"Cikgu Maya....Cikgu Maya....boleh saya jumpa cikgu sekejap?", saya menoleh ke arah suara itu dan kelihatan seorang wanita berlari-lari anak menuju ke arah saya yang sedang menuju ke kereta untuk pulang. "Oh, awak Farah..ada masalah apa lagi?", saya bertanya spontan. Farah ibu kepada dua orang pelajar saya, dimana saya pernah menceritakan perihal wanita ini dalam "luahan rasa" saya sebelum ini.
"Saya nak mengadu sikitlah cikgu...anak-anak saya kata budak-budak India sekolah ni suka buli mereka. Saya geram bila anak saya selalu sangat mengadu pasal budak-budak India ni...Tak pernah pulak mereka mengadu budak-budak Melayu atau Cina kacau mereka". Dia terus bercakap tanpa memberi ruang untuk saya membalas. Teman-teman saya berpandangan sesama sendiri melihat situasi yang agak tegang tanpa mengetahui apa yang berlaku. Saya begitu sensetif apabila pergaduhan anak-anak dilabel sebagai perkauman di sekolah yang terdiri dari pelbagai kaum ini.
Sebenarnya sebagai pendidik, kami guru-guru tidak sama sekali menjadikan ras atau kaum sebagai punca permasalahan apabila berlaku salah faham antara pelajar atau keluarga mereka. Amat merbahaya jika kita menjadikan isu perkauman sebagai punca. Anak-anak di peringkat rendah terlalu polos untuk mereka ditanggapi sedemikian rupa. Jika sekolah menjadi tempat menyemai benih-benih perpaduan antara kaum, janganlah kita sebagai orangtua dan masyarakat menjadikan isu dan permasalahan anak-anak sebagai isu perkauman.
Seperti yang sedia maklum, Farah ni berketurunan anak mami sementara suaminyanya pendatang Bangladesh yang dimaklumkan sudah habis permit di negara ini. Keluarga yang bermasalah...Terlalu banyak yang saya dengar aduan dari teman-teman mengenai wanita yang satu ini. Adakalanya sayu turut keliru kebenaran kata-kata wanita ini sama ada inginkan perhatian atau meraih simpati. Bergaya boleh tahan...solekan terserlah...tapi sering mengadu hidup susah...minta bantuan sana sini tanpa diketahui status sebenar kehidupannya. MasyaAllah...saya bimbang saya silap menafsir...
"Begini sajalah puan, serahkan perkara ini kepada pihak sekolah untuk menyelesaikannya ya...Esok saya akan memanggil anak puan dan mereka yang terlibat", saya memberi jalan penyelesaian untuk meredakan ketidak puashatiannya. "Saya terpaksa minta diri untuk pulang sebab jam 3.00 petang nanti kami perlu datang semula ke sekolah untuk mesyuarat". "Saya harap puan tidak mengambil tindakan sendiri kerana itu menyalahi undang-undang dan saya janji akan cuba menyelesaikan masalah ini". Alhamdulillah dia akur dan mengangguk...Selesai satu masalah untuk hari ini...Esok belum tentu...Sebagai pihak yang menguruskan hal ehwal pelajar saya akan terus diduga dengan pelbagai masalah seperti ini. Sebenarnya ada cabaran lebih hebat yang pernah saya lalui sebelum ini..InsyaAllah saya akan kongsikan kemudian.
Mungkin ada pembaca yang tertanya-tanya...tidakkah tulisan saya ini mengaibkan mana-mana pihak? Sebenarnya blog saya ini lebih bersifat umum dan saya sama sekali tidak menyebut nama tempat dan nama sebenar individu terbabit. Saya hanya ingin berkongsi pengalaman yang mungkin kita dapat jadikan pengajaran dan iktibar bersama. Harap pembaca faham tujuan sebenar 'luahan rasa' yang saya paparkan di sini...
Anak-anak Polos
Posted by Maya at Wednesday, January 19, 2011
Labels: DI CELAH-CELAH KEHIDUPAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment