...
Salah siapa?
Jari menunding tanpa sedar,
Sendiri terkena...
Bumi dipijak semakin murka,
Langit dijunjung semakin gelap,
Bencana datang bertimpa-timpa,
Tanpa isyarat tanpa petanda,
Lenyap insan tak kenal siapa...
Gerun sebentar cuma,
Nikmat duniawi mengatasi segala...
Tidakkah kita insaf sebagai hamba?
Jasad terbujur tanpa sempurna,
Tsunami menerjah tanpa belas,
Merapi meletus melahap tanpa kasihan,
Gempa mengegar tanpa suara melenyap segala,
Tidakkah kita terfikir?
Bila petaka datang menimpa nanti,
Di manakah kita?

Nukilan : Maya Kirana

Anak-anak Polos

"Cikgu Maya....Cikgu Maya....boleh saya jumpa cikgu sekejap?", saya menoleh ke arah suara itu dan kelihatan seorang wanita berlari-lari anak menuju ke arah saya yang sedang menuju ke kereta untuk pulang.  "Oh, awak Farah..ada masalah apa lagi?", saya bertanya spontan. Farah ibu kepada dua orang pelajar saya, dimana saya pernah menceritakan perihal wanita ini dalam "luahan rasa" saya sebelum ini.

"Saya nak mengadu sikitlah cikgu...anak-anak saya kata budak-budak India sekolah ni suka buli mereka. Saya geram bila anak saya selalu sangat mengadu pasal budak-budak India ni...Tak pernah pulak mereka mengadu budak-budak Melayu atau Cina kacau mereka". Dia terus bercakap tanpa memberi ruang untuk saya membalas. Teman-teman saya berpandangan sesama sendiri melihat situasi yang agak tegang tanpa mengetahui apa yang berlaku. Saya begitu sensetif apabila pergaduhan anak-anak dilabel sebagai perkauman di sekolah yang terdiri dari pelbagai kaum ini.

Sebenarnya sebagai pendidik, kami guru-guru tidak sama sekali menjadikan ras atau kaum sebagai punca permasalahan apabila berlaku salah faham antara pelajar atau keluarga mereka. Amat merbahaya jika kita menjadikan isu perkauman sebagai punca. Anak-anak di peringkat rendah terlalu polos untuk mereka ditanggapi sedemikian rupa. Jika sekolah menjadi tempat menyemai benih-benih perpaduan antara kaum, janganlah kita sebagai orangtua dan masyarakat menjadikan isu dan permasalahan anak-anak sebagai isu perkauman.

Seperti yang sedia maklum, Farah ni berketurunan anak mami sementara suaminyanya pendatang Bangladesh yang dimaklumkan sudah habis permit di negara ini. Keluarga yang bermasalah...Terlalu banyak yang saya dengar aduan dari teman-teman mengenai wanita yang satu ini. Adakalanya sayu turut keliru kebenaran kata-kata wanita ini sama ada inginkan perhatian atau meraih simpati. Bergaya boleh tahan...solekan terserlah...tapi sering mengadu hidup susah...minta bantuan sana sini tanpa diketahui status sebenar kehidupannya. MasyaAllah...saya bimbang saya silap menafsir...

"Begini sajalah puan, serahkan perkara ini kepada pihak sekolah untuk menyelesaikannya ya...Esok saya akan memanggil anak puan dan mereka yang terlibat", saya memberi jalan penyelesaian untuk meredakan ketidak puashatiannya. "Saya terpaksa minta diri untuk pulang sebab jam 3.00 petang nanti kami perlu datang semula ke sekolah untuk mesyuarat". "Saya harap puan tidak mengambil tindakan sendiri kerana itu menyalahi undang-undang dan saya janji akan cuba menyelesaikan masalah ini". Alhamdulillah dia akur dan mengangguk...Selesai satu masalah untuk hari ini...Esok  belum tentu...Sebagai pihak yang menguruskan hal ehwal pelajar saya akan terus diduga dengan pelbagai masalah seperti ini. Sebenarnya ada cabaran lebih hebat yang pernah saya lalui sebelum ini..InsyaAllah saya akan kongsikan kemudian.

Mungkin ada pembaca yang tertanya-tanya...tidakkah tulisan saya ini mengaibkan mana-mana pihak? Sebenarnya blog saya ini lebih bersifat umum dan saya sama sekali tidak menyebut nama tempat dan nama sebenar individu terbabit. Saya hanya ingin berkongsi pengalaman yang mungkin kita dapat jadikan pengajaran dan iktibar bersama. Harap pembaca faham tujuan sebenar 'luahan rasa' yang saya paparkan di sini...

Teruskan Menapak...

Persis keseksaan yang tiada penghujung,
Andai jalan ke neraka pilihan kita,
Azab tersedia begitu berat,
Api yang meliputi umpama khemah,
Dahaga dihilangkan dengan tembaga cair,
Membakar seluruh muka,
Amat pedih buat penghuninya...
Ayuhlah anak-anakku,
Bermula dengan langkah nan satu,
Terus menapak mencari ilmu,
Bergerak di bawah satu agama yang suci,
Kekalkan martabat diri,
Tingkatkan harga diri,
Jangan jadikan kita hamba syaitan,
Jadikan diri kita tuan,
Kita yang mampu membuat pilihan,
Ke arah kebaikan...
Tepuk dada tanyalah iman,
Perindahkan akhlak hiasi peribadi,
Sifat mahmudah yang cantik di mata tenang di jiwa,
Haruman kuntuman bunga syurgawi,
Semerbak mewangi,
Andai anakku merendahkan diri bersifat terpuji..
Ingatlah selalu anakku,
Jadilah anak yang baik dan membahagiakan,
Kedua ayahanda dan bonda,
Yang banyak berkorban jiwa dan raga...

Hasil Nukilan : Maya Kirana

Koleksi Sajakku

Dua minggu selepas persekolahan bermula, ruang masa tidaklah sepadat sebelum ini..Hari ini saya ingin memaparkan nukilan-nukilan sajak saya yang sekian lama tersimpan... Apabila berkarya khususnya dalam dunia puisi iaitu sajak...saya sering dibelenggu dengan persekitaran tugas saya sebagai pendidik. Idea dan ilham lebih mudah datang dengan melihat apa yang berlaku di sekeliling kita.

Bagi diri saya, menghasilkan sajak lebih mudah berbanding cerpen. Sajak boleh dikatakan bebas atau tidak terikat dengan peraturan-peraturan manakala cerpen kita masih lagi perlu mematuhi pelbagai etika penulisan. Masa yang diambil juga singkat dan agak spontan...sedangkan untuk menghasilkan cerpen kita memerlukan masa yang lebih panjang dan daya kreativiti yang cukup baik untuk memberi kesan yang maksimum kepada pembaca.

Walau pun sajak yang saya hasilkan mungkin tidak menepati atau sempurna di kaca mata seorang penyajak tulen,namun bagi saya setiap sajak yang dihasilkan adalah luahan hati dan pandangan seseorang individu...

Indahnya Gambaran Itu

Bakian masa hidup yang bersisa,
Seringku ingatkan tentang indahnya gambaran syurga,
Sesejuk rasa,
Mengalir sungai-sungai di bawahnya,
Ahli syurga bagaikan pengantin,
Berhias gelang-gelang emas serba indah,
Berpermata tanpa cela,
Bersulam sutera hijau terpilih...
Setiap masa riang tanpa berkurang,
Kedukaan tidak sesekali menjengah,
Kehendak dan niat sentiasa dikabuli...
Moga Illahi kuatkan iman kita,
Memperbaiki amal untuk ke Jannah...

Nukilan Rasa : Maya Kirana

Kembali KepadaNya...

Umpama bunga semarak api,
Menyilau merah warnanya,
Nafsu belum puas,
Mengapai cita duniawi,
Tak mungkin suratan hitam masa silam,
Boleh dihias warna pelangi,
Masakan juga gagak hitam,
Menjadi merak kayangan,...
Hanya doa dan airmata keinsafan,
Bisa membayar hutang seorang hamba,
Kepada pencipta Ar-Rahman Ar-Rahim...
Gembira,sedih dan gundah gulana,
Harus kembali kepadaNya...
Dia yang Maha Mengetahui,
Serata pelosok jiwa raga hambanya...
Lemahnya kita sebagai hamba,
Tidak terjangkau oleh akal semata...

Nukilan : Maya Kirana

Amanah Ini..

Hidup sentiasa mengejar masa,
Masa semakin pantas berlari,
Semakin deras waktu berputaran,
Kian sakaratul maut makin menghampiri,
Betapa hidup kita ini,
Jodohnya serasi dengan mati,
Bagai lagu dan irama yang tidak dapat dipisah,
Kekadang keasyikan menatang buana,
Kian mengalpakan kita...
Rupanya hidup indah ini bagaikan kilat,
Menjengah usia semakin tua,
Semakin gusar memikir amanah ini,
Adakah sudah terlaksana?

Nukilan : Maya Kirana 

Prolog Untuk Seorang Anak

Darsawarsa berlalu...
Daku bergelut dalam dunia keguruan,
Menguja lahiriah batiniahku...
Mendepani cabaran anak-anak milenium,
Bisa mengoyah kesabaranku yang senipis bawang,
Juga iman yang sedangkal cuma..
Sering ku ingatkan padamu anak,
Tentang kehidupan sementara di alam fana,
Tentang kehidupan kekal abadi di akhirat sana,
Pagarnya cuma alam barzakh yang seketika...
Terkadang  suaraku bagai tenggelam,
Hilang dalam onar anakku yang keterlaluan,
Ingatan bagai mencurah air di daun keladi...
Namun masih ada kerlipan permata,
Dalam banyaknya timbunan kaca,
Masih ada jiwa-jiwa bersih rupanya,
Menadah nyiru setiap mutiara kata yang ditaburkan...
Membakar semangatku sebagai guru, ibu dan pendakwah...
Bebanan ini akan ku jinjing...
Dengan adanya keikhlasan semurni embun pagi...

Hasil Nukilan : Maya Kirana

Maya Kirana Berwajah Baru...

Seronok sungguh hati saya hari ni...buka sahaja blog...terpapar wajah baru Maya Kirana. Kalau harapkan saya membuatnya...seadanyalah. Berkat pertolongan adik saya yang sememangnya agak arif dalam soal ini, maka dapatlah Maya Kirana berwajah baru yang lebih segar dan ceria...bertepatan dengan tema blog ini...Terima kasih banyak-banyak untuk adik saya di sana...

Wajah dah baru...pengisian bagaimana pula? InsyaAllah akan sentiasa dikemaskini... Adik sayaa kata dia suka membaca kisah luahan rasa dan di celah-celah kehidupan dalam blog Maya Kirana..Aha...dia dah menjadi salah seorang pembaca setia blog saya ... "Budaya-budaya tu membosankan la kak..."katanya...

Tanpa budaya di mana kita akan mencari jati diri kita sebagai bangsa Melayu? Tanpa budaya dapatkah kita dikenali sebagai bangsa yang berbudi luhur...sopan santun...Disebabkan itu jugalah ada pepatah Melayu mengatakan "Biar mati anak jangan mati adat". Mengapa sampai sedemikian rupa...Jika kita lihat hari ini, tiadanya lagi nilai dan norma-norma kehidupan sebangi orang Melayu yang beradatlah yang menyebabkan anak-anak remaja kita hidup tersasar jauh...mengamalkan budaya barat yang begitu menyimpang  dari budaya kita yang penuh dengan nilai-nilai ketimuran...

Selain agama Islam yang menjadi tonggak utama...adat dan budayalah yang menjadikan  bangsa Melayu itu dikenali...

Impian Menjadi Kenyataan

Hujung minggu ini merupakan dua hari yang sibuk buat saya. Skrin komputer ini akan menjadi saksi.. "Sambil menyelam minum air" begitulah diibaratkan. Menyiapkan tugasan dan juga mengemaskini blog saya.

Hari Isnin ini merupakan hari yang agak bersejarah buat diri saya dan juga sekolah amnya. Apa yang bakal terjadi...? Sebenarnya impian ini sudah lama ingin saya realisasikan di sekolah ini. Jika di sekolah menengah mempunyai majalah sekolah sendiri sudah menjadi trend semasa namun di peringkat sekolah rendah perkara ini belum menjadi kebiasaan. Selain kos yang agak tinggi...pengisian kandungan majalah yang bersesuaian juga merupakan satu kekangan.

"Buletin Sekolah" yang telah saya rancang sejak tahun lepas akhirnya akan menjadi kenyataan. Guru Besar memberikan persetujuan dan sokongan penuh untuk saya mengerakkan jawatankuasa ini. Mempunyai 3-4 orang ahli jawatankuasa sudah memadai untuk menghasilkan buletin atau akhbar sekolah ini. Saya hanya memilih teman-teman yang berminat sahaja untuk projek ini...

Hasil perbincangan kami dengan persetujuan Guru Besar, maka lahirlah buletin yang diberi nama"SEMARAK". Saya agak teruja dengan isi kandungan yang dipaparkan untuk keluaran sulung kami. Walaupun hanya mempunyai dua helaian dan empat muka surat, kami menggunakan ruangan semaksimum mungkin. Jawatankuasa juga bersetuju menetapkan harga buletin hanya 50 sen sahaja senaskhah. Wang tersebut digunakan untuk menampung kos mencetak dan juga hadiah bagi pertandingan yang dianjurkan. Sangat kecil jika dibandingkan dengan maklumat yang akan diperolehi.

Selain berita semasa sekolah, artikel-artikel menarik juga disediakan. Kami juga menyediakan ruangan khas untuk warga sekolah berkarya dan istimewanya hadiah turut disediakan...Ini untuk menarik lebih ramai penglibatan  warga sekolah...

Sambutan dan maklumbalas keluaran sulung ini akan menjadi titik tolak untuk kami merangka yang lebih baik pada keluaran kedua nanti...Semoga semuanya berjalan lancar...

Fahamilah Mereka...

Kesibukan tugas di tahun baru 2011 sedikit sebanyak mengekang diri saya untuk aktif  di blog ini. Walau bagaimana pun jika berkesempatan saya akan terus menitipkan apa jua bahan yang boleh dikongsi bersama.

Alhamdulillah dan terima kasih kepada yang sudi melawat dan memberikan komen-komen yang membina untuk saya terus berkarya di sini. Suntikan semangat yang diberikan menjadikan diri saya lebih yakin untuk mengasah bakat yang  terpendam selama ini.

Pada tahun ini saya telah dipertanggungjawab untuk mengajar murid tahun 4. Murid yang saya ikuti sejak mereka berada di tahun 2 lagi. Hal ini membolehkan saya memahami setiap kriteria yang ada pada diri murid tersebut. Sejak hari pertama persekolahan, hujan turun setiap hari di negeri ini.. Hampir 99.9% pelajar menaiki kenderaan bermotor ke sekolah sama ada menaiki kereta, bas atau motosikal.

Ketika saya sedang memberikan penerangan untuk pertama kali di dalam kelas, suasana agak sunyi sepi. Kemungkinan pelajar-pelajar ini masih lagi mengalami kejutan kerana terlalu lama bercuti. Saya terus menyampaikan bermacam-macam perkara yang perlu mereka patuhi untuk subjek yang akan saya ajar.

Tiba-tiba seorang murid yang duduk di barisan belakang datang ke depan menuju ke arah saya. "Cikgu, boleh saya berdiri di luar kelas?", ehh...apa kena dengan murid ini?..saya tidak mempunyai sebab untuk mendenda dia berdiri di luar...Murid-murid lain  turut terpinga-pinga...

"Kenapa?", spontan saya bertanya..."Baju saya basah cikgu...Kalau saya berdiri di luar nanti cepat kering". Cheng Soon menjelaskan sambil memeluk tubuh. Kesejukan mungkin...Saya menyentuh pakaiannya memang basah kuyup. Saya agak terkesima dengan situasi yang berlaku. Saya sudah berada di kelas tersebut selama setengah jam..dan saya tidak dapat mengesan masalah yang dihadapinya. Saya berasa bersalah...Kemungkinan pakaian baru yang dipakainya tidak menunjukkan perbezaan sama ada baju tersebut kering atau basah.

"Biasanya murid yang berdiri di luar kelas tu sebab didenda...lagipun kamu penat nanti berdiri lama-lama", saya menjawab. "Beginilah, apa kata awak tukar tempat duduk dengan Amin. Duduk di bawah kipas baju boleh cepat kering". Saya mencadangkan segera kerana belum mampu berfikir jalan penyelesaian yang lebih baik ketika itu. Cheng Soon akur dan buat apa yang saya suruh...

Sampai di bilik guru saya segera bertanyakan teman-teman jika ada pakaian murid atau pakaian sukan yang boleh saya dapat masa itu juga. Saya menjelaskan secara ringkas sebab musababnya apabila ada yang bertanya...Masalah selesai...Cheng Soon dapat belajar dengan selesa pada hari tersebut. Sedikit kesal kerana saya tidak memantau keadaan murid sebelum memulakan pengajaran. Begitu juga guru kelas yang masuk lebih awal daripada saya, gagal mengesannya. Ini satu peringatan buat saya agar lebih peka dengan keadaan pelajar kerana ada sesetengah pelajar takut atau malu untuk memaklumkan masalah mereka kepada guru...

Esoknya Cheng Soon tidak hadir ke sekolah. Dalam hati tertanya-tanya, mungkinkah murid itu demam akibat kejadian semalam...Hati sedikit bimbang...Saya menyelidiki masalah murid ini dan saya mendapat maklumat dia dihantar ke sekolah dengan membonceng  basikal bersama ibunya...Murid ini baru memasuki sekolah ini pada hujung tahun lepas. Ibubapanya sedang mengalami krisis dan tidak tinggal bersama...kehidupan agak daif dan dia merupakan salah seorang  murid yang menerima bantuan kewangan yang disediakan oleh kementerian.

Menunggang basikal dalam keadaan hujan lebat sememangnya itulah risiko yang pasti berlaku...basah kuyup...Saya berasa sedikit lega apabila dia hadir seperti biasa pada hari ketiga persekolahan. nampak ceria dan sihat...bukan seperti yang saya fikirkan...Saya memberikan sedikit kelonggaran dengan mencadangkan dia memakai pakaian biasa dahulu dari rumah dan membungkus pakaian sekolah dalam beg plastik jika hujan. Tiba di sekolah barulah ditukar. Cheng Soon cuma mengangguk...dan tersenyum...senyuman kelat. Kasihan anak sekecil ini terpaksa menempuh kehidupan sesukar ini dalam usia yang masih mentah...

Jika suasana ini berlaku di sekolah pedalaman ia adalah perkara biasa kerana majoriti murid menghadapainya..namun jika ia berlaku di bandar besar ianya amat memberi kesan kepada pelajar yang terlibat dari segi fizikal dan emosi. Lumrah kanak-kanak suka membanding sesama mereka...maka di sinilah berlakunya perassaan rendah diri...kemurungan...pasif...dan adakalanya berlaku pemberontakan jiwa kerana tertekan dengan kehidupan sukar yang tidak tertanggung dan difahami oleh mereka dalam usia sebegini..

Apa yang berlaku diharap memberi pengajaran kepada saya dan  teman-teman seperjuangan untuk lebih peka dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh murid-murid kita. Peruntukkan sedikit waktu untuk memahami mereka kerana mereka juga seperti anak-anak kita....Kitakan 1 Malaysia...

Benjol di dahi..

Di zaman yang serba moden ini , ada kalanya kita terlupa bahawa banyak petua-petua orang lama atau orang tua-tua kita yang boleh digunakan dalam kehidupan klita seharian. Kadang-kala di waktu berlakunya insiden-insiden yang tidak dijangka oleh kita, kita memerlukan satu tindakan serta-merta untuk membendung agar sesuatu yang kita tidak jangka itu tidak mendatangkan kemudaratan kepada kita.

Pagi tadi seorang pelajar di sekolah saya telah terhantuk dahinya pada tiang besi di  kali lima. Walaupun tidak berlaku pendarahan tetapi dahinya membenjol besar. Sementara seorang rakan setugas berlari ke kantin sekolah untuk mendapatkan ais kiub untuk tujuan menuam, seorang teman dengan serta merta menghembuskan nafas berulang kali di tudung yang dipakainya. Teman tadi terus menekapkan haba yang terdapat di tudungnya ke dahi pelajar tersebut berulang kali. Menakjubkan dalam jangka masa yang singkat benjol di dahi pelajar tersebut susut dan mengempis tanpa kesan.

Apabila rakan saya yang mengambil ais sampai,dia pun turut terkejut kerana kesan pengunaan haba dari mulut kita sebenarnya lebih cepat bertindak berbanding cara tuaman menggunakan ais. Walaupun saya tidak dapat menerangkan proses ini secara saintifik, namun petua yang diwarisi ini boleh dijadikan amalan jika berlaku kecemasan sebegini.

Mungkin ramai yang sudah biasa dengan amalan ini, dan bagi yang belum tahu...anda bolehlah mencubanya jika mengalami musibah seperti yang saya ceritakan di awal tadi...

Keegoan Tanpa Rasa...

"Mama...ada sms untuk mama..", terdengar jeritan kecil anak dara saya mengejutkan saya dari dibuai  keasyikan menonton filem hidustan yang penuh warna warni itu. "Effa bacakan untuk mama jelah...mama dengar ni", saya menyahut tanpa mahu menghilangkan tumpuan dari skrin TV. "Maya...ada berita baik..kak long awak kena tukar sekolah ke...mesti awak menangis tanpa henti dengar berita ini.."...lancar anak dara saya membacanya. Tanpa bertanya pengirimnya saya amat pasti tentunya dari Kak Ani salah seorang kaki tangan pejabat di sekolah saya.
Saya tersenyum sendiri...ayat itu seakan menyindir saya ...

"Kak Long" gelaran yang diberikan kepada salah seorang rakan sejawat saya...dia memang popular di sekolah kami..terkenal dengan sikap garangnya pada pelajar...tegas dalam segala tindak tanduknya..."work smart" menjadi pegangannya tapi sayangnya menindas orang lain dengan cara paling halus dan sopan. Mungkin ini berita gembira yang selama ini dinanti oleh mereka yang merasa tertindas...Secara peribadi ,ada atau tiadanya kak long tidaklah memberi impak besar pada diri saya. Mungkin parut luka ketika baru memulakan tugas di sekolah ini membuat saya memberi penilaian yang agak negatif mengenai diri kak long. Kisah lama..saya pun tidak ingin mengingatinya, malahan saya jadikan itu sebagai panduan untuk saya tidak melakukannya pada orang lain.

"Kak Ani ni tak baik tau perli Maya macam tu...", saya terus mengucapkannya ketika terserempak dengan Kak Ani di pejabat. "Maya memang betul-betul sedih tau Kak Long pindah...", jawapan saya hanya membuat Kak Ani tergelak kecil. "Tak ada siapa yang bertanya dan peduli Kak Long awak tu...kasihan dia kan", Kak Ani bersuara sinis. Mungkinkah Kak Ani ada sejarah sendiri dengan Kak Long sehingga nadanya kedengaran begitu menjelekkan Kak Long.

Sebagai orang yang diberi sedikit 'kuasa' atau saya lebih suka menyebutnya sebagai tanggungjawab seharusnya kita mempunyai hubungan yang sihat dan baik dengan mereka yang berada di sekeliling kita. Apalah gunanya kedudukan jika saban hari hanya menjadi modal untuk orang lain menambah dosa...apabila kita sering mengandaikan diri kita adalah yang terbaik...maka di situlah jelas tergambar keegoan...perasaan syok sendiri...mementingkan diri...tidak menghargai....dan tanggapan bahawa segala yang buruk itu adalah berpunca daripada orang lain. Manusia sebegini tidak akan memikirkan kesan dari tindakannya...sedangkan banyak hati-hati yang terluka...

Semoga kita semua  akan terus berada di landasan yang betul dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan...

Biarkan Duka Itu Berlalu Pergi...

"Bagaimana demam?..dah sihat?..", saya bertanya khabar sebaik saja adik membuka pintu rumahnya. "Alhamdulillah kak...". Tanpa di suruh saya berserta suami terus masuk dan duduk di ruang tamu rumahnya. Meskipun dia duduk sendirian, namun rumahnya kelihatan teratur dan kemas. Dalam hati terdetik juga....boleh tahan juga adik bujang aku ni bab-bab mengemas rumah. Mungkin kehidupannya yang pernah berkeluarga sebelum ini menjadikan dia lebih prihatin...

"Dah berjumpa doktor?..", Saya menyambung perbicaraan yang terhenti seketika. "Sudah",jawabnya ringkas. Sikap pendiamnya masih tidak berubah...sepatah ditanya...sepatah itu jugalah dijawab. "Maaflah..Kak Maya sibuk sikit minggu ini di sekolah...tak dapat datang bila bagitau demam teruk...", saya memberikan penjelasan walaupun mungkin dia tidak memerlukan penjelasan tersebut."Kebetulan ada cuti umum menang bola ni, dapatlah abang kamu temankan kak ke sini...".Saya menyambung seraya meninjau-ninjau di luar tingkap rumahnya. Cantik sungguh pemandangan di luar sana...jelas kelihatan ketenangan air laut yang berombak-ombak kecil...Patutlah adik atau saya panggil dia sebagai Am betah tinggal di sini...meskipun jauh dari sanak saudara.

"Masih cuti ke?. Berapa hari doktor beri MC?", saya terus bertanya memandangkan tiada sebarang pertanyaan yang keluar dari mulutnya... Berat sungguh mulutnya untuk memulakan perbualan...Suami pula begitu asyik melihat ke arah skrin TV yang sedang menayangkan cerita artis Bollywood..Begitulah kebiasaannya, dia akan membiarkan saya bersembang dengan ahli keluarga saya tanpa sebarang gangguan darinya...

"Kak dengan abang nak minum air apa?",dia membiarkan soalan saya tadi tanpa jawapan sambil bangun menuju ke dapur." Wah, ada macam-macam jenis air ke?..Kalau macam tu bagi kak oren jus, abang pula air tembikai..", saya sengaja membuat lelucuan sambil mengekorinya ke ruang dapur. Dia cuma tersenyum... Adik yang seorang ini sesekali tersenyum memang terserlah kesegakannya. Tapi sayang....kehidupan peribadinya penuh dengan kisah duka yang berpanjangan.

Selepas saya menghidangkan minuman pada suami, saya menyambung perbualan di ruang dapur. Mungkin adik akan lebih selesa jika hanya saya dan dia saja yang berada di situ. "Jadi ke minggu lepas Am ke KL?", saya terus menjurus kepada persoalan yang sememangnya saya ingin tahu... "Jadi...", perlahan dia menjawab. " "Betul ke apa yang diberitahu oleh Mak Intan pada Kak Long tempoh hari?", saya terus menyoal dengan nada selembut mungkin. Maklumlah perkara-perkara sebegini mungkin boleh merosakkan mood dia untuk bercerita dengan saya...

Dia cuma mengangguk tanpa sebarang suara yang terkeluar...jelas terpancar di wajahnya rasa kekecewaan yang amat dalam. Saya  turut terpaku sejenak..."Oh,...", desah suara hati kecil saya. "Jadi Am dah tanya terus terang dengan dia tentang hal itu...? Apa dia kata?", saya seakan tidak sabar...Patutlah adik saya tu sering mengelar saya ni kakak yang banyak mulut...bagai murai tercabut ekor lagaknya...berbanding dengan kakak-kakak saya yang lain. Mungkin kerjaya saya menjadikan saya begini...mudah mesra dan banyak cakap...kalau guru kurang bercakap alamatlah...

Perbualan saya agak panjang juga pada petang itu. Sesi luahan perasaan dari seorang adik kepada kakaknya...Apapun saya bersyukur kerana Am boleh menerima kenyataan bahawa dia akan kehilangan insan yang masih lagi bertahta dalam hatinya dalam waktu terdekat...harapan tipisnya selama ini telah musnah sama sekali apabila dia sememangnya bukan ditakdirkan untuk berjodoh semula dengan insan yang telah melahirkan satu-satunya zuriat buatnya. "Mungkin dia dah bertemu dengan orang yang lebih baik kak", sayu bunyi suara itu kedengaran di telinga saya. Seperti lazimnya...saya akan mengalirkan air mata lebih daripada orang yang mengalami kesedihan itu...Tapi dia adik saya...pastinya saya akan turut merasai kepedihan yang dirasai...darah daging sendiri...cubit peha kanan, terasa sakit juga di peha kiri.

"Am banyak-banyak bersabar ya...kita hanya mampu merancang, Allah telah mengatur segala-segalanya untuk kita", saya berusaha menenangkan diri sendiri seraya memujuk dirinya. "Kak percaya, Am pun boleh dapat yang lebih baik daripada dia", saya menyambung tanpa mengira ayat yang saya lafazkan itu bersesuaian dengan situasi ketika itu atau tidak... Dia hanya memandang ke arah saya dengan pandangan kosong...Saya bangun lalu menepuk-nepuk bahunya persis melayan anak kecil yang mendambakan kasih sayang.

"Kak Maya ada nak ke mana-mana ke lepas ni?", spontan dia bertanya dengan nada agak kuat. Saya agak terkejut seketika...memang di usia yang semakin bertambah ni saya mudah terkejut. Tapi taklah sampai melatah..."Tak ke manalah Am...kejap lagi pun terpaksa balik. Lagipun abang kamu ada hal malam ni...". "Kenapa...?", soal saya. "Am ingat nak bawa abang dengan kak makan di luar...kesian datang rumah Am minum air kosong je..", jelasnya sambil kami beriringan ke ruang tamu semula.

"Tak mengapalah Am...datang tadi pun kami dah singgah makan di kedai sana..Lain kali bolehlah kalau Am nak belanja kami...", saya menolak pelawaannya dengan lembut. " Am tu jangan sampai abaikan kesihatan tau..makan tu kenalah jaga", tutur saya perlahan. "Kalau ada  yang boleh kak bantu jangan segan-segan beritahu kak...", saya mengingatkannya...Adakalanya saya diselubungi perasaan risau bila memikirkan adik yang seorang ini...terlalu memendam perasaannya sendiri-sendiri..Bimbang dengan sakit peningnya ditambah dengan penyakit yang memang telah sedia ada di badannya...Saya menaruh kepercayaan padanya...dia boleh menghadapi semua ini dengan hati yang kuat dan tabah...InsyaAllah...

Saya berada di rumahnya lebihkurang 3 jam...Masa yang berlalu terasa begitu pantas bila pertemuan dipenuhi dengan episod-episod yang penuh dramatik...yang pastinya diakhiri dengan basah air mata ini...Perjalanan balik saya dihujani oleh pertanyaan-pertanyaan daripada suami yang turut ingin mengetahui apa yang dibicarakan oleh dua beradik ini...Saya menjawab sekadarnya...sedangkan fikiran tidak pernah berhenti dari mengingatinya...wajah...riak..senyum...dan segalanya mengenai adik yang satu itu...

Semoga dia dianugerahkan kecekalan dan ketabahan dalam menjalani hidup ini...Seandainya dia ada terbaca "luahan rasa" Maya Kirana ini, satu saja ingin Maya katakan "Jangan tunggu lama-lama...nanti dikebas orang".
Jangan marah....