About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Biarkan Duka Itu Berlalu Pergi...

"Bagaimana demam?..dah sihat?..", saya bertanya khabar sebaik saja adik membuka pintu rumahnya. "Alhamdulillah kak...". Tanpa di suruh saya berserta suami terus masuk dan duduk di ruang tamu rumahnya. Meskipun dia duduk sendirian, namun rumahnya kelihatan teratur dan kemas. Dalam hati terdetik juga....boleh tahan juga adik bujang aku ni bab-bab mengemas rumah. Mungkin kehidupannya yang pernah berkeluarga sebelum ini menjadikan dia lebih prihatin...

"Dah berjumpa doktor?..", Saya menyambung perbicaraan yang terhenti seketika. "Sudah",jawabnya ringkas. Sikap pendiamnya masih tidak berubah...sepatah ditanya...sepatah itu jugalah dijawab. "Maaflah..Kak Maya sibuk sikit minggu ini di sekolah...tak dapat datang bila bagitau demam teruk...", saya memberikan penjelasan walaupun mungkin dia tidak memerlukan penjelasan tersebut."Kebetulan ada cuti umum menang bola ni, dapatlah abang kamu temankan kak ke sini...".Saya menyambung seraya meninjau-ninjau di luar tingkap rumahnya. Cantik sungguh pemandangan di luar sana...jelas kelihatan ketenangan air laut yang berombak-ombak kecil...Patutlah adik atau saya panggil dia sebagai Am betah tinggal di sini...meskipun jauh dari sanak saudara.

"Masih cuti ke?. Berapa hari doktor beri MC?", saya terus bertanya memandangkan tiada sebarang pertanyaan yang keluar dari mulutnya... Berat sungguh mulutnya untuk memulakan perbualan...Suami pula begitu asyik melihat ke arah skrin TV yang sedang menayangkan cerita artis Bollywood..Begitulah kebiasaannya, dia akan membiarkan saya bersembang dengan ahli keluarga saya tanpa sebarang gangguan darinya...

"Kak dengan abang nak minum air apa?",dia membiarkan soalan saya tadi tanpa jawapan sambil bangun menuju ke dapur." Wah, ada macam-macam jenis air ke?..Kalau macam tu bagi kak oren jus, abang pula air tembikai..", saya sengaja membuat lelucuan sambil mengekorinya ke ruang dapur. Dia cuma tersenyum... Adik yang seorang ini sesekali tersenyum memang terserlah kesegakannya. Tapi sayang....kehidupan peribadinya penuh dengan kisah duka yang berpanjangan.

Selepas saya menghidangkan minuman pada suami, saya menyambung perbualan di ruang dapur. Mungkin adik akan lebih selesa jika hanya saya dan dia saja yang berada di situ. "Jadi ke minggu lepas Am ke KL?", saya terus menjurus kepada persoalan yang sememangnya saya ingin tahu... "Jadi...", perlahan dia menjawab. " "Betul ke apa yang diberitahu oleh Mak Intan pada Kak Long tempoh hari?", saya terus menyoal dengan nada selembut mungkin. Maklumlah perkara-perkara sebegini mungkin boleh merosakkan mood dia untuk bercerita dengan saya...

Dia cuma mengangguk tanpa sebarang suara yang terkeluar...jelas terpancar di wajahnya rasa kekecewaan yang amat dalam. Saya  turut terpaku sejenak..."Oh,...", desah suara hati kecil saya. "Jadi Am dah tanya terus terang dengan dia tentang hal itu...? Apa dia kata?", saya seakan tidak sabar...Patutlah adik saya tu sering mengelar saya ni kakak yang banyak mulut...bagai murai tercabut ekor lagaknya...berbanding dengan kakak-kakak saya yang lain. Mungkin kerjaya saya menjadikan saya begini...mudah mesra dan banyak cakap...kalau guru kurang bercakap alamatlah...

Perbualan saya agak panjang juga pada petang itu. Sesi luahan perasaan dari seorang adik kepada kakaknya...Apapun saya bersyukur kerana Am boleh menerima kenyataan bahawa dia akan kehilangan insan yang masih lagi bertahta dalam hatinya dalam waktu terdekat...harapan tipisnya selama ini telah musnah sama sekali apabila dia sememangnya bukan ditakdirkan untuk berjodoh semula dengan insan yang telah melahirkan satu-satunya zuriat buatnya. "Mungkin dia dah bertemu dengan orang yang lebih baik kak", sayu bunyi suara itu kedengaran di telinga saya. Seperti lazimnya...saya akan mengalirkan air mata lebih daripada orang yang mengalami kesedihan itu...Tapi dia adik saya...pastinya saya akan turut merasai kepedihan yang dirasai...darah daging sendiri...cubit peha kanan, terasa sakit juga di peha kiri.

"Am banyak-banyak bersabar ya...kita hanya mampu merancang, Allah telah mengatur segala-segalanya untuk kita", saya berusaha menenangkan diri sendiri seraya memujuk dirinya. "Kak percaya, Am pun boleh dapat yang lebih baik daripada dia", saya menyambung tanpa mengira ayat yang saya lafazkan itu bersesuaian dengan situasi ketika itu atau tidak... Dia hanya memandang ke arah saya dengan pandangan kosong...Saya bangun lalu menepuk-nepuk bahunya persis melayan anak kecil yang mendambakan kasih sayang.

"Kak Maya ada nak ke mana-mana ke lepas ni?", spontan dia bertanya dengan nada agak kuat. Saya agak terkejut seketika...memang di usia yang semakin bertambah ni saya mudah terkejut. Tapi taklah sampai melatah..."Tak ke manalah Am...kejap lagi pun terpaksa balik. Lagipun abang kamu ada hal malam ni...". "Kenapa...?", soal saya. "Am ingat nak bawa abang dengan kak makan di luar...kesian datang rumah Am minum air kosong je..", jelasnya sambil kami beriringan ke ruang tamu semula.

"Tak mengapalah Am...datang tadi pun kami dah singgah makan di kedai sana..Lain kali bolehlah kalau Am nak belanja kami...", saya menolak pelawaannya dengan lembut. " Am tu jangan sampai abaikan kesihatan tau..makan tu kenalah jaga", tutur saya perlahan. "Kalau ada  yang boleh kak bantu jangan segan-segan beritahu kak...", saya mengingatkannya...Adakalanya saya diselubungi perasaan risau bila memikirkan adik yang seorang ini...terlalu memendam perasaannya sendiri-sendiri..Bimbang dengan sakit peningnya ditambah dengan penyakit yang memang telah sedia ada di badannya...Saya menaruh kepercayaan padanya...dia boleh menghadapi semua ini dengan hati yang kuat dan tabah...InsyaAllah...

Saya berada di rumahnya lebihkurang 3 jam...Masa yang berlalu terasa begitu pantas bila pertemuan dipenuhi dengan episod-episod yang penuh dramatik...yang pastinya diakhiri dengan basah air mata ini...Perjalanan balik saya dihujani oleh pertanyaan-pertanyaan daripada suami yang turut ingin mengetahui apa yang dibicarakan oleh dua beradik ini...Saya menjawab sekadarnya...sedangkan fikiran tidak pernah berhenti dari mengingatinya...wajah...riak..senyum...dan segalanya mengenai adik yang satu itu...

Semoga dia dianugerahkan kecekalan dan ketabahan dalam menjalani hidup ini...Seandainya dia ada terbaca "luahan rasa" Maya Kirana ini, satu saja ingin Maya katakan "Jangan tunggu lama-lama...nanti dikebas orang".
Jangan marah....

0 comments: