About Me

My photo
Melestarikan sebuah impian...blog ini merupakan satu wadah bagi diri saya untuk menggarap pelbagai genre penulisan dan juga menempatkan pelbagai koleksi warisan budaya melayu yang semakin pupus ditelan zaman..semoga kita dapat sama-sama berkongsi dan mendapat manfaatnya..

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Fahamilah Mereka...

Kesibukan tugas di tahun baru 2011 sedikit sebanyak mengekang diri saya untuk aktif  di blog ini. Walau bagaimana pun jika berkesempatan saya akan terus menitipkan apa jua bahan yang boleh dikongsi bersama.

Alhamdulillah dan terima kasih kepada yang sudi melawat dan memberikan komen-komen yang membina untuk saya terus berkarya di sini. Suntikan semangat yang diberikan menjadikan diri saya lebih yakin untuk mengasah bakat yang  terpendam selama ini.

Pada tahun ini saya telah dipertanggungjawab untuk mengajar murid tahun 4. Murid yang saya ikuti sejak mereka berada di tahun 2 lagi. Hal ini membolehkan saya memahami setiap kriteria yang ada pada diri murid tersebut. Sejak hari pertama persekolahan, hujan turun setiap hari di negeri ini.. Hampir 99.9% pelajar menaiki kenderaan bermotor ke sekolah sama ada menaiki kereta, bas atau motosikal.

Ketika saya sedang memberikan penerangan untuk pertama kali di dalam kelas, suasana agak sunyi sepi. Kemungkinan pelajar-pelajar ini masih lagi mengalami kejutan kerana terlalu lama bercuti. Saya terus menyampaikan bermacam-macam perkara yang perlu mereka patuhi untuk subjek yang akan saya ajar.

Tiba-tiba seorang murid yang duduk di barisan belakang datang ke depan menuju ke arah saya. "Cikgu, boleh saya berdiri di luar kelas?", ehh...apa kena dengan murid ini?..saya tidak mempunyai sebab untuk mendenda dia berdiri di luar...Murid-murid lain  turut terpinga-pinga...

"Kenapa?", spontan saya bertanya..."Baju saya basah cikgu...Kalau saya berdiri di luar nanti cepat kering". Cheng Soon menjelaskan sambil memeluk tubuh. Kesejukan mungkin...Saya menyentuh pakaiannya memang basah kuyup. Saya agak terkesima dengan situasi yang berlaku. Saya sudah berada di kelas tersebut selama setengah jam..dan saya tidak dapat mengesan masalah yang dihadapinya. Saya berasa bersalah...Kemungkinan pakaian baru yang dipakainya tidak menunjukkan perbezaan sama ada baju tersebut kering atau basah.

"Biasanya murid yang berdiri di luar kelas tu sebab didenda...lagipun kamu penat nanti berdiri lama-lama", saya menjawab. "Beginilah, apa kata awak tukar tempat duduk dengan Amin. Duduk di bawah kipas baju boleh cepat kering". Saya mencadangkan segera kerana belum mampu berfikir jalan penyelesaian yang lebih baik ketika itu. Cheng Soon akur dan buat apa yang saya suruh...

Sampai di bilik guru saya segera bertanyakan teman-teman jika ada pakaian murid atau pakaian sukan yang boleh saya dapat masa itu juga. Saya menjelaskan secara ringkas sebab musababnya apabila ada yang bertanya...Masalah selesai...Cheng Soon dapat belajar dengan selesa pada hari tersebut. Sedikit kesal kerana saya tidak memantau keadaan murid sebelum memulakan pengajaran. Begitu juga guru kelas yang masuk lebih awal daripada saya, gagal mengesannya. Ini satu peringatan buat saya agar lebih peka dengan keadaan pelajar kerana ada sesetengah pelajar takut atau malu untuk memaklumkan masalah mereka kepada guru...

Esoknya Cheng Soon tidak hadir ke sekolah. Dalam hati tertanya-tanya, mungkinkah murid itu demam akibat kejadian semalam...Hati sedikit bimbang...Saya menyelidiki masalah murid ini dan saya mendapat maklumat dia dihantar ke sekolah dengan membonceng  basikal bersama ibunya...Murid ini baru memasuki sekolah ini pada hujung tahun lepas. Ibubapanya sedang mengalami krisis dan tidak tinggal bersama...kehidupan agak daif dan dia merupakan salah seorang  murid yang menerima bantuan kewangan yang disediakan oleh kementerian.

Menunggang basikal dalam keadaan hujan lebat sememangnya itulah risiko yang pasti berlaku...basah kuyup...Saya berasa sedikit lega apabila dia hadir seperti biasa pada hari ketiga persekolahan. nampak ceria dan sihat...bukan seperti yang saya fikirkan...Saya memberikan sedikit kelonggaran dengan mencadangkan dia memakai pakaian biasa dahulu dari rumah dan membungkus pakaian sekolah dalam beg plastik jika hujan. Tiba di sekolah barulah ditukar. Cheng Soon cuma mengangguk...dan tersenyum...senyuman kelat. Kasihan anak sekecil ini terpaksa menempuh kehidupan sesukar ini dalam usia yang masih mentah...

Jika suasana ini berlaku di sekolah pedalaman ia adalah perkara biasa kerana majoriti murid menghadapainya..namun jika ia berlaku di bandar besar ianya amat memberi kesan kepada pelajar yang terlibat dari segi fizikal dan emosi. Lumrah kanak-kanak suka membanding sesama mereka...maka di sinilah berlakunya perassaan rendah diri...kemurungan...pasif...dan adakalanya berlaku pemberontakan jiwa kerana tertekan dengan kehidupan sukar yang tidak tertanggung dan difahami oleh mereka dalam usia sebegini..

Apa yang berlaku diharap memberi pengajaran kepada saya dan  teman-teman seperjuangan untuk lebih peka dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh murid-murid kita. Peruntukkan sedikit waktu untuk memahami mereka kerana mereka juga seperti anak-anak kita....Kitakan 1 Malaysia...

0 comments: